12/24/16

Diri Tersudut





Hari itu engkau mesra
Engkau hulurkan senyum sebagai sapa
Engkau bermanis-manis kata
Aku membalas hulur senyummu, kerana aku yakin ada jujur di balik senyummu
Dan engkau mula bermadah-madah
Bilangmu mahu dibantu, kerana engkau perlukan sesuatu
Aku berikan tangan tanpa ragu, engkau sambut tanpa tunggu-tunggu
Aku senyum, riang dapat membantu.


Tak lama, engkau tiba-tiba menendang perutku
Tenggelam jatuh, terjelepuk
Hingga diriku tersudut
Kananku dinding, kiriku dinding
Engkau lemparkan bilah kata-kata
tajam tertojoh di dada kiriku, pedih menghiris
Aku takut, dinding pun tak sudi bantu
Engkau tikam aku dengan maki, berdas-das terkena di tengah dada. Kelat dan ketat dada.
Engkau berdekah bagai si gila, seronok membuat orang, dan kau lupa dunia ini umpama roda
Hari ini engkau berdekah menikam menganiaya, esok lusa, jika tidak engkau, pada keluarga kembali tercela.
Barangkali engkau lupa. Tidak di sini, pasti habuannya di sana.


Dan akhir,
diriku tersudut,
hampir mati.


Akan kujuang dengan doa,
akan kutikam dengan doa,
dan akan kuheret kau ke hadrat adil-Nya.


Aku belum mati.


_____
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
2042, 231216




12/16/16

Telingkah Orang Seni Sama Agamawan




[Telingkah Orang Seni Sama Agamawan]



Dia, saya; di sebuah kedai buku.

Selalu, pada pertemuan tidak terjangka itu berlaku di kedai buku, kerana minat besar kami pada buku yang mempergabung semesta ilmu di dalamnya.

Kami ke rak yang sama.

Seni.


"Engkau minat seni?" Soal aku.


Dia tidak menjawab melainkan dengan membedil kembali dahiku dengan satu soalan, "Engkau tahu apa beza kayu dan manusia?"


"Tidak."


"Kayu itu simbolik kepada makhluk yang tidak punya aqal. Manusia itu manusia. Yang membezakan kedua-duanya, seni."


"Kenapa?" Geram mahu dapatkan penjelasan.


"Indahnya seni itu hanya boleh dihasilkan oleh makhluk yang punya aqal."


Aku angguk, sambil berkedip-kedip.

Kami sambung meneroka lebih dalam ke semesta samudera ilmu.



_____


Berabad lamanya si muslim berdarah seni bertarung dengan agamawan keras berpandang sempit.

Hingga akhirnya kita lihat berkubur bakat-bakat seni yang terpaksa akur dengan pandangan sempit yang tidak memerdekakan.

Hingga yang meminati seni banyak bertelingkah sana sini, bertelingkah dengan diri sendiri, kerana faham yang silap.

Walhal, Islam itu rahmat, Rasulullah itu rahmat, dan ALLAH pemberi rahmat. Namun pada sang agamawan dangkal akhirnya menyekat rahmat-rahmat itu, buat yang sudah mendekat, tidak mahu lagi dekat.

Islam itu rahmat yang memerdekakan; dari segala perhambaan pada kebendaan dan keduniaan. Apabila gagal memerdekakan, mereka mengurung. Natijah kurungan mereka itu terhasil dari kebodohan yang tidak mahu diketahui dan diakui; menatijahkan fitnah buat Islam yang tidak meraikan seni yang fitrah.

Mana mungkin fitrah tidak boleh dirai jikalau agama Islam itu sendiri agama fitrah?

Lalu tatkala kita merasa masih dangkal, jangan cuba menumbuk cetek sejengkal, nanti yang dapat hanya percik air ke muka sendiri.

Diam, dan terus belajar.

Makin dalam kita belajar, makin luas dada kita, makin cetek dirasa ilmu, makin kurang kita mahu mempersalahkan, makin tiada yang ingin dibida'ahkan, makin tipis yang ingin diterkam haram.

Belajar dan jangan jemu memperdalam. Jika tidak, kita banyak menjahanam. Dan banyak menjahannamkan amal buat orang.

Tunduk, dan terus belajar.

Hingga nafas terakhir dijemput Izrael.



Wallahua'lam


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2235, 151216


12/15/16

Menjemput Rezeki




[Menjemput Rezeki VS Mencari Rezeki]



Teringat satu sembang bual panjang dengan seorang Pak Cik yang datang melawat anaknya di sini beberapa minggu lepas.

Di hujung-hujung bual dia bercerita,


"Dulu pak cik kerja makan gaji di satu syarikat, bila dah naik pangkat, jadi banyak kerja dan banyak meeting yang perlu dikendali, balik rumah pun lewat.

Pak Cik rasa tak selesa, sebab solat Pak Cik jarang-jarang dapat di awal waktu. Asyik di tengah dan di hujung waktu saja. Hidup rasa kurang senang dan tenteram.

Lepas tu, Pak Cik tekad dan nekad untuk berhenti kerja. Pak Cik yakin yang rezeki tu bukan bos yang bagi, tapi Allah yang bagi, jadi Pak Cik berhenti terus."


Aku terpegun. Melihat Pak Cik itu yang berkobar bercerita, aku tidak mecelah, takut-takut mematahkan semangat dia.


Dia menyambung, "Pak Cik cuba berbagai-bagai jenis perniagaan. Ada yang untung ada yang lebur rugi. Biasalah adat berniaga, sementara modal PERCAYA dan AMANAH kita orang nak pegang, semua tu perlukan masa.

Dulu semasa makan gaji, gaji Pak Cik tak lebih sepuluh ribu. Sekarang, dah kerja sendiri lebih senang, solat pun dah boleh ditunai awal waktu, alhamdulillah berkat perniagaan yang Nabi kata sembilan per sepuluh daripada rezeki ni, Allah luaskan lebih rezeki Pak Cik, sebulan paling kurang belas-belas ribu juga Pak Cik dapat. Lepas tu dapat pulak jalan ke serata dunia, orang lain support, itu yang best!"


Tiba-tiba anak perempuannya masuk ke bilik, aku tersipu-sipu lalu minta izin daripada Pak Cik dan Mak Cik untuk keluar.


= = =

Ada beza, antara menjemput rezeki dan mencari rezeki.

Kita usaha, jaga hak Allah, insyaAllah Allah beri dengan apa yang kita tidak sangka-sangka.


Titis-tis yang kecil kadang lebih barakah dari simbah-simbahan yang besar.
[credit : intrawallpaper]




وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا


"...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

[Surah At-Talaq 65 : Ayat 2 - 3]



_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
2051, 151214






Barakah.
[credit : mahligai vitamin]

Yang Di Kiri Pun Tidak Tahu



[Cerita Dari Masjid]



Pada setiap hujung bulan Januari hingga pertengahan Februari, kami selalunya akan cuti musim sejuk.

Cuti musim sejuk tidaklah terlalu lama, hanya sekitar dua minggu sahaja. Dua minggu itu boleh jadi dua minggu bermakna atau dua minggu pejam celik pejam celik lena.

Tidak dapat tidak perlu rancang sebaik-baiknya.

Dan pada cuti musim sejuk kali ini, saya dan sahabat saya bercadang mahu pergi mengerjakan umrah di Mekah dan menziarahi Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam di Madinah.

Agak tidak logik sebenarnya untuk kami ke sana, kerana duit biasiswa kami cukup-cukup makan sahaja memandangkan duit Malaysia jatuh dan ekonomi Mesir pun ikut turut teruk.

Kalau kami memilih untuk pergi umrah juga ketika itu, bermakna kami juga buat keputusan untuk ikat perut dan cari duit sendiri selepas itu, untuk makan dan untuk urusan hidup yang lain, sekitar lima bulan yang masih berbaki.

Fikir punya fikir, saya dan sahabat saya nekad. Kami benar-benar membulat tekad. Apa pun yang akan terjadi, kami akan tetap pergi, biiznillah!

Yang ada di hati kami hanya yakin pada Allah, kerana DIA yang memberikan rezeki; bukan duit, bukan biasiswa.

Maka pada bulan Disember, setelah duit biasiswa masuk, saya gunakan hampir habis semuanya untuk kos ke sana; Haramain.

Bohonglah jikalau insan lemah seperti saya ini tidak ada langsung kerisauan. Walaupun saya pernah hidup setahun tanpa biasiswa sebelum ini, ada juga sekelumit risau tak terundang datang mencuit.

Malam itu saya ke masjid berdekatan rumah sewa saya untuk mengerjakan solat maghrib. Usai solat, saya duduk-duduk berteleku sambil melakukan apa-apa yang patut.

Bingung juga memikirkan yang saya perlu kerja kuat lagi lima bulan untuk hari mendatang kerana duit sudah habis. Sudahlah tahun lalu setahun saya berhempas pulas berniaga dan belajar, nampaknya Allah jodohkan saya untuk berniaga lagi lima bulan. Pasti ALLAH mahu ajar sesuatu yang lain lagi, fikir saya.

Tengah saya duduk-duduk, tiba-tiba bahu saya dicuit.

Mulanya saya ingat ada kanak-kanak yang ingin bercanda main, rupanya saya tersilap.

Apabila saya pusingkan badan, saya lihat ada seorang lelaki yang memakai blazer coklat dan berbadan besar saiz biasa Arab. Kemudian dia menghulurkan tangan untuk bersalam.

Saya pun lemparkan senyuman lalu menyambut tangannya untuk bersalam. Saya gembira. Selalunya, saya yang mulakan dulu untuk bersalam dengan bangsa Arab di sini, tetapi kali ini terbalik, dia yang mulakan dahulu.

Romannya juga turut mekar menyimpul senyum. Tetapi nampak mahu cepat-cepat dan kalut untuk meninggalkan masjid.

Saya terkejut.

Salam saya dan dia rupanya 'salam berisi'.

Telapak tangannya laju menempelkan sesuatu ke telapak tangan saya.

Selesai salam saya lihat apa isi salam tadi.

Sekali lagi saya terkejut, rupanya itu sejumlah wang yang agak besar!

Apabila saya ingin mengejar dan mengucapkan terima kasih, ternyata dia lebih laju daripada saya.

Hilang. Dia hilang dalam sekelip mata. Walhal masjid itu besar!

Allahu Allah.

Kelu sungguh lidah dan kelaku. Tidak tahu untuk berkata apa-apa selain mengucapkan syukur pada ALLAH Jalla wa 'Ala.

Rasa bagaikan mimpi.

Menjerit-jerit di dalam hati, 'ALLAH mendengar rintih aku! ALLAH mendengar rintih aku!'

Terpuji sungguh akhlak dia. Mahu memberi dalam keadaan paling ikhlas di mata ALLAH.

Hingga barangkali, tangan di sebelah kirinya pun tidak tahu.

Terima kasih Ya Rahman!
Terima kasih duhai hamba kepada ar-Rahman!

Adakalanya kebaikan diperlakukan kepada kita, menjadi contoh, dan ikutan petunjuk untuk kita juga turut berbuat seperti itu. Ia mula tumbuh untuk menginspirasikan diri!

'Kalau aku ada duit lebih, aku juga ingin jadi sepertinya!' Azam hati.





وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا


"...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

[Surah At-Talaq 65 : Ayat 2 - 3]



Tangan yang di atas, lebih besar baiknya dari yang di bawah.
[credit : misteraans]




_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2327, 170116






12/14/16

Doktor Yang al-Hakīm




[Doktor Yang al-Hakīm]



Selepas dua minggu sesi introduction bagi subjek tahun lima; Internal Medicine dan Paediatrics, grup kami memulakan round pertama dengan round Physical Medicine, manakala grup yang satu lagi memulakan round mereka dengan round Geriatrics.

Untuk round Physical Medicine ini, saya paling mengenang pesanan daripada seorang doktor kami, Dr. Sahar Fathi. Dia nampak masih muda namun sudah pun menjadi doktor pakar. Dan dia menceritakan yang dia mula belajar di fakulti perubatan pada usia 15 tahun. Wow! Saya syak beliau seorang genius, lalu dibenarkan masuk awal ke fakulti perubatan.

Memandangkan dia mengajar tajuk 'Electrotherapy' yang agak berat dan susah, juga hari sudah tengah hari, kelihatan ramai yang sudah mula mengantuk.

Lalu dia mula bercerita dan memberi nasihat.

Kata awalnya buat saya celik mata seluas-luasnya.

"Saya lebih suka jika gelaran doktor itu diganti dengan al-Hakīm. Kerana doktor itu seharusnya bersifat al-Hakīm; bijaksana dan berhikmah."

Dia menasihati kami agar memperbanyak pengetahuan am selain dari ilmu perubatan sahaja, dengan meluaskan radius bacaan merentasi bidang.

Kemudian dia bercerita berkenaan pengalamannya menjadi pelajar medik dahulu, dalam umurnya yang masih muda dari orang lain. Dia banyak menegaskan untuk meninggikan rasa ingin tahu kerana baginya, rasa itulah yang buat dia tidak jemu-jemu menuntut ilmu dan tidak putus semangat menimba pengalaman di hospital.

Dia juga mengingatkan dan menekankan kepada kami tentang pesakit. Pada setiap pesakit yang kita rawat, penyakit mungkin sama, tetapi setiap pesakit itu berbeza. Keadaan setiap pesakit itu berbeza dan management juga akan turut jadi berbeza, kerana sebagai seorang doktor yang al-Hakīm, kita seharusnya menimbang tara semua aspek untuk mendiagnosis dan merawat pesakit.



"You can have knowledge but knowing how to apply the knowledge is the wisdom. That’s the hikmah -- and that’s the difference between those who might know the hukam of Allah as a text -- and those who know when the hukam of Allah is applicable. That’s wisdom -- and this is how the Prophet ﷺ was constantly teaching his sahabah."

- Shaykh Hamza Yusuf



Apabila doktor menyebut tentang 'Menjadi doktor yang al-Hakīm, saya teringatkan pesanan-pesanan daripada Syeikh Dr. Yusri Jabr Al-Hasani, guru kami yang merupakan seorang muhaddith dan doktor pakar. Pesanan ini dinukil dan dikongsikan oleh senior saya, Dr. Ahmad Nazmi beberapa tahun yang lalu, namun hingga kini pesanan ini masih relevan serta sangatlah penting untuk difahami dan diamalkan. (Saya edit sedikit agar lebih mudah dibaca dan difahami)


______


"Jadilah Doktor yang Hakeem...Janganlah Engkau Jadi Doktor Mekanik..."
~ Syeikh Dr Yusri Jabr Al-Hasani

5th April 2013, Jumaat, 6.30am, Dars Sunan Ibnu Majah, Masjid Al-Asyraf,Muqattam
Bab Tibb (Kedoktoran).


Al-Fadhilatus Syeikh Yusri berpesan kepada kita semua pelajar-pelajar medik, dentist, pharmacy...akan prinsip sebagai Pegawai Perubatan semasa :


1- Hendaklah engkau meletakkan tugas kamu sebagai perawat kerana Allah dan untuk berkhidmat, jika engkau letakkan hadafmu untuk dunia dan wang SEMATA-MATA, maka akan tertanggal sifat IKHLAS dalam diri kamu.

Syeikh berkata : prinsip diriku, aku akan ambil bayaran apa yang perlu, jika pesakit tidak mampu, aku akan sedeqahkan khidmatku untuknya.



2- Doktor dan NASIHAT (consultation) sesekali tidak boleh dipisahkan, engkau adalah perawat bukan sahaja pada tubuhnya, tetapi juga pada ROHANINYA, sesungguhnya nasihatmu tidak ternilai dengan wang, jika engkau letakkan harga pada nasihatmu sehingga membebankan mereka, maka hilanglah keberkatan pada nasihatmu itu.



3- Jadilah seorang doktor yang Hakeem, kerana jika engkau jadi doktor yang Hakeem, engkau tidak akan menzalimi pesakitmu, jika engkau menzalimi pesakitmu, adalah kelayakkanmu untuk menjadi doktor MEKANIK, bukan merawat tubuh insan, tetapi seperti merawat kereta yang rosak!



"Syeikh, bagaimana untuk aku jadi seorang Doktor yang Hakeem?"

Syeikh menjawab dengan mudah, "Engkau tidak akan dapat jadi doktor yang hakeem dari buku, engkau perlu amalkan ilmumu dan istiqomah (practice makes perfect). Jika kau belajar pada suatu penyakit, maka engkau akan menghafal management penyakit itu. Jika di dalam imtihan, engkau akan berjaya, tetapi jika untuk pesakit, engkau akan gagal, di mana silapnya? kerana satu management, ENGKAU TIDAK APPLY UNTUK SEMUA PESAKIT, TETAPI ENGKAU PERLU SESUAIKAN MANAGEMENT PENYAKIT ITU MENGIKUT KEADAAN PESAKIT, kerana setiap pesakit, keadaannya berbeza-beza.


# You Need to Tailor Your Treatment According to Your Patient's Condition


* Begitu juga prinsip dalam menasihati orang lain, kita perlu memberi nasihat mengikut keadaan mad'u kita.

* Jika kita tidak betul-betul kompeten, maka kita akan membazirkan wang pesakit dan wang kerajaan untuk investigation(uji kaji yang diperlukan untuk mendiagnosis penyakit) yang tidak perlu, kita akan pescribe ubat yang tidak sesuai dgn pesakit sehingga pesakit jadi lebih teruk dari sebelum dia ambil ubat (penuh dengan side effect).

"Kita bukan jadi doktor yang MENG-ISLAH, tetapi kita akan jadi doktor yang MEMUSNAHKAN hidup orang lain..."



Take home message pelajar perubatan :

SEMUANYA BERMULA DARI TITIK "KEMALASAN".

DENGAN KESIBUKKAN YANG DIBUAT-BUAT.

HIDUP AKAN PENUH DENGAN ALASAN.

SEHINGGA MENGORBANKAN JIHAD ILMU YANG JADI TUNTUTAN.

TABIK DADA INGIN MENGISLAH, RUPANYA JADI PEMUSNAH MASA DEPAN INSAN.

JAWABLAH NANTI DIHADAPAN RABBUR RAHMAN!


Sama-sana kita islah diri kita, adik-adik Ain Shams, ingat pesan ini, kalaulah nasihat ini dibuang, amat rugilah kita. :-(




_____


Moga pada perkongsian kecil ini, ada manfaat yang dapat diambil dan diamalkan.

Wallahua'lam


_______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2147, 141016

12/12/16

Misi Man Qash-sha



[Cerita Dari Pasar]

Hari ini selepas zohor terus saya ke pasar, asalnya cadang nak tengok-tengok dan pantau-pantau harga saja, tetapi berubah matlamat setelah memasuki pasar.

Memang memeranjatkan juga harga-harga barang hari ini. Bawang merahlah yang paling ketara naiknya, memang merunsingkan juga. Tetapi perkara yang bagus sedikit di Mesir ini, harga barang basah mereka kalau naik, boleh turun semula, kalau di Malaysia payahlah nak turun kalau dah naik.

Tengah berjalan-jalan, teringin pula nak beli sotong dan ayam.

Cuma yang jual sotong ('Kalimari' dalam bahasa arabnya) dan ayam ini selalu menipu semasa menjual, terutamanya buat pelanggan orang luar semacam kami.

Cara menipu mereka ada berbagai-bagai cara.

Ada yang menipu dalam timbangan; cakap harga sekilo sekian-sekian, bila timbang mereka set pada penimbang digital itu harga yang lebih tinggi, kalau tidak diperhatikan dan pantau betul-betul, habislah kena tipu.

Dan ada juga yang tidak bagi pilih, lalu dia campurkan yang elok dan tak elok. Yang elok diletak bahagian atas dan di tunjuk kepada kita buktikan yang dia letak barang yang bagus-bagus, kemudian semasa menimbang mereka akan kutip yang elok-elok tadi letak balik di bawah, yang tersisa kepada kita hanya yang buruk-buruk. Bila balik rumah baru perasan lalu menangis di bucu dapur.

Dengan menempuh semua perkara ini, barulah kita sedar mengapa ALLAH turunkan ayat-ayat al-Quran untuk menegur dan mencela peniaga-peniaga yang tidak jujur.

وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ

"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan!)"
 [Surah al-Muthaffifin 83 : Ayat 1]

Jadi hari ini, saya berhajat membeli sambil beri sedikit peringatan. Sebab geram sangat dengan mereka ni, tak habis-habis pijak kepala insan-insan lemah macam kami. Selagi tidak ditegakkn hak, selagi itulah bersedap-sedap memijak kepala orang.

Misi - "Man Qash-sha Falaisa Minni".

Semasa membeli saya perhatikan betul-betul (mereka masih tidak benarkan memilih sendiri) dan beri amaran kepada mereka dengan membacakan potongan hadith ini, kebanyakan mereka hafal, tetapi sekadar di mulut, tidak sampai kepada amal.

Barangkali mereka leka dengan untung dunia, selagi kita mampu tegur, tegurlah, agar sampai peringatan ini kepada mereka.

Natijahnya alhamdulillah mereka berlaku jujur dalam berurus niaga dengan saya. Saya harap bukan dengan saya sahaja, tetapi dengan insan-insan lain juga.

Puas hati sedikit membeli hari ini.

_____

ِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah melewati setumpuk makanan, lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, kemudian tangan Baginda menyentuh sesuatu yang basah, maka Baginda pun bertanya, "Apa ini wahai pemilik makanan?"

Sang pemiliknya menjawab, "Makanan tersebut terkena air hujan wahai Rasulullah."

Baginda bersabda, "Mengapa kamu tidak meletakkannya di bahagian atas makanan agar manusia(orang lain) dapat melihatnya. Barangsiapa menipu maka dia bukan daripada golongan kami."

[Hadith Riwayat Muslim : No. 147]

#CatatanMetropolitan

12/9/16

Cerpen : Keluar dan Dongak



[Cerpen : Keluar dan Dongak]


“Keluar, lihat sekeliling dan dongak.”

Aku mengerling.

Dadanya berombak; nafasnya tertahan, dalam. Jeda. Bebola matanya berkeliaran ke kiri dan ke kanan, berhenti lama di kanan, kemudian mendongak.

Dia menyambung,“Berjalan, jangan berhenti, jangan hanya duduk diam membusuk dalam bilik.”


Andai bunga berhenti bermekar, tiadalah cantiknya.
[credit:wallpaperscaft]


*  *  *

“The world is a book and those who do not travel read only one page.”
– St. Augustine

*  *  *

Pintu bilik terbuka, angin musim sejuk tak henti-henti masuk tanpa salam. Menyengat sejuknya.
Pelik. Pintu bilik ini tidak pernah dibuka luas selain aku. Walau bilik ini penghuninya dua manusia bernafas, tetapi sepertinya aku sahaja yang suka menghirup oksigen luar, dan aku jualah setiap hari menyelak ‘sedikit’ langsir bagi memberi laluan bilah-bilah cahaya menghunus masuk. 

‘Sedikit’, ya hanya sedikit. Kerana teman sebilik aku tidak suka terlalu banyak pada cahaya, dan tidak suka terlalu banyak angin masuk. Kalau boleh, biar gelap sepanjang siang dan malam, biar angin dalam bilik ini sahaja berputar. 

Aku masih okay, boleh bersabar, dan aku masih kuat untuk layankan perubahan pelik sahabat aku itu.

Benar, sahabat aku itu sudah berubah. Jika engkau tanya padaku bila mulanya, aku hanya boleh menjawab ianya berlaku tahun lalu, apabila dia yang dahulu cukup periang dan menghiburkan orang sekeliling, tiba-tiba bertukar karakter; memilih untuk senyap, duduk dalam keadaan gelap, bahkan banyak menghabiskan masa dengan tidur. 

Entah, hingga kini aku juga tidak mengerti mengapa itu semua berlaku. Bagaimana mungkin aku tahu, jikalau aku seperti hanya bercakap dengan kayu katil. Dia hanya memilih untuk senyap. Hanya kadang-kadang terdengar juga suaranya sedikit tatkala dinihari menjelma; ada bunyi sedu sedan di balik bantal. Jangan engkau tanya itu bunyi apa atau mengapa hanya yang itu saja bunyinya, kerana hingga kini aku juga masih belum mendapat jawapan.

Tetapi hari ini, aku harap aku akan dapat jawapan, dari seluruh tanda soal yang selalu berlabuh di atas kepala aku.

Aku meluru ke arah pintu. Ada seorang manusia sedang bertenggek di balkoni. Sikunya disandar besi balkoni, kedua telapak tangannya bersatu. Seakan aku tidak percaya, sahabat aku itu, memilih untuk keluar dari bilik.

Makin mendekat aku dengannya, makin kuat bunyi degup jantungku. Aku terus berjalan, mendekatinya. Berdebar.

Aku kuatkan hati, kuatkan diri, untuk bertegur sapa dan bertanya.

“Amar”, aku menyentuh belakang badannya. “Maaf, aku nak tanya kau sikit, boleh?”


*  *  *


“Kau ingat tak yang kau pernah sentuh belakang aku dulu, dan bertanya soalan paling maut?”

“Ingat. Kenapa?”

Amar senyum-senyum dan menggosok belakang aku, “Terima kasih.”

“Tak ada apa-apa, aku hanya wasilah bantuan yang Tuhan lorongkan buat kau. Semua kerja Tuhan.”

Matanya berkedip berkali-kali. Di hujung matanya berkaca-kaca.

“Sudah, kali ini aku mahu tuliskan sesuatu. Kau kena tolong aku. Tolong berikan kata nasihat buat insan-insan yang mungkin senasib dengan kau macam sebelum ini.”

Terus tanpa tunggu, dia keluarkan jawapan,“Keluar, lihat sekeliling dan dongak.”

Aku mengerling.

“Teroka.”

Senyap.

“Fikir.”

Dadanya berombak; nafasnya tertahan, dalam. Jeda. Bebola matanya berkeliaran ke kiri dan ke kanan, berhenti lama di kanan, kemudian mendongak.

Dia menyambung,“Berjalan, jangan berhenti, jangan hanya duduk diam membusuk dalam bilik. Hidup hanya ada makna bila kita berjalan.”

Keluar. Dongak. Lihat. Masih banyak jalan untukmu.
[credit : walpaperscaft]


______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1228, 091216








12/2/16

Tip-tip Menangani Pengaruh Rokok



 Tip-tip Menangani Pengaruh Rokok

_____


Hukum dan fatwa merokok sudah tersebar luas di pelosok dada akhbar dan pelosok dada-dada umat Islam.

Jelas, ianya HARAM.

Lebih jelas lagi, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia kali yang ke-37 pada 23 Mac 1995, telah memutuskan, tabiat merokok itu HARAM mengikut pandangan Islam.

Demikianlah lumrah barang yang Haram, makin diharamkan makin dicari, makin suka diguna.

Yang sudah terjebak dalam jerat  ketagihan rokok, selalu kita dengar daripada mereka, "Aku sudah terjebak, sudah terlajak, payah untuk berhenti. Engkau jangan berani cuba-cuba."

Kata-kata itu daripada kebanyakan mulut perokok tegar sendiri. Sudah terjebak, sudah terlajak. Tiada daya lagi.

Baik, dengan rendah hati, kami berikan beberapa tip untuk menangani pengaruh rokok, agar kita sama-sama kuat mengelak dan menangani pengaruh buruk ini.


____


Tip 1 : Pelihara Fungsi Aqal


Pepatah Melayu menyebut, "Mengikat binatang dengan tali, mengikat manusia dengan aqalnya."

Sebagaimana tali mengikat binatang supaya tidak berkeliaran lari, aqal manusia mengikat diri agar tidak terlepas mengikut hawa nafsu.

Aqal yang dipelihara, yang dijaga fungsinya, akan mengenal yang baik dan yang buruk. Lalu, aqal yang terpelihara itu tidak sewenang-wenang mudah membuat perkara yang ditafsir buruk, kerana fitrah dan fungsi asalnya hanya berpihak pada yang baik-baik.

Bahkan dalam maqasid syariah sekali pun, memelihara aqal itu amat dititik-beratkan dan berada diletakkan bersama memelihara agama, nyawa, harta dan nasab.

Dalam buku Falsafah Hidup, HAMKA menukilkan, "Orang yang berakal ialah orang yang mendapat inayat dari Allah (S.W.T). Barangsiapa mendapat inayat demikian, lebih kaya dia dari milioner. Sebab dari batinnya itulah memancar cahaya hidayah Rabbaniya. Hatinya penuh dengan kebijaksanaan, sangkanya baik, pengharapannya benar. Orang lain melihat sesuatu dari kulitnya, sedang dia (melihat) sampai ke dalam isinya. Sukar dia tergelincir dengan sengaja."

Dan, pada orang-orang beraqal dan sentiasa terpelihara fungsi aqalnya itu, ada tanda-tandanya.

Memetik kata-kata HAMKA lagi, "Orang yang berakal, luas pandangannya pada sesuatu yang menyakiti atau yang menyenangkan. Pandai memilih perkara yang memberikan manfaat dan menjauhi yang akan menyakiti. Dia memilih mana yang lebih kekal walaupun sulit jalannya daripada yang mudah didapati padahal rapuh. Sebab itu mereka pandang keutamaan akhirat lebih dari keutamaan dunia. Lebih mereka utamakan kegembiraan kesopanan daripada kegembiraan hawa nafsu. Mereka menimbang biarlah susah menempuh suatu perkara yang sulit asal akibatnya baik, daripada perkara yang mudah tetapi akibatnya buruk."

Terlintas pula di benak kita, lalu bagaimana kita mahu memelihara fungsi aqal kita?

Secara ringkasnya dengan tiga perkara ini, aqal kita akan dapat dijaga dan dipelihara.

Pertama, dengan menuntut ilmu yang benar. Kerana dengan ilmu, aqal kita akan sentiasa diguna dan diasah. Bahkan ilmu jugalah antara yang dapat memandu keputusan aqal.

Kedua, merenung setiap ciptaan dan kekuasaan Allah, kerana dengan dengan renungan mendalam, kita akan dapat berfikir, meneliti, dan menyelidik sarwa alam ini. Dengan itu, aqal kita akan lebih luas berdamping dengan kekuasaan Allah, dan membawa kita jadi lebih kuat keyakinan pada Allah dan Rasulullah.

Ketiga, tidak sesekali masuk ke jebak maksiat. Kerana sekali diri sudah terlarut dalam kongkongan maksiat, aqal jadi sedikit demi sedikit tunduk dan merelakan perbuatan maksiat itu. Akhirnya, fungsi aqal punah, dan sukar buat diri untuk berpatah balik.



____

Tip 2 : Penuhi Dada Dengan ILMU



Imam al-Ghazali menyifatkan aqal itu sebagai sumber ilmu, tempat timbul dan sendi ilmu. Ilmu itu berlaku daripada aqal sebagaimana berlakunya buah-buahan daripada pohon kayu, sinar daripada matahari dan penglihatan daripada mata.

Dengan aqal yang dipelihara fungsinya, ilmu akan mudah dirangkul dan lebih membantu diri menilai yang manakah ilmu yang bermanfaat dan ilmu yang bathil.

Rasullullah sallallahu 'alaihi wasallam, dalam satu hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad, mengajarkan kepada kita satu doa,

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Maksudnya, "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima."

Daripada ilmu yang benar dan bermanfaat itu, maka terlahirlah satu rasa dan perasaan yang tulen daripada ilmu; iaitu perasaan takut kepada Allah.

Saidina Abdullah bin Mas'ud radhiyallahu'anhu, sahabat Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam pernah berkata,

ليس العلم بكثرة الرّواية، إنّما العلم الخشية

"Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadis tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah."

Dan kata beliau lagi,

رأس الحكمة مخافة اللّه عزّ و جلّ

"Kepala hikmah itu ialah takut kepada Allah 'Azza wa Jalla."

Kata Imam Malik radhiyallahu'anhu, "Ilmu dan hikmah adalah cahaya yang Allah hidupkan dengan siapa yang dikehendaki-Nya, bukan dengan banyaknya masalah ilmiah."

Oleh itu, dengan perjuangan memenuhi dada dengan ilmu, dapat menatijahkan hakikat ilmu itu sendiri; iaitu takut kepada Allah.

Dengan takut itulah terbinanya Taqwa yang memandu hidup kita menolak segala maksiat dan perkara haram, seterusnya terus membawa kita destinasi abadi menuju syurga.




____

Tip 3 : Memilih Kawan Yang Betul


Bahagian ini adalah perkara yang penting dalam pergaulan kita.

Kita berkawan-kawan dengan semua orang, namun dalam berkawan-kawan itu, ada dalam kalangan mereka, kita akan buat sebagai kawan karib, merangkap sahabat kita, yang akan kita rapat dan akan ikut jejak mereka. Dalam perkara ini, kita perlu memilih dengan cermat.

Kerana sebagaimana agama sahabat-sahabat kita, seperti itu jugalah keadaan agama kita.

Sabda Nabi sallallahu'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi,

َ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

"Seseorang itu akan mengikuti agama temannya, kerananya hendaklah salah seorang di antara kalian mencermati kepada siapa dia berteman."

Bahkan, jika kita bersama dengan sahabat-sahabat yang punya ilmu dan peribadi yang luhur, lama kelamaan ia akan memberikan kesan kepada diri kita.

َ سَمِعْتُ أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Aku mendengar Abu Burdah bin Abu Musa daripada bapanya radliallahu 'anhu berkata; Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

"Perumpamaan orang yang bergaul dengan orang soleh dan orang yang bergaul dengan orang buruk seperti penjual minyak wangi dan tukang tempa besi,

Pasti kau dapatkan dari pedagang minyak wangi apakah kamu membeli minyak wanginya atau sekedar mendapatkan bau wangiannya,

sedangkan dari tukang tempa besi akan membakar badanmu atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap".

[HR Bukhari 1959]



Malah, Syeikh al-Imam Abu Hasan as-Syazili radhiyallahu 'anhu juga ada menitipkan nasihat buat kita :

Kekasihku(guru) berpesan kepadaku, "Janganlah engkau mendatangi (suatu tempat) melainkan untuk mendapatkan pahala Allah Ta'ala;

Janganlah engkau hadir melainkan engkau aman dari maksiat kepada Allah Ta'ala;

Janganlah berteman kecuali dengan orang yang dapat membantumu dalam melalkukan ketaatan kepada Allah Ta'ala; dan

Janganlah memilih teman rapat kecuali kepada orang yang dapat menambahkan keyakinanmu, sedang mereka itu sedikit."

Berkata lagi, "Orang yang menunjukkanmu  kepada dunia bererti ia telah menipumu, yang menunjukkanmu kepada amal bererti ia membuatmu letih, dan orang yang menunjukkanmu kepada Allah Ta'ala bererti ia telah menasihatimu dengan baik."

Lalu timbul pula persoalan yang melonjak lompat dari benak kita, "Bagaimana jika kami kini tercampak di tempat orang-orang yang tiada langsung orang-orang yang baik-baik?"

Jawapannya mudah, namun praktikalnya agak memeritkan.

"Kuatkan jiwa dan jasadmu. Jadikan dirimu pemula. Pemula orang baik yang melahirkan lebih ramai orang-orang yang lebih baik."

Senyum.


____


Tip 4 : Berani Mengatakan Tidak



Banyak situasi yang kita lihat, apabila kita didesak dan terus didesak, kita jadi makin lemah, lalu syaitan pula jadi kuat sama-sama bertepuk sama kuat bersama dengan pembawa obor kegelapan.

Kita banyak akur dan merelakan. Kebaikan dalam diri tidak mampu memberontak untuk buat lidah dengan tegas mengatakan "Tidak!".

"Tidak" itu amat berkuasa dalam melawan. Bahkan mampu melenyapkan ajakan-ajakan kegelapan.

Namun tanpa komponen 'Berani', tidak itu tidak mampu diungkap dengan mudah.

Dan, berani mengatakan "Tidak" pada perkara mungkar dan haram itu, terlahir dari keutuhan iman. Apabila iman sudah luntur, makin lunturlah keberanian itu.



____

Tip 5 : Berani Meninggalkan



Adakala kita sudah berani, tetapi ajakan syaitan dan sekutunya jauh lebih kuat.

Dicuba berkali-kali mengungkapkan "Tidak" tetapi pada setiap berkali-kali itulah mereka makin kuat mengajak dan menolak-nolak ke curam penuh noda itu.

Maka saat itu, berani kita harus dihala ke keberanian yang lebih tinggi; dengan meninggalkan tempat-tempat yang mudah membuat kita terjebak dengan perkara-perkara haram itu.

Berani keluar!

Dibawa sekali lagi ungkapan Syeikh al-Imam Abu Hasan as-Syazili radhiyallahu 'anhu,

"Janganlah engkau mendatangi (suatu tempat) melainkan untuk mendapatkan pahala Allah Ta'ala..."

Jikalau tempat yang kita pergi dan duduki itu tidak mampu membawa kita pada mendapatkan pahala bahkan membawa pula kita ke arah menghasilkan dosa, maka tinggalkanlah tempat itu. Tinggalkan. Ianya berbaloi, percayalah. Usahakan segera.

Beranilah keluar dari lingkungan itu, walau sayang kita pada tempat itu kadangkala melebihi segalanya, tetapi ingatlah cinta kita pada Allah dan Rasul-Nya, harus lebih besar melebihi segala.

Sekali lagi, beranikan dirimu untuk keluar!



_____

Ayuh tinggalkan rokok, tinggalkan pengaruh rokok.



Di pengujung ini, ingin dikhabarkan pada sekalian hamba-hamba Allah sekalian, tinggalkanlah puntung-puntung rokok di celah jarimu dan di celah-celah bibirmu itu.

Tuhan amat menyayangi hamba-hamba-Nya, dan disuruh kepada kita agar tidak mudah-mudah mencampakkan diri kita ke lembah yang penuh dengan kebinasaan.

Nasihatkan diri sendiri. Nasihatkan orang di sekeliling kita.

Buat insan yang sudah berjaya meninggalkan tabiat merokok ini, bimbinglah, bantulah orang-orang di sekeliling untuk mereka juga sama-sama berjaya berhenti meninggalkan rokok.

Mana tahu, boleh jadi, dengan asbab kuatnya mujahadah kita meninggalkan perkara haram ini, dengan asbab satu nasihat kita agar tinggalkan rokok ini, Allah melebarkan rahmat-Nya dengan menjadikan kita ahli tetap syurga, selama-lamanya.


_____


Wallahua'lam.

Moga tulisan ini jadi tulisan yang bermanfaat hingga akhirat.



_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1459
021116