8/16/22

No Pain, No Gain

 

Tanpa kesakitan, kita takkan beroleh sesuatu.

Tanpa menghenyak diri hingga lunyai, kita takkan dapat 'produk hidup'.


Saya 'beriman' sejak sekian lama dengan prinsip hidup ini.

Salahkah prinsip hidup ini?

Bagi saya, tidak.


Mengapa?

Ia sangat bertepatan dengan intipati tafsiran Surah al-'Asr yang menggesa kita agar punya perahan produk hidup dari masa-masa yang kita ada.


Harus merasa sakit dahulu, harus melunyaikan diri dahulu, sebelum mencapai yang diingini.

Memang seharusnya begitu.

This world always works like that. Sunnatullah.


Untuk saya menjadi doktor entah berapa banyak peperiksaan saya pernah gagal, tapi akhirnya saya berjaya juga tamatkan pengajian. Bukan saya hebat, tapi berkat doa mama ayah dan ramai lagi insan lain, ALLAH tak menghampakan hamba-NYA yang tak putus asa berusaha.


Untuk menulis empat buah buku solo ketika diri sibuk berjuang belajar di medan kuliah dan hospital, tetap juga saya berjaya lakukan dengan izin-NYA. Tak mudah, tapi ingin saya katakan itu semua adalah satu kesakitan yang takkan pernah saya lupakan.


Untuk mengecapi pelbagai pengalaman berniaga, ALLAH tempatkan saya di tempat yang tidak selesa, hingga terpaksa saya keluarkan segala potensi diri, untuk terus hidup walau hanya beberapa suap makan. Itulah tempat yang baik dan tempat orang orang berjaya sejak dahulu kala; tempat yang tak selesa. Tempat selesa hanya melunakkan dan memalaskan badan.


Kerja menghenyak ini (sepatutnya) takkan pernah selesai walau bagaimana pun.


Selagi hayat masih ada, selagi itu perlu bersakit-sakit, kerana kita belum di syurga, teman.




____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

1214H, 160822

Kangar, Perlis.

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter