10/25/16

Gerabak Ayam

[Cerita Dari Jalanan]

Benarlah, berseorangan itu penat.

Dari Kaherah, aku bergerak ke Kota Iskandariah berseorangan, untuk lakukan pembedahan kecil yang dilakukan pada kedua-dua belah kornea mataku; LASIK.

Laser-assisted in situ keratomileusis atau LASIK ini merupakan satu pembedahan mata yang menggunakan laser, yang berupaya membetulkan semula myopia(rabun dekat), hyperopia(rabun jauh) dan astigmatism(silau). Selepas semua defective ini dapat dibetulkan semula, maka bebaslah kita dari cengkaman kaca mata. Bagi seorang yang aktif bersukan dan aktiviti lasak, maka ini ialah satu nikmat besar!

Oleh kerana itulah, setelah kaca mata aku pecah semasa perlawanan futsal antara batch dahulu, aku terus bertekad untuk lakukan LASIK, kerana mengikut kira-kira aku, ianya lebih menguntungkan. Iyalah, cuba bayangkan, kalau setiap kali pecah atau rosak kaca mata perlu diperbaiki atau ditukar, sudah berapa kos semua itu, boleh tahan mahal juga.

Memandangkan kos buat LASIK di Mesir ini tidak terlalu mahal seperti di Malaysia, maka aku membulat tekad bertegak azam untuk buat juga LASIK. Walaupun final exam ketika itu sudah agak di hujung tanduk, aku tetap teruskan,

Selepas kerja-kerja membandingkan harga sudah dibuat, aku memilih untuk buat LASIK di bumi Iskandariah, memandangkan kos di sana jauh lebih murah berbanding di Kaherah.

Dengan tekad itulah aku bergerak. Tidak kisah jika tiada yang dapat menemani aku, dan aku pun tak sanggup mahu menyusahkan orang lain pada musim peperiksaan yang makin dekat. Aku memahami situasi ini, tatkala peperiksaan mendekat, semuanya seakan bertukar menjadi narsisistik, kadangkala aku juga terikut menjadi begitu.

Jarak dari Kaherah ke Kota Iskandariah sekitar 200km, kutempuh berseorangan. Pada sebelah pulang kutempuh lagi 200km, menjadikan jumlah perjalanan aku lebih kurang 400km totalnya. Aku bertabah.

Ini bukan kali pertama aku berseorangan ke kota ini, sudah kali kedua kalau tidak silap ingatan aku. Jadual kehidupan kita, tidak akan mampu mengubah jadual hidup orang lain, tambah-tambah pada musim peperiksaan. Aku pula, apabila sudah membulat tekad, aku tidak kira apa sahaja di hadapan, aku tempuh, yang penting aku berjaya.

Tak mengapa semua itu, biar berseorangan, aku harus kuat, aku perlu memandang hadapan dan terus berjalan.

Seperti biasa, teman akrab yang terus menerus menemaniku, walau tidak bernyawa, nyata ianya sebuah buku. Ke mana-mana pasti bersama; teman paling setia.

Setibanya di sana, mujurlah ada sahabat karib aku di kota persisiran pantai ini, dalam kesibukan mereka masih mampu melayan tetamu persis aku. Dalam bab melayan tetamu, aku banyak belajar daripada mereka. Sahabat-sahabat ini, siapa pun mereka, kurniaan nikmat besar daripada Tuhan buatku, harus sentiasa menghargai mereka.

Ahyad, Ahmad Naufal, seandainya kalian baca tulisan ini, aku amat berterima kasih pada kalian. Moga Allah membalas kebaikan kalian dengan kebaikan yang lebih besar.


*   *   *

Di sebelah pulang, kali ini aku memilih pilihan yang langka, iaitu menaiki tren ayam.

Tren ini dipanggil tren ayam, kerana kebanyakan marhaen Mesir apabila mereka menaiki tren ini, mereka akan bawa sekali bersama mereka haiwan ternakan mereka, dengan berbagai-bagai tujuan. Ada yang mahu dijual di bandar lain, ada yang mahu dibawa ke rumah saudara-mara, ada yang ternak di tempat lain,dan bermacam-macam lagi.

Sudah semacam bahtera Nabi Nuh jadinya. Menguntum senyum keseorangan.

Bukan apa aku memilih tren ini. Pertama, kerana saat aku meraba-raba kocek seluarku, aku tersedar yang aku sebenarnya sudah pokai. Masakan tidak, sudah berapa ribu genih aku habiskan untuk bayar kos pembedahan LASIK itu. Tren ayam ini murah saja tiketnya, tak sampai pun lima genih, perbezaan yang amat ketara jika mahu dibandingkan dengan tren kelas dua atau kelas pertama. Kedua, kerana aku benar-benar ingin melihat sendiri suasana keadaan tren ini. Keinginan dala diri aku amat tinggi untuk merasai sendiri pengalaman berbeza ini, pasti menarik untuk ditambah pengalaman di bumi Kinanah ini, tidaklah asyik merasa naik yang mewah-mewah saja.

Usai sahaja membeli tiket, terus aku berjalan di sisi tren. Tak tahu gerabak mana satu, aku pastikan dengan bertanya pegawai di situ, dan aku pun naiklah gerabak yang aku sendiri tidak pasti apa yang ada di dalamnya. Ada sahabat-sahabatku mengatakan tren ayam ini berbau hancing dan amat sesak, namun aku tak kisah, aku tetap naik.

Setelah menapak kaki di dalam gerabak, rupanya tidaklah buruk seperti yang dicerita, atau mungkin nasib aku baik dapat gerabak yang baik. Tidak terlalu sesak, tiada binatang-binatang bawaan yang pelik-pelik. Semuanya damai, cuma fasilitinya sahajalah yang berbeza; hanya sekadarnya saja, seperti yang dijangka.

Ya, aku sekonyong-konyong sa-orang Melayu dalam gerabak tren ayam ini.

Bersebelahan dan berhadapan aku dua orang pemuda asli Mesir, aslinya mereka ini hingga negara yang bernama Malaysia pun mereka tidak pernah kenal. Itu tidak menjadi kehairanan, kerana tentera yang buta huruf masih ramai di Mesir ini.

Tetapi, perbualan sesama kami mudah, mereka memahami aku, aku memahami mereka.

Kedua-dua mereka bernama Mustafa, dan kedua-dua mereka berumur dua-dua; lebih muda daripadaku.

Si baju merah menjerit kepada si baju hijau "Mustafa!", si baju hijau pun menjerit kepada si baju merah, " Mustafa!". Begitulah di Mesir, nama sama jadi biasa, memanggil nama orang lain dengan nama sendiri pun biasa.

Sa-orang penjual roti gula berbijan lalu dilaluan kami, lalu si Mustafa berbaju merah belikan tiga. Dua untuk mereka, satu untuk sekonyong Melayu ini.

Mustafa baju merah tanya, "Malaysia tu dekat dengan China?" Yakin persis yakin sa-orang Arab bertanya.

Aku masih berkaca mata hitam Ray Ban, menjawab, "Tidak, jauh. Tapi masih sama-sama dalam benua Asia". Kacak betul aku.......punya spek.

Dia bertanya lagi, "Kau ni ada masuk tentera ke?" Dia tunjuk-tunjuk abam askar berbaju celoreng coklat muda bersulam tulisan di dadanya Geish El-Masri.

Aku terus menepis, "Eh tak, aku ni hanya pelajar saja." Sambil sinyium-sinyium, acah-acah aku pun buat badan ketak-ketak.

Selepas mereka turun, ada seorang perempuan berhijab gaya Arab sekitar awal 30-an masuk ke gerabak itu dan duduk di hadapan kanan aku.

Kami hanya duduk tanpa bicara. Aku cuba juga berinteraksi dengannya apabila sampai di stesen baru, "Kita sekarang di mana?"

Lalu dia pun memandangku sembari menjawab dengan santun. Kemudian menyambung lagi meletak dagu di jendela gerabak, melihat isi alam.

Di tempat duduk sebelah kiri aku ada sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki. Anak mereka sekitar umur tiga tahun dan nampak begitu memanjakannya, barangkali itulah satu-satunya anak yang merek ada.

Rupanya bukan aku seorang yang sedang melihat budak itu, perempuan berhijab tadi pun sedang memerhatikan anak kecil itu. Wajahnya redup, matanya seakan berkolam dan berkaca-kaca. Kadangkala dia senyum melihat keletah anak kecil itu. Romannya berubah menjadi seorang ibu yang penyayang. Riaknya seakan menunjukkan kalbu seorang ibu sedang hangat merindui anaknya, atau dia sudah berkahwin tetapi belum direzekikan menimang anak. Ah, entah aku pun tak tahu.

Tetapi daripada wajahnya, benar-benar mengesan hatiku. Wajah keibuan yang tiada siapa mampu menduga apa yang telah dilaluinya.

Lama sungguh perjalanan kali ini. Tren ini seakan laju, tetapi agak perlahan rupanya. Hampir lima jam lebih perjalanannya, berbanding tren kelas dua yang hanya mengambil masa sekitar tiga jam.

Hinggalah apabila matahari sudah menyorok ke bawah, barulah tiba semula aku di stesen kereta api Ramses, Kaherah.

Aku bangkit dan lihat sekeliling, takut ada barang yang tertinggal, sambil berkata sunyi dalam hati, 'Betapa banyak aku belajar dari gerabak ini.'

Perjalanan yang sepatutnya penat, tetapi apabila hati sudah puas, segalanya jadi riang.

Selamat tinggal gerabak ayam!



Muhd Iqbal Samsudin
Dalam tren ayam.
080516

10/23/16

Cerpen : Si Tua Bosan

[Cerpen : Si Tua Bosan]


____


Aku sedang duduk-duduk menghirup udara segar taman bunga, sambil bersenang-senang di kerusi batu.

Indah kuntuman bunga. Nyaman hembus udara. Anginnya sedap membelai pipi.

Di penjuru taman, aku lihat ada satu kerusi malas di bawah pohon nan rendang. Dan yang duduk di kerusi itu asyik menguap-nguap seakan bosan, tapi matanya tiada tanda seakan mahu tidur.

Aku mendekati kerusi itu lalu cuba berbasa-basi, "Pak Cik okay?"

"Tak okay, nak," dibalas pendek.

"Kenapa Pak Cik? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?"

"Pak Cik dah tidur terlalu lama, rasa bosan. Kadang-kadang rasa diri Pak Cik ini, membosankan."

Kerutku makin meninggi, tekun merenung raut-raut roman Pak Cik itu.

"Kenapa Pak Cik rasa begitu?"

Angin tiba-tiba kuat mendesir. Pak Cik itu diam, sedang berfikir gamaknya.

"Barangkali semasa muda-muda dulu, Pak Cik asyik sebut bosan, bosan, bosan. Asyik menyebut itu saja.

Tapi Pak Cik tak berbuat apa-apa. Tiada apa yang Pak Cik hasilkan, tiada apa-apa produk hidup. Malas.

Budi pula terserkup, tidak ke mana-mana.

Walhasil, beginilah hari tua Pak Cik, juga bosan, bahkan membosankan!"

Panjang pula jawapannya. Walaupun nampak seakan dia tidak punya pendidikan tinggi, dia tetap nampak kaya dengan pengalaman hidup. Barangkali, inilah yang dimaksudkan dengan kebijaksaan orang tua.

"Kenapa Pak Cik bosan?" Aku cuba menguis lagi soalan.

"Kerana Pak Cik tak berjalan. Datang masalah, kecewa. Duduk saja; statik. Maka terhenti habis segala-gala jalan fikir dan jalan ilmu."

Bernas jawapannya.

"Apa sebab Pak Cik malas dulu?"

Dijawab pantas, "Hmmm. Entah. Malas Pak Cik nak fikir."

Terus aku membalas, "Okay."

Kini aku tahu jawapannya.


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
0130
291215


Cerpen : Yang Engkau Cinta

[Cerpen : Yang Engkau Cinta]



Hawa kereta sunyi tanpa kalam dan sapa. Tika itu, kereta baru sahaja meluncur keluar dari rumah. Belum ada bibit-bibit buah bicara; masih sunyi.

Aku cuba memandu dengan nada paling selesa. Walau kereta ini bukan kereta mewah, tetapi padaku, cukup. Guna apa yang ada dan termampu, sedar diri, ukur baju biar padan dengan saiz sendiri. Apa yang terlebih penting, biarlah budi yang dalam mewah dengan akhlak nan luhur.

Ayah pula duduk di sebelahku; di tempat duduk yang selalu digunakan oleh ibu. Akhir-akhir ini, ayah selalu mengajaknya pergi ke kedai hardware, kedai cat, kedai jubin, kedai atap dan entah ceruk pelosok mana lagi dibawanya aku. Semua itu, untuk membeli barangan tukang rumah, sebagai usaha untuk menghabiskan kerja-kerja tergendala dalam mengubah suai rumah.

Ayah bukan orang berada, tetapi dia mendidik kami, cukup dengan apa yang sedia ada. Tetapi untuk pembinaan rumah ini, aku sendiri kekenyangan tanda tanya, dan hingga saat ini belum dilawas dengan sebarang jawapan.

Apabila ditanya, hanya empat patah misteri dijawab ayah, "Semua orang punya impian."

Begitulah jawapan yang selalu mematikan tanda tanya aku. Hanya jawapan ringkas tetapi aku yakin, ianya kebaikan.

Demikianlah lelaki; tidak suka memberitahu, tetapi selalu terus bergerak menjalankan dahulu apa yang diyakini baik. Walau suka membuat insan lain tertanya-tanya dengan perlakuannya, dan disangka-sangka dengan keburukan, tetap terus tekun diusaha, hingga akhirnya natijah itu sendiri menjelma menjadi jawapan.

Rumah yang ingin dibina ini, bukan terus menerus dibina tanpa henti seperti seorang jutawan mendirikan rumah, tetapi rumah ini, aku sendiri menjadi saksi bahawa ianya dibina dengan susah payah.

Apabila ada duit, kerja-kerja berjalan. Apabila duit kian kurus di kocek, ditangguhkan sementara segala pembinaan. Kerana itu, proses mengubah suai rumah ini agak perlahan.

Tanpa bertangguh, aku menarik tali pinggang keledar membalut kejap badan. Gara-gara terkena saman pada bulan lepas kerana tergesa-gesa mahu cepat, aku terlupa langsung kewujudan tali pinggang keledar, sampai sahaja di tempat sekatan polis di hadapan, sudah jadi terlambat untuk menarik tali pinggang keledar. Natijah akhirnya, saman hinggap di dahi tanpa belas, dan aku terus jadi seakan hilang pedoman dan pertimbangan.

Sesal pun sudah tidak berguna, aku anggap ini semua aturan Tuhan buat aku, ambil sahajalah pengajaran. Duit yang sepatutnya cukup-cukup makan, ditambah pula kenaikan harga barang yang kian menggila kini, akhirnya menjadi episod kebuluran. Perkara ini benar-benar buat aku insaf dan berpada-pada, Maka sejak itu, segesa mana pun aku, pasti tali pinggang keledar itulah yang ditarik dahulu. Bila difikirkan, bukan untuk siapa-siapa, untuk aku juga.

Ayah? Tenang sahaja, memang lagenda. Sepanjang hidup memandu, tidak pernah disaman. Aku yang belum pun setahun jagung memandu, sudah kena saman. Malu betul aku dengan ayah.

Kereta kami setia melurut jalan. Melepasi kampung dan akhirnya di atas lebuh raya.

"Ayah, bagaimana mahu tahu diri kita ini sudah bersedia mengemudi dan membentuk satu keluarga?"

"Maksud kamu, kahwin?"

Entah mengapa, spontan aku sengih bagai kerang busuk buangan di pasar malam.

"Mudah sahaja. Kamu ingat tiga tanda ini."

Ayah menyambung,

"Pertama, pada ketika Allah dan Rasul-Nya lebih kita chenta daripada segalanya.

Kedua, pada ketika kita mencintai insan lain hanya-sanya cinta kita itu tulus murni kerana Allah Ta'ala sahaja.

Ketiga, membenci kepada kekafiran, setelah kita ini telah diselamatkan Allah dari memasukinya, sebagaimana bencinya kita kalau dilemparkan ke dalam neraka."

Tergamam juga aku mendengar jawapan ayah. Menarik. Benar-benar merangsang ingin tahu lagi dan lagi.

"Oh, begitu rupanya. Semua itu petanda halawatul iman kan ayah?"

"Ya betul. Pabila imanmu sudah ranum manis, maka pada saat emas itulah juga petanda kamu sudah bersedia memimpin sebuah keluarga. Memaniskan apa yang tertawar, atau sedia dan setia untuk dibantu pasangan kita memurni kembali rasa manis itu."

Jalan makin mengular; bengkang bekok bak ubat nyamuk. Terhenti segala bicara.

"Ayah teringatkan kisah Hamka. Satu sosok penting dalam dalam dunia Islam terutamanya di bahagian nusantara ini," ayah memecah hening.

"Selepas kematian isterinya, beliau yang kuat mengarang, jadi seakan tidak lalu lagi mengarang. Hanya ditumpukan dengan bacaan al-Quran dan dititiskan air mata tatkala membacanya. Pada anak-anaknya pula, selalu diceritakan semula perihal ibu mereka. 

Dan pada suatu hari, Hamka dilihat menangis. Anaknya mendekat dan bertanya, "Mengapa ayah menangis?". Beliau menjawab, "aku bertaubat kepada Allah kalau-kalau cintaku pada ibumu lebih dari cintaku pada Allah."

Allahu Allah. Kuat sungguh cinta dan imannya."

Kagum benar aku mendengar kisah itu, betapa kuat kesan halawatul iman buat yang benar-benar punya akar iman yang mendalam.

Saat ini, satu pertanyaan yang telah lama aku ingin tanyakan pada ayahnya. Disimpan-simpan sekian lama dalam benak, adakala hingga jadi senak, tak tertanak. Dan kini aku fikir, saat paling sesuai mengeluarkannya.

"Bagaimana kalau abang mahu bernikah pada usia sekarang?"

Ayah senyap. Jeda.

Lalu, ayah dengan nada selamba berkata, "Membina rumah tangga ini tidaklah mudah. Hidup yang ingin dibina bersama, bukan sekejap-sekejap di dunia, tetapi kalau boleh bertegak hingga ke syurga."

Iris mataku kian mengembang, hatiku turut berkocak, bahkan nadiku pandai pula bermain-main rentak.

"Lalu, peribadi perempuan yang bagaimana harus dipilih, untuk abang jadikan sebagai teman hidup?"

Ayah memandang hadapan, kemudiannya perlahan-lahan beralih pandangan memandang aku yang sedang memandu.

"Kahwinlah dengan yang beragama, dan yang lebih tepat diterjemahkan sebagai yang punya akhlak mulia. Akhlak mulia itu ialah produk asli daripada kekayaan ilmu yang tulen. Kahwinilah orang yang kita cinta, dan dia juga mencinta kita dengan sepenuh hati raganya. Kerana, cinta itu amat membantu dalam toleransi membina bait muslim ini. 

Siapa bilang cinta itu tidak penting?

Lihat sahaja ibumu. Saat itu usia perkahwinan kami hanya seminggu, kami sudah ditimpa ujian besar. Kamu belum pun wujud lagi ketika itu. Ayah terkena sihir yang entah dari mana asal datangnya. Dahsyat sungguh arus hasad manusia itu, dengan manusia seperti ayah yang tiada apa-apa ini pun disihirkan.

Saat itu ayah benar-benar dalam keadaan kritikal, hospital-hospital pula tiada kepakaran dalam menangani kes-kes nadir seperti itu. Kejadian itu berlaku bukan sekejap, tetapi memakan masa bertahun juga, hinggalah ayah terpaksa ambil cuti tanpa gaji.

Namun, dicelah kejadian itu, cinta ibumu setia di sisi ayah. Sentiasa ada untuk ayah. Sedia membantu dan mendorong ayah supaya jadi lebih gagah, melawan makhluk-makhluk halus itu.

Dengan pertolongan Tok Wan, Tok, dan adik beradik yang lain, alhamdulillah kami berjaya menemukan seorang yang pakar untuk buang segala benda yang cuba merosak hidup bahagia kami, dan alhamdulillah akhirnya selamat dibuang.

Sayangnya ayah pada ibumu terus bertambah-tambah selepas saat itu. Dan peristiwa itu buat ayah yakin dengan pilihan ayah memilih ibumu; pilihan terbaik daripada Tuhan. Biarlah apa yang kami tempuh, janji setia cinta kami terus ampuh, selepas Allah dan Rasul.

Ya, cinta tidak mungkin memberi kita hidup, tetapi cinta sang isteri inilah yang menemani rebah bangun hidup kita untuk hidup.

Jantung aku berdegup gaya kencang, kerana ini kali pertama aku mendengar cerita ini.

Kemudian, ayah menyambung lagi.

"Lelaki punya kuasa besar dalam memilih. Lagi pula perempuan sekarang seakan lebih ramai berbanding lelaki. Jangan gundah, masih panjang lagi jalan juangmu. Tumpukan dahulu pada apa yang perlu ditumpu. Akan tiba satu masa, Allah akan kurniakan sebuah rasa, mengurniakan calon terbaik, untuk kita begerak pada masa yang telah ditetapkan di sana."

Panjang nasihat ayah. Cukup buat modal aku berfikir panjang.

Sebelum sampai di kedai hardware itu, ayah gulung kata-katanya, "Kahwinlah dengan perempuan yang engkau cinta sedalamnya, yang mana cintamu itu tulus memandang agamanya."



____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1533, 130415

10/12/16

Berkira


Aku pernah jadi seorang yang berkira.

Dengan sikap berkira, aku fikir segalanya akan lebih menguntungkan.

Berkira itu, berkira ini, dengan siapa saja semuanya aku kira.

Hinggalah aku merasakan, apabila aku berkira, Tuhan juga seakan-akan berkira denganku.

Akhirnya aku memilih untuk tidak berkira.

Rezeki yang ada, sama-sama dikongsi. Kenikmatan yang ada, kita sama-sama nikmati.

Dan aku dapati, Tuhan juga tidak berkira untuk memberiku limpah kurnia-Nya.

Rezeki ini, bukan milik kita, bukan aturan kita, teman.

Makin kita berkongsi, makin kita kurang berkira-kira, makin Tuhan gandakan semahu-Nya.

Yakinlah, teman.


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
0650, 121016

10/7/16

Terima Kasih Menghinaku

[Akan Ada]


Akan ada,
Satu ketika
Engkau mahu berpusing
Berpaling semula ke belakang
Dan ucapkan
Pada insan-insan yang tegar menghina usahamu yang punya jalan yang berbeza
Dengan kata
'Terima kasih menghinaku.'


Kerna dengan 'menghinaku'
Satu saat dulu
Engkau di sini
Mampu melebar wajah mendepannya
Bergembira membuat apa yang engkau suka
Bahkan engkau tiada berbuat apa yang Allah dan Nabi tiada suka
Bukan berbuat apa yang dirinya mahu dan orang-orang lain mahu


Kerna setiap insan itu berbeza
Dan berbeza jalannya
Engkau ada jalanmu
Insan lain punya jalan mereka
Andai engkau belok pada jalan mereka
Engkau sudah belot pada dirimu sendiri
Tersadung sakit menghempap tanah


Kerna jauh di pelosok
Engkau sedar
Yang paling memuaskan
Ialah puaskan dengan apa yang Tuhan mahu
Dan yang Nabi mahu
Bukan sesiapa
Kita hamba Tuhan
Bukan hamba sesiapa


Sekali lagi
Engkau ingin lagi menghargai
'Terima kasih menghinaku'.



Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
0608
070416

10/5/16

Dua Jam Seminggu


5 Oktober 2016.

Sesi ini sudah masuk tahun keenam aku di bumi Kinanah ini.

Hari ini merupakan hari terakhir kuliah untuk bahagian introduction to 5th year dan hari ini juga kuliah pertama aku untuk tahun lima memandangkan aku baru sahaja tiba di sini kelmarin.

Kuliah bahagian introduction ini bercampur bersama pelajar-pelajar Arab yang lain dan selalunya para doktor juga mengajar menggunakan bahasa Arab 'Ammiyah. Bagi diriku, tidaklah sampai semuanya tidak faham, tetapi tetap akan ada beberapa perkataan atau ayat yang akan gagal diterjemah dalam minda.

Hari ini sedikit mengejutkan, doktor mengajar menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Syukur,

Selain mengajarkan tajuk Viral and Bacterial Infections in Children, Prof. Adham Hegazy banyak juga menitipkan nasihat.

Suka aku menyenaraikan nasihat-nasihat ringkasnya di sini, agar aku (dan insan berkenaan lain) dapat manfaat daripada nasihat-nasihat ini. Rugi kiranya mutiara-mutiara ini jika dibiar lupa tidak diambil manfaat.

____

1. Pergi hospital dan saksikan sendiri pesakit, dengan itu kita akan lebih ingat segala penyakit yang kita sudah belajar.

2. Prof. Adham sangat menyarankan pelajar-pelajar mengambil masa sekurang-kurangnya DUA JAM SEMINGGU untuk berada di hospital untuk belajar dan dedahkan diri dengan pesakit.

3. Tiada sesiapa akan marah kita kalau kita pergi ke hospital untuk belajar sesuatu, kerana di sini hospitalnya hospital universiti, memang digunakan untuk belajar. Pergi ke klinik atau jumpa pesakit dan ambil fail untuk lihat penyakit mereka.

4. Kenali betul-betul beza penyakit yang disebabkan oleh virus atau bakteria. Kesilapan diagnosis boleh mengakibatkan banyak keburukan kepada pesakit. Contoh, memberikan antibiotik kepada pesakit yang dijangkiti virus, ianya salah dan boleh menyebabkan komplikasi buruk kepada pesakit pada masa hadapan.

5. Berikan antibiotik kepada yang selayaknya. Kerana kesilapan memberi antibiotik kepada yang tidak sepatutnya boleh menyebabkan dua perkara berlaku. Pertama, kita akan dedahkan badan pesakit kepada antibiotik. Kedua, kemudiannya badan pesakit boleh develop bacterial resistant. Jika kesilapan preskripsi antibiotik ini berterusan dalam masyarakat kita, dan masyarakat mengambil sendiri antibiotik tanpa preskripsi yang betul, barangkali jangkaannya pada sekitar tahun 2050-2060 antibiotik sudah tidak lagi berdaya membunuh bakteria dalam badan kita.

6. Jangan sekadar hafaz setiap silibus pembelajaran, tetapi fahaminya secara mendalam. Dengan memahami, kelak apabila datang pelbagai jenis soalan atau situasi sekali pun, kita akan lebih mudah menanganinya. Pembelajaran di fakulti ini memang kelebihannya 'knowledge' berbanding 'practice', jadi jangan biar knowledge yang jadi kelebihan kita jadi sia-sia kerana selepas habis exam, kita sudah melupakan segalanya kerana kita hanya menghafaz tetapi tidak memahami. (Fakta : Kebanyakan pelajar Arab, mereka menghafaz buku medik persis mereka menghafaz al-Quran, word by word)

7. Berkenaan written exam, Prof mengingatkan buat sekalian kalinya, jangan sesekali meninggalkannya kosong tanpa sebarang jawapan. Just give scientific acceptable answer. Kalau kita faham, pasti kita boleh 'goreng'.

8. Tahun ini sudah tahun kedua klinikal yang amat menuntut pelajar berada di hospital, jadi pastikan kita ambil vaksin Hepatitis B, sebagai contoh kepada masyarakat kini dan kelak. Amat memalukan kepada medical personnel sendiri yang tidak mengambil vaksin Hepatitis B.


Sekian. Moga ada manfaat, hingga akhirat.

Wallahua'lam.


Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1100
051016