Dua Kitab

8:11 PM Muhd Iqbal Samsudin 0 Comments



6.17 p.m.

Aku sudah lewat. Hampir 17 minit menunggu, bas tak kunjung tiba.

Nampak bas 1010, terus aku tahan dan tanya, "Moski?"

Pemandunya menggeleng dan menjerit, "Atabah!" sambil tangannya menyuruh aku naik.

Disebabkan sudah lewat aku naik juga.

Selepas bayar tambang terus aku duduk di belakang tempat duduk single seorang yang wajahnya seakan Melayu. Jarang jumpa Melayu di dalam bas di tempat aku ini.

Aku lihat di skrin hadapan ditulis 'Gamiah Al-Azhar'.

Terus aku tanya orang di hadapan aku, "Bas ni lalu Hussein tak ustaz?"

Dia toleh ke belakang.

Wajahnya blur. Namun dia cuba juga katakan sesuatu.

"Ana sa-anzil fil Abdou Basha." (Saya akan turun di Abdou Basha)

Jawabnya gagap-gagap dan bahasa Arab fus-ha.

Tahulah aku bahawa dia bukan seorang Melayu atau Indonesia. Dan mungkin masih baru di Mesir ini.

Aku minta maaf kepadanya dan mula berkenal-kenalan dengannya. Dia orang Thailand rupanya. Asal dari Bangkok.

Aku bertanya juga soalan tadi dalam bahasa Arab, dia menjawab dan aku angguk kepala tanda faham. Sebenarnya petua yang dia bagi itu menunjukkan dia masih lagi baru di sini, rupanya dia lagi noob dari aku. Haha. Tapi dia betul-betul bersungguh-sungguh mahu membantu.

Allah... Aku amat hargai jasanya. Doaku moga Allah permudahkan segala urusannya.

Sampai di Abdou Basha dia turun dan melambaikan tangan kepadaku.

Tenang.

Di Bab El-Sha'riyya jalan terlalu sesak. Jem. Arab Mesir sebut Zahmah Muuut.

Elok sampai di 'Atabah, tengok jam sudah agak lewat, dan masih tinggal sekitar 40 minit lagi untuk maktabah (kedai kitab) nak tutup. Tak mengapalah aku buat keputusan untuk solat dahulu di masjid kecil celahan gedung beli belah yang penuh hiruk pikuk.

Habis solat, terus berjalan ke tempat yang ingin dituju. Nak naik tremco macam tak berbaloi kerana tambangnya sekarang sudah dua genih! Walhal dekat saja.

Jalan punya jalan sambil menikmati kesibukan kota 'Atabah ini, sampai akhirnya tanpa sedar sudah sampai ke maktabah.

Gelap sudah rupanya. Tutup rapat pintunya.

Sedih betul hati. Luluh.

Lalu aku toleh ke belakang, dan berjalan berpatah balik.

Baru dua tiga langkah tiba-tiba ada bunyi orang minta tolong dari dalam maktabah.

"Tolong kami, tolong kami!"

Rupanya pintu maktabah itu tak boleh dibuka dari dalam dan ada orang terperangkap dalam maktabah itu.

Aku berseorangan di hadapan maktabah ketika itu.

Aku tolong sekadar termampu tapi malangnya tak terbuka juga pintu itu. Kemudian, datang lagi dua orang Arab tolong, berkali-kali mencuba akhirnya terbuka juga pintu itu.

Ketika terbuka pintu, aku terus menonong masuk dan minta izin untuk hanya beli dua kitab sahaja.

Dia mengadu yang dia sudah lewat dan mahu pulang, tetapi akhirnya dia beralah.

Aku cari cepat-cepat dua kitab yang aku mahu itu. Dapat dua kitab itu, terus aku pulang.

Sedih sedikit kerana harga kitab sudah melambung tinggi.

Namun tetap berbunga-bunga. Alhamdulilah.

Demikian jugalah hidup.

Ada masanya, kita dapati banyak jalan sudah tertutup, seakan tiada lagi harapan yang ada.

Dan kadang kita lupa siapa tuan empunya kepada jalan-jalan tersebut.

DIA empunya segala, DIA juga yang mampu bukakan pintu-pintu alternatif sebagai jalan keluar, pada waktu yang tak disangka-sangka.


Apa tawaran Tuhan?


وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

"...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)"





#CatatanMetropolitan

____
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
050117
2301

0 Nasihat & Komen:

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter