2/29/12

Cerpen : Bola Handphone

[Cerpen : Bola Handphone]

______



" Kau pergi mana tadi Ozil? Ada latihan hari ni? " Tanya Ribery kepada Ozil setelah bertembung di luar pintu masuk Allianz Arena Stadium.

" Eh, mana ada. Hari ini cuti umum. Kau lupa Ribery? Kenapa, ada masalah apa?" Balas Ozil dengan pantas.

" Oh, betul jugak, lupa pula. Tadi, aku ada telefon kau, asyik mak cik operator itu sahaja yang angkat, letih betul aku, hmm.."

" Bila kau telefon, aku langsung tidak perasan ...? " Jawab Ozil sambil mengerutkan dahi luasnya.

" Hmm, lepas azan 'Asar tadi. Ingat kau masih di padang lagi sedang berlatih. Aku baru bercadang mahu ajak kau minum teh tarik di kedai Mek Joyah di belakang pintu stadium itu."

" Oh, waktu itu. Patutlah pun aku tak perasan... " Sambil Ozil tersengih kerang.

" Kenapa?" Tanya Ribery dengan terpinga-pinga.

" Sebelum itu, aku mahu tanya kau sesuatu. Boleh?"

" Soalan apa pula? Ada hadiah?"

" Macam itu pula kau. Jawab sahajalah soalan aku ini. Mahu hadiah, lepas kita dapat gaji nanti. " Sambil Ozil menggaru hidung yang tak gatal.

" Kau kalau ketika dalam mana-mana perlawanan bola, tidak kiralah semasa bermain liga apa sekali  pun hatta world cup sekali pun. Pernah tak kau bawak handphone kau ke dalam padang?" Soal Ozil kepada Ribery untuk menduganya.

" Setakat ini, aku belum buang tabiat lagi. Tak pernah lagi! Gilakah kau nak buat macam itu. Mahu kena hampas handphone aku dengan pengadil nanti, free je! Nama pun main bola, kenapa mahu bawa masuk handphone pula, hilang fokus pula nanti!" Ribery membalas sambil membuat muka poyonya.

" Jadi, tidak hairanlah kalau aku tak bawak handphone aku masa aku solat berjemaah di surau kecil tepi stadium itu. Betulkan? "

"  Kenapa pula? " Hairan Ribery separuh mati, kerana tak dapat tangkap apa yang mahu disampaikan oleh kawannya itu.

" Begini, kalau bawa masuk padang pun tidak boleh, inikan pula aku mahu bawa masuk dalam solat. Hilang fokus aku nanti, macam mana mahu khusyuk? Khusyuk dalam solat itu kan salah satu sifat mukmin yang berjaya? " Ozil bercakap dengan penuh yakin.


Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
(Al-Mu'minuun 23 : 1-2)


"  Ya, ustaz kita sudah mula ceramah. Tapi, ada juga betulnya apa yang kau cakapkan itu. Pandai sungguh kau... "


" Tiada apa, aku hanya mahu kongsikan apa yang aku tahu sahaja. Kita kan sesama Islam. Walaupun berbeza pasukan, tapi hati kita tetap sama. Mencintai Allah yang esa, mencintai Kekasih-Nya yang mulia. "


"Jangan biar alat memperalat kita. Jangan biar alat meralatkan jiwa kita untuk beribadah kepada-Nya." 




**Kisah ini hanya rekaan semata-mata. Hanya mahu melayan jiwa merapu ini sahaja. Mana tahu ada juga manfaat?

Wallahua'lam



Muhammad Iqbal
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Cairo, Egypt.



3 comments:

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter