2/28/17

Citra Hak-hak Wanita Dalam Islam



Citra Hak-hak Wanita Dalam Islam

_____



Saidina 'Umar pernah mengungkapkan, "Pada zaman jahiliah, kami tidak memandang perempuan ada, dan mereka tidak pernah kami masukkan dalam perhitungan kami."

Abdullah bin 'Abbas pula mengatakan, "Perempuan pada zaman jahiliah jika mengandung, setelah merasa sakit mahu beranak, akan digali lubang, lalu mereka disuruh menerankan anaknya di muka lubang tersebut. Setelah anak itu lahir, ia akan dilihat oleh si ayah. Jika yang lahir anak perempuan, dibiarkanlah bayi tersebut masuk langsung ke dalam lubang dan terus lubang tersebut ditimbun dengan tanah. Jika yang lahir anak lelaki, barulah disambut dengan gembira."

Demikianlah perihal nasib kaum perempuan pada zaman jahiliah dahulu. Bahkan turut dirakam dalam al-Quran, bagaimana reaksi dan respons kaum jahiliah, apabila mendapat tahu anak yang keluar dari rahim si ibu itu jantinanya perempuan.


وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالْأُنْثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ

يَتَوَارَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِنْ سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ ۚ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ ۗ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

"Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu."

[Surah Al-Isra' 16 : Ayat 58-59]




Lalu, dengan datangnya Islam, kaum perempuan tidak lagi dihina dan dibunuh, bahkan diangkat muliakan, dengan hak-hak yang mulia daripada Sang Pencipta yang Maha Mulia.

Dalam satu hadith, Rasulullahi sallallahu'alaihi wasallam bersabda :


(مَنْ عَالَ جَارِيَتَيْنِ حَتَّى تَبْلُغَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَنَا وَهُوَ (وَضَمَّ أَصَابِعَهُ


“Siapa yang memelihara dua anak perempuan hingga keduanya mencapai usia baligh maka orang tersebut akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aku dan dia seperti dua jari ini.” Baginda menggabungkan jari jemarinya.

[HR. Muslim no. 6638 dari Anas bin Malik radhiyallahu'anhu]



_____

[1]

Hak Persamaan Perempuan dan Lelaki



Lelaki dan perempuan selalu diangkat sebagai dua makhluk yang berbeza. Hingga pertemuan lelaki dan perempuan, sampai disifatkan seperti pertembungan antara Marikh dan Zuhrah.

Namun begitu, dalam Islam hak lelaki dan perempuan sama. Bukanlah sama itu, nisbahnya sama segalanya-galanya, tetapi sama dari segi adilnya; iaitu adil dari neraca Pencipta yang menciptakan lelaki dan perempuan.

Perbezaan abadi tetaplah sama, ditinggikan atau direndahkan seseorang, hanyalah pada nilai pengabdian dan ketaqwaannya kepada Tuhan Yang Maha esa.



يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Wahai seluruh manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (terdiri) dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal, sesungguhnya yang termulia di antara kamu adalah yang paling bertaqwa"

[Surah Al-Hujurat 49 : Ayat 13]


Almarhum Syeikh Mahmud Syaltut, mantan (pemimpin tertinggi) lembaga-lembaga di Al-Azhar, menulis:

"Tabiat kemanusiaan antara lelaki dan perempuan hampir dapat (dikatakan) sama. Allah telah menganugerahkan kepada perempuan sebagaimana menganugerahkan kepada lelaki. Kepada mereka berdua dianugerahkan Tuhan potensi dan kemampuan yang cukup untuk memikul tanggung jawab dan yang menjadikan kedua jenis kelamin ini dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bersifat umum mahu pun khusus. Kerana itu, hukum-hukum Syariat pun meletakkan keduanya dalam satu kerangka. Yang ini (lelaki) menjual dan membeli, mengahwinkan dan kahwin, melanggar dan dihukum, menuntut dan menyaksikan, dan yang itu (perempuan) juga demikian, dapat menjual dan membeli, mengahwinkan dan kahwin, melanggar dan dihukum serta menuntut dan menyaksikan."


Prof. Dr. Hamka juga ada menyebutkan persoalan persamaan lelaki dan perempuan ini dalam karyanya 'Kedudukan Perempuan dalam Islam' ketika menjelaskan ayat pertama daripada Surah An-Nisa'.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu."


Beliau menyatakan dengan indah, "...di dalam ayat ini dipadukan antara jantan dengan betina, dipertemukan antara laki-laki dengan perempuan. Disadarkan mereka bahwa meskipun terpisah, mereka pada hakikatnya adalah satu."

Demikianlah bagaimana Al-Quran menolak pandangan-pandangan yang membezakan (lelaki dan perempuan) dengan menegaskan bahwa keduanya berasal dari satu jenis yang sama, dan bahawa dari kedua-duanya secara bersama-sama Tuhan mengembangbiakkan keturunan, baik yang lelaki mahu pun yang perempuan.

Tentu saja demikian. Di dalam Al-Quran dengan tegas Allah menyatukan kewajiban dan hak kaum lelaki dan perempuan: saling tolong-menolong, menyuruh orang lain berbuat ma'ruf sekaligus mencegah perbuatan munkar, sama-sama mendirikan solat, sama-sama mengeluarkan zakat, sama-sama mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Dan, hak mereka adalah: Allah berjanji menurunkan kasih-sayang-Nya kepada lelaki dan perempuan yang berbuat demikian.

Lebih dari itu, bagi lelaki dan perempuan yang beriman kepada Allah. Dia sudah siapkan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai. Tempat tinggal yang baik berupa Surga 'Adn pun menjadi milik mereka. Itu semua merupakan redha Allah atas amal-amal yang mereka lakukan.


وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

[Surah at-Taubah 9 : Ayat 71-72]



_____

[2]

Hak Pewarisan Perempuan



Istimewanya wanita, satu surah khas untuk kaum wanita ada dalam Al-Quran, iaitu Surah An-Nisa'. Dalam surah ini banyak dibicarakan soal pewarisan, terutamanya khusus tentang hak-hak wanita berkaitan dengan hak pewarisannya.

Boleh dirujuk dalam Surah An-Nisa' [4], pada ayat 11-13.

Justeru, jika dilihat pada tradisi zaman jahiliah, dimana masa itu harta warisan hanya diperuntukkan bagi anak lelaki yang telah dewasa.

Sementara kaum wanita dan anak-anak, tidak mendapatkan apa-apa. Bahkan, mereka menjadikan perempuan sebagai salah satu harta warisan yang ditinggalkan oleh si mati, untuk diwariskan kepada anaknya. Bahkan, jika perempuan itu adalah ibu tirinya, ia berhak untuk menikahinya.

Dr. Gustave Lebon, seorang ahli sosiologi Perancis, menegaskan bahawa,

"Asas pewarisan yang digariskan oleh Al-Quran sangatlah adil dan objektif. Syariat Islam yang menurut sebahagian pengamat, bersikap tempang terhadap perempuan, iaitu dengan memberi hak waris kepada isteri. Hal inilah yang tidak pernah ada dalam perundangan-perundangan kita."


Timbul pula satu persoalan yang selalu dihadap oleh kaum muslimin, "Lalu, mengapa perempuan hanya memperolehi pembahagian harta warisan separuh daripada bahagian lelaki, walhal mereka lebih lemah jika dibandingkan dengan lelaki, dan mereka lebih memerlukan harta?"

Persoalan ini selalu diangkat oleh kebanyakan gerakan feminisme mutakhir ini. Soalan ini dijawab panjang dan kemas oleh Prof. Syeikh Muhammad Ali As-Sabouni dalam tulisannya Al-Mawarith fi as-Syariah al-Islamiah.

Kata beliau, "Syariat Islam membezakan pembahagian harta warisan antara perempuan dan lelaki, kerana terdapat hikmah yang banyak sekali, di antaranya ialah :

- Segala keperluan dan pembiayaan hidup perempuan menjadi tanggungjawab lelaki. Kerana itu, semua keperluan dan pembiayaan hidup perempuan wajib dipenuhi oleh lelaki, baik anak-anaknya, ayahnya, saudara lelakinya, atau kerabat yang lain.

- Perempuan tidak dibebani kewajipan memberi nafkah kepada sesiapa pun. Berbeza dengan lelaki, mereka dibebani kewajipan memberi nafkah kepada keluarga, kaum kerabat, dan orang lain yang menjadi tanggungjawabnya.

- Pembiayaan hidup yang dikeluarkan oleh lelaki, demikian juga kewajipan-kewajipan kewangan mereka jauh lebih besar. Oleh kerana itu, keperluan lelaki terhadap harta jauh lebih banyak dibandingkan dengan perempuan.

- Lelaki ketika mahu bernikah harus membayar mahar (mas kahwin) kepada calon isterinya, dan sesudah berkeluarga dibebani kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, baik untuk keperluan makanan, pakaian, mahu pun kediaman.

- Lelaki juga wajib membiayai pendidikan anak-anaknya, di mana hal ini tidak dibebani perempuan.



لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ ۖ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."

[Surah at-Talaq 65 : Ayat 7]



_____

[3]

Hak Wanita Menuntut Ilmu



Ilmu bukan hak eksklusif mana-mana pihak dan mana-mana jantina. Hamba sahaya atau hamba merdeka, lelaki atau perempuan, semuanya wajib menuntut ilmu.

Dalam pandangan Islam, ilmu mempunyai nilai kemanusiaan yang umum dan menjadi tolak ukur keutamaan di antara manusia. Hal ini sesuai dengan ajaran Al-Qur’an yang terdapat dalam Surah ar-Ra’d [13], ayat 19.


أَفَمَنْ يَعْلَمُ أَنَّمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَىٰ ۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

"Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna."


Islam memandang setiap manusia, baik lelaki mahu pun perempuan, bertanggungjawab terhadap nilai keimanannya kepada Allah Ta'ala dan hari kemudian. Apatah lagi dalam masalah aqidah, tidak boleh adanya taqlid buta. Kerana pencapaian nilai keimanan memerlukan proses berfikir dan perolehan ilmu, untuk memperluas cakerawala pemikiran dan pengetahuan, maka wanita, sebagaimana juga lelaki, memerlukan pengembangan potensi dengan ilmu.

Para perempuan pada zaman Nabi sallallahu 'alaihi wasallam benar-benar menyedari kewajipan belajar ini, sehingga mereka memohon kepada Nabi agar beliau bersedia mengasingkan waktu tertentu dan khusus untuk mereka, dalam rangka menuntut ilmu pengetahuan. Permohonan ini tentu saja diperkenankan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.

Selain itu, Al-Quran juga memberikan pujian kepada ulul al-albāb (sementelahan kalimah ulul al-albāb diulang 16 kali dalam Al-Quran), yang berzikir dan memikirkan tentang kejadian langit dan bumi. Zikir dan pemikiran menyangkut hal tersebut akan menghantar manusia untuk mengetahui segala rahsia alam raya ini, dan hal tersebut tidak lain dari pengetahuan. Mereka yang dinamakan ulul al-albāb tidak terbatas pada kaum lelaki saja, tetapi juga kaum perempuan.


Banyak wanita yang sangat menonjol pengetahuannya dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan dan yang menjadi rujukan sekian banyak tokoh lelaki. Isteri Nabi, Saidatina 'Āisyah radhiyallahu'anha, adalah seorang yang sangat dalam pengetahuannya serta dikenali juga sebagai seorang yang kritis. Demikian juga Sayyidah Sakinah putri al-Husain bin Ali bin Abi Thalib. Kemudian asy-Syaikhah Syuhrah yang digelari Fakhr an-Nisa’ (Kebanggaan Perempuan) adalah salah seorang guru Imam Syafi’i (tokoh mazhab yang pandangan-pandangannya menjadi anutan banyak umat Islam di seluruh dunia), dan masih banyak lagi yang lainnya.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak membataskan anjuran atau kewajiban belajar hanya terhadap perempuan-perempuan merdeka (yang memiliki status sosial yang tinggi), tetapi juga para budak (hamba) belian dan mereka yang berstatus sosial rendah. Oleh sebab itu, sejarah mencatatkan sekian banyak perempuan yang tadinya budak belian mencapai tingkat pendidikan yang sangat tinggi.




_____

[4]

Hak Seorang Ibu



Hak seorang ibu itu, pada seorang anak. Tidak kiralah lelaki atau perempuan, si ibu yang seorang wanita itu punya hak pada mereka.

Hampir tiada seorang antara kita yang tidak keluar dari rahim seorang ibu. Seawal dari dalam kandungan, kita telah berhubungan dengan ibu kita. Bahkan uri (placenta) yang bersambungan dengan jasad kita, diibarat menjadi wakil 'ibu di dalam ibu', bagi membekalkan segala nutrien-nutrien buat si anak. Tidak kiralah bilangan si anak berapa sekali pun di dalam kandungan, seorang atau kembar tiga, ia tetap bekalkannya.

Dalam Al-Quran, terlalu banyak suruhan Tuhan agar kita mentaati ibu ayah, hinggakan kebanyakan kalimah 'إحسان' Al-Quran banyak berganding dengan suruhan berbuat baik kepada ibu ayah. Bahkan ditegaskan lagi dalam banyak hadith, keutamaan berbuat baik kepada ibu, menjadi keutamaan tiga kali di hadapan sang ayah.



وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

[Surah Luqman 31 : Ayat 14]


Istimewanya hak wanita sebagai ibu di dalam Islam, hak berbuat baik kepada ibu itu tidak mengenal batas aqidah. Hatta jikalau sang ibu itu seorang kafir sekalipun, tetap Islam menetapkan wajib berbuat baik kepadanya.

Lihat sahaja pada kisah Saidina Sa'ad bin Abi Waqas. Beliau amat mencintai ibunya, walaupun beliau dan ibunya berlainan agama dan berbeza keyakinan. Saat Sa'ad memeluk Islam, ibunya sangatlah tidak suka dan bersetuju, lalu ibunya pun merajuk tidak mahu makan sebagai protes. Setelah dipujuk, dirayu, dibelai oleh Sa'ad, hati ibunya akhirnya mencair juga. Ibunya mengalah, dan tidak lagi menunjukkan rajuknya. Tak lama selepas itu, apabila hidayah menyapa, akhirnya ibunya juga memeluk nikmat iman dan Islam.



