4/12/16

Bercanda Sama Giesti

[Bercanda Sama Giesti]



Aku dengar seorang Samad berkata, “Enam piem, enam dekad; hutang bangsa makin pekat.”

Lalu aku tersimpul meropol sengih.

Itu kata-katanya setahun lalu, sebelum Giesti dijatuhkan atas kepala-kepala murbawan kecil di bawah, sebelum seksa Giesti itu tersebat di pelopak-pelopak lemah marhaen.

Sengihku makin kelat.

Masih ingat lagi aku, siulan-siulan menteri-menteri atas dan bicara seorang piem di corong-corong radio, dalam kanta-kanta televisyen, “Giesti ini tidak membebankan rakyat, tidak membebankan sesiapa, bahkan menguntungkan!”

Sifir itu diulang-ulang hampir setiap hari. Ya, sanggup mereka ulang sifir yang apabila ditekun dan diguna ternyata membawa banyak fasad, tapi tetap dibilang-bilang ianya betul. Itulah kuasa sebuah ulangan sifir, yang salah boleh tertanam betul di kepala si lemah.


“Apa engkau mahu aku bencanda sama Giesti?”

Aku ingin berbicara dari bawah, aku memilih ingin bercakap dari sudut lihat orang-orang bawah, kerana sudah banyak sarjana celupan kerajaan dan celupan entah siapa-siapa sudah berbicara dengan nada akademis.

Di sudut ini, saya ingin lontar dari bawah. Jangan dihairankan jikalau aku tidak menggunakan jargon-jargon ekonomi atau jargon-jargon sang intelektual. Biarlah jika engkau mahu berkata aku tidak tahu apa-apa, dan menuding senang ke mimik rakyat, sedang perutmu melanjut senang mengenyang persis bujang senang. Biarlah.

.


Dari Bawah

Di pandang murbawan bawahan, Giesti bukanlah sebarang canda-canda lelucon. Ia akan dibawa hingga ke anak cucu, persis perjanjian TiPiPA yang telah persetuju dan dilorek oleh si pemerintah, ia akan mengesan jangka masa panjang, hingga berlapis-lapis keturunan di hadapan.

Kesalahan dan hutang-hutang yang makin melambak gunung, tambah-tambah yang ditimbun tiada henti oleh si piem bertuah kini, membuahkan masalah yang cukup kronik dalam seluruh isi negara. Dan malangnya, kesalahan-kesalahan orang di atas, yang terdahulu dan sekarang, ditanggung oleh rakyat-rakyat yang tiada salah.

Betullah kata seorang sarjana agama dan filasuf, Shaykh Hamza Yusuf ketika membahaskan ayat al-Quran dari potongan awal ayat lapan belas Surah Fatir yang berbunyi, “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan dosa orang lain…”. Mafhum katanya, ayat ini terpakai untuk situasi di akhirat, namun jika di dunia, tidak. Kita akan menanggung dosa-dosa orang terdahulu dengan menanggung kesan-kesan atas segala perilaku dan keputusan-keputusan yang mereka buat satu ketika dahulu.

.


Jaminan

Dengan jaminan-jaminan manis dan jaminan jangan berasa takut, katanya tidak semua barangan dikenakan. Tetapi, jika mereka benar-benar hidup dalam kasut rakyat, hakikatnya di alam realiti, semua barang-barangan itu saling berkait. Diulang sekali lagi, ianya saling berkait laksana adik beradik, walau sebagai mana dicencang, tidak akan terputus.

Satu naik, yang lain akan sama naik. Ya, termasuk yang tidak dikenakan si Giesti, akan sekali “ternaik”. Sekali sudah naik, memang hampir mustahil akan turun. Jikalau harga minyak naik pun sudah beri kesan kepada semua benda, kepada semua harga barang, apatah lagi ditambah bebanan Giesti ini pada kebanyakan barangan, sudah pasti ianya menambah rancak beban orang awam.

Tidaklah dapat kita nafi, ianya ada kelebihan, sudah pasti. Kendati pun begitu, semua manfaat itu jauh daripada pengguna akhir atau rakyat umum yang lebih ramai, kerana manfaat besarnya lebih kepada pengusaha-pengusaha besar dan orang-orang besar di atas takhta sana. Bahkan, perlaksanaan Giesti ini dijalankan di semua peringkat, dan daripada yang dewasa, hingga si kecil yang perlukan susu, semuanya terkesan. Yang di bawah ini, masih tersepit-sepit seperti sedia kala.

.

Miskin Empati

Meski orang-orang di atas banyak yang kaya-kaya, barangkali ada perkara yang mereka miskin; miskin empati. Kita pun tidak boleh berharap tinggi-tinggi, kerana kebanyakan orang di atas terlahir daripada golongan bangsawan, lahir-lahir sudah merasa senang, tidak dirasa perkara yang berat-berat, yang jerih payah sebagaimana kaum murba yang kecil-kecil.

Banyangkanlah kesusahan orang bawah ini. Mari sama-sama duduk merasa apa yang rakyat bawa, apa yang rakyat pikul. Bukan sekadar melaungkan dan bertempik kuat kepada rakyat yang mereka patut bersyukur, bersyukur, bersyukur dan berjimat.

Bayangkan penoreh-penoreh getah yang getahnya tidak naik-baik bahkan makin hari makin teruk susut nilainya. Awal pagi, semasa orang masih nyenyak dibuai mimpi, mereka susah bersiap siaga bersama pisau toreh meredah kebun-kebun getah, dihenyak nyamuk-nyamuk liar di kebun getah.
Bayangkanlah, jikalau getah sekerap sekilo berharga seringgit lapan puluh sen, yang apabila dibahagikan dua bersama pemilik kebun, hanya tinggal lapan puluh sen, apakah ini angka yang waras untuk seorang ayah menyara anak-anak dan isteri? Ini zaman bila sebenarnya, khabarkan pada aku orang takhta. Dan kita masih berbangga dengan wawasan 2020 yang tidak berapa hari sahaja lagi akan menjelang, walhal wawasa itu sudah pun kini merapuh. Ini suatu yang gila.

.

Melewati Setahun

Kita bercakap ini bukan sebarang canda, bukan sebarang lelucon, ianya kerana kita telah pun mengharung gaul bersama Giesti ini sudah lebih setahun. Kerana itu kita berdiri tegap pada hari ini, menyatakan pendirian dan keluh kesah yang, ah…belum tentu didengar sang atas dan si tipiem dan piem.

Dari bawah ini, kita menanti-nanti perolehan yang dicanang-canang oleh orang takhta, yang rancak disiul-siulkan dahulu. Kita maklum, kita tahu, setelah beberapa bulan perlaksanaan Giesti itu, telah benar-benar memewahkan pihak kerajaan, tetapi hairannya yang di bawah masih diinjak-injak, masih dipijak-pijak, masih “lu sokong wa, wa kasi bantu lu”. Apa jenis kebejatan ini semua?

Tahun-tahun mendatang, aku masih menaruh harap, agar apa yang ditulis ini, sudah tidak relevan dibaca, kerana orang-orang takhta sudah berubah atau sudah mengubah, murba-murba kecil sudah bersatu saling membantu, tidak lagi sekadar membatu. Aku masih punya daya optimis, belum cukup serik menipis.

Buat si murbawan, jangan selalu selesa. Dunia tidak akan maju jika asyik menyalahkan orang dan malas bergerak ke hadapan. Imam Abu Al-Faraj Ibn Al-Jauzi, telah mengarang kitab yang berjudul “Laftu Al-Kabad Fi Nasihat Al-Walad”, bertujuan untuk menasihati anaknya. Antara nasihat yang diutarakan kepada anaknya itu adalah,

“Wahai anakku, ramai manusia tidak mengetahui hakikat dunia. Sesungguhnya ia sedang menuju kemusnahan. Kamu akan melihat manusia datang menziarahiku dan bercakap-cakap berkenaan kenaikan harga barang dan berkenaan golongan pemerintah.”

Dan di hujung-hujung, aku terdengar lagi kata seorang Samad, “Kuno dan kini telagah,
kanu tercukai di tengah.”


Wallallahua'lam




______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt


2112, 110416

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter