12/16/16

Telingkah Orang Seni Sama Agamawan




[Telingkah Orang Seni Sama Agamawan]



Dia, saya; di sebuah kedai buku.

Selalu, pada pertemuan tidak terjangka itu berlaku di kedai buku, kerana minat besar kami pada buku yang mempergabung semesta ilmu di dalamnya.

Kami ke rak yang sama.

Seni.


"Engkau minat seni?" Soal aku.


Dia tidak menjawab melainkan dengan membedil kembali dahiku dengan satu soalan, "Engkau tahu apa beza kayu dan manusia?"


"Tidak."


"Kayu itu simbolik kepada makhluk yang tidak punya aqal. Manusia itu manusia. Yang membezakan kedua-duanya, seni."


"Kenapa?" Geram mahu dapatkan penjelasan.


"Indahnya seni itu hanya boleh dihasilkan oleh makhluk yang punya aqal."


Aku angguk, sambil berkedip-kedip.

Kami sambung meneroka lebih dalam ke semesta samudera ilmu.



_____


Berabad lamanya si muslim berdarah seni bertarung dengan agamawan keras berpandang sempit.

Hingga akhirnya kita lihat berkubur bakat-bakat seni yang terpaksa akur dengan pandangan sempit yang tidak memerdekakan.

Hingga yang meminati seni banyak bertelingkah sana sini, bertelingkah dengan diri sendiri, kerana faham yang silap.

Walhal, Islam itu rahmat, Rasulullah itu rahmat, dan ALLAH pemberi rahmat. Namun pada sang agamawan dangkal akhirnya menyekat rahmat-rahmat itu, buat yang sudah mendekat, tidak mahu lagi dekat.

Islam itu rahmat yang memerdekakan; dari segala perhambaan pada kebendaan dan keduniaan. Apabila gagal memerdekakan, mereka mengurung. Natijah kurungan mereka itu terhasil dari kebodohan yang tidak mahu diketahui dan diakui; menatijahkan fitnah buat Islam yang tidak meraikan seni yang fitrah.

Mana mungkin fitrah tidak boleh dirai jikalau agama Islam itu sendiri agama fitrah?

Lalu tatkala kita merasa masih dangkal, jangan cuba menumbuk cetek sejengkal, nanti yang dapat hanya percik air ke muka sendiri.

Diam, dan terus belajar.

Makin dalam kita belajar, makin luas dada kita, makin cetek dirasa ilmu, makin kurang kita mahu mempersalahkan, makin tiada yang ingin dibida'ahkan, makin tipis yang ingin diterkam haram.

Belajar dan jangan jemu memperdalam. Jika tidak, kita banyak menjahanam. Dan banyak menjahannamkan amal buat orang.

Tunduk, dan terus belajar.

Hingga nafas terakhir dijemput Izrael.



Wallahua'lam


_____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2235, 151216


No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter