4/25/16

Ditimpa Bodoh

[Cerita Sa-orang Bibliofil]

Ada buku yang apabila dibaca, kita tak faham langsung dan terus rasa serabut.

Serabut yang timbul itu kerana kita tersedar kita masih masih masih lagi bodoh.

Dari situ kita kembali menapak demi tapak, mencari dan menampung segala kekurangan.

Dan diakhir, kita kembali membuka kembali buku yang kita tidak faham itu. Secara tiba-tiba, senyum terlompat keluar. Sudah faham. Itulah rasa sebuah kemenangan, dengan izin Tuhan.

Namun jika masih tidak difahami, ia seakan indikator yang kita tidak bergerak untuk menjadi lebih baik. Harus sedar diri dan terus berlari, jangan tangguh-tangguh lagi.

Sungguh. Benar. Tiada yang paling buruk dari dada sa-orang pencinta ilmu, selain ditimpa bodoh.
___

Oh ya, buku bekas ini (dalam gambar) saya beli hanya dengan harga lima genih, bersamaan dua ringgit lebih. Antara bahagia di bumi Kinanah.




Wallahua'lam

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1419
250416

Kesalahan Hari Ini

[Cerita Dari Jalanan]


Selepas solat asar, saya terus berjalan pulang ke rumah. Sengaja saya melencong ke jalan yang agak jauh, memandangkan tiada apa-apa yang mendesak untuk dilakukan, melainkan seruan indah buku-buku di meja dan rak, untuk dibaca.

Berpusinglah saya ke jalan yang agak jauh, menikmati permandangan petang Kota El-Abbasiyah. Pemandangan-pemandangan petang di sini agak indah walaupun bingit, penuh rencam drama dan keindahan yang dilitup.

Hingga tiba di persimpangan masuk ke rumah saya, tiba-tiba saya lihat seorang akhawat(pelajar perempuan) yang merupakan jiran dan rakan sekuliah saya.

Dia berseorangan membawa dua beg bagasi besar, dan pada masa yang sama cuba menahan teksi. Apabila ada teksi telah berhenti, dia angkat bagasi-bagasi itu masuk ke dalam teksi dengan begitu susah payah. Ya, dia seorang wanita, sudah pasti itu sesuatu yang berat dia.

Namun, pada masa yang sama, saya yang melewati persimpangan itu masih berkira-kira mahu menolong atau tidak. Perasaan malu yang tidak bertempat, akhirnya menatijahkan hati saya untuk terus lalu tanpa menolong akhawat tersebut.

Apabila sampai di rumah, saya berfikir kembali hingga dasar paling dalam.

Saya benar-benar kecewa dengan diri sendiri kerana tidak berperanan menolong akhawat itu.

Mulai saat itu, saya menulis di buku nota saya.

"Kesalahan Hari Ini"

Selepas setahun, kesalahan-kesalahan yang telah saya senaraikan itu benar-benar mengubah saya.

Pertama, tulisan-tulisan itu membawa saya jadi berani mengaku kesalahan diri.

Kedua, tulisan-tulisan itu juga melancarkan momentum saya untuk jadi berani mengubah diri.

Ketiga, tulisan-tulisan itu akan sentiasa mengingatkan supaya saya tidak lagi melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang.

Ya, walau hanya dengan tulisan.


Wallahua'lam

Muhd Iqbal Samsudin
Canal Suez, Egypt
1957
220416

Berikan Haknya

[Cerita Dari Masjid]

Berikan Haknya.

___

Asar hari itu saya terlewat. Bersegera saya masuk ke dalam masjid itu.

Masuk sahaja dalam masjid, saya melihat semua sudah selesai menunaikan solat asar. Namun saya teruskan langkah saya terus ke belakang.

Dan ya...Alhamdulillah masih ada dua orang mengerjakan solat berjemaah, mungkin mereka juga 'tercicir'.

Tanpa menunggu lama, terus saya sertai mereka.

Si imam itu seorang pak cik yang juga seorang ahli jemaah biasa masjid itu. Tapi belum pernah saya lihat dia menjadi imam di hadapan mahupun imam masbuk. Dan ini kali pertama saya solat berimamkan dia.

Usai sahaja solat, pak cik di sebelah saya memandang saya dengan mimik muka pelik dan bingung. Sambil membuatkan gaya tangan berpusing-pusing dia berkata, "Dia terlalu tergesa-gesa sangat dalam solat tadi."

Pada mulanya saya tak endahkan sangat kerana lazimnya orang Arab ini selalunya akan bertanya berasal dari mana dan ingin berkenal-kenalan.

Saya menggoyangkan kepala seperti lazim bangsa Arab gunakan ketika bertanya, "Apa?"

Dia ulang sekali lagi, sambil menunjuk-nunjuk kepada si imam di hadapan, "Dia solat tadi terlalu tergesa-gesa."

Saya faham dan menyungging senyum kepadanya.

Fikir saya, masalah tidak akan selesai jika saya dan dia berbincang dan mengata itu ini kepada si imam di belakangnya. Ini perkara asas yang perlu dipelajari dan diambil pengajaran dalam solat berjemaah.

Lalu saya menyuruhnya untuk terus berbincang atau terus tegur kepada si imam tadi. Lebih mudah, lebih bermakna.

Saya lihat perbualan kedua-keduanya pada mula agak tegang. Itu biasa

Siapa saja jika ditegur, pada mulanya mungkin dia akan sedikit terasa, itu perkara biasa, itu reaksi sang ego. Tetapi hakikat sebenarnya, itulah penawar. Lama kelamaan dia akan sedar akan kesalahannya.

Setiap pergerakan dalam solat punya maknanya yang sendiri dan setiap pergerakannya ada haknya yang perlu ditunaikan. Toma'ninah yang diajar pada kita itu, membantu memakna setiap gerak solat.

Andai pada setiap ibadah kita ada nilai ihsan yang menghiasi, pasti tidak sanggup untuk kita tergesa-gesa mengerjakan tanpa hati.


Wallahua'lam

Muhd Iqbal Samsudin
Suez Canal, Egypt.
1932
220416

Persediaan Ramadan : Doa dan Niat


Doa dan Niat Menyambut Ramadan.

___

Rasulullah sollallahualaihiwasallam mengajarkan ummatnya bahawasanya sebelum kita menyambut Ramadan, kita dikehendaki berdoa kepada Allah Subhanallah Ta'ala.

Doanya yang paling ringkas, begini :

اللهمّ بلّغنا رمضان

"Ya Allah, sampaikanlah kami dalam bulan Ramadan."

Iaitu supaya kita meminta kepada Allah agar kita masih diberi peluang hidup hingga tibanya bulan Ramadan.

Mengapa kita berdoa seperti demikian?

Rasulullah sollallahualaihiwasallam menyebut dalam satu hadith, "...Sesungguhnya setiap amal itu dikira berdasarkan niatnya, dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkan..."¹

Barangsiapa berniat agar dapat berpuasa, berqiamullail, beriktikaf dan bangun pada malam lailatul qadar, mendapatkan segala kebaikan yang ada, pada bulan Ramadan yang bakal tiba, .....dia akan membolot segala pahala dalam bulan Ramadan yang bakal tiba ini, walaupun dia tidak sempat menjengah masuk.

Iaitu jikalau seseorang insan itu meninggal dunia, yang pada dirinya itu ada niat untuk berpuasa, beriktikaf, membaca al-Quran, bangun berqiamullail, kemudian Allah mewafatkannya sebelum tibanya bulan Ramadan - insyaAllah - akan mengalirlah pahala-pahala Ramadan itu kepadanya. Kerana, setiap amalan itu dikira berdasarkan niatnya.

¹ : Hadith Riwayat Bukhari

Wallahua'lam.

Rujukan :
Kitab - كيف نستقبل رمضان



Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1038
250416

Berbahasa

Jika kita meneliti biografi atau kisah-kisah insan hebat dahulu dan hingga era kini, salah satu tunjang kekuatan mereka ialah dengan bahasa.

Tidak kiralah apa sekali pun bahasa yang digunakan, kekuatan mereka mesti ada kaitan aspek aspek bahasa. Output paling jelas ialah pada tulisan dan percakapan mereka.

Mereka dibentuk dan membentuk dengan bahasa.

Bukan sekadar itu, sejarah bangsa yang mementingkan bahasa juga telah membuktikan bangsa itu bangsa yang kuat. Hingga dalam aspek aqidah bangsa, bahasa masih terkait.

Cuba kita fikirkan, mengapa ketika penjajahan Portugis dan Belanda yang sangat lama di Tanah Melayu, umat Muslim di nusantara tidak murtad secara besar-besaran?

Tetapi kitak tidak menjadi seperti umat Melayu di Filipina khususnya di Manila, yang masuk Kristian secara besar-besaran?

Mengapa kita tidak menjadi seperti orang Brazil dan Mexico yang masuk Kristian hasil dari penjajahan?

Apa rahsia bangsa kita?

Salah satunya, kerana suatu masa dahulu orang Melayu sangat rapat dengan karya persuratan Melayu-Islam. Penguasaan bahasa mereka tinggi. Karya-karya persuratan jadi benteng aqidah umat Islam.

Kesedaran memperkasa bahasa ini tidak mengikut umur, dan ramai saja yang belum sedar pentingnya bahasa ini hingga ke hari tua.

Jadi, antara langkah menjadi insan-insan hebat, ialah dengan bermula dengan memperkasa bahasa. Penguasaan bahasa-bahasa asing lain makin menambahkan nilai bahasa kita.

Kefahaman orang yang punya ketinggian bahasa amat berlain dengan orang biasa bahasanya. Contoh paling mudah, kita boleh lihat sendiri komen-komen pada setiap pernyataan status yang diberikan di Facebook, itu sangat mencerminkan bahasa setiap daripada mereka.

Kalau mahu jadi biasa, biarlah bahasa kita jadi biasa. Jikalau mahu menjadi hebat, hebatkanlah bahasa kita.

Shaykh Umar Farouk Abd-Allah bertanya, "Kamu tahu apa yang dibaca Malcolm X ketika dalam penjara."

Beliau menjawab, "Kamus. Beliau hafaz keseluruhannya."

...

Sekadar cetus ringkas orang yang tidak pandai berbahasa.


Wallahua'lam


Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1031
250416

4/21/16

Daripada Siapa


Saya pernah bertanya pada sahabat saya, "Agak-agak kalau aku bagi hadiah ni okay tak?"

Dia berpaling. Diperhati betul-betul hadiah di tangan saya.

Beberapa saat selepas itu dia menjawab, "Bagi aku, tak penting pun apa hadiah yang akan kita bagi, tapi yang lebih penting kepada si penerima, daripada siapa hadiah itu."

Jeda. Saya memilih untuk menghantuk minda untuk menjernihkan fikir.

Ringkas sahaja jawapannya, tetapi dalam sungguh pengertiannya.

Mudah. Ianya laksana kita sudah cinta pada seseorang, lalu apa yang diberikan kepada kita semuanya indah belaka, kerana bukan nilai hadiah itu yang menjadi tolok banding, tetapi nilai pemberian itu yang sentiasa menyerikan hati.

Begitu jugalah dengan apa yang diberi oleh ALLAH.

Si hamba akan terima seadanya pada segala pemberiannya dengan senyum dan hati yang girang. Baik nikmat-nikmat yang baik, mahupun ujian-ujian yang mencarik, segalanya indah buat buat hamba yang mencintai Dia.

Kerana sudah tertanam dalam lubuk hati kita, bahawa apa sahaja yang akan dan sudah diberi, segalanya penuh dengan hikmah kebaikan.

Dialah sebaik-baik penjaga.





Wallahua'lam


Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1452
210416

4/12/16

Bercanda Sama Giesti

[Bercanda Sama Giesti]



Aku dengar seorang Samad berkata, “Enam piem, enam dekad; hutang bangsa makin pekat.”

Lalu aku tersimpul meropol sengih.

Itu kata-katanya setahun lalu, sebelum Giesti dijatuhkan atas kepala-kepala murbawan kecil di bawah, sebelum seksa Giesti itu tersebat di pelopak-pelopak lemah marhaen.

Sengihku makin kelat.

Masih ingat lagi aku, siulan-siulan menteri-menteri atas dan bicara seorang piem di corong-corong radio, dalam kanta-kanta televisyen, “Giesti ini tidak membebankan rakyat, tidak membebankan sesiapa, bahkan menguntungkan!”

Sifir itu diulang-ulang hampir setiap hari. Ya, sanggup mereka ulang sifir yang apabila ditekun dan diguna ternyata membawa banyak fasad, tapi tetap dibilang-bilang ianya betul. Itulah kuasa sebuah ulangan sifir, yang salah boleh tertanam betul di kepala si lemah.


“Apa engkau mahu aku bencanda sama Giesti?”

Aku ingin berbicara dari bawah, aku memilih ingin bercakap dari sudut lihat orang-orang bawah, kerana sudah banyak sarjana celupan kerajaan dan celupan entah siapa-siapa sudah berbicara dengan nada akademis.

Di sudut ini, saya ingin lontar dari bawah. Jangan dihairankan jikalau aku tidak menggunakan jargon-jargon ekonomi atau jargon-jargon sang intelektual. Biarlah jika engkau mahu berkata aku tidak tahu apa-apa, dan menuding senang ke mimik rakyat, sedang perutmu melanjut senang mengenyang persis bujang senang. Biarlah.

.


Dari Bawah

Di pandang murbawan bawahan, Giesti bukanlah sebarang canda-canda lelucon. Ia akan dibawa hingga ke anak cucu, persis perjanjian TiPiPA yang telah persetuju dan dilorek oleh si pemerintah, ia akan mengesan jangka masa panjang, hingga berlapis-lapis keturunan di hadapan.

Kesalahan dan hutang-hutang yang makin melambak gunung, tambah-tambah yang ditimbun tiada henti oleh si piem bertuah kini, membuahkan masalah yang cukup kronik dalam seluruh isi negara. Dan malangnya, kesalahan-kesalahan orang di atas, yang terdahulu dan sekarang, ditanggung oleh rakyat-rakyat yang tiada salah.

Betullah kata seorang sarjana agama dan filasuf, Shaykh Hamza Yusuf ketika membahaskan ayat al-Quran dari potongan awal ayat lapan belas Surah Fatir yang berbunyi, “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan dosa orang lain…”. Mafhum katanya, ayat ini terpakai untuk situasi di akhirat, namun jika di dunia, tidak. Kita akan menanggung dosa-dosa orang terdahulu dengan menanggung kesan-kesan atas segala perilaku dan keputusan-keputusan yang mereka buat satu ketika dahulu.

.


Jaminan

Dengan jaminan-jaminan manis dan jaminan jangan berasa takut, katanya tidak semua barangan dikenakan. Tetapi, jika mereka benar-benar hidup dalam kasut rakyat, hakikatnya di alam realiti, semua barang-barangan itu saling berkait. Diulang sekali lagi, ianya saling berkait laksana adik beradik, walau sebagai mana dicencang, tidak akan terputus.

Satu naik, yang lain akan sama naik. Ya, termasuk yang tidak dikenakan si Giesti, akan sekali “ternaik”. Sekali sudah naik, memang hampir mustahil akan turun. Jikalau harga minyak naik pun sudah beri kesan kepada semua benda, kepada semua harga barang, apatah lagi ditambah bebanan Giesti ini pada kebanyakan barangan, sudah pasti ianya menambah rancak beban orang awam.

Tidaklah dapat kita nafi, ianya ada kelebihan, sudah pasti. Kendati pun begitu, semua manfaat itu jauh daripada pengguna akhir atau rakyat umum yang lebih ramai, kerana manfaat besarnya lebih kepada pengusaha-pengusaha besar dan orang-orang besar di atas takhta sana. Bahkan, perlaksanaan Giesti ini dijalankan di semua peringkat, dan daripada yang dewasa, hingga si kecil yang perlukan susu, semuanya terkesan. Yang di bawah ini, masih tersepit-sepit seperti sedia kala.

.

Miskin Empati

Meski orang-orang di atas banyak yang kaya-kaya, barangkali ada perkara yang mereka miskin; miskin empati. Kita pun tidak boleh berharap tinggi-tinggi, kerana kebanyakan orang di atas terlahir daripada golongan bangsawan, lahir-lahir sudah merasa senang, tidak dirasa perkara yang berat-berat, yang jerih payah sebagaimana kaum murba yang kecil-kecil.

Banyangkanlah kesusahan orang bawah ini. Mari sama-sama duduk merasa apa yang rakyat bawa, apa yang rakyat pikul. Bukan sekadar melaungkan dan bertempik kuat kepada rakyat yang mereka patut bersyukur, bersyukur, bersyukur dan berjimat.

Bayangkan penoreh-penoreh getah yang getahnya tidak naik-baik bahkan makin hari makin teruk susut nilainya. Awal pagi, semasa orang masih nyenyak dibuai mimpi, mereka susah bersiap siaga bersama pisau toreh meredah kebun-kebun getah, dihenyak nyamuk-nyamuk liar di kebun getah.
Bayangkanlah, jikalau getah sekerap sekilo berharga seringgit lapan puluh sen, yang apabila dibahagikan dua bersama pemilik kebun, hanya tinggal lapan puluh sen, apakah ini angka yang waras untuk seorang ayah menyara anak-anak dan isteri? Ini zaman bila sebenarnya, khabarkan pada aku orang takhta. Dan kita masih berbangga dengan wawasan 2020 yang tidak berapa hari sahaja lagi akan menjelang, walhal wawasa itu sudah pun kini merapuh. Ini suatu yang gila.

.

Melewati Setahun

Kita bercakap ini bukan sebarang canda, bukan sebarang lelucon, ianya kerana kita telah pun mengharung gaul bersama Giesti ini sudah lebih setahun. Kerana itu kita berdiri tegap pada hari ini, menyatakan pendirian dan keluh kesah yang, ah…belum tentu didengar sang atas dan si tipiem dan piem.

Dari bawah ini, kita menanti-nanti perolehan yang dicanang-canang oleh orang takhta, yang rancak disiul-siulkan dahulu. Kita maklum, kita tahu, setelah beberapa bulan perlaksanaan Giesti itu, telah benar-benar memewahkan pihak kerajaan, tetapi hairannya yang di bawah masih diinjak-injak, masih dipijak-pijak, masih “lu sokong wa, wa kasi bantu lu”. Apa jenis kebejatan ini semua?

Tahun-tahun mendatang, aku masih menaruh harap, agar apa yang ditulis ini, sudah tidak relevan dibaca, kerana orang-orang takhta sudah berubah atau sudah mengubah, murba-murba kecil sudah bersatu saling membantu, tidak lagi sekadar membatu. Aku masih punya daya optimis, belum cukup serik menipis.

Buat si murbawan, jangan selalu selesa. Dunia tidak akan maju jika asyik menyalahkan orang dan malas bergerak ke hadapan. Imam Abu Al-Faraj Ibn Al-Jauzi, telah mengarang kitab yang berjudul “Laftu Al-Kabad Fi Nasihat Al-Walad”, bertujuan untuk menasihati anaknya. Antara nasihat yang diutarakan kepada anaknya itu adalah,

“Wahai anakku, ramai manusia tidak mengetahui hakikat dunia. Sesungguhnya ia sedang menuju kemusnahan. Kamu akan melihat manusia datang menziarahiku dan bercakap-cakap berkenaan kenaikan harga barang dan berkenaan golongan pemerintah.”

Dan di hujung-hujung, aku terdengar lagi kata seorang Samad, “Kuno dan kini telagah,
kanu tercukai di tengah.”


Wallallahua'lam




______

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt


2112, 110416

4/7/16

Panggilan Pelanggan Di Alam Maya

[Nota Niaga]

Sebelum saya menjadi penjual, saya juga seorang pembeli, dan sampai sekarang masih lagi sebagai pembeli.

Dan siapa sekali pun yang menjual, pasti ada ada pengalaman membeli dan menjual. Oleh itu, si penjual perlu menjiwai dan empati dengan kedua-kedua keadaan ini.

Dulu-dulu(sekarang tidak lagi), dalam sebulan, hampir 200-500 orang pelanggan perlu saya jawab mereka satu persatu untuk membeli buku atau al-Quran. Memang nak termuntah kalau tak pernah jawab WhatsApp sebanyak itu, terus hipoglesemia.

Kebanyakannya, tak terjangka dan tak tahu langsung dengan siapa kita berhadapan.

Lelaki atau perempuan?

Tua atau muda?

Tua sangat atau muda sangat?

Abang pencuci bangunan, Akak meniaga kantin, Cik Adik sekolah rendah, Mak Cik karipap simpang jalan, Doktor gigi, Professor, Engineer, Cikgu, Ustaz atau Ustazah?

Tak tahu. Kebanyakannya memang tak tahu.

Kadang-kadang teka jugalah melalui DP WhatsApp. Tapi tak semua yang jenis letak gambar. Kalau letak gambar pun kadang-kadang gambar perempuan tetapi lelaki, kadang-kadang gambar keluarga, tak tahu nak teka lelaki atau perempuan. Yang letak gambar kucing, lagilah tak tahu nak pilih lelaki atau perempuan.

Untuk teka semenanjung atau Sabah Sarawak boleh lagi untuk tengok pangkal nombor telefon. 95% tepat selalunya, kecuali kalau dia bekerja di luar.

Tetapi kalau saya tahu jantina, itu sangatlah memudahkan kerja. Kebanyakan order yang dapat tahu jantina, ialah daripada order melalui web atau blog, itu sudah satu rahmat kemudahan.

Yang perempuan saya akan terus gunakan "Cik". Tidak gunakan "sis". Saya tidak gunakan "Cikpuan" sebab ramai yang menganggap "Cikpuan" ini sama macam "Puan", untuk yang sudah berkahwin saja, walhal ianya boleh saja digunakan untuk kedua-duanya bahkan lebih memuliakan.

Lagi pun, perempuan yang sudah berkahwin sekali pun, mereka juga dahulu pernah bergelar "Cik", kadang-kadang gelar itu membuatkan mereka rasa muda, kalau ditegur untuk guna "Puan", barulah saya bertukar. Mudah.

Kalau lelaki paling senang, panggil saja "Tuan". Melayu, Cina, India, Indonesia, Brunei, Singapore, semuanya "Tuan", dan kebanyakannya faham. Kebanyakannya tidak kisah, tetapi ada jugalah dua tiga hamba Tuhan yang mulia, merasa diri mereka tidak layak dipanggil tuan, saya tukar kepada panggilan yang mereka suka.

Pelanggan yang berbahasa Inggeris, saya pun berbahasa Inggeris dengan mereka. Hormati mereka. Sama macam tips pergi temuduga.

Mudah.

Perempuan panggil "Cik", lelaki panggil "Tuan".

Panggil dengan gelar yang memuliakan, bukan menghina. Cakap yang baik-baik, balas dengan santun. Empati dengan kedua-dua posisi; pembeli dan penjual.

Biar miskin diri, jangan miskin budi dan bahasa.

Wallahua'lam

#ibnuDDin
#NotaNiagaibnuDDin

___

Saya juga pernah menulis ringkas berkenaan perkara ini dahulu : http://www.ibnuddin.com/2015/11/berakhlak-dalam-niaga.html


Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1416
070416

4/5/16

Di Hadapan Nasi


Lapar.

Lauk sudah habis. Tetapi nasi masih berbaki.

Pegang-pegang perut, 'Aku perlu makan, kalau lapar sangat nanti tak boleh belajar dengan tenteram...'

Aku ambil dua ketul nugget dalam peti ais, aku panaskan minyak, dan goreng hingga rangup kriuk-kriuk isi luarnya.

Nugget itu aku beli sekilo, dibeli sebelum bertolak ke tanah Haramain, dengan jangkaan menjadikan nugget itu talian hayat kalau-kalau tersekat hidup selepas pulang dari mengerjakan umrah. Maklumlah, duit dalam akaun sudah melangkau ke paras negatif, duit biasiswa lambat lagi mahu menerjah masuk. Hidup harus tawakkal, tapi perlu berusaha terlebih dahulu sebelum itu.

Dan hari ini nugget itu terus menjadi talian-talian hayat aku, sebagai survival untuk terus hidup. Dua nugget itu aku potong menjadi kecil-kecil, supaya minda aku dapat mentafsirkan nugget itu sebagai banyak.

Letakkan nasi dalam pinggan, masukkan nugget yang telah dipotong tadi, dan sedikit sos yang masih tersisa di botol.

Aku bawa masuk dalam bilik, letakkan di atas meja belajar. Melihat jam, ada 30 minit lagi sebelum kelas bermula, masih ada harapan untuk jamah perlahan-lahan.

Ditenung-tenung makanan itu. Nasi, nugget, sos. Aku angkat tangan seraya membaca doa. Habis doa, aku merenung lagi makan itu.

'Ini makanan gaya hidup susahkah?'

Aku berdialektik dengan raga dalam aku.

Terdetik hatiku untuk berselawat.

'Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad.'

Usai sahaja selawat, rasa syahdu paling mengharu berderu mengerumuni hati.

Berdialektik aku sekali lagi dengan diri.

'Ini makanan kategori susah?'

Titik-titik air suam mengalir perlahan dari sudut mata.

'Bagaimana perit agaknya Rasulullah menahan lapar? Walhal Baginda kekasih Allah.'

Titik-titik air tadi makin melaju.

Terlantun lagi di bibirku lantunan selawat, 'Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad'.

Makanan yang sepatutnya dimakan sekadar menegakkan tulang belakang untuk berbuat taat, selalu aku lebih-lebih hingga sengkak mengenyang, dan memberi tenaga lebihan untuk berbuat maksiat.

'Ya Tuhan, betapa kuzalimi diri ini'.

Dalam sendu-sendu, aku mulakan makan.

Terima kasih Ya Tuhan, hadirkan rasa yang mahal ini.

Aku belum cukup susah.
Malu.

____

Saidatina 'Aisyah menuturkan,

"Rasulullahi sallahu 'alaihi wasallam tidak pernah memakan roti gandum sampai kenyang selama dua hari berturut-turut, sehingga Baginda wafat."

[Hadis Riwayat Tirmizi, Muslim dan Ibnu Majah]


Wallahua'lam


Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1056
010416