11/22/15

Yaum ad-Deen





Rumah saya kini masih dalam pembinaan. Dengan adik-beradik yang agak ramai, membuatkan ayah berfikir untuk besarkan rumah. Buat setakat yang mampu. Ada duit buat, kurang duit tangguh sekejap.

Lalu, baru-baru ini saya diarahkan ayah untuk memantau penghantaran simen oleh sebuah lori dari satu kedai hardware yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah saya ketika ayah dan mama bekerja. Simen yang ditempah ialah simen cap singa dalam kuantiti 40 beg.
Menurut ayah, simen jenis cap singa ini merupakan simen yang berkualiti, tahan lebih kuat dan campurannya sangat mampat berbanding simen-simen keluaran baharu yang berada di pasaran. Walaupun sudah lama dipasaran, ianya tetap terus menjadi pilihan.

Lebih kurang pukul satu petang, lori simen tersebut datang. Mereka segera saya arahkan untuk masuk ke tempat yang betul supaya mereka tidak melanggar barangan-barangan binaan yang lain. Seperti yang disuruh ayah, saya arahkan mereka mengangkat kesemua simen tersebut ke dalam rumah yang sudah separuh siap, berdekatan dengan bakal pintu masuk utama.

Simen-simen perlu diletakkan ditempat yang betul dan strategik, bagi mengelakkan simen-simen tersebut terkena hujan dan akan mengakibat simen-simen menjadi keras sebelum ia digunakan. Kedudukannya pula perlu strategik, tidak jauh dengan tempat untuk tukang-tukang nanti membuat kerja.


Kiamat

Dalam lori tersebut ada dua pekerja. Seorang bebangsa Melayu, seorang lagi Cina. Yang Melayu berbadan kurus dan berkulit gelap, manakala seorang berbadan gempal dan berseluar pendek. Mereka berdua nampak sangat rapat dan saling memahami. Saya terus melihat mereka membuat kerja dan setelah lori diparkir di tempat yang lebih dekat dengan tempat meletak simen-simen itu.

Pada mulanya, uncle cina tersebut berada di atas lori dan pak cik yang satu lagi berada di bawah untuk menyambut ke beg-beg simen tersebut. Namun setelah setengah daripada jumlah simen-simen tersebut sudah diangkut ke bawah, ternyata terpancar riak wajah mereka yang kian berkerut dan peluh yang melencunkan baju. Lalu mereka bertukar posisi, yang atas ke bawah dan yang bawah ke atas lori.

Langit pada saat itu tidaklah terlalu cerah, redup-redup selesa. Di celah itu, uncle cina tadi mencelah,"Saya ada baca, dunia ini sudah mahu meletup noh, sudah mahu tamat."
Saya dan seorang lagi pak cik itu tersengih.

Saya mencelah, "Ya. Kami orang Islam memang percaya. Itu kami panggil kiamat. Kan pak cik?" Saya cuba mendapat respon pak cik tersebut.

Pak cik tersebut membalas pendek, " Hmm, betul. Itulah yang kami percaya."

"Oh, macam tu ka. Saya takut maa..." Seloroh dia.

Saya terpana.

Terfikir, hari kiamat bukanlah hanya diketahui oleh Islam, tetapi juga agama lain. Cumanya, cara kepercayaanya berlainan.

Dengan dirahsiakan tarikh hari kiamat, sepatutnya membuatkan kita sentiasa bersedia, sebagaimana juga kita perlu bersedia menghadapi mati. Kedua-duanya akan berlaku. Kita percaya pun akan berlaku, kita tidak percaya pun akan berlaku. Kita lalai pun akan berlaku, kita patuh taat pun kiamat dan kematian akan tetap berlaku.

Teringat saya saat pengajian di pondok satu ketika dahulu. Apabila dibicarakan soal kiamat, pasti ada tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar. Dan apabila dihitung tanda-tanda kecilnya, hampir kesemua sudah pun berlaku pada zaman kini, tiada syak lagi. Diikuti juga dengan pelbagai kajian sains yang menyatakan bumi ini sudah terlalu 'tua' dan menemui penghujungnya.

"Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. " Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi."
(al-Ahzaab 33:63)


Dalam al-Quran.

Yaum ad-Deen, satu hari pembalasan yang kita imani sejak sekian lama. Namanya berbagai-bagai dalam al-Quran, hingga melebihi 20 nama. Ada juga beberapa surah yang namanya dinamakan dengan nama hari kiamat, seperti al-Waaqiah dan al-Qiyamah. Namun, ianya hingga kini menjadi misteri buat kita umat manusia. Walaupun satu ketika dahulu, ada yang cuba meramalkannya mengikut kalender maya dan sebagainya, namun yang pastinya ianya tertolak dan tidak benar.

Kata seorang ilmuwan tanah air kita, Dr. Asri Zainul Abidin, "..dalam hadis al-Bukhari Jibril dan Nabi s.a.w sendiri tidak tahu tentang bilakah Kiamat..sesiapa yang mempercayai ramalan kalendar Maya kononnya pada bulan Disember tahun ini (tahun 2012) akan berlaku Kiamat maka dia seakan mempercayai bahawa Kaum Maya lebih mengetahui daripada Jibril dan Nabi Muhammad s.a.w.."

Tidak perlulah mempercayai yang lain, sedangkan yang jelas ditinggalkan kepada kita ialah, al-Quran dan as-Sunnah oleh Baginda Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam, pasti tidak akan sesat. Kedua-dua itulah manual hidup buat kita.

Hari kiamat ini juga membawakan kita pelbagai kisah yang disampaikan melalui al-Quran dan Hadis. Mengingatkan kita bahawa, akan ada suatu hari nanti, yang akan mengadili dan membalas apa yang telah kita lakukan di dunia ini.

"(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya. Kalaulah demikian, maka bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka - apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?
Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)."
(Muhammad 47:18-19)

Hari kiamat juga mengingatkan tentang satu kumpulan yang diceritakan oleh Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam kepada kita. Moga kita dijauhkan daripada menjadi ahli golongan ini dan tergolong dalam golongan yang bertaubat dan diterima taubat.

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam  bersabda:“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”

Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”.

Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, 
menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka”

(Riwayat Muslim).


gelap malam
Hiaslah dunia menurut mahumu. Namun ingatlah, kita akan meninggalkan negeri fana ini dan akan menuju ke negeri abadi. Bersiaplah.


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
11:08pm
6.12.2013

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter