8/23/12

Pasakkan Cita-cita Besar


Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Berselawatlah.


" Sesiapa yang melihatku dalam mimpinya, nescaya dia akan melihatku secara langsung. Sesungguhnya syaitan tak dapat menyerupaiku."
( Hadis Riwayat Bukhari )

Sahabat-sahabat, pernahkah ada dalam diri kita ini sekelumit rasa, sebutir rasa untuk berjumpa Baginda Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam?

Sesungguhnya, sangat beruntunglah sesiapa yang dapat melihat Baginda melalui mimpi atau secara terus berhadapan.

Andai kita belum pernah ada niat atau harapan untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam, tanamlah niat itu sekarang, pasaklah harapan besar itu sekarang.

Lazimi diri dengan berselawat. Ringankan mulut untuk selawat kepada Baginda, di setiap tempat, pada setiap masa. Moga-moga cinta kita kepada Baginda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam akan lebih mekar mewangi dalam hati kita lantas mendekatkan kita dengan Allahu Subhanalla Ta'ala.


"Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali. "
(Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 16/198, no. 10287. al-Bukhari, Adabul Mufrad, 1/224, no. 645. Muslim, 2/376, no. 616. Abu Daud, 4/324, no. 1307. An-Nasa’i, 5/74, no. 1279)


" Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan. "
( Hadis Riwayat Ahmad )


Daripada Abi Thalhah al-Anshari (radhiyallahu ‘anhu), beliau berkata:

Pada suatu hari, Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam berada dalam keadaan yang sangat baik, jelas terpapar pada wajahnya kegembiraan, maka (para sahabat) bertanya:

“Wahai Rasulullah, pada hari ini engkau dalam keadaan yang sangat baik, jelas dapat dilihat kegembiraan pada wajahmu?” Beliau berkata:

“Benar, telah datang kepadaku (malaikat) dari Tuhan-ku, ia berkata:

“Sesiapa yang berselawat kepadamu dari ummatmu satu kali, nescaya Allah mencatat baginya sepuluh kebaikan, menghapuskan darinya sepuluh keburukkan (dosa), mengangkat baginya sepuluh darjat/kemuliaan, dan membalas kepadanya sebagaimana selawat tersebut.”

( Hadis Riwayat Ahmad )


"Sesungguhnya orang yang paling aula (utama) bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. "
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, ath-Thabrani dan al-Baihaqi )


" Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak."
 (Hadis Riwayat ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 2/182, no. 1654. Ahmad, 24/457, no. 15689. )


"Sesiapa yang berselawat kepadaku atau memohon wasilah untukku, nescaya dia berhak mendapat syafa’atku pada hari Kiamat. "
(Hadis Riwayat Ismail B. Ishaq, Fadhlush Sholati ‘Alan Nabi, 1/49, no. 50.)


“Terhinalah orang yang di ketika namaku disebutkan padanya, tetapi dia tidak berselawat kepadaku.”
 (Hadis Riwayat at-Timirdzi, Sunan at-Tirmidzi, 11/455, no. 3468 dengan katanya: Hadis ini hasan ghorib. Ahmad, Musnad Ahmad, 12/421, no. 7451. )

‎"Orang yang kedekut (bakhil) adalah orang yang ketika namaku disebut tetapi dia tidak berselawat ke atasku. "
(Hadis Riwayat Ahmad )


Jemput para sahabat sekalian tonton video-video menarik di bawah.

Moga bermanfaat.

1) Bagaimana mahu bermimpi berjumpa dengan Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam.

Saya sangat suka menonton video ini. Tontonlah walau berulang kali sekalipun, kejemuan itu sukar datang.



2 ) Tangisan Ustaz Haron Din : Insan Terpilih Berjumpa Dengan Nabi.


3) Kisah Mimpi Pelajar UIAM


4 ) Cinta Nabi : Habib Ali al-Jufri





Mahu Cintakan Allah Subhanallah Ta'ala? 
Mari Mulakan Dengan Mencintai Rasulullahi sollallahu 'alaihi wa sallam!

Katakanlah (wahai Muhammad): 
"Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(A-li'Imraan 3:31)

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi ( Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam ); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."
(Al-Ahzaab 33:56)


Hayati sirah hidup Baginda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Lazimi lisan untuk berselawat kepada Baginda. Ikuti segala sunnah yang Baginda tinggalkan. Insya-Allah, bunga-bunga sayang dan cinta itu akan muncul menerpa.

Pada saat anda rasa banyak dosa, hati semakin keras, selain berzikir kepada Allahu Subhanallah Ta'ala dan membaca al-Quran, cubalah jinakkan hati kita untuk berselawat memuji Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam. Insya-Allah, hati kita jadi lebih tenang dan tenteram, rasa semakin lembut.

Koleksi Gambar-gamabar berkenaan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam.


Masjid an-Nabawi



Maqam Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam




Kasut Baginda


















Allahumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad, wa 'ala Aalihi  wa Sohbihi, wa baarik wa sallim.

Allahumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad, wa 'ala Aalihi  wa Sohbihi, wa baarik wa sallim.

Allahumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad, wa 'ala Aalihi  wa Sohbihi, wa baarik wa sallim.




Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal.
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
23.8.2012
3.40 a.m





8/22/12

Daia plus Softlan



Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Daia, mencuci dan agak mewangi. Softlan, tak mencuci sangat, tapi mewangi. Harga lebih kurang. Masing-masing ada kepentingan.

Ketika di asrama, antara pencuci basuh yang menjadi pilihan hati, tentulah Daia. Entah kenapa, usah ditanya. Mungkin mahu menambahkan lagi koleksi pinggan kaca mama di rumah di sebabkan tawaran pembelian sekilo akan mendapat sepinggan kaca bertulis 'Daia'. Walau tak sehebat arcopal, namun ianya masih relevan untuk digunakan seisi keluarga.

Asrama lazimnya ada mesin basuh bahkan ada sekolah yang terus punya sistem dobi. Semuanya untuk memudahklan pelajar. Namun, ketika itu tiada kepuasan bagi saya kalau membasuh baju menggunakan mesin basuh. Serius tak tipu. Baju berkedut dengan teruk dan kotoran belum tentu keluar sepenuhnya. Kurang memuaskan hati. Tiada alternatif lain, basuh mengguna tangan juga menjadi pilihan. Mesin semula jadi yang lebih memuaskan.

Hingga kini, apabila kerja semakin banyak, hidup semakin sibuk, prasarana yang kurang lengkap, mesin basuh menjadi pilihan utama. Basuhan yang menggunakan kudrat semula jadi, hanya untuk pakai putih. Tetapi ia tetap sama keadaannya, basuh sendiri, tetap berdikari. Huh.

Namun, ada pelbagai jenis basuhan yang dapat saya dapat lihat. Pelbagai ragam dan pelbagai gaya. Sejak dari asrama hinggalah kini. Semua jenis ini, datang dari golongan lelaki. Jadi, mungkin ianya pelik dan lebih simple berbanding golongan wanita.

Jenis pertama, jenis yang sangat simple. Hanya ambil baldi dan rendam baju bersama serbuk pencuci. Lebih kurang semalaman atau dua malam. Sebab selalu cuti dua hari saja. Selepas itu jemur. Hasil, kotoran akan keluar sedikit, daki-daki belum tentu keluar habis dan taklah terlalu wangi.

Jenis kedua, lebih kurang simple juga. Merendam baju hanya dengan softlan. Tempoh masa sama saja dan jemur. Baju jadi wangi tetapi memang kurang bersih.

Jenis ketiga, sedikit complicated. Merendam baju beberapa jam dan  berus baju-baju tu. Cara ini, ramai yang lakukan. Terlalu common. Sudah puas dengan kebersihannya, baru jemur. Hasilnya, kebersihan terjamin tapi kewangiannya tidak terlalu wangi.

Jenis keempat, lebih complicated. Selepas rendam dan berus baju-baju itu, akan disambung pula dengan bilasan softlan. Seterusnya di jemur dengan rapi. Natijahnya, baju bersih bersinar dan kewangiannya tak dapat di sangkal lagi.


Kehidupan manusia, untuk di analisis.

Sebenarnya semua itu ada kaitannya dengan hati kita. Ya, ini serius. Memang agak jelas dengan kerja buat kita. Ia benar-benar mencerminkan bagaimana kita menjaga hati kita.

Mari lihat, semua jenis-jenis ini memang wujud.

Ada yang hanya mahu membersihkan bahagian luaran sedikit sahaja, tanpa menghiraukan bahagian dalam, sang hati. Membiarkan ia terus karat, hitam dan dibiarkan hingga parah dan rosak.

Ada yang hanya mahu wangi luaran sahaja, kebersihan hanya diendahkan sedikit sahaja. Dalamannya pula langsung tak dihiraukan. Hanya kerap menyembur minyak wangi sahaja.

Ada yang basuh hanya dalamannya sahaja, bersih sebersihnya dan tak selalu biar ianya kotor. Tapi luar hanya biarkan seperti biasa.

Namun, ada juga yang mahu elok luar elok dalam. Dalamnya wangi dan bersih, luarnya pun bersih. Hebat orang ini. Tambah pula dia mampu istiqamah hingga akhir hayat. Cream of the creams.


Mentadabbur Alam.

Begitulah, banyak orang banyak ragam, banyak gaya banyak cara. Namun, kita sebagai hamba-Nya yang punya akal fikiran yang waras tak wajar biarkan segala yang berlaku di hadapan kita tanpa berfikir. Fikirkan, jangan takut untuk berfikir. Bukankah kita mahu jadi 'Ulul albab' seperti yang disebutkan al-Quran?

Maka, jangan takut untuk berfikir membelah alam. Mentadabbur segala nikmat, segala yang dilihat. Moga kita jadi insan yang sentiasa mengingati Allah kerana kita secara normalnya tak mampu untuk menginngati Allah untuk 24 jam.

Bersyukurlah kerana masih punya hati. Hati itu bukan tempat untuk dikotori, tapi sebagai tempat mulia untuk dibersih setiap hari. Moga-moga segala amalan kita kepada Allah jadi enak dan mudah untuk diikhlaskan jika hati di touch up setiap hari.

Campurkan Daia dan Softlan, moga ianya terus bersinar dan mewangi.

Kredit


Andai tidak mampu, lihatlah tubuh badan kita, di situ jelas kekuasaan Maha Esa. Lihat, tadabbur dan fikir.


"Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?"

(Adz-Dzaariyaat 51:21)


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal
el-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
22..8.2012
7.59 a.m











8/15/12

Cerpen : Heretlah Hatiku





[Cerpen : Heretlah Hatiku ]

_____


Petang itu, sengaja saya berteleku beriktikaf lama sedikit di dalam masjid. Mahu tenangkan sedikit minda. Tenang sungguh apabila berada di rumah Allah ini.

Tidak lama kemudian, saya nampak sesuatu. Kelibat seorang pemuda yang menggeleng-gelang kepala seperti sedang marah. Ya, memang saya pernah tengok budak ini di kuliah.

'Muka muda belia macam ni mesti budak first year ni...' Suara hati berdengus.

Saya terus pergi ke arahnya. Kelihatan seperti dia memerlukan bantuan.

" Adik, kenapa ni, ada masalah ke?"

" Macam biasalah bang, kasut hilang..." Jawab budak tadi.

Budak itu selepas itu, tak habis-habis maki itu dan ini kepada pencuri kasutnya.

" Eh adik, sudahlah tu, sabar ya. Tentu ada hikmah besar di sebalik semua ini, kita tidak tahu sekarang. Tak perlulah maki-maki lagi, tak elok." Nasihat saya.

" Ah, abang tahu apa, saya yang hilang kasut. Bukannya abang. Dah la mahal pulak tu. Bengang betul saya.." Kata budak itu dengan sangat berang.

Saya senyum. Selama pengalaman berada di sini, sudah dua tiga kali jugak kasut hilang di masjid. Itu biasa.

Yang luar biasa, entah kenapa saya nampak diri saya dalam diri budak itu. Dia seakan perangai saya yang dulu.

" Adik nama apa? " Sambil saya hulurkan tangan.

" Salim..." Hanya menjawab sambil bercekak pinggang.

Saya kembali senyum. Kali ni memang jelas, saya nampak diri saya yang dulu dalam diri budak ini.

Saya slow talk dengan dia dan saya belikan kasut selipar baru untuk dia pulang ke rumah. Tapi, berat sungguh ucapan terima kasih daripada mulut dia.

Seminggu selepas itu, saya nampak lagi si Salim ini di kuliah, sedang membeli buku di kedai buku. Saya perhatikan dari jauh. Perhatikan tingkah lakunya.

Salim bergaduh dengan penjual buku itu gara-gara dia tidak dilayan dan kerana tidak punya duit kecil untuk membeli di situ.

' Aduh, ini memang sama dengan aku'.

*    *   *

Suatu hari, ketika di kafeteria, saya panggil Salim. Saya bertanya khabar dan berbanyak senyum dengannya.

" Saya dulu, seperti kamu juga. Suka marah, suka maki, suka bergaduh, suka bersangka buruk.." Saya bermuka serius.

Salim mengangkat kening sebelah.

" Ya, betul, abang macam tu dulu. Jadi, abang ni teringin nak ajak kamu. "

" Ajak ke mana?"

" Tak ke mana-mana. Cuma mahu ajak kamu mencintai insan yang jarang orang lain cinta."

" Siapa? Awek? Saya memang tak ada awek."

" Tak. Nabi kita, Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam."

Salim senyap.

*   *   *

Sejak itu, saya kerap ajak Salim ke majlis ilmu, majlis selawat, ke taman-taman syurga. Pada awalnya, dia nampak keras. Tapi, selepas beberapa ketika, saya nampak banyak perubahan dalam dirinya.

Salim bukan sahaja cemerlang dalam kuliah, tapi juga pencinta kepada ilmu agama. Dia nampak bersungguh-sungguh mahu mengenal Allah dan mengenal Rasulullah. Saya lihat betapa dia begitu minat untuk mendalami Sirah Rasulullah. Insan agung yang paling mulia. Dia mula terpengaruh dengan akhlak baginda. Akhlak al-Quran yang tiada tolok bandingnya.

Sabda Rasulullahi salallahu 'alaihi wassalam : 
Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” 
( Hadis Riwayat Bukhari )

Saya terfikir, kalau kali pertama saya lihat Salim dulu saya terus benci dan bersangka buruk, pasti saya tak akan ajak dia menjadi baik. Tak ramai yang suka bersangka baik pada perkara yang buruk. Maka, hati pun jadi resah dan gundah, sentiasa tak selesa. Oh, sungguh hebat kuasa bersangka baik.


*   *   *

Hari itu hari minggu. Seperti biasa saya akan ajak Salim ke satu majlis ilmu kalau saya free. Setelah dia bersetuju untuk pergi sekali, kami berdua pergi bersama-sama.

Di sebabkan lokasi majlis ilmu agak jauh sedikit, kami bertolak awal sebelum asar dan akan solat di masjid di tepi jalan. Majlis ilmu itu selalunya akan bermula sejurus tamat solat maghrib.

Selesai solat di situ saya lihat Salim masih lagi bersujud. Saya pun tidak berasa apa-apa, hinggalah saya rasakan hampir setengah jam saya tunggu. Lalu saya menyentuh Salim sedikit, takut-takut dia tertidur pula dalam solat. Namun dia masih tak bergerak. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, dia jatuh. Saya betul-betul melihat dia.

Dia tersenyum. Saya gerakkan dia, tapi tetap tidak sedar. Saya pegang tangannya dan periksa nadi, tiada langsung denyutan. Ahli jemaah masjid terus membuat CPR dan Salim masih tidak sedarkan diri. Jelas saya dapat lihat, berpeluh dahinya, muka tersenyum. Namun itulah senyuman terakhirnya.

Saya terus mencapai handphone untuk telefon ambulans. Tiba-tiba terlihat ada satu mesej yang masuk. Mesej daripada Salim.

" Abang, saya nak cakap depan abang saya malu. Terima kasih kerana mengheret hati saya ke arah ini. Saya bersyukur dengan diri saya sekarang."

Air mata tak tertahan lagi, berjirus tak henti-henti.

Salim dibawa ke hospital dan setelah disahkan oleh doktor, dia dikebumikan terus pada malam itu juga. Saya, masih berdiri seperti tidak percaya apa yang saya lihat pada hari itu. Saat itu, hati saya benar-benar terusik.

Mula dari itu, saya bertambah sedar yang bersangka baik ini memang terbukti hebatnya. Dan andai bersangka baik itu mudah, mesti ramai yang mampu lakukan, tapi hakikatnya tidak. Ia memerlukan hati yang jernih, latihan hati yang mencukupi dan rasa cinta kepada Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam yang padu untuk terus kekal dalam attitude murni itu.

Kalau asyik mengkeji orang jahat, belum tentu kesudahan hidupnya jadi jahat juga. Apatah lagi, jika kesudahan hidup dia lebih baik berbanding kita.

Hati ini mudah sungguh berbolak balik. Pintalah kepada yang membolak-balikkan hati ini, supaya terus diheret hati kita ke jalan yang sentiasa diredhai-Nya. Kerana kita tak tahu kesudahan hidup kita.


Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullahi salllallahu 'alaihi wasallam bersabda :

" Allah berfirman : Aku berada di dalam sangkaan hamba-Ku tentang diri-Ku. Aku menyertainya ketika dia menyebut-Ku. Kalau dia menyebut-Ku kepada dirinya, maka Aku menyebutnya kepada diri-Ku, kalau dia menyebut-Ku didepan orang ramai, maka Aku menyebutnya di depan orang dengan keadaan yang lebih baik daripada diri mereka."
 (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Positifkan hati. Jernihkan diri.

Bersangkalah yang baik-baik sahaja.





Nota : Ini hanya sebuah Cerpen. ^^

Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
el-Abbasiya, Cairo, Egypt.





8/7/12

Mesej Ramadan.

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Semalam, Allah bagi nikmat menonton you tube dengan laju. Berbanding mengguna broadband yang terlalu kura ini. Sungguh lembab kekuraannya. Heh.

Maka, satu video ini sungguh menyentap.


Ramadan,

satu ketika kita pinta supaya kita dinikmatkan masuk ke dalam bulan itu,

tapi,

apabila sudah berapa di dalamnya,

kita lupa,

kita lalai,

kita tidak melayannya sebaik mungkin.

Nafsu buruk terus dilayan,

dosa-dosa terus dilakukan.

Apakah kita hamba yang bersyukur?


Kita sedar kita banyak lakukan dosa,

banyak lakukan silap,

terlalu banyak zalimi diri sendiri.

Lantas, mengapa berat kita mahu meminta ampun?

Berat mahu bertighfar.

Kotor hati.

Ego dengan Tuhan.

Huh.


Kita berangan-rangan mahu penghabisan hidup kita baik,

husnul khatimah,

akhiri kalam kita dengan "La ilaha illallah".

Namun, apa yang masih memberati lidah kita untuk mengucapkan kalam itu sekarang,

sekadar mahu hafaz?

atau mahu mati baru nak lafaz?

Kita sentiasa lupa,

yang 'Hanya Allah lah Tuhan kita'.


Bila ditanya,

kamu cinta Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam?

kita angguk.

Tapi,

lafaz selawat yang begitu mudah pun kita culas,

kita malas,

beginikah cara kita mahu mendapatkan syafaat Baginda kelak?



Diam membisu, walau tiada zip yang menutup.

Sedar, diri ini memang lemah. Memang mudah lupa apabila dapat kesenangan.

Hanyut dalam dunia sendiri,

hanyut dalam nikmat yang diberi.

Aduh, hinanya diri.





Wallahua'alam.




Muhammad Iqbal, 
Abbasiyah, Cairo, Egypt.




8/6/12

Maidah ar-Rahman



[Cerita Dari Jalanan]


Maidah, maksudnya hidangan. ar-Rahman pula, maksudnya pemurah. Secara keseluruhan, saya masih belum tahu maksud hakiki perkataan Maidah ar-Rahman ini. Sejarahnya juga, saya masih lagi kabur.

Yang saya tahu, kalau saya keseorangan di rumah, sibuk, atau tak rajin untuk memasak untuk berbuka, maka secara automatiknya saya akan pergi menjamah di Maidah ar-Rahman.

Saya mula mengenal Maidah ar-Rahman ini di Hayyu Sabi'. Kawan Sabi' memang kawasan yang ramai didiami oleh pelajar Malaysia. Tak hairanlah kalau setiap hari hanya dipenuhi dengan pelajar Malaysia saja.

Namun, setelah berpindah ke kawan Abbasiyah, kawasan ini tidak ramai orang Melayu. Tambah pula musim cuti summer, makin sunyi la kawasan ni.

Setelah disurvey, maidah di hadapan kanan rumah saya kelihatan sangat mantop sekali. Makanya, tempat itulah menjadi tempat pilihan saya setiap hari.

Seorang.

Alhamdulillah, apabila kita pandai sedikit berkomunikasi dengan warga arab, kita jadi tidak segan untuk duduk makan bersama mereka. Kebanyakan yang makan maidah ini, pada pemerhatian saya golongan yang susah.

Bulan Ramadan bagaikan bulan rahmat besar buat mereka. Orang-orang kaya masih ramai yang bermurah hati. Mereka lebih rasa terbela pada bulan mulia ini.

Kali pertama saya makan di situ, saya bawa bersama handphone saya. Tiba-tiba kerap betul bunyinya. Lebih daripada lima kali. Orang di sebelah saya asyik tengok gelagat saya dan akhirnya menegur saya.

" Cantik hanphone kamu.."

Saya senyum. Terasa sangat segan.

Dia keluarkan handphone dia.

" Kamu lihat ni, ni handphone saya. Handphone kamu nyata sangat cantik." Sambil menunjukkan handphonenya yang seperti tiada lagi huruf-huruf yang timbul.

Keseganan yang melampau terus menerjah.

Hari-hari selepas itu saya tak lagi bawa handphone, tetapi bawa al-Quran. Saya lihat, tak ada siapa dalam kalangan yang duduk, membuka al-Quran untuk dibaca. Jadi,  daripada melengung untuk habiskan waktu, baiklah baca al-Quran. Besar faedahnya. Walaupun orang perhatikan kita dengan tajam, tetapi perlu lalui dengan sangat kering. Buat benda baik tak perlu malu.

Lusanya, saya lihat sudah ada yang mula bawa al-Quran. Alhamdulillah, sudah ada geng.

Rendah.

Jujurnya, bila bersama golongan marhaen yang susah, feelnya juga turut saya rasa. Seronok kalau kita hambakan diri kita. Duduk bersama orang-orang susah, bersama orang biasa, orang kebanyakan, peminta sedekah, baru terasa segala nikmat Allah itu sangat besar nilainya.

Saat itu, 'Aish dan Salatoh pun sudah jadi sedap. Marvelous gitu.

Saat itu, saya membayangkan, masih adakah pemimpin berjiwa dan berminda rakyat? Yang mampu susah bersama rakyatnya. Yang peduli dan melihat sendiri kesusahan orang yang dipimpin. Yang persis Sayyidina Umar al-Khattab atau Umar Abdul 'Aziz.

Moga saya sempat berjumpa dengan pemimpin seperti itu.


Maidah ar-Rahman. Selalunya, lokasinya terletak di tepian jalan.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal
Abbasiyah, Cairo, Egypt.