11/26/15

Lambang Pengabdian

[Nota Diri] [Saling Mengingat Menguat]

Sebuah kereta baharu.

Tiadalah ia dikilangkan hingga membentuk satu bentuk yang solid dan diimpi ramai, dengan hanya bertujuan ‘saja-saja’.

Ia datang dengan berpekej lengkap, berwarna menarik, dan dengan gaya yang cukup mengiurkan jiwa.

Tujuannya untuk memudahkan hidup manusia, untuk bergerak ke sana sini ke seluruh pelosok bumi, dengan mudah dan efisyen.

Seluruh hidupnya perlu dikawal rapi berdasarkan manual  yang dibekal kilangnya. Tidak boleh dihentam keromo sahaja menguruskannya, takut-takut apabila rosak jahanam, maka tujuan asalnya untuk memudahkan hidup manusia, akan jadi sebaliknya.

Begitulah juga kita, manusia.

Allah pencipta kita. Al-Quran pula manual peribadi kita. Jika tidak mahu punah, maka tidak dapat ditolak, al-Quran wajib digunakan sebagi panduan dunia akhirat.

Sebelum ini kita tidak pernah ada di dunia, kerana itu manusia itu dikatakan baharu. Selepas benih air mani bergerak bergabung bersama ovum, dan akhir natijahnya bersenyawalah kita dengan izin Allah. Maka, dengan itulah jadinya satu makhluk yang baharu di dunia fana ini.

“…maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; 
kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu…” [22:5]

Begitulah turutan makhluk bernama manusia. Segah mana pun dia, pasti pengakhirannya mati, kembali mengadap Ilahi.

Sains mampu mengungkap dan menjelas bagaimana kejadian-kejadian alam yang berlaku, namun sains sama sekali tidak mampu memperjelas apa tujuan sebenar manusia berada di alam dunia ini.

Tetapi buat umat Islam yang beriman dengan sebenar-benar percaya, wahyu Ilahi ada jawapannya. Semua itu ada dijelaskan dalam al-Quran.

Yang pertama, seperti yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 30, umat manusia ini murupakan khalifah di muka bumi ini.

Yang kedua, dijelaskan sekali lagi tujuan manusia dicipta dalam surah az-Dzaariyat ayat 56, bahawa dijadikan jin dan manusia ini, supaya taat menyembah Allah. Bukan yang lain-lain.



Patuh.

Ketika di alam rahim lagi, hakikatnya kita sudah mengikat janji beriman dengan Allah Ta’ala.
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". 
Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". [ 7:172]

Maka, dengan keimanan itulah kita mengikat diri untuk tunduk patuh dan taat kepada Sang Pencipta yang Maha Esa.

Namun, dicelahan perintah patuh kepada Allah Ta’ala, perlu ada sabar bagi melaksanakannya. Seperti dinyatakan para ulama’, sabar itu terpecah kepada tiga.
Yang pertama, SABAR menyembah taat melaksana suruhan Allah. 
Yang kedua, SABAR meninggalkan segala larangan Allah. 
Yang ketiga pula, SABAR atas segala mehnah ujian yang menimpa.
Ketika mengulas berkenaan sifat sabar Nabi Ismail ‘alaihissalam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam karyanya as-Sobru Fil Qur’an menimbulkan persoalan, bahawa antara Nabi Yusuf ‘alaihissalam yang bersabar daripada melakukan dosa dan Nabi Ismail ‘alaihissalam yang bersabar kerana taat kepada perintah Allah, yang manakah diangkat kekdudukan yang lebih tinggi?

Lalu dijelaskan, Ibnu Taimiyyah pernah menukilkan kata-kata Ibnu Qayyim yang mengatakan,
“Kesabaran menunaikan ketaatan, menyempurnakan kesabaran dengan menghindari  perkara yang haram, maka sesungguhnya ketaatan itu lebih disukai daripada  keperluan meninggalkan maksiat. Perbuatan dosa yang disebabkan tiada sifat taat, lebih dibenci daripada dosa yang disebabkan maksiat.”



Solat.

“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); 
dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak…”[4: 102]

SOLAT, lambang pengabdian dan tunduk patuh pada Alllah Jalla wa ‘Ala. Sebagaimana Allah tidak membebankan seseorang dengan bebenan ujian yang tidak mampu hamba-Nya tanggung, maka begitu jugalah perintah SOLAT.

Tiadalah Allah memberati seluruh hambanya, untuk perkara yang Dia tahu hambanya tidak mampu lakukan.

Selagi mana nyawa dan ruh masih melekat di badan, maka selagi itulah perintah solat itu tidak tergugur. Bahkan solatlah yang menjadi soalan pertama kita di akhirat nanti.
Seperti Sabda Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:
“Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” [Hadith Riwayat Thabrani]

Bukanlah saatnya sakit sahaja perlu laksanakan juga solat, bahkan ketika perang sekali pun, masih wajib bagi kita untuk laksanakan perintah Allah yang maha penting ini.

Andai umat Islam sendiri meninggalkan solat, jadi apa yang membezakan kita dengan agama lain?
Dari Buraidah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Perjanjian di antara orang Muslim dan orang Kafir ialah solat, dan barangsiapa yang meninggalkan solat akan termasuk golongan kafir." [Hadith Riwayat Tirmizi]

Jika Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan bahawa umat Melayu itu ‘mudah lupa’, tetapi hakikat sebenarnya memang seluruh umat manusia itu pelupa, walau segenius mana pun mereka.

Kerana itulah juga, Allah perintahkan kita solat, sehari semalam 5 waktu. Moga-moga dengan adanya solat, hati kita akan terus menerus terikat kepada Allah, tidak mudah lupa kepada-Nya.
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” [20:14]



Seruan Bermasyarakat Dalam Solat Berjemaah.

Kehidupan di alam serba fana ini, bukanlah hidup berseorangan, atau bukan juga mencipta dunia kita sendiri agar dapat kita bolot segalanya hanya untuk diri kita. Tetapi secara hakikinya, sekalian manusia berkongsi bumi yang sama dan tugas yang sama sebagai hamba Allah.

Di samping perintah solat untuk seluruh umat Islam, diperintahkan juga kita agar melakukannya dalam keadaan jemaah. Moga-moga dengan itu, kita semua saling berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, saling tolong menolong dan berpesan-pesan kebaikan.
Seruan berjemaah ini sangat penting terutamanya bagi kaum lelaki. Kerana, kaum lelakilah yang bakal jadi pemimpin dan mencorak masyarakat agar patuh kepada Allah.

Sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud, "Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, sama ada di kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”. 
[Riwayat Abu Dawud dan an-Nasai]

Hari ini, kita lihat betapa media sosial mengekang otot pemikiran kita, terutamanya dalam kalangan generasi muda mudi kita, yang seakan ‘menganut’ anti-sosial.

Mereka hanya ‘bersosial’ atau ‘bermasyarakat’ hanya di alam maya sahaja. Sambil memegang gajet masing-masing, dan seterusnya larut dalam dunia maya sendiri.

Akhirnya menatijahkan kegagalan dalam pergaulan bersama masyarakat  dan seterusnya menjadi ‘batu’ yang tidak langsung memberi apa-apa sumbangan kepada ummah sejagat.
Dalam buku berjudul ‘Peribadi’, Haji Abdul Malik Bin Abdul Karim Amrullah atau HAMKA, ada menyatakan,
“Banyak guru, doktor, hakim, insinyur: banyak orang yang bukunya satu gudang dan diplomanya(sijil) segulung besar, tiba dalam masyarakat menjadi “mati”, sebab dia bukan orang masyarakat. Hidupnya hanya mementingkan dirinya, diplomanya hanya untuk mencari harta, hatinya sudah seperti batu, tidak mempunyai cita-cita, lain daripada kesenangan dirinya. Peribadinya tidak kuat. Dia bergerak bukan kerana dorongan jiwa dan akal. Kepandaiannya itu kerap kali menimbulkan takutnya. Bukan menimbulkan keberaniannya memasuki lapangan hidup.”
Dalam perintah berjemaah pula, disuruh pula kita merapatkan saf, sebagai lambang kesatuan umat Islam dan menebalkan ukhuwah Islamiah atas dasar aqidah yang sama.
Diriwayatkan dari Jabir bin Samirah ia berkata, Rasulullah bersabda, “Tidakkah kalian ingin berbaris, sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Rabb mereka.” Maka kami bertanya, “Bagaimanakah para malaikat berbaris di hadapan Rabb?’ Beliau menjawab, “Mereka menyempurnakan barisan yang depan dan saling merapat di dalam saf.” [Hadis Riwayat Muslim]
Semua itu telah diajar dalam solat secara berhikmah. Namun, dalam kalangan umat islam hari ini, terutamanya masyarakat Islam di Malaysia, dalam saf solat pun masih berpecah belah. Itu baru dalam solat, belum lagi di luar solat. Tidak hairanlah masyarakat kita, sukar bersatu hati atas dasar ikatan aqidah.
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” [61:4]


Berdoa.

Hati kita ini tidaklah menentu. Sering berbolak balik. Begitulah juga iman, ada pasang dan ada juga surutnya.

Tidak dapat tidak, hanya dengan taufiq daripada Allah mampu mengurniakan kita istiqamah taat kepadanya. Lalu, banyakkanlah berdoa kepada-Nya.

Betapa pentingnya solat ini, sehingga Nabi Ibrahim yang digelar khalilullah juga ada berdoa,
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” [14:40]
Moga-moga dengan solat yang penuh ruh khusyuk, dapat memperkuat tautan hati dengan Allah dan  seterusnya dapat mencegah kita daripada perlakuan mungkar. Kerana, itulah fungsi sebenar solat.
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” [29:45]

Ikhlaskan solat hingga rasa rindu bertemu Ilahi. Hingga rasa puas mahu bertemu lagi.
Ikhlaskan solat hingga rasa rindu bertemu Ilahi. Hingga rasa puas mahu bertemu lagi.


Wallahua’lam

Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
Oktober 2014.

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter