1/17/18

Mengisi Pertunangan


Secara umum, fasa pertunangan masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing, di samping membuat persiapan menjelang hari perkahwinan.

Pertunangan ini jangan kita sia-siakan masanya. Jangan hanya duduk-duduk buat persiapan kahwin dan berangan-angan saja. Perlu isi masa sebijak mungkin.

Jadi pengisian pertunangan ini perlukan perancangan. Setiap perancangan perlu untuk kita tulis, agar minda kita bertambah 'sedar' dengan apa yang kita mahu.

_

1. Terus dengan agenda ta'āruf secara terhormat.

Manfaatkan sebaiknya ta'āruf ini. Ta'āruf itu sendiri sudah membawa maksud 'saling mengenali'. Jadi perlu untuk kedua-dua pihak saling rela berkenalan dan saling respons supaya matlamat ini dapat dicapai. Janganlah seorang beriya-iya, seorang lagi krik krik.

Kalau krik-krik sekali pun barangkali itu pun salah satu dari ta'āruf kerana mungkin ada waktunya pasangan kita sedang bekerja atau sebagainya, jadi dia tak dapat respons dengan pantas. Dari situ kita mula mengenali dan memahami si dia, yang menatijahkan kita lebih boleh bertoleransi dengannya.

Ta'āruf ini juga bukan hanya sekadar mengenali bakal pasangan, bahkan juga keluarga bakal pasangan. Kerana kita bukan sahaja akan berkahwin dengan sang jejaka atau sang gadis pilihan kita sahaja, kita juga 'berkahwin' dengan keluarganya.


_

2. Adakan masa untuk majlis ilmu.

Mari mulakan atau teruskan rasa cinta kita pada majlis ilmu, dan adakan masa dan cipta kesempatan untuk hadiri majlis ilmu sekitar kita. Sekiranya tidak mampu untuk hadiri banyak, cukuplah seminggu sekali atau dua minggu sekali. Asalkan kita istiqamah dan hati kita sentiasa bersama majlis ilmu.

Jikalau ilmu fardhu ain kita masih 'gagap-gagap' lagi, lengkapkan ilmu itu dahulu. Jangan terus nak belajar yang berat-berat kalau yang asas pun belum lepas. Step by step, takut nanti tersadung pula kalau terlalu laju ke atas.

Melalui majlis ilmu, kita menadah ilmu, dan dalam majlis ilmu juga ada rahmat yang akan turun buat insan yang berada di dalamnya.

Dengan menuntut ilmu yang benar, ALLAH akan angkat darjat kita, dan darjat keluarga yang bakal dibina. InsyaAllah.

_

3. Membaca.

Terutamanya berkenaan perbezaan komunikasi lelaki dan perempuan, rumah tangga dan parenting.

Seberat mana pun mahu bermula, cubalah juga untuk mula membaca. Buku-buku yang tak tebal pun tak mengapa.

Ini juga satu jalan untuk kita dekatkan diri kita dengan ilmu, sebelum kita lahirkan generasi selepas ini yang cintakan ilmu.

Setidaknya pun, teruskan membaca al-Quran, jangan sesekali tinggal. Sekurangnya sehari sekali. Kalau masih merangkak, perbaikilah bacaan cepat-cepat. Kita akan berkeluarga dan memimpin keluarga, perlu kita dahulu berinteraksi dengan Kalam ALLAH yang maha agung ini.

_

4. Saling percaya.

Barangkali selepas majlis pertunangan, masing-masing berjauhan. Dan dalam fasa pertunangan ini, ujian juga sering datang menerpa tanpa diduga. Jadi, mulai saat adanya ikatan pertunangan ini, kita bina percaya pada diri bakal pasangan masing-masing. Benihkan percaya sejak dari fasa ini lagi. Dan masing-masing saling amanah dengan kepercayaan yang telah diberikan.

Jikalau ada sebarang perkara yang tidak kena, jangan hanya pendam-pendam hingga diri terseksa. Terus ke hadapan, tanya kepada bakal pasangan atau yang berkenaan, dapatkan pencerahan atau terus saling menegur jika sudah tahu salah silap. Biasalah, kadang kita tak sedar kita melakukan kesilapan, perlu seseorang datang menegur.

_

5. Saling menjaga; diri dan sesama kita.

'Menjaga' yang dimaksudkan di sini adalah menjaga agar tidak berlebih-lebihan berhubung dan berjumpa tanpa batas. 'Menjaga' ini juga supaya kita dapat menjemput keberkatan dalam ikatan yang bakal dibina. Keberkatan inilah nilai besar dalam hidup, yang jarang-jarang kita cakna.

Yang lelaki, tunjukkan dan asah potensi diri anda sebagai bakal ketua rumah tangga. Buat peraturan agar kita tak terlalu bebas berhubungan. Misalnya dalam sebulan boleh bermesej berapa kali, telefon kalau sekadar nak tanya khabar tak perlu, dan had bermesej sampai pukul berapa. Berhubung tidak salah, tapi perlu limitasi yang betul. Ingat, ini baru pertunangan bukan perkahwinan, kita perlu kuat menjaga.

Segala luahan-luahan rindu dan cinta yang tak terkata banyaknya itu, jadikannya luahan terindah dengan menyampaikan melalui cara paling halal.

Banyakan interaksi melalui doa. Sampaikan kepada Tuhan sebanyak-banyaknya tanpa jemu. Jangan pandang enteng dengan kuasa doa. Kita tak nampak cara ia bertindak, namun masing-masing merasainya.


____


Masih ada  banyak lagi pengisian yang boleh dilakukan dan diusahakan.

Kita sendiri yang memilih bagaimana halatuju keluarga kita kelak, jadi kita sendiri yang tentukan bagaimana untuk mengisi pertunangan kita pada hari ini.

Pengisian hari inilah yang akan tentukan 'isi' keluarga yang kita inginkan nanti.

Isilah sebaik-baiknya.

Selamat mengisi pertunangan!




.

Muhd Iqbal Samsudin
Tulisan ini ditulis sepanjang
Perjalanan Baling-Trolak-Serendah-Shah Alam-KLIA-Abu Dhabi-Cairo
0620, 170118

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter