7/30/24

Bomoh


Dunia ini sememangnya berwarna warni.


Namun ada dua warna yang dominan yang punya pengaruhnya tersendiri.


Ada yang putih, ada yang hitam.


Demikianlah juga ilmu. Ada ilmu yang putih, ada ilmu hitam.


Ilmu putih ini ilmu yang tidak mengundang murka ALLAH, bahkan digalakkan dan dianjurkan untuk mempelajarinya. Contohnya ilmu agama, ilmu akademik, ilmu perubatan, ilmu bela diri dan banyak lagi.


Manakala ilmu hitam pula ialah ilmu yang mengundang murka ALLAH, yang menyalahi dari apa yang telah ditetapkan syarak, yang haram. Contoh mudahnya ialah ilmu-ilmu yang mensyirikkan ALLAH seperti ilmu perbomohan yang buat penuntutnya mempersekutukan ALLAH demi gejolak nafsu yang membara.



UJIAN


Hidup di dunia ini tak akan sunyi dari diuji. Yang taat beriman pun akan diuji, yang jahat pun akan menerima ujian.


Cumanya bentuk ujian itu sahaja yang berbeza, ada ujiannya berupa kesusahan, ada ujiannya dalam bentuk nikmat kesenangan.


Ketaatan kepada ALLAH dan Rasul, kesolehan, kewarakan, para penghafaz al-Quran, anak-anak ustaz ustazah, anak-anak para alim ulamak, tidak sama sekali akan terlepas dari ujian.


Siapa saja yang bisa menghela nafas, semuanya akan diuji!


Tiada yang akan terlepas!



EMOSI


Adakalanya ketika dibadai satu ujian maha kuat, kita terduduk rebah, meratap hiba memegang luka, seolah terasa tiada siapa faham nestapa di hati.


Emosi kita turun naik, gelap mata, kelam segala isi dunia.


Butir air di hujung mata memeleh, memujuk pipi yang keresahan.


Apabila ujian itu dipandangnya besar dari yang lain, TUHAN langsung hilang di fikiran, hilang di dalam hati.


Ketika itu iblis laknatullah datang menerpa, membisikkan kalimah rayuan, kalimah tenang berbentuk nista.


‘Kau mesti balas, kau mesti balas perbuatan mereka, mereka itu melampau!’ Getus hatinya hasil bisikan iblis.


Emosi yang bergejolak marak akan mudah-mudah di’bimbing’ iblis syaitan durjana.



 YANG HITAM


Akhirnya tujunya terus ke arah membalas, membalas dengan ‘caranya’ sendiri.


“Di sana ada bomoh terbaik, boleh bagi batuk berdarah, tersiksa dan mampus!”


Satu lagi bisikan iblis dari mulut manusia.


Lalu dia meluru memilih itu.


Di fikirannya, tiada lagi balasan dari TUHAN, sirna. Hanya tinggal balasan dari dirinya, lebih cepat dan lebih ‘puas hati’.


Iblis bertepuk gembira, ada manusia yang bersekutu bersamanya, menyembahnya tanpa disedari.


“Balas semua kerja buat mereka! Hancurkan mereka! Biar mereka tersiksa.”


Ya, memang kita sudah dizalimi, memang kita sudah dikasari dan dipijak-pijak sehenyaknya, namun itu semua tak menghalalkan kita untuk memilih cara balas yang tidak disukai ALLAH, apatah lagi jika sekutukan DIA!



KEMBALI


Bukan mudah menghadapi ujian. 


Bila kita memandang ALLAH lebih besar dari segalanya, ujian akan terlihat kecil, ujian itu sekadar untuk menegur kita yang sedang kelalaian, ujian yang bakal menambah pahala kita, ujian yang berpotensi meninggikan darjat kita.


ALLAH lebih besar dari segala masalah, ALLAH lagi besar dari segala ujian yanb dihadapi.


Sabar. Pahala untuk orang yang bersabar tiada hadnya.


قُلۡ یَـٰعِبَادِ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمۡۚ لِلَّذِینَ أَحۡسَنُوا۟ فِی هَـٰذِهِ ٱلدُّنۡیَا حَسَنَةࣱۗ وَأَرۡضُ ٱللَّهِ وَ ٰ⁠سِعَةٌۗ إِنَّمَا یُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَیۡرِ حِسَابࣲ﴿ ١٠ ﴾


Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".


[Surah Az-Zumar 39, Ayat 10]




Tarik nafas baharu dan kembali sebelum kita diarah kembali.


Kembalilah dengan jiwa yang redha, moga-moga ALLAH juga meredhai kita.



______

Dr Muhd Iqbal Bin Samsudin

Ayer Hitam, Kedah

1243H

300724

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter