3/31/23

Selepas Resign Exit KKM

 

Bismillah.

Hari ini hari pertama aku tidak lagi bekerja di bawah kerajaan setelah sekitar 4 tahun bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terlalu banyak yang aku belajar, ada yang dijadikan pelajaran, ada juga yang dijadikan sempadan.

Kenapa resign?

Pasti ramai inginkan jawapan aku.

Orang ingat aku resign sebab ramai orang lain resign atau sebab aku nak teruskan bisnes-bisnes aku. Aku senyumkan saja.

Tapi jujurnya ini adalah sebahagian apa yang telah aku rancangkan sejak sebelum aku kerja dengan KKM lagi. Aku tak sangka ALLAH kabulkan apa yang aku rancangkan. Syukur, alhamdulillah.

Aku tak mahu duduk di tempat selesa yang lama dan tidak ada progression of career, dah tu kadar ketidaktentuan masa hadapan yang flip flop entah apa-apa. Jadi aku perlu segera 'cut loss' dan beredar segera kerana aku nak capai perkara yang lebih besar di hadapan nanti.

Pembelajaran aku selama di Mesir dahulu ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah, jadi ianya satu amanah yang sangat-sangat besar bagi aku kerana telah gunakan duit zakat orang Islam untuk aku berbakti dalam bidang ini. 

Kalau aku memilih untuk berhenti menjadi seorang doktor aku rasa seolah-oleh sudah khianati sekalian umat Islam negeri Kedah yang berikan zakat mereka untuk aku jadi seorang doktor.

Masih lagi aku ingat sa-orang kawan pernah menyebutkan satu kata-kata yang terpahat kejap di fikiran ini.

Katanya, "Kalau kita tak jadi doktor, orang lain tak boleh ganti kita, jalan nak jadi doktor ni sangat panjang dan susah. Kalau kita berhenti kerja doktor untuk buat bisnes, sebenarnya orang lain apabila dilatih boleh jalankan bisnes kita itu."

Pada awalnya kata-kata kawan aku itu aku tidak ambil berat sangat. Hinggalah apabila makin aku ke depan bergelumang dengan rentetan masalah, aku jadi tersedar yang semua itu ada benarnya.

Kerana untuk membentuk seseorang menjadi doktor ini perlukan masa, kepintaran, ketabahan yang tak semua orang dapat lalui.

(tak tak, aku tak pintar punnn)

Teringat juga aku apabila berjumpa dengan seorang doktor pakar yang sangat baik dan mesra dengan kami, apabila bertanyakan pendapatnya, dia juga berhemat yang hampir kurang sama. 

Menjadi seorang doktor ini tak semestinya perlu berada di hospital atau di klinik sahaja, tetapi boleh berperan di mana-mana sahaja. Misalannya, menjadi seorang developer teknologi bahagian kesihatan juga perlu sentuhan dari seorang doktor, kerana hanya doktor faham keperluan doktor.


Terus Jadi Doktor

Jadi, aku akan terus menjadi doktor, cumanya di bahagian yang lain; swasta.

Ramai yang mengucapkan tahniah apabila tahu aku akan pergi ke sektor swasta, tetapi jujurnya aku sendiri pun tak tahu yang apa bakal jadi pada aku di sektor ini pada masa hadapan. Aku cuma mampu merancang sahaja, selebihnya aku serah saja pada ALLAH.

Keputusan ini bukan keputusan terburu-buru, ini keputusan yang dipersetujui oleh mama ayah dan isteriku. Moga ALLAH rahmati mereka yang sentiasa menyokongku saat susah dan senang.

Mulai saat ini aku berazam untuk jadi doktor sepanjang hayatku, tapi dengan caraku sendiri, bukan dengan cara tipikal orang lain sebelum ini, aku ingin menyumbang sebagai sa-orang doktor dengan gaya dan caraku sendiri.

Bagaimana caranya?

Ke hadapan nanti jikalau aku berjaya kerjakan impian aku, aku akan kongsikan dengan kalian semua.

Mungkin di bahagian teknologi, who knows, kan.

Tetapi aku teringin sangat-sangat hidup santai-santai di kampung, sambil mengajarkan al-Quran kepada sesiapa saja yang mahu belajar, kanak-kanak mahupun dewasa. 

Aku ingin kecapi apa yang dikatakan Nabi SAW bahawa sa-seorang yang terbaik itu adalah yang mengajarkan al-Quran. Aku ingin hidup dengan al-Quran hingga akhir hujung hayatku, tak perlu masyhur, cukuplah bahagia sendiri-sendiri.

Pada masa itu mungkin aku boleh menjadi 'doktor kampung' yang berkhidmat di kampung bersantai-santai, mungkin juga boleh mulakan untuk bangunkan klinik wakaf yang menggunakan separa AI, sambil menguruskan bisnes-bisnes dari jauh, mungkin pada waktu itu sudah di quadrant business owner dan investor.

Ah. Berangan itu percuma.

Tetapi jikalau dikerjakan secara serius, takkan mustahil boleh dilaksanakan.

.

Cukuplah sekadar ini saja coretan aku. Moga-moga kalau selepas ini aku jatuh terpuruk, aku boleh baca semula catatan ini untuk aku ingat kembali apa yang pernah aku angankan.

Doakan aku guys.

____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

Kangar, Perlis

2359, 300323



No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter