12/9/16

Cerpen : Keluar dan Dongak



[Cerpen : Keluar dan Dongak]


“Keluar, lihat sekeliling dan dongak.”

Aku mengerling.

Dadanya berombak; nafasnya tertahan, dalam. Jeda. Bebola matanya berkeliaran ke kiri dan ke kanan, berhenti lama di kanan, kemudian mendongak.

Dia menyambung,“Berjalan, jangan berhenti, jangan hanya duduk diam membusuk dalam bilik.”


Andai bunga berhenti bermekar, tiadalah cantiknya.
[credit:wallpaperscaft]


*  *  *

“The world is a book and those who do not travel read only one page.”
– St. Augustine

*  *  *

Pintu bilik terbuka, angin musim sejuk tak henti-henti masuk tanpa salam. Menyengat sejuknya.
Pelik. Pintu bilik ini tidak pernah dibuka luas selain aku. Walau bilik ini penghuninya dua manusia bernafas, tetapi sepertinya aku sahaja yang suka menghirup oksigen luar, dan aku jualah setiap hari menyelak ‘sedikit’ langsir bagi memberi laluan bilah-bilah cahaya menghunus masuk. 

‘Sedikit’, ya hanya sedikit. Kerana teman sebilik aku tidak suka terlalu banyak pada cahaya, dan tidak suka terlalu banyak angin masuk. Kalau boleh, biar gelap sepanjang siang dan malam, biar angin dalam bilik ini sahaja berputar. 

Aku masih okay, boleh bersabar, dan aku masih kuat untuk layankan perubahan pelik sahabat aku itu.

Benar, sahabat aku itu sudah berubah. Jika engkau tanya padaku bila mulanya, aku hanya boleh menjawab ianya berlaku tahun lalu, apabila dia yang dahulu cukup periang dan menghiburkan orang sekeliling, tiba-tiba bertukar karakter; memilih untuk senyap, duduk dalam keadaan gelap, bahkan banyak menghabiskan masa dengan tidur. 

Entah, hingga kini aku juga tidak mengerti mengapa itu semua berlaku. Bagaimana mungkin aku tahu, jikalau aku seperti hanya bercakap dengan kayu katil. Dia hanya memilih untuk senyap. Hanya kadang-kadang terdengar juga suaranya sedikit tatkala dinihari menjelma; ada bunyi sedu sedan di balik bantal. Jangan engkau tanya itu bunyi apa atau mengapa hanya yang itu saja bunyinya, kerana hingga kini aku juga masih belum mendapat jawapan.

Tetapi hari ini, aku harap aku akan dapat jawapan, dari seluruh tanda soal yang selalu berlabuh di atas kepala aku.

Aku meluru ke arah pintu. Ada seorang manusia sedang bertenggek di balkoni. Sikunya disandar besi balkoni, kedua telapak tangannya bersatu. Seakan aku tidak percaya, sahabat aku itu, memilih untuk keluar dari bilik.

Makin mendekat aku dengannya, makin kuat bunyi degup jantungku. Aku terus berjalan, mendekatinya. Berdebar.

Aku kuatkan hati, kuatkan diri, untuk bertegur sapa dan bertanya.

“Amar”, aku menyentuh belakang badannya. “Maaf, aku nak tanya kau sikit, boleh?”


*  *  *


“Kau ingat tak yang kau pernah sentuh belakang aku dulu, dan bertanya soalan paling maut?”

“Ingat. Kenapa?”

Amar senyum-senyum dan menggosok belakang aku, “Terima kasih.”

“Tak ada apa-apa, aku hanya wasilah bantuan yang Tuhan lorongkan buat kau. Semua kerja Tuhan.”

Matanya berkedip berkali-kali. Di hujung matanya berkaca-kaca.

“Sudah, kali ini aku mahu tuliskan sesuatu. Kau kena tolong aku. Tolong berikan kata nasihat buat insan-insan yang mungkin senasib dengan kau macam sebelum ini.”

Terus tanpa tunggu, dia keluarkan jawapan,“Keluar, lihat sekeliling dan dongak.”

Aku mengerling.

“Teroka.”

Senyap.

“Fikir.”

Dadanya berombak; nafasnya tertahan, dalam. Jeda. Bebola matanya berkeliaran ke kiri dan ke kanan, berhenti lama di kanan, kemudian mendongak.

Dia menyambung,“Berjalan, jangan berhenti, jangan hanya duduk diam membusuk dalam bilik. Hidup hanya ada makna bila kita berjalan.”

Keluar. Dongak. Lihat. Masih banyak jalan untukmu.
[credit : walpaperscaft]


______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1228, 091216








No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter