11/26/15

Budaya Niaga Berjaya

[Nota Niaga]


Tanpa ragu-ragu saya merasa apa yang saya alami ini, ramai juga usahawan-usahawan atau peniaga-peniaga Melayu turut sama rasai.
"Eh, kau baru meniaga kan? Mesti banyak duit. Belanja la aku sikit.
"Wah, kau dah buka kedai baru, boleh la bagi diskaun banyak-banyak kat aku nanti." 
"Hari ni makan, biar kawan kita ni yang belanja, dia kan baru buka bisnes baru sekarang ni."

Melalui dialog-dialog di atas, apakah perkataan yang berulang-ulang?

BARU?

Ya, BARU.

Baru mula berniaga. Baru buka kedai. Baru kembangkan perniagaan. Hatta kadang-kadang walau hanya mula perniagaan di facebook dan instagram pun dianggap sudah kaya!

Sekali dengar seakan biasa.

Tetapi hakikatnya, ia membawa gambaran bahawa, bangsa Melayu, bukanlah bangsa berniaga.

Kerana itu, kita sesama sendiri gagal memahami seni berniaga dan kurang mengalami sendiri pengalaman berniaga.

Tidak hairanlah, walau sebanyak mana peruntukan yang pihak kerajaan salurkan untuk membantu para usahawan bumiputera, masih ramai yang 'bungkus'.

Selain sikap peniaga itu sendiri, keadaan masyarakat Melayu kita juga merupakan salah satu punca kegagalan ramai peniaga kita.



Bangsa Niaga.

Saya pernah mendengar cerita-cerita daripada bangsa Cina di Malaysia. Sangat mengujakan.

Sekilas pandang, kita sudah tahu, mereka adalah bangsa berniaga. Padahal, kebanyakan mereka bukanlah beragama Islam. Tiada anjuran berniaga seperti mana yang Nabi kita ajarkan.

Tidak dapat dinafi, mereka keturunan peniaga turun temurun.

Di Mesir, saya sendiri kagum dengan bangsa Cina. Mereka akan sentiasa berusaha untuk berniaga, walau di mana mereka berada. Kalau mereka tak pandai berbahasa arab dan sukar menembusi marhaen Mesir dalam perniagaan biasa, mereka kumpul duit, mereka bina kedai makan Cina muslim (Chinese Cuisine) dan gaji pelajar-pelajar asing lain yang pandai berbahasa arab dan baik pekerti daripada bangsa Arab yang sangat jarang berlaku jujur dalam pekerjaan dan selalu menipu. Sesuatu yang orang arab tidak mampu saingi mereka dan mereka hanya bersaing sesama mereka.

Di Mesir ini juga, saya lihat bangsa Cina ini juga, ke hulur hilir berniaga barang elektronik dari negara mereka kepada bangsa arab, walaupun mereka sepatah haram pun tidak pandai berbahasa arab, hanya gunakan isyarat tangan sahaja. Tinggi sungguh survival hidup mereka. Hebat!

Kalau mereka baru memulakan perniagaan, sahabat-sahabat handai, sanak-saudara akan beri sokongan kepada perniagaan baru mereka.

Mereka akan ke kedai baharu kenalan mereka dan beli belah di situ sebagai tanda sokongan mereka terhadap perniagaan baharu itu.

Saya kira, budaya yang begini sangat-sangat harmoni. Mungkin juga kerana budaya kecil ini, bangsa Cina ini, jarang kedengaran gagal dalam perniagaan mereka.

Mereka mengerti bahawa bagi setiap peniaga yang baru memulakan sebarang perniagaan, peniaga tersebut pasti telah bergolok gadai melaburkan duit modal untuk memulakan perniagaan tersebut.

Jadi, pada awal perniagaan, sah-sahlah poketnya kering. Lalu, oleh sebab itulah, masyarakat perlu beri sokongan dengan memperbanyak beli belah di kedainya, bukan minta dikeluarkan belanja untuk kita.



Ubah Budaya Niaga Bangsa Kita.

Ini baru dari satu segi budaya niaga bangsa Cina. Banyak lagi sebenarnya yang kita boleh ambil pedoman.

Lantaran kos hidup yang makin tinggi melangit, mutakhir ini, kita boleh lihat, lambakan peniaga-peniaga online dan alam nyata yang tumbuh bak cendawan tumbuh selepas renyai gerimis.

Oleh sebab itu, ada eloknya, kita mengubah budaya dan mentaliti niaga dalam kalangan orang kita. Tingkatkan inovasi, gencarkan promosi, saling menyokong perniagaan sesama kita.

Tiada apa yang rugi jika kita ubah perkara ini. Bahkan, menguntungkan masyarakat sejagat kita.


image
Petikan buku 'Rahsia Bisnes Orang Cina' - Ann Wan Seng


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal,
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1039
230914

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter