11/27/16

Tip-tip Menjemput Keberkatan Masa



[Tip-tip Menjemput Keberkatan Masa]



Selalu kita lupa bahawa masa itu juga merupakan makhluk Allah.

Bahkan, kita sendiri yang diciptakan sebagai ciptaan paling sempurna turut diletakkan bersama dalam perjalanan makhluk masa ini.

Keberkatan masa bermaksud boleh melakukan banyak perkara dalam waktu yang singkat. Allah Subhanallah Ta'ala permudahkan urusan kita dengan melancarkan pelaksanaan kerja kita, dan tidak ditimpa halangan dan musibah yang mengendalakan kerja dalam perancangan kita.

Keberkatan masa juga bukanlah terletak pada kuantiti masa yang diperolehi tetapi kualiti pengisian masa itu sendiri.

Kita boleh lihat, ada orang hanya dengan satu jam sahaja, dia mampu melakukan dan menyelesaikan kerja atau tanggungjawab yang berbagai-bagai. Tetapi ada juga orang dengan satu jam, dia hanya mampu makan dan minum. Ada orang lain pula, dengan satu jam, dapat melakukan pelbagai jenis ibadah, tetapi ada orang yang hanya mampu melakukan satu jenis ibadah.

Keberkatan masa adalah antara kurniaan terindah Allah yang kadang-kadang sukar dipercayai oleh manusia kerana ia adalah sesuatu yang abstrak; tidak dapat dilihat, hanya dapat dirasa.

Hal ini dapat dilihat apabila kita telusuri hidup ulama' silam dahulu. Seperti Imam al-Ghazali, beliau mampu mengarang sebanyak 300 buah kitab dalam masa lebih kurang tempoh 14 tahun.

Betapa ramai manusia yang berumur 40 tahun, tapi adakah ada yang mampu mengarang 300 buah kitab apabila meninggal dunia pada umur 54 tahun? Itulah contoh hasil keberkatan masa Imam al-Ghazali.

Keberkatan masa ini perlu dicari. Ya, perlu dicari teman-teman.

Ingin sekali ditekankan di sini, bahawa kesedaran dalam mencari keberkatan masa itu amat penting, dan perlu diusahakan.

Jadi, ayuh mari kita lihat apa yang boleh menjemput keberkatan masa.



____


1) Solat di Awal Waktu


Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda, "Solat pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah."
[Hadith Riwayat Tirmidzi]

Solat sangat mempengaruhi susun atur waktu kita dan solat juga punya banyak hikmahnya.

Apabila kita benar-benar menjaga hak-Nya dengan beriltizam istiqamah menjaga solat di awal waktu, kita akan dapat rasa betapa berkatnya waktu-waktu yang Allah kurniakan buat kita.

Ianya berat, tetapi percayalah, ianya berbaloi. Berbaloi di dunia, berbaloi akhirat.



____

2) Merancang Pengisian Masa


Mahu membuang masa itu mudah, tidak perlukan tong sampah.

Tetapi untuk merancang itu memerlukan kerah. Sedikit kerah agar apa yang bakal kita lalui makin mudah dilihat dan cerah.

Tatkala kita akan berhadapan dengan waktu lapang, jangan lagi lengah-lengah. Terus capai pen dan catat segera perancangan masa kita, lebih teperinci lebih baik.

Jika kita tidak bersiap dengan perancangan, kita tetapmengisi waktu kita, tetapi ia laksana mengisi air dalam plastik yang bocor. Airnya masuk, tetapi tidak tahu ke mana mengalir hilang.

Sabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam,

“Dua nikmat daripada nikmat Allah yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah; sihat dan masa lapang” [Hadith Riwayat  Bukhari]


___


3) Membaca Al-Quran


Kata seorang ulama' Salaf:

كلما زاد حزبي من القرآن، زادت البركة في وقتي

"Setiap kali bertambah hizib bacaan al-Quranku, aku merasakan bertambah keberkatan pada waktuku."

Sungguh, saat kita membaca al-Quran, kita merasakan sangat lama untuk menghabiskan satu muka surat al-Quran, walhal untuk satu muka surat hanya memerlukan sekitar 2-5 minit sahaja.

Amalan ini tidak dapat kita rasakan jika kita sendiri tidak istiqamah membaca al-Quran.

Cubalah target, paling kurang pada setiap selesai solat, satu muka surat habis dibaca. Kemudian kita akan rasakan sedikit demi kesannya.


Telah berkata adh-Dhiya al-Maqdisi:

كنت إذا قرأت (القرآن) كثيرًا تيسر لي من سماع الحديث وكتابته
الكثير ، وإذا لم أقرأ لم يتيسر لي

"Bila aku membaca al-Quran dengan banyak, maka menjadi mudah bagiku untuk mendengar hadis dan menulisnya dengan banyak. Bila aku tidak membaca al-Quran, maka ia tidak menjadi mudah bagiku."



___

4) Buang Sikap Bertangguh-tangguh


Inilah antara racun utama dalam menjemput keberkatan masa. Kadang, kerana perkara inilah yang kita tidak sedar ada dalam amalan hidup kita. Ia sedikit demi sedikit membaham keberkatan masa kita.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Yusuf Qardhawi, tatkala membicarakan tentang hubungan kehidupan dan waktu,

“Waktu adalah hidup itu sendiri maka jangan sekali-kali engkau sia-siakan sedetik pun dari waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah. Setiap orang akan mempertanggungjawabkan usianya yang tidak lain adalah rangkaian dari waktu. Sikap negatif terhadap waktu nescaya membawa kerugian, seperti gemar menangguhkan atau mengulur waktu, yang bererti menghilangkan kesempatan. Namun, kemudian ia mengkambinghitamkan waktu saat ia merugi, sehingga tidak punya kesempatan untuk memperbaiki kekeliruan."


___


5) Beriman, Beramal Soleh, Berpesan-pesan


Ini ialah intipati Surah al-'Asr yang selalu kita bacakan pada setiap kali di akhir pertemuan.

Dan inilah juga yang patut kita amalkan supaya dapat kita elak daripada menjadi golongan "خُسْرٍ" yang difirmankan Allah.

Kita lihat kembali satu per satu, ayat ketiga daripada Surah al-'Asr ini.

Kecuali :

- orang-orang yang beriman.

- beramal soleh.

- dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran.

- serta berpesan-pesan dengan sabar.



Buya HAMKA menyimpulkan dalam tafsirnya,

"Maka daripada pengecualian yang empat ini: (1) Iman, (2) Amal shalih, (3) Ingat-mengingat tentang Kebenaran, (4) Ingat-mengingat tentang Kesabaran, kerugian yang mengancam masa hidup itu pastilah dapat dielakkan.

Kalau tidak ada syarat yang empat ini rugilah seluruh masa hidup.

Ibnul Qayyim di dalam kitabnya “Miftahu Daris-Sa’adah” menerengkan: “Kalau keempat martabat telah tercapai oleh manusia, hasillah tujuannya menuju kesempurnaan hidup.

Pertama: Mengetahui Kebenaran.

Kedua: Mengamalkan Kebenaran itu.

Ketiga: Mengajarkan kepada orang yang belum pandai memakaikannya.

Keempat: Sabar di dalam menyesuaikan diri dengan Kebenaran dan mengamalkan dan mengajarkannya. Jelaslah susunan yang empat itu di dalam Surat ini.

Dalam Surat ini Tuhan menerangkan martabat yang empat itu. Dan Tuhan bersumpah, demi masa, bahwasanya tiap-tiap orang rugilah hidupnya kecuali orang yang beriman. Yaitu orang yang mengetahui kebenaran lalu mengakuinya. Itulah martabat pertama.

Beramal yang shalih, yaitu setelah Kebenaran itu diketahui lalu diamalkan; itulah martabat yang kedua.

Berpesan-pesanan dengan Kebenaran itu, tunjuk menunjuki jalan ke sana. Itulah martabat ketiga.

Berpesan-pesanan, nasihat-menasihati, supaya sabar menegakkan kebenaran dan teguh hati jangan bergoncang. Itulah martabat keempat. Dengan demikian tercapailah kesempurnaan.

Sebab kesempurnaan itu ialah sempurna pada diri sendiri dan menyempurnakan pula bagi orang lain. Kesempurnaan itu dicapai dengan kekuatan ilmu dan kekuatan amal. Buat memenuhi kekuatan ilmiah ialah Iman. Buat peneguh kekuatan amaliah ialah berbuat amal yang shalih. Dan menyempurnakan orang lain ialah dengan mengajarkannya kepada mereka dan mengajaknya bersabar dalam berilmu dan beramal.

Lantaran itu meskipun Surat ini pendek sekali namun isinya mengumpulkan kebajikan dengan segala cabang rantingnya. Segala pujilah bagi Allah yang telah menjadikan kitabnya mencukupi dari segala macam kitab, pengobat dari segala macam penyakit dan penunjuk bagi segala jalan kebenaran.”


___

6) Berpagi-pagi


Ini antara yang berat dilakukan, tambah pula buat para pemuda hari ini yang kebanyakannya leka diulit talian internet hingga lewat malam.

Natijahnya, pagi kita pagi yang kusam dan dan tidak dihargai.

Pada menghargai pagi dan tidak tidur selepas solat subuh, sangat banyak kelebihan dan keberkatan yang boleh kita perolehi. Terlalu banyak perkara yang boleh diisi dan dilakukan.

عَنْ صَخْرٍ الْغَامِدِيِّ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا قَالَ وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ قَالَ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلًا تَاجِرًا فَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ
Daripada Shakhr Al Ghamidi dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,
"Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu paginya."
Shakhr Al Ghamidi berkata, "Beliau jika mengutus ekspedisi, atau pasukan beliau memberangkatkannya pada pagi hari."
Dia (perawi) berkata, "Shakhr Al Ghamidi adalah seorang pedagang, dia biasa mengirim barang dagangannya pada pagi hari hingga beruntung dan melimpahlah hartanya."
[Hadith Riwayat Ibnu Majah, nombor 2227]


Diriwayatkan daripada Saidatina 'Aisyah radhiyallahu'anha bahawa Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda,
"Berpagi-pagilah kamu dalam mencari rezeki dan keperluan, kerana keluar pada waktu pagi itu terdapat keberkatan dan kejayaan."[Hadith Riwayat Thabrani]


____

7) Doa


Akhir sekali, terus panjatkan doa, mohon dengan penuh kesungguhan, agar ALLAH berikan keberkatan masa dan keberkatan hidup kepada kita.

Lebih molek jika kita cari dan bertemu dengan waktu-waktu yang mustajab berdoa, lalu kita bersungguh-sungguh berdoa dalam waktu itu.

Moga dengan hidup kita yang singkat ini, dikurnia barakahnya. Yang sedikit dirasa banyak, yang sempit dirasa luas, yang nipis dirasa tebal.


Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda,

“Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk berdoa; memohon kepada Allah, waktu dia menghitung diri sendiri, waktu untuk ia memikirkan segala kejadian Allah dan suatu waktu untuk ia menikmati hajatnya daripada makan dan minum.” [Hadith Riwayat Ibnu Hibban]



____

Selamat Beramal.


Tiadalah gunanya jika diberikan tip-tip berjela, tetapi kita tidak lakukan walau satu pun.

Ukur kemampuan diri kita sendiri dan buatlah sekadar mampu. Tidak mampu lakukan semua, buatlah separuh atau lebih kurang daripada itu. Jangan sampai tidak diamal walau secebis satu.

Sebagaimana satu kaedah menyebut,


مَا لاَ يُدْرَكُ كُلُّهُ لاَ يُتْرَكُ كُلُّهُ

“Apa-apa yang tidak boleh dilakukan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya."


Lakukanlah dan rasakan sendiri kesannya. Kata ulama' tasawuf,

من لم يذق لم يعرف

"Barang siapa yang tidak merasa, tidak akan mengetahui."



Barangkali masih banyak lagi amalan dan tip untuk menjemput keberkatan masa, dan yang diberikan di sini hanya sedikit daripadanya. Jika ada yang ingin lagi berkongsi, boleh sama-sama kita kongsikan lagi di sini.

Moga bermanfaat dunia akhirat.


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1652
250616

11/25/16

Air di Belakang



[Cerita Dari Masjid]

_____

Kami berjalan dari Wafa' Amal, mahu bergerak ke Technology Mall. Sebelum itu kami singgah maghrib sebentar di masjid berdekatan.

Usai sahaja solat, saya undurkan sedikit ke belakang dan tangan saya tiba-tiba tertolak satu botol minuman. Jatuh. Jadi saya tegakkan kembali dengan anggapan mungkin botol minuman itu orang Arab di sebelah saya yang punya.

Seketika itu, saya perasan juga ada dua orang budak lelaki comel berlari-lari ulang alik dalam masjid. Saya hanya lihat sekali lalu, tanpa hiraukan.

Saya terus duduk berteleku di situ.

Orang di sebelah kanan saya tadi tiba-tiba meletak botol air yang saya jatuhkan tadi di hadapan saya. Apabila saya berpaling ke kanan dan kiri, baru saya sedar yang masing-masing ahli jemaah dapat sebotol air mineral sejuk. Plastik di penutupnya juga masih belum terbuka. Baru.

Kemudian baru saya perasan dua orang budak lelaki tadi sedang ambil air mineral dari kotak besar dan berikan kepada jemaah masjid.

Seorang pemuda di sebelah saya tiba-tiba bersuara, "Ini semua untuk apa?"

Saya jawab, "Hadiah."

Kami tersenyum.

Lelaki di sebelah kanan saya pula mengungkapkan, "Seindah-indah hadiah, ialah air (اجمل هدية المياة)."

Kami beramai-ramai menyahut, "Betul!"

Dia menyambung lagi dengan firman Tuhan ayat tiga puluh dari Surah Al-Anbiya', "وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَي (Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup)."

Puas mendengar firman Tuhan yang maha indah, sama-sama kami menguntum senyum.

Lelaki tersebut terkumat kamit meneruskan zikir dan kami meneruskan agenda perjalanan kami.

Kadang, dengan hanya sebaris ayat Tuhan yang disebut insan, boleh bawa jutaan makna dalam diri insan yang mendengarnya.

Kerana, pada setiap ayat-ayatNya, punya segala keindahan yang tak dapat diungkap sekalian indera.

______


Ayat lengkap Surah Al-Anbiya', Ayat 30.

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya. Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup.
Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?

_______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
241116

Karamah Ibu


[Karamah Ibu]


"Mama, tuala abang kat mana?"

Senyum-senyum seorang bila teringat dan merindu mama.

Kadang, bila balik Malaysia, soalan itu sengaja dibunyikan. Padahal barang kita, kita yang guna, pastilah kita yang lebih dan sepatutnya tahu.

Tetapi, itulah yang dikata karamah ibu.

Dia boleh beritahu juga barang kita di celah mana. Hingga kadang-kadang kita sendiri hairan macam mana dia boleh tahu.

Jika habis talian hayat sekali pun, dia tetap juga akan 'payung' kita.

"Nah, ambillah tuala baru."

Senyum.


____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
251115

11/22/16

Tafsir Al-Azhar Surah An-Naazi'aat - HAMKA



Bismillah.

Wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah.

_______


Kredit foto : tafsir.cahcepu.com


Tafsir Al-Azhar antara tafsir yang istimewa bagi saya.

Dan antara surah-surah awal yang saya mulakan ialah dengan membaca bermula dari Juzuk Amma.

Banyak laman web yang menyediakan Tafsir Al-Azhar bagi juzuk Amma, tetapi sayangnya, hampir kesemua pdf yang dimuat turun, tidak terdapat satu surah di dalamnya, iaitu Surah An-Naazi'aat.

Lama saya mencari di laman web lain, kalau-kalau ada pdf untuk tafsir surah ini, namun agak payah dicari.

Lalu dengan izin Allah, saya memulakan inisiatif sendiri dengan mula mencari dan menyalin semula surah ini untuk manfaat kita semua.

Maka, inilah hasilnya.



Anda boleh download terus dari sini.









Moga bermanfaat dunia akhirat.


______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1649, 221116




*  *  *


11/14/16

Cukuplah ALLAH




Selepas makan, kami duduk-duduk sambil menonton satu rancangan keusahawanan di televisyen.

Ayah sahabat kami kemudian memulakan bicara, "Hasbunallahu wa ni'mal wakeel."

Kami bertiga menumpu perhatian kepada kata itu.

Senyap.

Kemudian ayah sahabat kami menyambung, "Kita belum kaya selagi kita hanya kejar duit dan mengumpul duit."

Kami tambah berminat dengan kalam pendek itu.

Ayahnya meneruskan lagi, "Hasbiyallah. Cukuplah ALLAH bagiku. Itulah kunci kekayaan dalam jiwa kita. Apabila kita rasa cukuplah hanya ALLAH dalam hati kita, cukup itulah yang menjadikan kita rasa cukup segalanya, cukup serba serbi, kaya. Kerana, DIA-lah yang maha memberi segalanya."

Allah...

Kata ini buat saya kembali tenggelam merenung hati sendiri.

Adakah sudah tenggelam dek air bah keduniaan, atau masih punya harapan berenang ke tepian, lalu hanya menghirup apabila perlu.

Insof.


____

Muhd Iqbal Samsudin
Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia.
1836, 240716

11/10/16

Melangkah Bersama Ke Syurga



Menjadi idaman dan cita-cita seorang pendakwah, untuk mengajak seluruh manusia mencintai Allah dan Rasulullah, dan sama-sama ingin masuk ke dalam syurga.

Sama-sama. Masuk Syurga.

Semua itu dilakukan dengan ikhlas dan sayang.

Ikhlas, sebagai syarat menuju syurga, bertemu Allah Maha Mulia.

Sayang, sebagai bahasa indah, menyeru dan sama-sama berpaut pimpin, menuju syurga.

Kita bertemu dan bergaul dengan sekalian insan, bertemankan dengan satu senjata yang paling ampuh, iaitu Kasih Sayang.

Kita sayang, dan kita  kasih, pada sekalian insan, sekalian makhluk Allah. Itulah yang Rasulullahi sallallahu 'alahi wasallam ajarkan pada kita, kerana kasih dan sayang itu mengharmonikan dan bahasa paling universal yang membahagiakan,..

Tetapi andai segala 'ilmu agama' yang dipelajari itu membuatkan kita asyik membida'ahkan dan mengkafirkan umat manusia, di mana rahmat dalam dakwah kita?

Andai menjumpai golongan seperti ini, khabarkan yang benar-benar buat mereka; pada makna sebenar kasih dan sayang.

Santuni mereka.

Khabarkan kepada mereka, "Syurga itu untuk kita. Ayuh sama-sama kita bergerak ke sana. Tiada yang lebih mulia, melainkan yang paling bertaqwa."


#DuhaiTemanAyuhMenujuTuhan



____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
0111, 150316

Menulis Umur

[Puisi]

Ada hari
rasa-rasa dalam kelopak
ingin lompat keluar,
ia berupa air
suam-suam terpendam.


Ada hari
rasa-rasa dalam dada, bergelora

Ada hari
marah itu membahang-bahang

ingin sekali ia
terbit menari
di kajang kosong,
bermandi dakwat likat.



Lalu, semua aku
tumpahkan dalam
bentuk aksara
membentuk dan
mewakilkan segenap rasa



____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1737
110416

Benak Menjerit

[Puisi]


Benakku pernah menjerit
tapi tiada yang mendengari


Teriakku pernah berbunyi
ia mengalir tapi bergari


Rasaku memberontak
ilmuku menggelegak
Budiku kian tamak
kutarik pena lalu kutulis


Tiada bunyi tembakan
Tiada derai tangisan
Tapi tembus tempias
Selerak ketepian
Ke ribuan kepala
Membawa ribuan pahala
Menjemput redha Tuhan
Dan kerana itu aku menulis


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1735, 110416

Bukanlah Ditolak



Satu ilmu hidup yang besar perlu dipelajari, semasa melibatkan diri dalam persatuan atau apa jenis kesatuan sekali pun, ialah jangan pernah rasa diri kita ditolak secara total jikalau pendapat yang kita berikan dalam mesyuarat atau satu komuniti itu ditolak.

Itulah adat dan adab berada dalam satu kesatuan atau persatuan.

Dengan kepelbagaian pendapat yang diterima, bkan pendapat kita sahaja yang akan diterima dan ditimbang, tetapi pendapat orang-orang lain juga sama, akan turut diterima dan ditimbang.

Jika mesyuarat telah putuskan untuk terima pandangan orang lain dan pandangan kita ditolak, jangan berduka nestapa dan berdrama air mata.

Rileks dan bersabar dulu. Jagalah adab berjemaah sebaiknya. Anda bukanlah ditolak.

Mungkin hari ini pendapat kita dilihat tidak relevan, kerana skop mata besar melihat perkara yang berbeza dengan skop mata kecil kita.

Tetapi tidak mustahil, pendapat kita akan digunakan juga pada masa hadapan, tidak mustahil. Dan apabila ianya digunakan insyaAllah akan mengalir juga pahala buat kita, yakinlah.

Inilah ilmu hidup yang besar walau hanya dilihat kecil, kerana kita hidup dunia ini bukan berseorangan, kita hidup dalam kemeriahan rencam hemat insan.

Terus berjalan dan mengukir senyum paling ikhlas.


______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2236
210416

Jangan Risaukan



Nasihat-nasihat ayah, tidak selalu lembut selembut bubut bayu menghembus.

Ada kalanya, ia keras mencengkam, pedih menghiris-hiris, hinggakan kadang-kadang menyebabkan air mata terlompat keluar, kerana nasihat-nasihatnya itu ada sayang dan jujur; tulus mulus, tetapi semuanya muluk-muluk belaka.

Dan apabila di kejauhan, nasihat-nasihat semacam itu sangat dirindukan. Rindu serindunya.

"Kita lelaki ini harus bijak menyembunyi sakit, kerana saatnya kita menjadi ketua dalam keluarga nanti, kitalah pertahanan pertama. Kalau pertahanan pertama sudah lunyai, habislah hancur yang di belakang. Belajar dari sekarang."



_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.

Tetamu Dari Tuhan




Aku ke Alexandria. Kali ini, tujuan aku hanya satu, iaitu untuk buat follow up untuk post-operative LASIK.

Sebelum ini, aku berkelana berseorangan. Ya aku pergi ke Alexandria berseorang dari Cairo. Bukanlah kerana aku berasa aku kuat dan tak perlu pertolongan sesiapa, tetapi aku tidak mahu susahkan sesiapa, sebab masing-masing punya kelas dan urusan masing-masing.

Sampai di Alexandria, terus aku bergerak ke klinik itu. Habis urusan follow up, aku terus ke rumah sahabat rapatku di sana. Dapat melihat senyum mereka pun sudah tidak mengapa, dapat mengubat rindu di hati.

Sahabat aku yang tinggal di tempat lain di Alexandria turut datang menjenguk aku. Aku jadi kagum dengannya dan dengan perubahannya.

Lalu aku jujur bertanya, "Dulu kalau aku mai masa musim exam, hang langsung tak layan aku. Tapi sekarang, walau tengah exam, hang sanggup mai kat aku. Kenapa?"

Tiada lapik-lapik. Terus aku tanya.

Dia mengakui akan sikapnya yang dahulu itu dan berkata, "Aku rasa, apabila aku tidak endahkan tetamu, markah exam aku tidak banyak-banyak juga, tak banyak bezanya kalau aku layan tetamu pun. Bahkan, kadang-kadang boleh jadi markah aku tinggi kalau aku layan tetamu. Sekarang, aku ambil keputusan untuk layan sebaik-baik layanan pada semua tetamu, pada semua orang yang mai melawat aku."

Aku terpaku mendengar jawapan tersebut. Jelas, aku juga merasai apa yang dia rasakan.

Pada tetamu itu, ada rahmat, yang tidak dapat dilihat, namun dapat dirasa dari hati yang bening.


_______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1456
250516

Tip-tip Menghadapi Dur Thani



Ada yang minta tip-tip menghadapi peperiksaan kedua dur thani. Ya, buat pelajar perubatan di Mesir.

Buat yang ingin mengetahui, peperiksaan 'Final Exam' di kebanyakan fakulti perubatan di Mesir ini ada dua peluang. Peperiksaan buat kali pertama dinamakan 'Dur Awwal', dan kalau lulus ngam ngam atau lulus cemerlang, alhamdulillah. Syukurlah banyak-banyak. Tetapi, kalau gagal, akan diberikan peluang kedua 'reseat paper' yang gagal, peperiksaan ini dinamakan 'Dur Thani'.

Saya tak adalah pandai sangat, tapi untuk pengalaman dur thani itu ada jugalah sedikit.

Sudah empat kali saya menempuh dur thani sebelum ini, dan alhamdulillah peluang kedua yang diberikan ini kebanyakannya saya berjaya tempuh, namun tidak terlepas juga dari menempuh kegagalan.

Stress memang stress. Tapi, atas kitalah semuanya, mahu terima dan lalui semua ini dengan cara yang bagaimana.

Ada juga subjek yang saya baca dan hadam, betul-betul dengan lelehan air mata. Susah ya Rabbi taktau nak habaq lagu mana. Tetapi semua itu akan jadi berbaloi dan manis selepas kita usaha sehabis mampu dan kita berjaya di hujungnya.

Moga tahun-tahun mendatang, kita tidak lagi diuji dengan dur thani yang teramat perit ini.

____



Apa yang perlu dilakukan dalam fatrah dur thani?

Di sini saya berikan secara ringkas.


- Bertenang, perbaharui semula niat, ingat kembali matlamat kita, pedulikan kata-kata buruk orang kepada kita.


- Fokus, fokus, fokus. Terus jalan!


- Tinggalkan semua destraction, contoh kalau laptop boleh ganggu kita, jangan dekati laptop dah, atau hantar kepada sesiapa untuk jagakan. Kalau perlu pindah ke rumah kawan, pindahlah. Berkorbanlah sebentar, demi sebuah kejayaan.


- Ketika dur thani, bagi saya kena buang ego atau rasa besar diri, pergi bergaul dan buat atau masuk studi grup dengan orang lain. Sebab masa dur thani ni kita mudah down dan putus asa. Kalau berseorangan ni, sekejap saja semangat, kemudian futur semula. Setan pun senang nak buat kerja dia hasut buat benda lagha. Selalunya, dengan moral support daripada sahabat-sahabat kita, kita jadi lebih kuat. Dan kalau selalu buat studi grup, kita lebih mudah ingat,dan lebih cepat cover tajuk yang kena baca.


- Buat jadual harian siap-siap sampai ke hari exam, dan disiplinkan diri ikut jadual ketat-ketat, jangan mengelat. Bila ada jadual, akan kurang risiko untuk kita buang masa dan nampak matlamat kita.


- Kalau cara saya, setiap subjek perlu ada buku nota. Apa yang kita dapat dan faham semasa studi, catatkan dalam bentuk yang mudah kita baca semula, untuk solidify memory masa nak dekat exam nanti.


- Past years questions jangan lupa buat, supaya kita sudah terbiasa dengan alam realiti dan tak gelabah dalam exam. Soalan yang selalu naik tu, catat balik jawapannya, hafal. Boleh jadi ada potensi akan naik lagi soalan tu.


- Tahajjud minta sungguh-sungguh kepada Allah. Selagi kita tak serius menangis berdoa ketika tahajjud, selagi itu kita belum cukup serius meminta kepada Allah.


___


Apa yang selalu saya ingat setiap kali menghadapi dur thani, "Selagi ada peluang, jangan lelah berjuang!"

Kita tidak berseorangan, Allah ada bersama kita.


Muhd Iqbal Samsudin
Baling, Kedah, Malaysia.
0947
120816

11/9/16

Menangkan Sabarmu



Kita memandu kereta di jalanan.

Di hadapan, ada sebuah kereta yang dipandu dengan sangat perlahan.

Kita bertekad mahu memotong kereta di hadapan, namun kereta di belakang kita jauh lagi pantas menghidu peluang memotong, keretanya laju ke hadapan memotong.

Dengan rasa melonjak-lonjak dan membuak-buak, kita juga ingin ikut jejak kereta yang memotong tadi. Sudah bunyi azam dalam hati, 'Selepas dia, pasti aku!'

Elok sahaja mahu memotong, datang lori besar dan panjang laju di hadapan.

Kita tunggu dan terus menunggu, dan kita sabar dan sabar lagi.

Apabila jalan kosong dan tempat pula sesuai, kita teruskan niat kita yang tadi; dengan tekad dan berani.

Demikianlah dalam hidup.

Adakalanya, kita tidak boleh sama laju dengan orang lain, kerana suratan mereka lain dan suratan kita lain. Kalau kita ikut sama laju dengan mereka, barangkali ada sesuatu yang kita tidak diingini di hadapan bakal membaham kita.

Lalu, apabila datang waktu dan ketikanya yang sesuai, semuanya jadi serba kena dan serba menjadi. Tanpa ada yang tersekat-sekat lagi.

Hanya yang perlu saat sebelumnya, kita tunggu dengan sabar.

Menangkan sabarmu dahulu, teman.

____

Muhd Iqbal Samsudin
Baling, Kedah, Malaysia.
1825
130716