______

[5]

Hak Sebagai Isteri



Allah memerintahkan seorang suami agar bergaul dengan isterinya dengan cara yang baik.


وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ

“Dan bergaullah dengan mereka (para isteri) dengan cara yang baik.”

[Surah An-Nisa' 4 : Ayat 19]


“Pada ayat وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ meliputi pergaulan dalam bentuk ucapan dan perbuatan. Kerana itu, sepatutnya seorang suami menggauli isterinya dengan cara yang paling ma’ruf, menemani, dan menyertai (hari-hari bersamanya) dengan baik, menahan gangguan terhadapnya (tidak menyakitinya), mencurahkan kebaikan dan memperbaik hubungan dengannya. Termasuk dalam hal ini pemberian nafkah, pakaian, dan semisalnya. Dan tentunya pemenuhannya berbeza beza sesuai dengan perbezaan keadaan.”
[Taisir Al-Karimi Ar-Rahman, hal. 172]


Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada para suami:


لاَ تَضْرِبُوا إِمَاءَ اللهِ


“Janganlah kalian memukul hamba hamba perempuan Allah.”

‘Umar ibnul Khaththab radhiyallahu'anhu datang mengadu, “Wahai Rasulullah, para isteri berbuat derhaka kepada suami-suami mereka.”.

Mendengar hal itu, Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam memberi keringanan untuk memukul isteri bila berbuat derhaka. Selang beberapa waktu datanglah para wanita dalam jumlah yang banyak menemui isteri isteri Rasulullahi sallallahu'alaihi wasallam untuk mengadukan perbuatan suami mereka. Mendengar pengaduan tersebut, Rasulullahi sallallahu'alaihi wasallam bersabda:

لَيْسَ أُولَئِكَ بِخِيَارِكُمْ

“Mereka itu bukanlah orang yang terbaik di antara kalian.” (HR. Abu Dawud no. 2145)



Baginda Rasulullahi sallallahu'alaihi wasallam juga pernah bersabda:


أَكْمَلُ المُؤْمِنِيْنَ إِيْمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا، وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنَسَائِهِمْ

“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik baik kalian adalah yang paling baik terhadap isteri-isterinya.”

[HR. Ahmad 2/527, At-Tirmidzi no. 1172]


Banyak hak yang diberikan Islam kepada isteri, seperti suami dituntut untuk bergaul dengan baik terhadap isterinya, ia berhak memperoleh nafkah, pengajaran, penjagaan dan perlindungan, yang ini semua tidak didapatkan oleh para isteri di luar agama Islam.

Apabila sudah sedemikian Islam menjaga hak wanita, maka jelaslah pemuliaan Islam terhadap kaum wanita sangat tinggi!





_____


Islam Mengangkat, Bukan Menindas



Rahmat Tuhan terlalu luas, bahkan Islam dikenal dengan agama rahmah, yang para hamba-Nya kekal dilindungi dalam pelukan sifat ar-RahimNya.

Justeru, tatkala Islam datang, Islam mengangkat martabat wanita.

Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam sendiri mempunyai isteri-isteri dan empat orang anak perempuan, dan Baginda jualah yang selayaknya menjadi suri teladan buat umat bagaimana kiranya melayani kaum perempuan.

Demikianlah Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam berpesan buat kita semua.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ

"Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik terhadap isteri-isterinya."

[HR Ibnu Majah no. 1968]


Suatu hari Ummu Salamah pernah bertanya kepada Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam,

"Yang manakah yang lebih mulia, ya Rasulullah, perempuan di dunia ini atau bidadari di syurga?"

Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam menjawab, "Perempuan di dunia lebih mulia daripada bidadari, laksana lebih mulia pakaian di luar berbanding pakaian di dalam!"

Buya Hamka mengulas, "Perempuan dunia akan masuk ke syurga karena amalnya, shalatnya, salihahnya, kesetiaannya kepada suami, dan pengorbanannya untuk anak-anak. Sementara bidadari  dapat semua itu dengan tidak mengetahui betapa tinggi nilai tempat yang didiami tersebut karena tidak didapat dengan jerih payah dan perjuangan. Jika sampai ada perempuan yang menanyakan langsung pada Nabi, mana yang lebih mulia perempuan di dunia ini dengan anak bidadari dan Nabi menjawab dengan tegas bahawa perempuan dunia lebih mulia, apa lagi yang hendak Anda cari untuk membuktikan bahawa perempuan memang mendapat tempat yang istimewa dalam Islam?"



______
Muhd Iqbal Samsudin
270217
Solah Saleem, Cairo, Egypt.

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter