3/26/17

Kupeluk Sebelum Kulepas



Selepas pulang dari tempat yang agak jauh, walaupun dalam keadaan serabut dan kecamuk fikiran dalam keletihan, saya buat keputusan untuk singgah sebentar El-Azbakiya, 'Ataba .

Banyak maktabah yang tutup, memandangkan hari itu hari jumaat. Tetapi maktabah 'Ammu 'Ali tetap buka seperti biasa. Singgah jugalah sejenak di situ, untuk melihat dan menghilangkan rindu pada menatap kitab-kitab.

Walaupun tidak bawa wang yang banyak, 'terbeli'(alasan paling baik!) juga sebuah kitab terpakai yang agak langka.

Pemiliknya 'Ammu 'Ali, sudah berkecimpung dalam bidang jual beli kitab ini hampir 50 tahun! Menurut beliau, maktabah ini dibuka sebelum beliau menamatkan pelajaran di Universiti Kaherah dalam bidang sastera 46 tahun lalu.

Apabila diminta untuk kurangkan harga kitab, pasti riak katanya seakan marah. Mulanya saya fikir beliau memang seorang yang garang, tetapi bila berkenalan dan berbual mesra serba sedikit, rupanya beliau tidaklah begitu.

Kata-kata beliau nampak saja seperti nada marah, tetapi beliau sebenarnya mahu nyatakan kitab itu nilainya tinggi!

Jika ditanya, beliau akan ceritakan satu per satu nilai setiap kitab yang beliau jual, mengapa harganya begini dan mengapa tidak dapat dikurangkan lagi harganya.

Beliau akan jawab dengan penuh perasaan.

Semua ada nilai tingginya tersendiri. Ya, bak kata pepatah, hanya jauhari mengenal manikam!

Bila selesai membeli kitab itu, beliau berpesan, "Selepas baca kitab ini, simpan baik-baik, bawa balik Malaysia terus. Jangan bagi orang lain pinjam, nanti hilang!"

Beliau belek-belek kitab itu.

Sebelum masukkan dalam beg plastik, beliau peluk pula kitab itu.

Saya hanya senyum melihatnya. Faham.

Teringat kata-kata orang yang mencintai buku, "Menjual buku yang kita cinta​ itu seakan-akan menjual anak sendiri!"


Segarang-garang beliau, ajak selfie tak tolak! Hehe



#CatatanMetropolitan
#Sa_orangBibliofil


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2117, 250317

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter