Menjaga Taqwa
Sudah lama tidak bersembang dengan ayah, selalu sahaja ada
halangan, talian internet bermasalah sudah semestinya menjadi asbab utama.
Setiap minggu insyaAllah pasti telefon ke rumah, dan mesti
bercakap dengan mama. Kalau lebih dari seminggu tidak bersembang, hati pasti
rasa serba tak kena, rasa tidak puas, rindu mengigit-gigit hati. Mama, menjadi
insan pendengar setia segala masalah dan keluhanku.
Apabila sudah lama tidak bersembang dengan ayah, maka lama
jugalah tidak dengar kalam-kalam nasihat ayah. Percakapan dengan ayah,
selalunya akan menceritakan perihal isu semasa negara dan isu prima kampung.
Buah akhir, barulah timbul segala nasihat-nasihatnya.
Nasihat yang selalu diingatkan, walau diulang banyak kali,
tetapi bila lama tidak didengar, rindulah jadinya.
Kata ayah, "Jangan lupa tahajjud dan
dhuha...".
Allahu Akbar.
Tersedak.
Saya tahu perkara itu.
Tetapi saya suka apabila diingatkan lagi dan lagi. Terutamanya
peringatan yang dinasihatkan daripada ayah. Kerana, manusia itu ada sahaja
lupanya. Lebih-lebih saya ini.
Dan, perlu diingat, sifat orang beriman itu, dia suka dirinya
diperingatkan, kerana dia tahu dirinya lemah, tahu yang dirinya selalu sahaja
lupa.
Kadang-kadang, terasa diri ini selalu sangat mengikut kata
nafsu. Tidak langsung mampu menahan dan menolak. Lalu akibatnya, iman mudah
jadi luntur, lembik.
Mahu jadi orang hebat, mahu ikut seperti Nabi dan para sahabat,
tetapi alasan selalu sahaja lebat.
Bagaimana mungkin boleh mentarbiah diri?
Puasa.
Sebut puasa, saya jadi teringat semasa zaman berada di asrama
dahulu. Puasa sunat, sangat seronok dilakukan beramai-ramai bersama
rakan-rakan. Malam-malam sebelum hari puasa, ada orang datang ambil nama untuk
disediakan hidangan sahur dan buka puasa istimewa. Manis sungguh segala
kenangan itu.
Namun, kenangan hanya tinggal kenangan. Kini, jalur hidup
perlulah dibentuk sendiri, mengikut acuan mana yang kita mahu.
Puasa sunat ini, semakin dewasa saya fikir semakin sukar.
Apabila jadual hidup padat. Wang dan makanan yang alhamdulillah selalunya ada.
Dan faktor-faktor lain yang menyukarkan seorang dewasa dan marhaen kerdil
seperti saya berpuasa sunat.
Pada waktu inilah, saya merasakan puasa sunat ini benar-benar
besar peranannya dalam mendidik nafsu diri kita. Mengajar kita mengatakan
'tidak' kepada perkara yang tidak salah pun jika lakukan, tetapi demi mendidik
sang nafsu, kita mengajar sang nafsu mengatakan tidak dan tidak. Kita boleh
makan, tidak berdosa pun jika kita makan, tetapi kita memilih untuk tidak
makan, berlatih melawan nafsu.
Moga-moga dengan itu, nafsu kita akan lebih terdidik, mampu
berkata 'tidak' kepada perkara yang 'memang tidak' boleh kita lakukan.
Akhirnya, hadaf puasa, seperti yang al-Quran nyatakan, iaitu untuk
menatijahkan TAQWA akan mudah tercapai.
"....supaya kamu bertaqwa." [al-Baqarah
2 : 183]
Satu-satunya sumber taqwa adalah hati.
Maka, al-Quran menambahkannya dgn firman Allah yg bermaksud:
“Maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati..” [al-Hajj: 32]
Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Taqwa itu
ada di sini. Baginda mengulanginya tiga kali dan menunjuk ke arah
dadanya." [Hadis Riwayat Muslim]
Sayyidatina 'Aishah pula, pernah bertanya kepada Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam tentang orang-orang yg dinyatakan dalam firman
Allah bermaksud: “Dan orang-orang yg memberikan apa yang telah mereka berikan
dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan
kembali kepada Rabb mereka.” [al-Mu’minun: 60]
“Apakah mereka orang-orang yang mencuri, berzina, meminum khamar
dan mereka takut kepada Allah?”
Baginda menjawab, “Bukan wahai puteri as-Siddiq. Tetapi mereka
adalah orang-orang yang mendirikan solat, berpuasa, mengeluarkan sedekah, dan
mereka takut amalnya tidak diterima. Mereka itu bersegera untuk mendapatkan
kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya.”
[Hadis Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya]
Sangat penting, dalam mengejar ketaqwaan, ikhlas itu harus
sentiasa dijaga. Kerana itu penentu amal kita diterima atau tidak.
Kata Syeikh Ibnu 'Athaillah as-Sakandari, “Kepentingan
peribadi dalam kederhakaan amat jelas dan terang. Sedangkan kepentingan peribadi
di dalam ketaatan tersamar dan tersembunyi. Padahal menyembuhkan apa yang tidak
nampak itu amat sukar. Boleh jadi ada riyak yang masuk ke dalam dirimu dan
orang lain juga tidak melihatnya. Tetapi kebanggaanmu bila orang lain melihat
kelebihanmu merupakan budi ketidakjujuranmu dalam beribadah. Maka kosongkanlah
pandangan orang lain terhadap dirimu. Cukup bagimu pandangan Allah terhadap
dirimu. Tidak perlu bagimu tampil di hadapan mereka agar engkau terlihat di
mata mereka"
Sementelahan, pada umur dewasa ini juga, saya fikir, betapa
perintah Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam untuk orang yang tidak mampu
bernikah menjadi sesuatu yang sangat relevan dilakukan. Supaya TAQWA kita
sentiasa terjaga, stabil dan tidak goyah.
"Wahai para pemuda, sesiapa di antara kalian sudah mampu
untuk bernikah, maka bernikahlah. Kerana, bernikah lebih dapat menundukkan
pandangan dan lebih dapat menjaga kemaluan (dari melakukan perkara-perkara yang
haram). Sesiapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa dapat
mengekang syahwat."
[Hadis Riwayat Muttafaqun 'Alaih dan Ibnu Majah]
Taubat.
Lihatlah hidup kita pada hari ini, penuh asakan rencam dunia
maksiat.
Dalam facebook, dalam whatsapp, dalam YouTube, enjin
pencarian Google dan banyak lagi, yang pada masa dahulu,
maksiat tidaklah begitu mudah dicapai seperti hari ini.
Sebagai seorang hamba, kita ini selalu juga terlanjur. Walau
kadang-kadang kita sudah penat menjaga, tetap juga iman yang kempis ini
terkadang tidak mampu menepis maksiat mudah capai di kiri dan kanan kita pada
hari ini.
Lalu ingatlah, jangan berputus harapan, jangan berputus asa
dengan rahmat Allah.
Pohonlah keampunan pada-Nya. Selalu, lazaimkan lidah
beristighfar.
Jika Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam yang maksum suci
daripada dosa beristighfar lebih daripada 70 kali sehari, mengapa kita yang
banyak lakukan dosa ini begitu berat mahu beristighfar?
Saat kita merasa dosa kita terlalu besar untuk diampunkan, maka
ingatlah, bahawa rahmat pengampuanan Allah itu jauh lebih besar daripada
dosa-dosa kita itu.
Teringat saya pada mafhum kata-kata Habib Ali, "Jika
syaitan tidak pernah berputus asa untuk berusaha memasukkan anak adam ke dalam
neraka, mengapa begitu mudah kita berputus asa untuk mengejar syurga?".
Ya
Allah, tetapkanlah iman kami, tsabatkanlah kami atas jalan agama-MU.
Wallahua'lam.
Wamaa taufiiqi, illa billah.
Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2124
030314
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2124
030314
No comments:
Post a Comment
Apa buah kata anda?
Page Blog ini : Fb Page
Twitter Saya : My Twitter