5/28/18

Dosa Setinggi Awan


Q&A : Dosa Setinggi Awan


Cikgu kalau saya buat dosa lepastu saya taubat...lepastu saya buat dosa...Allah akan maaf kan dosa saya ke cikgu kalau saya taubat 2 kali?

____



Jawapan :



1. Terima kasih atas pertanyaan ini. Pertanyaan ini secara indirect ALLAH ingin tegur juga kepada insan yang ditanya macam saya, supaya selalu bertaubat.



2. Pertanyaan ini juga buat saya teringatkan hadith terakhir (hadith ke-42) dalam kitab hadith 40 susunan Imam an-Nawawi. Kalau adik nak baca pun boleh, cari dan download pdf hadis 40 atau boleh beli di mana-mana kedai buku.


حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik ia berkata; saya mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata:

 Allah tabaraka wa ta'ala berfirman: 

"Wahai anak Adam, tidaklah engkau berdoa kepadaKu dan berharap kepadaKu melainkan Aku ampuni dosa yang ada padamu dan Aku tidak perduli, 

wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepadaKu niscaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. 

Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan kepenuh bumi kemudian engkau menemuiKu dengan tidak mensekutukan sesuatu denganKu niscaya aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi."

[Hadith Riwayat Tirmidzi]





3. Hadith ke-42 ini merupakan hadith qudsi; bermakna ini firman ALLAH sendiri, tetapi disampaikan lafaznya daripada Rasulullah.


4. ALLAH tak kejam. ALLAH cipta kita, DIA sangat tahu bagaimana kondisi hamba-Nya.


5. Oleh itu, ALLAH memberikan harapan dan rahmat besar buat seorang pendosa. Betapa ALLAH memperlihatkan bahawa DIA bersifat dengan al-Ghafūr, iaitu sangat-sangat maha pengampun!


Antara yang ALLAH sebut dalam hadith ini,

"...Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit  kemudian engkau memohon ampun kepada-KU, nescaya Aku akan ampunkan dosamu dan AKU tak peduli..."



6. Ketahuilah bahawa taubat ini ada syarat-syaratnya.

 1- Meninggalkan dosa-dosa itu.
 2- Menyesal sedalam-dalamnya.
 3- Berazam sungguh-sungguh untuk tidak mengulangi lagi dosa.

Seterusnya, kalau dosa yang dilakukan melibatkan dengan manusia, perlulah diselesaikan minta maaf dengannya.



7. Kita berjalan dalam dunia ini makin hari akan berat ujian yang akan ditimpakan kepada kita.

Berjalan dengan khauf dan raja'. Khauf itu takut kepada ALLAH. 

Dan dalam masa yang sama raja' iaitu berharap yang baik-baik kepada ALLAH.


ALLAH juga berfirman dalam satu hadith qudsi :

"AKU bersama dengan sangkaan hamba-KU terhadap-KU. Maka bersangkalah terhadap AKU sebagai mana yang dikehendaki."


Tatkala terjatuh, bangun semula. Bersangka baik dengan ALLAH. Semuanya pasti berhikmah, walaupun hari ini belum kita tahu apa hikmahnya.



8. Yakin pada ALLAH, pada setiap taubat yang ikhlas dan bersungguh-sungguh itu pasti ALLAH akan terima. Ya walau berapa kali sekali pun kita terjatuh dalam lubang dosa.

Saya petik kata-kata Imam Ibn 'Aththar (murid kanan Imam Nawawi) ketika mensyarahkan hadith ke-42 ini :

"Sekiranya manusia melakukan perbuatan (dosa) seperti ini setiap hari secara berulang kali, lalu dia bertaubat memenuhi syarat-syaratnya, sesungguhnya ALLAH mengampunkannya!"





Wallahua'lam





_____

Muhd Iqbal Samsudin

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter