7/29/12

Siri 13 : Harumnya Kitab

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Mereka berdua, berjalan pulang dari kuliah. Tak terlalu tergesa-gesa, tenang. Beriringan di jalanan nan berdebu.

Hari kian gelap. Langit makin malap. Bunga-bunga purple di jalanan kembali mengecut. Musim bunga sudah pun berada di penghujung menanti tiba musim panas.

Langkahan kaki Muhammad dan rakan karibnya, mantap bertenaga, bersemangat mahu ke satu majlis malam itu. Majlis itu bagi Muhammad sungguh bermakna, sebagai manifestasi penat lelah dia menghadiri majlis ilmu yang diadakan setiap hari sejurus selepas solat subuh.

Majlis seperti itu majlis kedua buatnya. Majlis itu merupakan majlis penkhataman sebuah kitab hadis Muwatto' dan disekalikan dengan penyerahan sanad. Sebelum ini kitab yang sama, tetapi daripada riwayat yang lain.

Kali ini, tidak seperti selalu. Selalunya, majlis akan dibuat di masjid tetapi kali ini diadakan di perpustakaan atau maktabah milik Syeikh. Muhammad sudah lama mendengar berkenaan maktabah tersebut, tetapi belum pernah menjejakkan kaki lagi ke dalam maktabah itu.

Malam itu, usai solat isyak, semua meluru ke maktabah berusaha mengambil tempat. Takut kalau terlewat, tiada pula tempat nanti. Kelihatan ramai sungguh yang datang pada malam itu, semuanya bersungguh mahu menuntut ilmu.

Masuk saja ke dalam maktabah itu, hati Muhammad berbunga-bunga. Mana tidaknya, haruman kitab-kitab yang memenuhi rak terus menusuk rongga hidung. Ah, betapa indah bau itu. Bau ilmu.

Sudah lama tertanam impian untuk memiliki perpustakaan sendiri. Impian itu telah lama terbina oleh Muhammad. Namun, semua itu bukan boleh dilompat dengan sekali harung, tetapi mestilah melangkah perlahan-lahan. Tak boleh gelojoh. Takut-takut tersadung pula batu di tengah jalan.

Akhir kelas, sekeping sanad diterima. Allah, betapa seronok dan puasnya hati. Itulah kepuasan seorang penuntut. Moga segala ilmu yang dituntut dapat menjadi wasilah terbaik untuk lebih dekat dengan Allah Subhanallah Ta'ala, untuk lebih cinta kepada Kekasih-Nya. Juga, boleh membawa manfaat kepada orang lain.

Cinta ilmu, cinta majlis ilmu, cinta buku.

Tasik Qarun. Salah satu tempat yang diturunkan bala oleh Allah. Ada ulama' yang mengatakan makruh dan ada juga yang katakan boleh melawat tempat sebegini. Jika melawat, tidak boleh berlama-lama di situ. Wallahua'lam.


Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal,
Abbasiyah, Cairo, Egypt.







7/25/12

Peronda Mercun.

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Ramadan tahun itu jatuh pada hari-hari persekolahan. Berbekalkan akal kanak-kanak sekolah rendah yang masih kurang matang, ramadan pada hari persekolahan sememangnya sangat membebankan. Serius.

Mana tidaknya, tiada lagi aktiviti riang di padang selepas waktu persekolahan, gara-gara tenaga yang terhad. Tiada lagi zero point dan tuju kasut pada waktu rehat. Tournament bola antara kelas
di padang tepi sungai 
juga tersekat.





Pada hari itu, kelas petang tiada. Memang lega. Lalu, Fahmi bersama basikal racing Acumexnya terus mengajak saya ke satu tempat. Tempat itu memang sinonim setiap kali bulan puasa. Saya mengangguk setuju. Tanpa berlengah, setelah tamat sesi persekolahan pagi, kami terus ke lokasi tersebut.



Memecut sederhana laju basikal di atas jalan raya dan terus masuk ke jalan kampung. Basikal memang kenderaan biasa bagi kami, ke mana sahaja berbasikal, hatta ke Lata Bayu sekalipun.




" Bagi la salam, depa ada kat dalam tu." Cakap Fahmi dengan nada perlahan.

" Alaaa, yang tu pun malu ka. Bagi ja.." 


" Assalamualaikum...."


" Assalamualaikum...."

Pintu pantas diselak. Kelihatan seorang perempuan keluar, bermuka ala-ala bangun tidur.

" Ni nak apa ni?"


" Hmm, bagi mercun bola kecik dua bungkus."

Kakak tadi kembali ke dalam rumah. Dengan pantas datang semula dan berikan dua bungkus mercun bola kecik.

" Ada apa lagi dak? "


" Ok kak, dah habis dah. Terima Kasih ya.." Ucap Fahmi sebagai ketua rombongan.


" Fahmi, cukup ka stok kita untuk seminggu ni?"


" Alaa, kalau habis kita mai la lain kat sini..."

Seperti malam biasa, terawih mesti dibuat. Saf kanak-kanak di belakang sekali menjadi rebutan. Moga-moga mudah keluar setelah cukup lapan rakaat nanti.

Solat terawih menjadi kurang khusyuk gara-gara memikirkan strategi perperangan mercun sebentar lagi. Saat itu, solat terawih hanya sebagai syarat kehadiran ramadan sahaja. Ruang saf kanak-kanak cukup meriah di belakang, pelbagai gaya dan ragam ada. Mujur ayah sudah ajar cara solat dengan betul, tidaklah jadi tunggang terbalik macam yang lain.

Habis sahaja salam terakhir rakaat ke lapan, berderu kanak-kanak keluar masjid tanpa berehat sebentar demi menjayakan 'agenda' penting pada malam itu. Semuanya bermuka ceria girang gembira.

Berbekalkan pengalaman lama, kami tidak lagi bermain di hadapan masjid takut-takut terkena lagi 'periuk api' di situ. Muka Pak Bilal sentiasa digeruni, selalu saja marahkan kami.

Lalu, plan mesti ditukar. Lokasi lain perlu dicari untuk menjayakan peperangan pada malam itu. Semua ahli bala tentera dikerah untuk berhijrah ke tempat lain.

Pencarian terus dilakukan, hinggalah terjumpa satu site menarik untuk aktiviti pada malam itu. Lokasinya, hadapan tanah perkuburan dan bersebelahan jalan raya. Mereka cakap tak perlu takut dengan kubur tu, sebab semua hantu telah pun dikurung.

Perang bermula. Ternyata kemeriahan malam itu.

Bom.


Pom. 


Pam.


Pim.


Peh..

Selain dibaling kepada pihak lawan, mercun bola jugak dibaling terus jalan raya supaya ianya jadi lebih menarik lagi. Seronok sungguh.

Namun, satu perkara tak diingini berlaku pada malam itu. Kalau setakat kena jari sikit-sikit tu biasa. Tapi, kali ini lebih dari itu.

Tanpa disangka-sangka, satu mercun bola jenis kecil yang selamat mendarat di atas jalan raya itu meletup dibawah kereta Peronda Polis yang lalu di jalan itu pada waktu itu. Melihat kereta peronda berhenti, semuanya menjerit kuat menambahkan kemeriahan dan kegawatan.

" Lariiiiii...! "

Semua sekali lari bertempiaran ketakutan. Masing-masing masuk ke rumah mencari hak perlindungan. Setelah beberapa minit, kereta Peronda Polis tu kembali meluncur laju di atas jalan. Kelegaan yang besar buat kami. Semua kecut, takut-takut beraya dalam penjara.

Kenangan yang mematangkan. Zaman kanak-kanak, zaman nikmat keseronokan.

Kredit



Wallahua'lam.




Muhammad Iqbal.
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.




7/15/12

Gosok Si Hitam

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Pemurah Lagi Maha Penyayang.




" Husni, ambilkan aku segelas air kosong, kalau ada ais lagi best." Suruh Hasan kepada Husni.

Air kosong sungguh terasa nikmat dalam musim panas sebegini. Nasi berlauk lazat pun sudah jatuh ranking, sky juice memang menjadi pilihan.

Lalu, Hasan bawakan dua gelas di hadapan Husni.

" Nah, ambik kau dua gelas."

Satu gelas jelas bersinar setelah dibasuh dan digosok sekuat hati, manakala satu gelas lagi masih bersisa air teh bersama serdak teh yang masih di bahagian bawah gelas.

Lantas air sejuk fresh yang baru saja dikeluarkan dari peti ais dituangkan ke dalam kedua-dua gelas tersebut.

" Hah, minum la puas-puas, musim summer kat Mesir ni memang best kalau dapat minum air kosong." Tempik Husni.



Secara automatik, gelas yang bersih itulah yang pantas disambar Hasan. Teguk air bagaikan sudah sebulan tak minum air.

Air habis diteguk. Hasan tersandar di kerusi dengan wajah setengah puas.

Husni senyum.



" Hasan, kenapa tak minum satu gelas lagi ni? Tadi kata dahaga sangat kan."



" Bukan aku tak nak ambik, tapi kenapa kau tak basuh dulu sebelum masukkan air sejuk tu? Aku pun jadi tak lalu la nak minum air tu, warna pun dah lain."



Husni kembali senyum.



" Sengaja aku buat macam tu. Mahu buat muhasabah sikit."

" Munasabah apanya pulak ni. Kau ni Husni, macam-macam la.."

" Cuba kau fikir, kita sekarang terlalu dekat dah dengan bulan ramadhan. Andai hati kita tidak bersihkan, tidak digosok supaya bersih, maka mungkin begitulah jadinya. Mungkin amalan kita pun Allah Subahanallah Ta'ala tak nak pandang. Bulan ramadhan bulan bonus buat ummat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Jika pada bulan mulia sebegini pun kita abaikan, alangkah ruginya kita..." Panjang Husni menghurai.


" Eh, betul jugak ye. Aku jadi tak sedar pulak. Padahal, kalender bersepah-sepah tergantung dalam rumah kita ni. Allah... Masih sempat lagi mahu gosok daki hitam di hati, masih belum terlambat. Moga-moga begitulah. Jazakallahukhairan Husni..."





Wallahua'lam.




Muhammad Iqbal.
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo.


7/3/12

Cerpen : Hidup Mewangi

[Cerpen : Hidup Mewangi]

_____


Tika itu, cuti semester universiti bermula, sebelum semester akhir menjelma. Saya seperti biasa sudah semestinya pulang ke rumah. Pulang menjenguk ibu. Rasa belas saya buat ibu tak pernah surut. Sudah lama saya tidak dibiaya sepenuhnya oleh ibu untuk belajar lantaran mendapat biasiswa daripada kerajaan sempena keputusan cemerlang SPM lima tahun lalu. Namun, kasih sayangnya masih laju berlarian dalam darah saya, tak pernah berhenti.Tapi, saya masih punya dua lagi adik untuk diberi makan dan minum.

Ibu sejak ayah tiada, terus faham akan dwitugasnya pada waktu itu, menjadi ibu dan bapa pada masa yang sama. Di bawah pohon ketapang di hadapan sekolah rendah berdekatan dengan rumah, ibu setiap pagi menjual nasi lemak dan tiga empat jenis cucur. Ibu kata, dalam hidup ni, kita tak boleh harapkan bantuan orang sahaja. Mesti ada usaha sendiri juga, biarlah sepahit mana pun. Sebab kita tak tahu masa hadapan kita.

Pagi itu pagi biasa. Ibu buka payung niaga, lalu kami berniaga bersama-sama. Saya hanya benarkan ibu membuka payung dan meja saja, tapi urusan niaga lain saya cuba ambil alih. Sejak pukul dua lagi, ibu mengejutkan saya. Paginya dimulakan dengan dua rakaat solat tahajjud dan sedikit iringan zikir di atas sejadah. Ibu kata, biar sedikit tapi istiqamah, itu lebih Nabi kita suka. Seterusnya, dia mula sibuk dengan adegan membuat nasi lemak dan kuih hingga subuh.

Kerusi biru itu saya biarkan ibu duduk, saya berdiri di belakang meja untuk melayan pelanggan. Ibu seperti biasa, hanya tersenyum. Kadangkala bersembang juga dengan pelanggan-pelanggan tetapnya. Sudah lama dia buat kerja ni, tak pernah pula kami dengar rungutannya. Ibu memang cool lah!

Nasi lemak tinggal tiga bugkus, cucur pun dah tak banyak. Alhamdulillah, hari ni nampak gayanya boleh balik awal sikit ke rumah. Begitulah resam sang peniaga, untung belum tentu. Ada rezeki, insya-Allah banyaklah untung.

Belum sempat sembang sepatah dua bersama ibu, datang sebuah motor Kapcai EX5 depan gerai kami. Seorang pemuda yang simple orangnya, berbaju t-shirt polo, berkain pelikat. Dia bukan sahaja borong semuanya, dia juga tika itu telah memborong jiwa raga saya tanpa saya sedari.

Hari ini.

Saya masih menggabus mata. Benarkah semua ini? Sudah hampir sebulan saya menjadi isteri orang. Di hujung usia pengajian, saya bina masjid dihujungnya.

Paling hebat, rupanya saya sudah berkahwin dengan seorang jutawan soleh. Hingga jadi isterinya, baru tahu dia seorang jutawan. Warak betul.

Pernah satu ketika, saya tanya kepadanya.

" Abang tak menyesal ke kahwin dengan saya yang miskin?"

Dia pantas tersenyum, dengan janggut sejemput cute.

" Insya-Allah, abang tak pernah menyesal. Sebab doa abang untuk jodoh abang ialah moga Allah kurniakan abang seorang isteri yang cintakan Allah dan Rasulullah melebihi diri abang. Itu sahaja. Dan hari ini abang yakin, awaklah pilihan istimewa Allah buat abang."

Ayat dia mudah, tapi menyusuk kalbu saya. Semenjak itu, hati saya jadi lebih berbunga-bunga untuk mencintai Allah Subhanallah Ta'ala dan Rasulullahi sallalahu 'alaihi wa sallam.

Berbunga dan terus berbunga. Mekar mewangi sepanjang hidup, insya-Allah.


Wallahua'alam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.