[Cerita Dari Pasar]

Hari ini selepas zohor terus saya ke pasar, asalnya cadang nak tengok-tengok dan pantau-pantau harga saja, tetapi berubah matlamat setelah memasuki pasar.

Memang memeranjatkan juga harga-harga barang hari ini. Bawang merahlah yang paling ketara naiknya, memang merunsingkan juga. Tetapi perkara yang bagus sedikit di Mesir ini, harga barang basah mereka kalau naik, boleh turun semula, kalau di Malaysia payahlah nak turun kalau dah naik.

Tengah berjalan-jalan, teringin pula nak beli sotong dan ayam.

Cuma yang jual sotong ('Kalimari' dalam bahasa arabnya) dan ayam ini selalu menipu semasa menjual, terutamanya buat pelanggan orang luar semacam kami.

Cara menipu mereka ada berbagai-bagai cara.

Ada yang menipu dalam timbangan; cakap harga sekilo sekian-sekian, bila timbang mereka set pada penimbang digital itu harga yang lebih tinggi, kalau tidak diperhatikan dan pantau betul-betul, habislah kena tipu.

Dan ada juga yang tidak bagi pilih, lalu dia campurkan yang elok dan tak elok. Yang elok diletak bahagian atas dan di tunjuk kepada kita buktikan yang dia letak barang yang bagus-bagus, kemudian semasa menimbang mereka akan kutip yang elok-elok tadi letak balik di bawah, yang tersisa kepada kita hanya yang buruk-buruk. Bila balik rumah baru perasan lalu menangis di bucu dapur.

Dengan menempuh semua perkara ini, barulah kita sedar mengapa ALLAH turunkan ayat-ayat al-Quran untuk menegur dan mencela peniaga-peniaga yang tidak jujur.

وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ

"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan!)"
 [Surah al-Muthaffifin 83 : Ayat 1]

Jadi hari ini, saya berhajat membeli sambil beri sedikit peringatan. Sebab geram sangat dengan mereka ni, tak habis-habis pijak kepala insan-insan lemah macam kami. Selagi tidak ditegakkn hak, selagi itulah bersedap-sedap memijak kepala orang.

Misi - "Man Qash-sha Falaisa Minni".

Semasa membeli saya perhatikan betul-betul (mereka masih tidak benarkan memilih sendiri) dan beri amaran kepada mereka dengan membacakan potongan hadith ini, kebanyakan mereka hafal, tetapi sekadar di mulut, tidak sampai kepada amal.

Barangkali mereka leka dengan untung dunia, selagi kita mampu tegur, tegurlah, agar sampai peringatan ini kepada mereka.

Natijahnya alhamdulillah mereka berlaku jujur dalam berurus niaga dengan saya. Saya harap bukan dengan saya sahaja, tetapi dengan insan-insan lain juga.

Puas hati sedikit membeli hari ini.

_____

ِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah melewati setumpuk makanan, lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, kemudian tangan Baginda menyentuh sesuatu yang basah, maka Baginda pun bertanya, "Apa ini wahai pemilik makanan?"

Sang pemiliknya menjawab, "Makanan tersebut terkena air hujan wahai Rasulullah."

Baginda bersabda, "Mengapa kamu tidak meletakkannya di bahagian atas makanan agar manusia(orang lain) dapat melihatnya. Barangsiapa menipu maka dia bukan daripada golongan kami."

[Hadith Riwayat Muslim : No. 147]

#CatatanMetropolitan

0 Nasihat & Komen:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Top