2/29/16

Ulasan Buku : Lembaga Hikmat - HAMKA

Ulasan Buku : Lembaga Hikmat - HAMKA

____

Salim Bin Abdullah memberi bicara kepada Umar Bin Abdul Aziz demikian bunyinya: 'Jika sekiranya engkau hendak lepas dari azab Allah, puasalah daripada dunia, berbukanya setelah mati nanti.'

Lembaga Hikmat ini menampilkan berbagai-bagai cerita yang sarat dengan ibrah. Daripada penceritaan dari Eropah hinggalah ke tanah Arab, dan gaya penceritaannya penuh dengan kelembutan bahasa.

Buku ini menampakkan betapa luasnya pengetahuan dan pembacaan Prof Dr. HAMKA.

Untuk melihat sudut pandang alam Buya HAMKA, bacalah buku-bukunya yang tajuk hadapannya ada perkataan LEMBAGA.

#HAMKA
#BuyaHAMKA
#LembagaHikmat
#PustakaDini



____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298

____


Muhd Iqbal Samsudin

Ulasan Buku : Intisari Peradaban Islam - Shaykh Dr. Nuruddin Ali Jumuah

Ulasan Buku : Intisari Peradaban Islam - Shaykh Dr. Nuruddin Ali Jumuah

____

Buku ini dibeli daripada tuan empunya penerbit Zehra ini sendiri, Saudara Che Anas, sebelum saya berangkat ke Tanah Haram.

Selepas pulang dari Tanah Haram, buku ini menjadi pilihan pertama saya untuk dibaca.Ternyata ianya pilihan yang sangat tepat.

Walau buku ini tidak terlalu tebal, namun nilai harga keilmuwan dalam buku ini melangkaui segalanya.

Jarang-jarang agamawan berbicara sesuatu yang besar seperti peradaban Islam ini, namun ulasan daripada mantan mufti Mesir, Syeikh Dr. Nuruddin Ali Jumuah ini jelas menyuluh segala soal peradaban Islam.

Peradaban ISLAM tidak mati, tetapi ianya hanya di pembaringan; tidur. Menjadi tugas kita mengejutkan dan membangkitkannya kembali. Dan jalan yang paling ideal sekali, ialah dengan jalan pendidikan.

Setamat bicara seputar peradaban Islam, buku ini turut memuatkan sesi soal jawab di belah belakang, soalan-soalannya dijawab dengan begitu tuntas sekali.

Sangat berbaloi untuk dibaca!

#IntisariPeradabanIslam
#DrNuruddinAliJumuah
#Zehra

____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298

____



2/26/16

Dua Tiga

Dua Tiga

____


Kita berjalan,
dengan tanya.


Dengan tanya demi tanya, 
hari demi hari, 
kita berjalan.


Dua tiga, 
makin meninggi hidup, 
makin memendek garis hidup.


Dua tiga, 
masa menabur dan mendebur budi, 
sebanyak-banyaknya.


Dua tiga, 
banyak tanya-tanya yang meninggikan nilai. 
Kerana tanya, kita sedar, kita berjalan.


Dua tiga, 
soalan-soalan Tuhan, 
kita tanyakan pada diri dahulu.


Pada hari-hari keras yang memeras batang tubuh,
berdiri paut utuh-utuh, 
jernih-jernihkan segala jerih, 
jernih-jernihkan sekalian keruh.


Genggam janji Tuhan,
dengan panji taqwa.


Berganda sebanyak mana Dua Tiga selepas ini,
kuharap aku teguh setia, bersedia menjaga taqwa.


_____
Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
2358, 250216

2/25/16

Mahkota Rasa

- Mahkota Rasa -

----

Merasa cukup itu, mahkota ketika mempunyai.
Membuangnya, jadi cacat serba-serbi.

Kerap aku dengar, ramai mengadu sedikit.

"Dalam akaun aku sudah tidak banyak, tinggal beberapa ratus. Entah cukup entah tidak sampai bulan hadapan. Duit biasiswa belum masuk lagi, katanya hujung bulan depan."

Aku sendiri bersimpati.

Kadang, aku mengadu juga pada hati sendiri, risau juga pada yang sedikit.

Itulah manusia. Selalu lupa. Aku juga begitu.

Yang lebih berhak dirisau bukan pada sedikitnya wang, tetapi pada sedikitnya rasa cukup pada apa yang kita miliki.

Kata Buya HAMKA, "Yang kaya itu bukan orang punya banyak wang, tetapi yang sentiasa rasa cukup dengan apa yang ada."

Rasa cukup.

Ya, itulah rasa yang sukar ada pada kita. Miskinnya rasa itu, miskinlah hati, miskinlah diri yang memiliki.

Di bumi Kinanah ini aku banyak belajar daripada ibu-ibu jalanan penadah sedekah. Ada kala mereka ini ada di tangga-tangga masjid.

Aku juga tidak punya banyak harta, tetapi dalam tidak banyak itu aku yakin, tetap ada hak untuk orang lain dalam rezekiku.

Lalu, aku hulurkan jua apa yang ada. Sedikit atau banyak, aku beri juga.

Dan pada setiap kali aku beri itu aku belajar daripada mereka.

Mereka menerima yang sedikit itu, riak badai wajah mereka seakan menerima sesuatu yang begitu banyak. Girang. Ria.

Aku hairan.

Di minda biasaku, satu duit syiling segenih¹ itu tidak bisa mampu membeli sebungkus kusyari² pun. Anehnya mereka gembira, tidak sangga.

Sedarlah mindaku ini, minda yang belum faham erti rasa cukup. Mereka lebih mengetahui.

Berfikir-fikir lagi aku. Barangkali, dengan segenih itu, dia sudah membayangkan sudah dapat membeli roti 'aish³ baladi sebanyak empat biji. Sebiji dimakan pagi, sebiji tengah hari, sebiji petang, sebiji lagi malam. Lengkap makannya seharian. Tinggal lagi perlu diusahakan dan dicari untuk beberapa orang lagi, untuk anak-anak lain yang masih kecil.

Barangkali begitu fikirannya. Merasa cukup hanya dengan itu. Bertambah syukur apabila lebih.

Pada mereka juga kadang kala aku berburuk sangka, namun Allah tunjuk segala, bahawa mereka ini sudah berusaha sehabis daya mereka, sejak dari buka mata pagi mereka, hingga kembali memejam mata dari memandang dunia. Cumanya kita hanya memandang dan menghakim mereka pada sebahagian keadaan hidup yang singkat. Sungguh tidak adil.

Mereka mengajar aku lagi

Terus aku jadi malu.

Pada segala apa yang kita terima setelah berusaha, itulah milik kita, terimalah. Bina rasa cukup dalam hati dan diri.

Aku harus belajar lagi daripada alam. Mempersona inspirasi ulul albab yang selalu dipuji Tuhan.

Wallahua'alam.

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1924
171115

2/21/16

Tasawuf

#CeritaDariMasjid

---

"Apa pandangan kamu tentang ilmu tasawuf. Apa tajuk dalam ilmu tasawuf yang kamu minat?"

Jeda.

Aku hanya mahu berbual ringkas mengenal namanya sahaja. Sudah lama kepingin mahu berkenalan dengan imam yang sudah setahun dua berimamkan dia. Sesudah mengetahui namanya Abdul Rahman, aku tidak ingin berlama-lama, tapi perbualan menjadi panjang pula apabila menyebut belajar perubatan di Mesir kerana ada Al-Azhar. Aduh.

Kawan si imam yang berada di hadapan tadi meluru datang, dialah yang mengimamkan solat zohor aku tadi.

Sambil menunjuk kepada si imam, dia berkata, "Dia ini belajar di Universiti Al-Azhar."

Aku pun memulakan bercakap dengannya, "Apa nama muliamu?"

Dia menjawab, "Namaku, Sharif."

Si imam meneruskan soalannya yang tadi. Belum mahu mengalah. "Apa pandangan kamu tentang ilmu tasawuf?"

Riak bola matanya ada sesuatu. Yang sesuatu itu juga ada pada bulat bola mata kawannya. Ada yang tidak kena.

"Kenapa kamu berdua bertanya soalan begini?" Kembali aku bertanya kepada mereka, yang betul-betul berada di hadapan aku.

Pantas si imam memula kata, "Ilmu tasawuf itu cantik, tetapi banyak perkara di dalamnya bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah. Banyak juga yang membawa kepada syirik."

"Betul. Kamu perlu berhati-hati. Sebab semua itu bukan daripada sunnah." Sharif ikut menyambung.

Jari telunjukku mengena kepada Sharif, "Kamu juga belajar di Al-Azhar?"

Jawab Sharif, "Tidak. Aku banyak membaca daripada buku-buku ulama' kontemporari."

"Oh begitu. Kamu selalu belajar di Masjid Al-Azhar?" Kuhalakan kepada si imam.

"Aku ke kuliah, tetapi aku tidak belajar di Masjid Al-Azhar, aku banyak belajar di tempat lain, sebab banyak sangat perkara yang bercanggah dengan sunnah diajar di Masjid Al-Azhar. Aku tidak suka." Tanpa henti dia menjawab, penuh semangat.

Aku menguntum senyum.

"Aku sebenarnya mahu lekas keluar, sebab ada kerja lain yang perlu diuruskan. Jika kamu berdua tidak suka dengan ilmu tasawuf, tidak mengapa, aku tidak perlu bercakap perkara yang kamu berdua tidak suka. Kita bercakap tentang perkara-perkara lain sahaja. Yang buatkan kita boleh senyum bersama. Lain waktu, insyaAllah."

Mereka berdua berdiam, dan seia sekata menghadiah senyum.

Aku berlalu pergi dan mengucap salam sambil mengangkat tangan, "Ma'assalamah, fursah sa'idah ma'akum. Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh."

Cerpen : Membius Fikir

Cerpen : Membius Fikir

---

Petang yang aman. Awan gemawan tiada pun yang menghias biru langit, namun tetap juga ia menjadi teduh. Entah, aku pun tidak tahu mengapa. Barangkali seteduh hatiku.

Aku berjalan keluar dari bilik. Di pelosok dapur, aroma mengancam menusuk-nusuk sukma. Kini musim dingin. Kala petang yang menyejuk, langit yang teduh, bunyi yang aman, perut ikut terasa lapang, merembes-rembes asid-asid pedih merangsang lapar.

Aku tahu aroma ini, kusedut dalam-dalam. Sah. Bau ini tiada tanding tara rasanya. Pasti.
Aroma ini yang kerap melayang-layang di alam udara, meliuk-liuk masuk ke lohong rongga hidung. Asyiknya saat itu, hujan turut melantun-lantun mencipta irama di atas zink, meloncat-loncat bergendang ria.

Itulah bau cucur kucai ibu. Benar, aku rindu.

Adunan suasana itu hanya rekaan minda. Acuannya? Pastilah bersusur dari memori indah. Di mana lagi kalau bukan kampung tempat aku diakal mengenal dunia.

Ah, terbang melamun lagi aku. Teringat bau-bau selut yang membalut kaki. Sungguh indah atmosfera itu. Kini, di kejauhan, di lain benua, aku terus merindu-rindu, termimpi-mimpi.
Melihat jam, "Alamak, dah pukul empat!"

Berlari-lari aku menuju ke tepi jalan, harap-harap terus ada microbus kosong yang lalu. Kalau tidak, habislah aku, takut-takut jadi munafiq tak menepati janji. Derhaka pada pelanggan!

Sedang aku tunggu-tunggu, aku lihat sekali lagi jam, "Aduh, empat suku! Macam mana ni!"

Entah bagaimana, aku tergerak untuk menoleh ke belakang, "Eh, ada Firdaus!"

Kaki aku tanpa sedar meluru ke arahnya. Senyumku bertemu wajahnya. Dengan nada perlahan dia bertanya, "Nak ke Sabi' ke?"

Lenganku dihayun, mata melihat jam yang sudah sedia tahu aku memang sudah terlewat. Lalu, aku angguk.

Bagai orang dahaga dihidang air, tiba-tiba dia bertanya, "Cantik! Jomlah naik teksi dengan aku. Aku ada mesyuarat di Sabi’ sekejap lagi."

Tanpa berfikir panjang, aku terima tanpa tanya.

"Jangan risau, aku belanja..."

Ah, cukup bahagia rasa dunia!

Terus berdesup teksi datang di sisi. Teksi-teksi putih dan hitam di metropolitan Kaherah ini, setia sepanjang masa meluncur-luncur di jalanan, banyak.

Kumula buah tanya. Kepala ditunduk sedikit, lalu si pemandu buka tingkap teksi itu.
"Assalamu'alaikum. Hayyu Sabi'?" Aku tanya.

"Wa'alaikumussalam. Naiklah!" Sambil mengangguk dan membuat gaya tangan menyuruh masuk.
Seawal bersua muka bersama dengan wajah pemandu teksi tersebut, sudah cukup memukau. Senyumannya, membius rongga mindaku.

'Ah, kepelikan apakah ini? Laksana ada bius tanpa wayar menyalur dunia bawah sedar pada mindaku.' Ronta hatiku.

Dia masih muda. Hanya berpakaian biasa, pakaian orang muda-muda. Seluar jeans biru gelap dan kemas berkemeja, lagak yang sama seperti pemuda-pemuda Mesir. Senyum-senyum segar melekat di wajahnya.

Agar suasana dalam teksi tidak terlalu hambar, aku mula mencorak suasana, sedikit demi sedikit. Selalu juga aku praktikkan cara ambil 'history taking' pesakit di hospital kepada pemandu-pemandu teksi yang aku temui, dengan persoalan-persoalan persis yang diajar kepada kami di kuliah perubatan. Sekurang-kurangnya, aku dapat melancarkan lagi percakapan bahasa Arab ‘ammi Mesir aku, ketika berhadapan dengan pesakit nanti. Selepas itu, perbualan biasanya akan berkembang sedikit demi sedikit, dan aku pun selalunya dapat beberapa perkataan baharu, dan lenggok gaya sebut bahasa mereka dengan betul.

Kami berkenalan. Namanya Ahmed, nama yang paling biasa dalam kalangan orang Mesir. Nama-nama mereka sememangnya sepatah sahaja selalunya, dan ada gelaran tersendiri bagi setiap nama itu. Untuk nama Ahmed, nama gelaran yang selalu digunakan ialah, Hamada.

Kereta meluncur seadanya, dan Ahmed pun laju memulakan bual. Pelik, selalunya aku yang akan memulakan bicara. Sekarang, terbalik pula. Dia mulakan bualnya dengan riak wajah serius, secara tiba-tiba, "Andai dapat dibius semua insan dalam dunia ini agar tidak sakit saat ditegur, tidak pedih bila dikritik, pasti akan aku gunakan. Pasti!"

Aku melihat kening kanan dan kening kirinya. Jendela persoalan, penuh dan jenuh berkeremun di lowongan mindaku. Jeda.

Bibir atas dan bawahku berpisah, ke atas dan ke bawah, mengeluar butir perkataan, "Tapi mengapa?...Mengapa perlu dibius?"

Pantas dia membalas, "Tapi itu hanya andai. Sekadar andai. Realitinya, kita perlu berdepan. Mendepan antara dua pipih muka, bagi menyatakan kebenaran. Atau boleh jadi yang sebaliknya, kita pula sebaliknya akan diajar, apa itu yang benar-benar. Pada saat itu pula, aku sendiri akan biuskan diriku, agar tidak berasa pedih dan gundah, dengan setiap goresan tajam kritikan. Pasti!"

Aku lihat Firdaus di tempat duduk belakang. Kelihatan dia tenggelam di alam maya dan di alam kerja, dengan tangan laju menaip di skrin telefon, membuat persiapan mesyuarat persatuan. Sibuk sangat barangkali.

Kereta masih lancar bergerak. Tidak mengengsot dalam desakan lalu lintas yang sesak, seperti selalu.
Pandanganku pulang pada melihat si pemandu teksi, lalu menerus persoalan, “Mungkin engkau terlalu berasa hati, atau kurang bergaul dengan manusia. Sebab itu engkau tidak boleh terima teguran orang lain. Dan engkau menganggap orang pun sama semacam engkau…”

Udara kosong tanpa kata.

Aku mulakan semula, “Tetapi mengapa sampai perlu dibius?"

"Kerana pada setiap teguran itu ada pedihnya, namun ia pasti ada pelajaran, buat yang segar dan sentiasa mahu belajar. Dengan pedih itulah melahirkan pelbagai reaksi. Buat bangsa engkau, mungkin ia mudah, tetapi tidak untuk bangsa aku. Bangsa aku payah untuk terima teguran, tetapi sangat suka menegur, tambah-tambah kepada orang luar seperti engkau, kerana engkau semua lebih mudah menerima, berbanding bangsaku sendiri yang yang keras kepala. Barangkali taraf pendidikan bangsa engkau dan bangsa aku itulah, ada tembok perbezaan, jurangnya terlalu besar. Nabi juga pernah lakukan kesilapan, lalu Allah tegur dengan teguran paling halus dan penuh adab. Kita boleh lihat pada Surah 'Abasa, sungguh menakjubkan cara Allah mengajar kekasih-Nya. Tetapi bangsa aku hanya pandai membaca dan menghafaz, tetapi tidak pun mengamalkan ibrah yang mereka dapat." Ahmed bercakap dengan penuh penghayatan dan semangat, tangan kanan dan kirinya ada kalanya diangkat-angkat, seakan sedang bersyarah di pentas politik.

Aku menokok balas kata, "Tetapi kenapa tidak ditegur bangsa Arab Mesir ini? Budayakan lagi budaya menegur dan menerima tegur. Maafkan aku. Aku ingin berkata dan bertanya jujur. Aku lihat, di tepi-tepi Masjid Al-Azhar, penuh sampah sarap di sekitar itu, dan di sesetengah tempat rasa amat menjijikkan, walhal itulah kiblat ilmu umat Islam seluruh dunia. Seakan ilmu itu tak memberi apa-apa kesan kepada masyarakat sekitarnya. Seakan ilmu itu hanya di kertas-kertas dan di kepala-kepala, tetapi tidak berada pada amal praktis. Kenapa? Kenapa duhai saudaraku?"

Ahmed sesekali melempar pandangnya pada wajahku, kemudian menyambung, "Itulah bangsaku. Walau buruk sebagaimana sekali pun, itulah keadaan bangsa aku pada hari ini. Bangsa yang miskin adab tetapi kaya ego. Begitulah kebanyakan daripada bangsaku. Miskin adab menyebabkan hilang segala keberkatan dan dibenci seluruh makhluk, hatta binatang sekali pun! Tinggi ego pula menjadi asbab bangsa ini bangsa yang tidak boleh maju, statik, kerana tidak makan dek teguran. Aku terima seadanya apa yang engkau katakan. Dustalah aku kalau  aku menidakkan apa yang engkau katakan itu. Aku juga sedih, tetapi hanya sekadar sedih."

Aku faham sedih dia. Dan aku gembira dia bersedih, kerana sekurang-kurangnya ada dalam kalangan mereka sedar. Dengan sedih itu aku harap membawa sedar yang dalam, dan akhirnya dapat mengubah sedikit demi sedikit, dengan apa yang terdaya.

Panjang pula borak-borak kami pada petang itu. Sedar-sedar, bayangan Arabiata sudah ternampak di hadapan.

“Turunkan kami di tepi Arabiata.” Aku arahkan si pemandu itu berhenti.

Dia senyum.

Setelah melihat tambang yang tertera di meter, Firdaus hulurkan duitnya kepadaku, lalu aku bayar seperti jumlah yang tertera di situ. Si pemandu tidak meminta-minta lebih, seperti pemandu-pemandu teksi yang lain. Luhur juga akhlaknya.

Firdaus pantas turun dari kereta, dan aku menurutinya. Selepas menutup pintu, aku hulurkan kepala di tingkap, dan menuturkan, “Aku harap engkau dapat mulakan dengan ubah diri engkau sendiri, dan kemudian ubah keseluruhan masyarakat.”

Seraya dia membalas, “Untuk bangsa engkau, engkau mulakan!”

Senyum kami serentak menyimpul, dan diakhiri dengan salam.

Momen-momen dalam teksi, kalau betul-betul digunakan, sangat-sangat mengujakan. Tidak kosong jika kita penuh. Hanya kosong kalau kita yang terlebih dahulu kosong. Begitulah juga tempat-tempat yang lain.