10/12/17

Lupa Buku




Lupa membawa buku ketika menaiki kenderaan awam di Kaherah ini kadang kala buat saya bingung dan termenung panjang menyesal tidak bawa apa-apa untuk dibaca.

Lalu akan kucoba memujuk hati untuk membaca alam Tuhan yang maha luas ini, yang tak akan habis terbaca hingga usia sudah tiada.

Ya, tak akan pernah habis.

Dengan makhluknya; yang terzahir dan yang tersembunyi.

Dengan tumbuhannya; sampai kita sendiri tidak mampu hafal betapa banyak spesis-spesis yang ada.

Rahsia-rahsia alam maha indah ini yang tak terungkap walau dengan kelengkapan teknologi manusia.

Banyak, terlalu banyak hendak dibaca, hendak ditadabbur satu per satu.


*  *  *


أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

[23:115]



*  *  *


Kerja melihat alam itu mudah.

Tetapi kerja membaca dan mentadabbur alam itu tak akan pernah habis. Kerana ia banyak dan bukan kerja mudah. Ia perlu wadah fikir.

F.I.K.I.R yang punya lima abjad inilah yang jarang-jarang sa-orang insan korbankan untuk dijadikan tabiat hidup.

Tanpa fikir, kerja membaca dan mentadabbur alam, sangat sukar bahkan hampir tak akan tercapai.

Dan dengan fikir, hujung akhirnya tidak dapat tidak, akan bertemu Tuhan. Khāliq pencipta segala.

*  *  *

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَاعِبِينَ

"Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;"

[44:38]


*  *  *



Oh ya, jika di kota Kaherah ini, saya suka membaca dalam bas berbanding kenderaan lain.

Dalam bas, tempatnya luas, pencahayaan lebih terang, dan semestinya tambangnya pula lebih murah!

Genre apa yang paling cocok dan menusuk?


[1]

Pertamanya, membaca Al-Quran dalam kenderaan awam sangat mengasyikkan. Disebabkan kebanyakan suasana bingit, saya boleh baca dengan kuat, dan orang sekeliling tak akan marah. Kalau ternangis pun tak berapa malu, sebab tak ada siapa yang kenal.


.

[2]

Kedua, novel. Kerana tak terlalu berat berfikir. Just follow the flow of story. Wacana-wacana berat di dalamnya sekalipun ada, pasti akan terasa ringan. Itulah kuasa karya fiksyen.

.

[3]

Ketiga, biografi. Sama juga, tidak terlalu berat untuk dibaca. Pemangkin semangat agar terus tabah dengan dugaan. Baca kisah orang berjaya boleh buat kita jadi kuat. Bacalah kalau tak percaya.

.

#CatatanMetropolitan
#Sa_orangBibliofil

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter