10/23/16

Cerpen : Yang Engkau Cinta

[Cerpen : Yang Engkau Cinta]



Hawa kereta sunyi tanpa kalam dan sapa. Tika itu, kereta baru sahaja meluncur keluar dari rumah. Belum ada bibit-bibit buah bicara; masih sunyi.

Aku cuba memandu dengan nada paling selesa. Walau kereta ini bukan kereta mewah, tetapi padaku, cukup. Guna apa yang ada dan termampu, sedar diri, ukur baju biar padan dengan saiz sendiri. Apa yang terlebih penting, biarlah budi yang dalam mewah dengan akhlak nan luhur.

Ayah pula duduk di sebelahku; di tempat duduk yang selalu digunakan oleh ibu. Akhir-akhir ini, ayah selalu mengajaknya pergi ke kedai hardware, kedai cat, kedai jubin, kedai atap dan entah ceruk pelosok mana lagi dibawanya aku. Semua itu, untuk membeli barangan tukang rumah, sebagai usaha untuk menghabiskan kerja-kerja tergendala dalam mengubah suai rumah.

Ayah bukan orang berada, tetapi dia mendidik kami, cukup dengan apa yang sedia ada. Tetapi untuk pembinaan rumah ini, aku sendiri kekenyangan tanda tanya, dan hingga saat ini belum dilawas dengan sebarang jawapan.

Apabila ditanya, hanya empat patah misteri dijawab ayah, "Semua orang punya impian."

Begitulah jawapan yang selalu mematikan tanda tanya aku. Hanya jawapan ringkas tetapi aku yakin, ianya kebaikan.

Demikianlah lelaki; tidak suka memberitahu, tetapi selalu terus bergerak menjalankan dahulu apa yang diyakini baik. Walau suka membuat insan lain tertanya-tanya dengan perlakuannya, dan disangka-sangka dengan keburukan, tetap terus tekun diusaha, hingga akhirnya natijah itu sendiri menjelma menjadi jawapan.

Rumah yang ingin dibina ini, bukan terus menerus dibina tanpa henti seperti seorang jutawan mendirikan rumah, tetapi rumah ini, aku sendiri menjadi saksi bahawa ianya dibina dengan susah payah.

Apabila ada duit, kerja-kerja berjalan. Apabila duit kian kurus di kocek, ditangguhkan sementara segala pembinaan. Kerana itu, proses mengubah suai rumah ini agak perlahan.

Tanpa bertangguh, aku menarik tali pinggang keledar membalut kejap badan. Gara-gara terkena saman pada bulan lepas kerana tergesa-gesa mahu cepat, aku terlupa langsung kewujudan tali pinggang keledar, sampai sahaja di tempat sekatan polis di hadapan, sudah jadi terlambat untuk menarik tali pinggang keledar. Natijah akhirnya, saman hinggap di dahi tanpa belas, dan aku terus jadi seakan hilang pedoman dan pertimbangan.

Sesal pun sudah tidak berguna, aku anggap ini semua aturan Tuhan buat aku, ambil sahajalah pengajaran. Duit yang sepatutnya cukup-cukup makan, ditambah pula kenaikan harga barang yang kian menggila kini, akhirnya menjadi episod kebuluran. Perkara ini benar-benar buat aku insaf dan berpada-pada, Maka sejak itu, segesa mana pun aku, pasti tali pinggang keledar itulah yang ditarik dahulu. Bila difikirkan, bukan untuk siapa-siapa, untuk aku juga.

Ayah? Tenang sahaja, memang lagenda. Sepanjang hidup memandu, tidak pernah disaman. Aku yang belum pun setahun jagung memandu, sudah kena saman. Malu betul aku dengan ayah.

Kereta kami setia melurut jalan. Melepasi kampung dan akhirnya di atas lebuh raya.

"Ayah, bagaimana mahu tahu diri kita ini sudah bersedia mengemudi dan membentuk satu keluarga?"

"Maksud kamu, kahwin?"

Entah mengapa, spontan aku sengih bagai kerang busuk buangan di pasar malam.

"Mudah sahaja. Kamu ingat tiga tanda ini."

Ayah menyambung,

"Pertama, pada ketika Allah dan Rasul-Nya lebih kita chenta daripada segalanya.

Kedua, pada ketika kita mencintai insan lain hanya-sanya cinta kita itu tulus murni kerana Allah Ta'ala sahaja.

Ketiga, membenci kepada kekafiran, setelah kita ini telah diselamatkan Allah dari memasukinya, sebagaimana bencinya kita kalau dilemparkan ke dalam neraka."

Tergamam juga aku mendengar jawapan ayah. Menarik. Benar-benar merangsang ingin tahu lagi dan lagi.

"Oh, begitu rupanya. Semua itu petanda halawatul iman kan ayah?"

"Ya betul. Pabila imanmu sudah ranum manis, maka pada saat emas itulah juga petanda kamu sudah bersedia memimpin sebuah keluarga. Memaniskan apa yang tertawar, atau sedia dan setia untuk dibantu pasangan kita memurni kembali rasa manis itu."

Jalan makin mengular; bengkang bekok bak ubat nyamuk. Terhenti segala bicara.

"Ayah teringatkan kisah Hamka. Satu sosok penting dalam dalam dunia Islam terutamanya di bahagian nusantara ini," ayah memecah hening.

"Selepas kematian isterinya, beliau yang kuat mengarang, jadi seakan tidak lalu lagi mengarang. Hanya ditumpukan dengan bacaan al-Quran dan dititiskan air mata tatkala membacanya. Pada anak-anaknya pula, selalu diceritakan semula perihal ibu mereka. 

Dan pada suatu hari, Hamka dilihat menangis. Anaknya mendekat dan bertanya, "Mengapa ayah menangis?". Beliau menjawab, "aku bertaubat kepada Allah kalau-kalau cintaku pada ibumu lebih dari cintaku pada Allah."

Allahu Allah. Kuat sungguh cinta dan imannya."

Kagum benar aku mendengar kisah itu, betapa kuat kesan halawatul iman buat yang benar-benar punya akar iman yang mendalam.

Saat ini, satu pertanyaan yang telah lama aku ingin tanyakan pada ayahnya. Disimpan-simpan sekian lama dalam benak, adakala hingga jadi senak, tak tertanak. Dan kini aku fikir, saat paling sesuai mengeluarkannya.

"Bagaimana kalau abang mahu bernikah pada usia sekarang?"

Ayah senyap. Jeda.

Lalu, ayah dengan nada selamba berkata, "Membina rumah tangga ini tidaklah mudah. Hidup yang ingin dibina bersama, bukan sekejap-sekejap di dunia, tetapi kalau boleh bertegak hingga ke syurga."

Iris mataku kian mengembang, hatiku turut berkocak, bahkan nadiku pandai pula bermain-main rentak.

"Lalu, peribadi perempuan yang bagaimana harus dipilih, untuk abang jadikan sebagai teman hidup?"

Ayah memandang hadapan, kemudiannya perlahan-lahan beralih pandangan memandang aku yang sedang memandu.

"Kahwinlah dengan yang beragama, dan yang lebih tepat diterjemahkan sebagai yang punya akhlak mulia. Akhlak mulia itu ialah produk asli daripada kekayaan ilmu yang tulen. Kahwinilah orang yang kita cinta, dan dia juga mencinta kita dengan sepenuh hati raganya. Kerana, cinta itu amat membantu dalam toleransi membina bait muslim ini. 

Siapa bilang cinta itu tidak penting?

Lihat sahaja ibumu. Saat itu usia perkahwinan kami hanya seminggu, kami sudah ditimpa ujian besar. Kamu belum pun wujud lagi ketika itu. Ayah terkena sihir yang entah dari mana asal datangnya. Dahsyat sungguh arus hasad manusia itu, dengan manusia seperti ayah yang tiada apa-apa ini pun disihirkan.

Saat itu ayah benar-benar dalam keadaan kritikal, hospital-hospital pula tiada kepakaran dalam menangani kes-kes nadir seperti itu. Kejadian itu berlaku bukan sekejap, tetapi memakan masa bertahun juga, hinggalah ayah terpaksa ambil cuti tanpa gaji.

Namun, dicelah kejadian itu, cinta ibumu setia di sisi ayah. Sentiasa ada untuk ayah. Sedia membantu dan mendorong ayah supaya jadi lebih gagah, melawan makhluk-makhluk halus itu.

Dengan pertolongan Tok Wan, Tok, dan adik beradik yang lain, alhamdulillah kami berjaya menemukan seorang yang pakar untuk buang segala benda yang cuba merosak hidup bahagia kami, dan alhamdulillah akhirnya selamat dibuang.

Sayangnya ayah pada ibumu terus bertambah-tambah selepas saat itu. Dan peristiwa itu buat ayah yakin dengan pilihan ayah memilih ibumu; pilihan terbaik daripada Tuhan. Biarlah apa yang kami tempuh, janji setia cinta kami terus ampuh, selepas Allah dan Rasul.

Ya, cinta tidak mungkin memberi kita hidup, tetapi cinta sang isteri inilah yang menemani rebah bangun hidup kita untuk hidup.

Jantung aku berdegup gaya kencang, kerana ini kali pertama aku mendengar cerita ini.

Kemudian, ayah menyambung lagi.

"Lelaki punya kuasa besar dalam memilih. Lagi pula perempuan sekarang seakan lebih ramai berbanding lelaki. Jangan gundah, masih panjang lagi jalan juangmu. Tumpukan dahulu pada apa yang perlu ditumpu. Akan tiba satu masa, Allah akan kurniakan sebuah rasa, mengurniakan calon terbaik, untuk kita begerak pada masa yang telah ditetapkan di sana."

Panjang nasihat ayah. Cukup buat modal aku berfikir panjang.

Sebelum sampai di kedai hardware itu, ayah gulung kata-katanya, "Kahwinlah dengan perempuan yang engkau cinta sedalamnya, yang mana cintamu itu tulus memandang agamanya."



____

Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1533, 130415

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter