12/2/16

Tip-tip Menangani Pengaruh Rokok



 Tip-tip Menangani Pengaruh Rokok

_____


Hukum dan fatwa merokok sudah tersebar luas di pelosok dada akhbar dan pelosok dada-dada umat Islam.

Jelas, ianya HARAM.

Lebih jelas lagi, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia kali yang ke-37 pada 23 Mac 1995, telah memutuskan, tabiat merokok itu HARAM mengikut pandangan Islam.

Demikianlah lumrah barang yang Haram, makin diharamkan makin dicari, makin suka diguna.

Yang sudah terjebak dalam jerat  ketagihan rokok, selalu kita dengar daripada mereka, "Aku sudah terjebak, sudah terlajak, payah untuk berhenti. Engkau jangan berani cuba-cuba."

Kata-kata itu daripada kebanyakan mulut perokok tegar sendiri. Sudah terjebak, sudah terlajak. Tiada daya lagi.

Baik, dengan rendah hati, kami berikan beberapa tip untuk menangani pengaruh rokok, agar kita sama-sama kuat mengelak dan menangani pengaruh buruk ini.


____


Tip 1 : Pelihara Fungsi Aqal


Pepatah Melayu menyebut, "Mengikat binatang dengan tali, mengikat manusia dengan aqalnya."

Sebagaimana tali mengikat binatang supaya tidak berkeliaran lari, aqal manusia mengikat diri agar tidak terlepas mengikut hawa nafsu.

Aqal yang dipelihara, yang dijaga fungsinya, akan mengenal yang baik dan yang buruk. Lalu, aqal yang terpelihara itu tidak sewenang-wenang mudah membuat perkara yang ditafsir buruk, kerana fitrah dan fungsi asalnya hanya berpihak pada yang baik-baik.

Bahkan dalam maqasid syariah sekali pun, memelihara aqal itu amat dititik-beratkan dan berada diletakkan bersama memelihara agama, nyawa, harta dan nasab.

Dalam buku Falsafah Hidup, HAMKA menukilkan, "Orang yang berakal ialah orang yang mendapat inayat dari Allah (S.W.T). Barangsiapa mendapat inayat demikian, lebih kaya dia dari milioner. Sebab dari batinnya itulah memancar cahaya hidayah Rabbaniya. Hatinya penuh dengan kebijaksanaan, sangkanya baik, pengharapannya benar. Orang lain melihat sesuatu dari kulitnya, sedang dia (melihat) sampai ke dalam isinya. Sukar dia tergelincir dengan sengaja."

Dan, pada orang-orang beraqal dan sentiasa terpelihara fungsi aqalnya itu, ada tanda-tandanya.

Memetik kata-kata HAMKA lagi, "Orang yang berakal, luas pandangannya pada sesuatu yang menyakiti atau yang menyenangkan. Pandai memilih perkara yang memberikan manfaat dan menjauhi yang akan menyakiti. Dia memilih mana yang lebih kekal walaupun sulit jalannya daripada yang mudah didapati padahal rapuh. Sebab itu mereka pandang keutamaan akhirat lebih dari keutamaan dunia. Lebih mereka utamakan kegembiraan kesopanan daripada kegembiraan hawa nafsu. Mereka menimbang biarlah susah menempuh suatu perkara yang sulit asal akibatnya baik, daripada perkara yang mudah tetapi akibatnya buruk."

Terlintas pula di benak kita, lalu bagaimana kita mahu memelihara fungsi aqal kita?

Secara ringkasnya dengan tiga perkara ini, aqal kita akan dapat dijaga dan dipelihara.

Pertama, dengan menuntut ilmu yang benar. Kerana dengan ilmu, aqal kita akan sentiasa diguna dan diasah. Bahkan ilmu jugalah antara yang dapat memandu keputusan aqal.

Kedua, merenung setiap ciptaan dan kekuasaan Allah, kerana dengan dengan renungan mendalam, kita akan dapat berfikir, meneliti, dan menyelidik sarwa alam ini. Dengan itu, aqal kita akan lebih luas berdamping dengan kekuasaan Allah, dan membawa kita jadi lebih kuat keyakinan pada Allah dan Rasulullah.

Ketiga, tidak sesekali masuk ke jebak maksiat. Kerana sekali diri sudah terlarut dalam kongkongan maksiat, aqal jadi sedikit demi sedikit tunduk dan merelakan perbuatan maksiat itu. Akhirnya, fungsi aqal punah, dan sukar buat diri untuk berpatah balik.



____

Tip 2 : Penuhi Dada Dengan ILMU



Imam al-Ghazali menyifatkan aqal itu sebagai sumber ilmu, tempat timbul dan sendi ilmu. Ilmu itu berlaku daripada aqal sebagaimana berlakunya buah-buahan daripada pohon kayu, sinar daripada matahari dan penglihatan daripada mata.

Dengan aqal yang dipelihara fungsinya, ilmu akan mudah dirangkul dan lebih membantu diri menilai yang manakah ilmu yang bermanfaat dan ilmu yang bathil.

Rasullullah sallallahu 'alaihi wasallam, dalam satu hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad, mengajarkan kepada kita satu doa,

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Maksudnya, "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima."

Daripada ilmu yang benar dan bermanfaat itu, maka terlahirlah satu rasa dan perasaan yang tulen daripada ilmu; iaitu perasaan takut kepada Allah.

Saidina Abdullah bin Mas'ud radhiyallahu'anhu, sahabat Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam pernah berkata,

ليس العلم بكثرة الرّواية، إنّما العلم الخشية

"Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadis tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah."

Dan kata beliau lagi,

رأس الحكمة مخافة اللّه عزّ و جلّ

"Kepala hikmah itu ialah takut kepada Allah 'Azza wa Jalla."

Kata Imam Malik radhiyallahu'anhu, "Ilmu dan hikmah adalah cahaya yang Allah hidupkan dengan siapa yang dikehendaki-Nya, bukan dengan banyaknya masalah ilmiah."

Oleh itu, dengan perjuangan memenuhi dada dengan ilmu, dapat menatijahkan hakikat ilmu itu sendiri; iaitu takut kepada Allah.

Dengan takut itulah terbinanya Taqwa yang memandu hidup kita menolak segala maksiat dan perkara haram, seterusnya terus membawa kita destinasi abadi menuju syurga.




____

Tip 3 : Memilih Kawan Yang Betul


Bahagian ini adalah perkara yang penting dalam pergaulan kita.

Kita berkawan-kawan dengan semua orang, namun dalam berkawan-kawan itu, ada dalam kalangan mereka, kita akan buat sebagai kawan karib, merangkap sahabat kita, yang akan kita rapat dan akan ikut jejak mereka. Dalam perkara ini, kita perlu memilih dengan cermat.

Kerana sebagaimana agama sahabat-sahabat kita, seperti itu jugalah keadaan agama kita.

Sabda Nabi sallallahu'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi,

َ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

"Seseorang itu akan mengikuti agama temannya, kerananya hendaklah salah seorang di antara kalian mencermati kepada siapa dia berteman."

Bahkan, jika kita bersama dengan sahabat-sahabat yang punya ilmu dan peribadi yang luhur, lama kelamaan ia akan memberikan kesan kepada diri kita.

َ سَمِعْتُ أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Aku mendengar Abu Burdah bin Abu Musa daripada bapanya radliallahu 'anhu berkata; Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

"Perumpamaan orang yang bergaul dengan orang soleh dan orang yang bergaul dengan orang buruk seperti penjual minyak wangi dan tukang tempa besi,

Pasti kau dapatkan dari pedagang minyak wangi apakah kamu membeli minyak wanginya atau sekedar mendapatkan bau wangiannya,

sedangkan dari tukang tempa besi akan membakar badanmu atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap".

[HR Bukhari 1959]



Malah, Syeikh al-Imam Abu Hasan as-Syazili radhiyallahu 'anhu juga ada menitipkan nasihat buat kita :

Kekasihku(guru) berpesan kepadaku, "Janganlah engkau mendatangi (suatu tempat) melainkan untuk mendapatkan pahala Allah Ta'ala;

Janganlah engkau hadir melainkan engkau aman dari maksiat kepada Allah Ta'ala;

Janganlah berteman kecuali dengan orang yang dapat membantumu dalam melalkukan ketaatan kepada Allah Ta'ala; dan

Janganlah memilih teman rapat kecuali kepada orang yang dapat menambahkan keyakinanmu, sedang mereka itu sedikit."

Berkata lagi, "Orang yang menunjukkanmu  kepada dunia bererti ia telah menipumu, yang menunjukkanmu kepada amal bererti ia membuatmu letih, dan orang yang menunjukkanmu kepada Allah Ta'ala bererti ia telah menasihatimu dengan baik."

Lalu timbul pula persoalan yang melonjak lompat dari benak kita, "Bagaimana jika kami kini tercampak di tempat orang-orang yang tiada langsung orang-orang yang baik-baik?"

Jawapannya mudah, namun praktikalnya agak memeritkan.

"Kuatkan jiwa dan jasadmu. Jadikan dirimu pemula. Pemula orang baik yang melahirkan lebih ramai orang-orang yang lebih baik."

Senyum.


____


Tip 4 : Berani Mengatakan Tidak



Banyak situasi yang kita lihat, apabila kita didesak dan terus didesak, kita jadi makin lemah, lalu syaitan pula jadi kuat sama-sama bertepuk sama kuat bersama dengan pembawa obor kegelapan.

Kita banyak akur dan merelakan. Kebaikan dalam diri tidak mampu memberontak untuk buat lidah dengan tegas mengatakan "Tidak!".

"Tidak" itu amat berkuasa dalam melawan. Bahkan mampu melenyapkan ajakan-ajakan kegelapan.

Namun tanpa komponen 'Berani', tidak itu tidak mampu diungkap dengan mudah.

Dan, berani mengatakan "Tidak" pada perkara mungkar dan haram itu, terlahir dari keutuhan iman. Apabila iman sudah luntur, makin lunturlah keberanian itu.



____

Tip 5 : Berani Meninggalkan



Adakala kita sudah berani, tetapi ajakan syaitan dan sekutunya jauh lebih kuat.

Dicuba berkali-kali mengungkapkan "Tidak" tetapi pada setiap berkali-kali itulah mereka makin kuat mengajak dan menolak-nolak ke curam penuh noda itu.

Maka saat itu, berani kita harus dihala ke keberanian yang lebih tinggi; dengan meninggalkan tempat-tempat yang mudah membuat kita terjebak dengan perkara-perkara haram itu.

Berani keluar!

Dibawa sekali lagi ungkapan Syeikh al-Imam Abu Hasan as-Syazili radhiyallahu 'anhu,

"Janganlah engkau mendatangi (suatu tempat) melainkan untuk mendapatkan pahala Allah Ta'ala..."

Jikalau tempat yang kita pergi dan duduki itu tidak mampu membawa kita pada mendapatkan pahala bahkan membawa pula kita ke arah menghasilkan dosa, maka tinggalkanlah tempat itu. Tinggalkan. Ianya berbaloi, percayalah. Usahakan segera.

Beranilah keluar dari lingkungan itu, walau sayang kita pada tempat itu kadangkala melebihi segalanya, tetapi ingatlah cinta kita pada Allah dan Rasul-Nya, harus lebih besar melebihi segala.

Sekali lagi, beranikan dirimu untuk keluar!



_____

Ayuh tinggalkan rokok, tinggalkan pengaruh rokok.



Di pengujung ini, ingin dikhabarkan pada sekalian hamba-hamba Allah sekalian, tinggalkanlah puntung-puntung rokok di celah jarimu dan di celah-celah bibirmu itu.

Tuhan amat menyayangi hamba-hamba-Nya, dan disuruh kepada kita agar tidak mudah-mudah mencampakkan diri kita ke lembah yang penuh dengan kebinasaan.

Nasihatkan diri sendiri. Nasihatkan orang di sekeliling kita.

Buat insan yang sudah berjaya meninggalkan tabiat merokok ini, bimbinglah, bantulah orang-orang di sekeliling untuk mereka juga sama-sama berjaya berhenti meninggalkan rokok.

Mana tahu, boleh jadi, dengan asbab kuatnya mujahadah kita meninggalkan perkara haram ini, dengan asbab satu nasihat kita agar tinggalkan rokok ini, Allah melebarkan rahmat-Nya dengan menjadikan kita ahli tetap syurga, selama-lamanya.


_____


Wallahua'lam.

Moga tulisan ini jadi tulisan yang bermanfaat hingga akhirat.



_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1459
021116

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter