4/25/16

Berikan Haknya

[Cerita Dari Masjid]

Berikan Haknya.

___

Asar hari itu saya terlewat. Bersegera saya masuk ke dalam masjid itu.

Masuk sahaja dalam masjid, saya melihat semua sudah selesai menunaikan solat asar. Namun saya teruskan langkah saya terus ke belakang.

Dan ya...Alhamdulillah masih ada dua orang mengerjakan solat berjemaah, mungkin mereka juga 'tercicir'.

Tanpa menunggu lama, terus saya sertai mereka.

Si imam itu seorang pak cik yang juga seorang ahli jemaah biasa masjid itu. Tapi belum pernah saya lihat dia menjadi imam di hadapan mahupun imam masbuk. Dan ini kali pertama saya solat berimamkan dia.

Usai sahaja solat, pak cik di sebelah saya memandang saya dengan mimik muka pelik dan bingung. Sambil membuatkan gaya tangan berpusing-pusing dia berkata, "Dia terlalu tergesa-gesa sangat dalam solat tadi."

Pada mulanya saya tak endahkan sangat kerana lazimnya orang Arab ini selalunya akan bertanya berasal dari mana dan ingin berkenal-kenalan.

Saya menggoyangkan kepala seperti lazim bangsa Arab gunakan ketika bertanya, "Apa?"

Dia ulang sekali lagi, sambil menunjuk-nunjuk kepada si imam di hadapan, "Dia solat tadi terlalu tergesa-gesa."

Saya faham dan menyungging senyum kepadanya.

Fikir saya, masalah tidak akan selesai jika saya dan dia berbincang dan mengata itu ini kepada si imam di belakangnya. Ini perkara asas yang perlu dipelajari dan diambil pengajaran dalam solat berjemaah.

Lalu saya menyuruhnya untuk terus berbincang atau terus tegur kepada si imam tadi. Lebih mudah, lebih bermakna.

Saya lihat perbualan kedua-keduanya pada mula agak tegang. Itu biasa

Siapa saja jika ditegur, pada mulanya mungkin dia akan sedikit terasa, itu perkara biasa, itu reaksi sang ego. Tetapi hakikat sebenarnya, itulah penawar. Lama kelamaan dia akan sedar akan kesalahannya.

Setiap pergerakan dalam solat punya maknanya yang sendiri dan setiap pergerakannya ada haknya yang perlu ditunaikan. Toma'ninah yang diajar pada kita itu, membantu memakna setiap gerak solat.

Andai pada setiap ibadah kita ada nilai ihsan yang menghiasi, pasti tidak sanggup untuk kita tergesa-gesa mengerjakan tanpa hati.


Wallahua'lam

Muhd Iqbal Samsudin
Suez Canal, Egypt.
1932
220416

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter