5/31/17

Yang Lebih Susah


Yang Lebih Susah

_____

Untuk memproduktifkan diri, selepas kecederaan dilanggar tremco zohor kelmarin dan rasa-rasa nak demam, petang tadi saya buat keputusan untuk buat penghantaran barang dagangan (aksesori action cam) di Rumah Brunei.

Dengan harapan moga-moga lebih sihat dan dapat ke kelas dengan baik esok.

Disebabkan ustaz yang membeli itu ada peperiksaan esok, jadi dia minta budi baik saya hantar terus ke Rumah Brunei yang terletak di Hayyu Sadis, di belakang Nādi Syabab.

Puas juga mencari, sebab saya tak ada internet yang cukup untuk cari menggunakan ​location yang diberikan. Akhirnya pencarian menggunakan alamat dan bertanya kepada penduduk sekeliling juga yang amat membantu.

Alamat yang tepat diperlukan untuk mencari, sebab saya sangat musykil orang Mesir tahu wujudnya negara bernama Brunei. Lainlah jika disebut rumah pelajar Malaysia/Indonesia/Singapura, selalunya mereka kenal.

Alhamdulilah, akhirnya dapat jumpa dengan jayanya berkat pertolongan Arab dan pertolongan sahabat lewat Whatsapp.

Terharu rasanya bila ustaz itu bagi duit lebih caj penghantaran (yang tidak saya minta) sebab saya sudi hantar sampai depan rumah.

Sebelum melangkah keluar dari Rumah Brunei itu, saya bertanya kepada warga tempatan yang bekerja sebegai pengawal keselamatan​ di situ, "Sebelum Encik kerja di sini, Encik tahu kewujudan negara Brunei?"

"Ya saya tahu, negara ini berada di benua Asia," jawabnya.

Saya berpuas hati dengan jawapannya, terus saya melangkah keluar.

Dalam perjalanan pulang, saya nampak seorang lelaki tua di seberang jalan. Dia melambai-lambai kepada saya dan kereta yang lalu lalang dengan menyebut, "Lemon....lemon..."

Pada mulanya saya ingin saja berlalu pergi tanpa menghiraukan apa-apa, tapi entah mengapa terbit rasa kasihan yang amat dalam diri untuk mendekatinya.

Saya patah balik dan menyeberang jalan.

Apabila mendekat saya beri salam dan bertanya khabar. Dia senyum.

Di tangannya ada beberapa bungkus lemon. Sebungkus ada empat biji lemon tempatan (lemon Mesir bulat macam limau nipis Malaysia, bukan bujur macam Malaysia). Di hadapannya pula ada beberapa ikat daun pudina yang sudah kian layu dipanah mentari. Badannya nampak agak lemah, entah berapa dia di situ beratapkan cahaya mentari terik musim panas. Entah sudah makan atau belum hari ini agaknya.

"Berapa harga sebungkus ini, haji?"

"Dua genih," dia menjawab dengan senyum.

Mahu saja saya berikan duit kepadanya tanpa membeli apa-apa, tapi saya takut dia tidak mahu menerima. Jadi saya buat keputusan untuk beli sebungkus, bolehlah tolong habiskan sedikit barang dagangannya.

"Saya mahu satu bungkus, haji."

"Tak mahu dua?"

"Tak apa, satu saja sudah cukup."

Saya berikan dia duit yang besar sedikit, duit lebih saya halalkan saja.

Melihat senyum girangnya begitu menyentuh hati nurani diri.

Ada hari kita susah, apabila kita bertemu dengan orang yang lebih susah, cepat-cepat hati kita menjemput syukur datang bertandang. Lalu yang timbul ialah serpihan indah kehidupan.

"Boleh kita tangkap gambar bersama?" Saya cuba minta izin.

"Boleh, jom!"

Dan sempatlah kami selfie sekeping dua.

Kemudian terus saya bergerak pulang ke rumah, sambil melihat kekayaan ragam pelajar-pelajar Al-Azhar belajar sempena musim peperiksaan yang sedang berjalan. Ada yang baca Al-Quran sambil jalan, ada yang baca kitab di bawah pokok, ada yang menunggu sambil mencatat nota di kitab, dan macam-macam lagi ragam.

Demikianlah makna hidup, ia hanya berjalan tatkala kita sendiri yang menjalaninya.

#CatatanMetropolitan

____
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
2359, 210517

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter