Followers

Siri 9 : Hening Subuh

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Syukur. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Mata yang letih ditambah pula dihempap 'syaitan-syaitan' subuh. Berat, berat... Sakit melawan dari dalam. Hari-hari memang begitu. Masih di katil. Masih tak mampu lagi untuk ucap doa bangun tidur.

Terlintas laju.

" Seandainya mereka mengetahui pahala di sebalik solat ISYAK dan SUBUH berjemaah, tentu mereka akan mendatanginya sekalipun dengan MERANGKAK."
( H.R Bukhari dan Muslim )

Merangkak. Oh, itu sudah cukup untuk kita bayangkan bahawa pahala kedua-dua solat itu cukup besar ganjarannya. Mahu apa lagi?

Terngiang kalam al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki tempoh hari. Ketika kita melangkah menuju ke masjid untuk solat berjemaah, seluruh tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan mendoakan kesejahteraan kita. Allah, Allah..

Tumbuh-tumbuhan senantiasa bertasbih memuji Allah, kita?


Bangun bagaikan pendekar. Lawan punya pasal, doa pun kadang-kadang lupa nak baca. Syaitan menang dari sudut itu. Ah!

Muhammad terus ke bilik air. Siap seringkas mungkin, as simple as usual. Padanya, perkara mudah tak perlulah dibuat payah, just do it simply. Dah lambat, lepas tu buat complicated pulak, memang lambat la jawabnya. Terlepas banyak perkara. Rugi!

Jam sudah 5.35 a.m. Dah lewat sangat ni. Lewat 5 minit. Masbuklah gamaknya. Jarak ke tempat yang dituju bukanlah dekat sangat. Seperti kebiasaan lewat, kaki secara automatik pantas berlari selepas keluar daripada rumah. Berlari walau berjubah putih. Subuh subuh ni bukan ada orang duk usha sangat pun.

Berlari sampai letih. Sambung berjalan kaki. Bahang winter masih jelas terasa walau sudah pakai sweater paling tebal.

Kenapa pergi ke masjid tu sedangkan banyak lagi masjid lain? Masjid tu special bro. Ada Syeikh mengajar kitab Muwatta' lepas subuh. Bukan lama pun. Paling lama pun lebih kurang 10 minit sahaja. Itu sahajalah masa yang paling ideal untuk belajar agama. Masa lain sibuk gila kot, tak sempat! Tahu la pelajar medik, baca buku saja memanjang.

Ya, bi tau'an au karhan, suka atau benci, itu amanah. Amanah daripada penaja, amanah daripada ibu bapa. Jangan lupa aulawiyat.

Kalau 10 minit pun takut nak luangkan untuk belajar ilmu agama, beratlah tu. Kamu itu di Mesir. Yakin sahaja, Allah pasti membalas kita dengan keberkatan masa pada waktu-waktu kita yang lain.

Cari la perkara-perkara yang kita sukar dapat di Malaysia. Apa? Antaranya, belajar dengan para Masyaikh. Besar berkatnya insya-Allah!

Sesungguhnya, apabila berfikir soal amanah, laptop pun takut hendak dibuka. Hanya memikirkan soal buku dan ilmu sahaja. Takut sangat!


Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
(Al-Ahzaab 33:72)



Jangan tidur.

Tidur lepas subuh. Tidur lepas asar. Kedua-dua waktu prima untuk tidur, terutamanya lepas subuh. Ianya juga  waktu mega untuk ayah Muhammad jika ada dalam kalangan anak-anaknya tidur dalam waktu tersebut.

'Buatlah apa sahaja yang tak dilarang syara' pada waktu itu, kecuali tidur!' Itu yang selalu ayahnya cakapkan.

Carilah satu atau lebih amalan untuk dibuat selepas subuh, tak kisah walaupun ianya hanyalah amalan kecil. Janji istiqamah, itu yang signifikan!

Hening-hening subuh. Doakan berada dalam ahli jemaah subuh. Itu bukan satu kejelikan, tapi satu kekuatan!

" Masakan kita punya cita-cita besar untuk bangunkan Islam, tapi diri sendiri tak berupaya untuk bangun subuh berjemaah."

Paksa diri. Cari kelebihan-kelebihan solat subuh berjemaah. Usah risau soal ikhlas atau tidak setelah memaksa diri. Kerana, keikhlasan itu datang bermula apabila kita selalu praktiskan.


Wallahua'lam.



Muhammad Iqbal.
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.


Continue Reading (^_^)

Buang 'Tidak Pedulisme'. Cakna Dunia Islam.

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Kuliah kembali bermula. Kembali meneguk ilmu diperlembahan Nil ini. Kembali sibuk dengan segala ilmu. Mohon ada keberkatan masa di situ.

[ kredit ]


Syria

Saya menyepi di alam blog ini tidak bermakna saya tak cakna dengan isu-isu besar sebegini. Sesungguhnya, itulah bukan sifat seorang mukmin. Tidak hirau langsung saudara-saudaranya.

Saya tidak akan mengulas isu ini dengan terperinci. Hanya meninggalkan sedikit kalam pemuka buat semua. Saya sedar, masih ramai yang ada sikap 'tidak pedulisme'. Serius, masih ramai!

Nabi S.A.W bersabda, 
“Sesiapa yang tidak mengambil berat terhadap urusan (hal, keadaan) orang muslimin, maka bukanlah dia dalam kalangan mereka. Dan sesiapa yang memulakan harinya dengan mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah”.
(Riwayat At-Tabrani)
Kini, sudah ramai yang terkorban. Allah..


Ya, kita mungkin kurang mampu tolong secara zahir, tapi insya-Allah semua orang mampu untuk tolong melalui cara lain. Banyak lagi sebenarnya. Sekurang-kurangnya kita mampu utuskan doa kudus kita buat saudara-saudara kita di sana. Mudah sahaja. Setiap kali selepas solat pun boleh buat.

Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda bermaksud: “Doa itu adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.”(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim)
Doa qunut nazilah boleh dilakukan pada setiap solat baik Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Insyak. Tangan diangkat sewaktu berdoa dan boleh mengaminkan bacaan sang Imam dengan suara yang kuat menurut pendapat mazhab Syafie dan Hambali. Berdoalah untuk umat Islam di Syiria, Palestin dan seluruh dunia yang sedang tertindas. Sama ada kita membacanya dalam solat sebagai imam atau berusaha memujuk imam di tempat kita supaya membacakannya. Itulah tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim!

Usahlah berpeluk tubuh lagi. Mahu tunggu apa? Tunggu bom Israel jatuh di hadapan anda baru mahu ambil peduli hal orang-orang Islam?

Paling tidak pun, baca la info-info tentang saudara-saudara kita ni. Zaman sekarang ni mudah, klik saja. Tak payah pergi kedai beli surat khabar pun tak apa.

Nah, saya sediakan link menarik mengenai Syria. 

Dari facebook : 


Blog :




You tube :




Mungkin ini sahaja yang saya mampu lakukan melalui blog ini. Moga ada manfaat buat anda semua. 


Wallahua'lam

Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.


Continue Reading (^_^)

Mama

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Bangun pagi. Doa dibaca. Istighfar dan selawat buat Rasulullahi Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengiringi. Tangan kanan pantas merayap mencari handphone. Nak tengok pukul berapa. Sepet menahan cahaya keras si E71.

Entah bagaimana, terperasan tarikh hari ini. Selalu tak terperasan pun. Ada sesuatu yang istimewa dengan tarikh itu.

1 Februari.

Tiada lain yang difikir. Laju saja tangan ini mencari New Message. Saya dan mama berkongsi bulan kelahiran yang sama. Oh, terlupa, adik saya si Danish comei jugak berkongsi sekali. Itu membentuk bond yang sangat kuat di antara kami.

Selalunya, sejak kecil lagi, apabila tiba 1 Februari, ayah akan katakan sesuatu buat kami adik beradik. Bila pagi menjelang, itulah yang ayah suruh.

" Haa, hari ni hari jadi mama, pi sayang mama cepat."

Berderu kami berlari ke mama. Berebut mencium pipi mama dan bersalam. Sangat excited!

Pulang dari sekolah, kami beli coklat dekat mama. Hari ibu pun kami buat macam tu. Bersaing hadiah siapa paling hebat buat sang ibu. Saya beli banyak-banyak coklat hasil duit poket harian untuk ke sekolah. 50 hingga 70 sen puratanya hariannya. Bila bagi kat mama, mama hanya makan sebiji dua sahaja. Yang lain diberikan kembali kepada anak-anaknya. Saat itu saya tak faham kenapa mama buat macam tu. Kini ku mengerti. Oh mulianya mama.

Panas pipiku disimbah air mata pabila mengenang semua ini.

Sejak tinggal di asrama, semua itu semakin sukar. Semakin pudar. 5 tahun tinggal di asrama. Jauh sedikit dengan mereka. Kadang-kadang lupa hari-hari penting sebegini. Namun, ku 'qadha' ucapan itu selepas beberapa hari. Rasa bersalah.

Bila habis SPM, duduk sahaja di rumah. Bekerja pun tidak terlalu berat. Roh dahulu kembali datang. Hari-hari terpenting sebegitu disambut meriah. Bersama lebih ramai adik-adikku. Sangat seronok!


Cairo, 1 Februari 2012.

Ku rindui untuk melayangkan ciumanku ke pipi lembutmu mama. Seperti selalu. Andai mahu diukur cinta dan rinduku buat mu, tak cukup dengan aksara-aksara ini. Namun tak berdaya, hanya SMS sahaja yang aku mampu layangkan buatmu. Tak kira semahal mana pun, aku tetap akan hantar. Habis duit untuk berbuat baik kepada ibu bapa sangat besar nilainya di sisi Allah. Jangan kedekut!

Salam. Selamat hari lahir mama. Anakandamu di sini sentiasa mendoakan kesejahteraanmu. Terima kasih atas segalanaya. Moga sihat-sihat selalu. Moga dipanjangkan lagi usiamu dan hidup sentiasa dalam redha-Nya. Salam rindu anakmu dari perantauan (^_^). Sekali lagi mengalir air mata ;(

Dalam hati mengharap dan membayangkan, moga mama tersenyum membaca mesej ini.

Terima kasih banyak atas ingatan anakanda.

Tersenyum. Arus air laju berderai di pipi. Membalas kembali.

Sama-sama. Tiada yang bernilai buat anakanda selepas Allah dan Rasulullah melainkan mama dan ayah yang tercinta. Harta yang tak ternilai dengan yang lain.

"Tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dikasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, anak dan semua manusia yang lain."
(HR Bukhari dan Muslim)

Infinity loves to you mama! Miss you.

Tidak hairan jika kita sayang ibu kita melebihi manusia lain. Kerana kita telah bersama ibu kita melebihi 9 bulan daripada ayah kita.

Jangan lupakan mereka. Sayangi mereka. Tonjolkan rasa sayang anda dengan cara yang anda mampu.


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Luqman 31:14)


Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
(Al-Israa' 17:23)

Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.”  
( Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2654 )



“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” 



Belajar embryology menambahkan rasa sayang saya kepada mama. Bila memasak juga akan buatkan saya ingat dan sayang kepada mama.

Salam sayang daripada anakmu!




Wallahua'lam.



Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.






Continue Reading (^_^)

Siri 8 : Angan

Assalamualaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Itu malam terakhir Muhammad berdamping dengan rumahnya, sebelum melangkah keluar menuju ke alam baharu, tempat yang tak pernah dia jejaki. Rasa berat. Masakan tidak, itulah tempat dia bercanda membesar. Segalanya memori tawar, manis, masin, masam, semua tersimpan di situ.

Duduk di hadapan laptop. Scan passport, kad pengenalan, surat beranak dan yang sewaktu dengannya. Sesuatu terlintas di minda. Angan-angan. Mimpi. Impian. Ya, Muhammad ada impian yang teramat besar untuk digapai. Sangat besar.


Angan Untuk Dikongsi

Muhammad tidak mahu mengurung impiannya. Setiap cita-citanya pasti diberitahu ibu bapanya. Agar kedua-dua tahu. Muhammad yakin, ibu bapanya pasti berdoa untuknya. Doa ibu sangat dahsyat! Tidak kurang juga doa ayah yang merintih tatkala manusia lain berdengkur.

Sunyi malam itu. Hanya tinggal beberapa jam sahaja mahu bertolak ke Shah Alam. Jari-jemari pantas menaip di atas keyboard laptop Acer milik ayahnya. Segala impian maha besarnya di salurkan. Tanpa ada rasa ragu lagi kerana dia takut menzahirkan mimpi besar itu. Takut tak terlaksana. Takut tak kuat untuk bekerja ke arah itu.

Usai menaip segalanya. Terus mencari butang print di skrin. Buat 3 salinan. Buat mama, ayah dan dirinya sendiri.

Tidak penting sebesar mana impianmu itu. Tetapi  yang penting ialah sebesar manakah kamu untuk merealisasikan impianmu itu.

Muhammad rasa dia bukanlah orang yang besar, yang mampu menggalas maha impian itu.

Tetapi sampai bila? Selalu dia soal dirinya.

Andai itu hajatnya, kenapa masih takut untuk mulakan usaha? Tidakkah kamu yakin Allah sentiasa bersamamu untuk menolong usaha murni itu?

Allahu Musta'an.


Bersama-Mu, Indah Segalanya.

Sudah tiba masanya untuk Muhammad memulakan kerja. Semuanya untuk capai redha Sang Khaliq. Percetus segala impiannya. Itu cita yang terbesar sekali. Itu terpenting.

Impian tinggi melayut jika tanpa redha-Nya, karut! Kering. Kontang. Kosong.

Mulut mengumam sendirian. Bukan keluarkan kalam merapu. Tapi, berselawat kepada Kekasih-Nya yang tercinta. Untuk tajamkan rasa cinta kita kepada Allah, wajiblah kita cintai Kekasih-Nya dahulu. Allahumma Salli 'Ala Sayyidina Muhammad.

Bila buat kerja kerana-Nya, semuanya indah.

Jika berjaya, syukur! Redha.

Jika gagal, syukur! Redha.

Allah S.W.T berfirman :

 فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ 
"Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya."
(QS. 3 : 159)



"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
(At-Talaaq 65:3) 



Itulah sifat 'pelik' seorang mukmin. Yakin 100% kepada Allah. Semua yang terjadi ada hikmahnya. Cuma kita cepat atau lambat mengesan hikmah itu sahaja.


Dari Suhaib ra, Rasulullah saw telah bersabda:   

"Pelik sekali keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik, tidak berlaku sedemikian itu kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka sabar itu baik bagi mereka."  
[Hadis riwayat Muslim: 2999]




Long Term Planning

Dua helai kertas yang bertajuk ' Long Term Planning' diserahkan kepada mama dan ayahnya. Kedua-duanya menyambut baik. Senyum. Hati Muhammad rasa bahagia. Rasa lepas sejenak resah di dada. Fuhh..

Malam kian gelap. Segala persiapan di teruskan. Letih pun berbaur, ramai juga tetamu yang datang.

Muhammad berjalan keluar rumah. Bersama beg-beg besar. Menoleh ke belakang, memandang sepi, memandang rumah. Masa lampau laju menerjah minda. Hanya jadi kenangan selepas itu.

Tak lama selepas itu, permusafiran bermula. Tinggalkan kampung halaman.



Mula dan istiqamah.

Sungguh mudah untuk mulakan, walau ada sekelumit halangan. Tapi, cabaran hakikinya ialah untuk istiqamah. Sangat sukar. Allah...

Bekerja dan terus bekerja. Berusaha terus usaha. Mantainkan kayuhan.

Sesungguhnya, Muhammad sangat tagihkan keberkatan masa.

Allahu Musta'an.


" Sesuatu yang tumbuh tanpa ditanam, tak sempurna hasilnya."



Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.


Continue Reading (^_^)

PseudoChenta




Baru ku tahu, 'jatuh cinta' dan 'bangun cinta' itu berbeza.

"Cinta yang selalu terjatuh itu PseudoCinta. Asyik 'terjatuh' itu menyebabkan kita selalu 'terjatuh' ke lembah hina. Lembah zina dan sebagainya.

Berilah peluang untuk cinta kita 'bangun' menggapai cinta yang lebih tinggi. Cinta Allah dan Rasul-Nya."

Mari bangunkan cinta kita!


Nota :

Pseudo = false / not true / palsu


Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.





Continue Reading (^_^)

Buat duit lumayan tanpa modal di Facebook dan Blog! Setiap klik dibayar RM0.20 hingga RM0.40! JOM Daftar Sekarang! [KLIK SINI]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pemberi Semangat :)

 
ibnuDDin™ | Muhammad Iqbal © 2010 | Designed by Trucks, in collaboration with MW3, Broadway Tickets, and Distubed Tour