9/30/16

Agarku Tidak Lupa


Tulisan ini saya tulis, agar saya ingat.

Tidaklah sama sekali kita tahu apa yang bakal berlaku di hadapan, walau sesaat sekali pun.

Jadi, saya gagahkan menulis tulisan ini.

____

Tanpa sedar, kini, sudah lebih lima tahun saya belajar di Mesir. Ya, sudah lima tahun. Tempoh ini sebenarnya agak lama, tetapi buat yang sudah menghadapinya seakan tiada apa yang dirasa. Hanya berasa seakan baru semalam baru mendarat di Cairo International Airport.

Tahun 2016. Tahun ini sudah kali keempat saya pulang ke Malaysia pada cuti musim panas dan tahun ini jugalah tahun paling lama saya pulang ke Malaysia, iaitu sekitar tiga bulan lamanya. Tahun-tahun sebelum ini hanya dua atau tiga minggu sahaja.

Tahun 2012 satu-satunya tahun yang saya tidak pulang ke Malaysia. Tahun-tahun selepas ini, saya sendiri belum tahu apakah saya akan pulang pada musim cuti atau tidak, barangkali ini kali yang terakhir, memandangkan pengajian saya di Mesir juga sudah tidak lama lagi (kata kebanyakan orang -  tetapi bagi saya masih lama lagi).

____

Serba salah. Malu.

Jujurnya, itulah perasaan saya setiap kali saya pulang ke Malaysia.

Serba salah, malu!

Selain penat memenangkan banyak pihak, malu dan serba salah adalah satu perasaan besar setiap kali saya pulang ke Malaysia.

Manakan tidak, saya yang masih belajar ini, belumlah punya apa-apa, harta pun tak ada. Jadi, setiap kali mahu membeli barangan keperluan untuk berpatah balik ke Mesir, saya jadi malu,

Anak orang lain yang seumur dengan saya, kebanyakannya sudah punya kerja dan sudah beranak pinak. Sedangkan saya masih dipelukan ibu ayah, masih memakan hasil titik peluh mereka.

Malu. Sungguh malu,

Ya, walaupun tidak 100% duit mereka, ada juga menggunakan duit saya sendiri hasil kerja yang tidak seberapa, tetapi tetap kebanyakannya menggunakan duit mereka.

Kerana itu kadang-kadang saya jadi sangat sensitif jika ada orang menggunakan barang saya dengan sambil lewa dan lakukan pembaziran. Saya sangat sensitif. Iyalah, apabila mengingatkan betapa peritnya mereka membanting tulang untuk dapatkan duit itu semua, ia buat saya benar-benar menghargai apa yang mereka berikan.


Balas.

Ya. Saya menulis di sini, supaya selepas ini saya sentiasa ingat yang saya ini sangat terhutang budi dengan mereka dan perlu balas jasa mereka sebaik yang mungkin.

Ini akan jadi satu kewajipan buat saya. Jikalau saya dilihat lupakan semua ini, panggillah saya, suluhkan kembali saya dengan menunjukkan tulisan ini. Agar saya mengerti, ada budi yang perlu dibalas walau tak akan pernah terbalas.

Mama, Ayah. Terima kasih atas segalanya.

Walau apa jua kesalahan dan kekurangan diri ini, mereka masih tetap menerima seadanya.

Terima kasih atas segalanya. Daku hanya mampu berdoa dengan penuh pengharapan agar kedua-dua ibu ayahku diberi balasan syurga yang paling mewah dan indah di sana nanti.

*nangis*

Tuhan jualah yang paling mengetahui.


Muhd Iqbal Samsudin
Kuala Pegang, Baling, Kedah
2148
300916

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter