2/21/16

Cerpen : Membius Fikir

Cerpen : Membius Fikir

---

Petang yang aman. Awan gemawan tiada pun yang menghias biru langit, namun tetap juga ia menjadi teduh. Entah, aku pun tidak tahu mengapa. Barangkali seteduh hatiku.

Aku berjalan keluar dari bilik. Di pelosok dapur, aroma mengancam menusuk-nusuk sukma. Kini musim dingin. Kala petang yang menyejuk, langit yang teduh, bunyi yang aman, perut ikut terasa lapang, merembes-rembes asid-asid pedih merangsang lapar.

Aku tahu aroma ini, kusedut dalam-dalam. Sah. Bau ini tiada tanding tara rasanya. Pasti.
Aroma ini yang kerap melayang-layang di alam udara, meliuk-liuk masuk ke lohong rongga hidung. Asyiknya saat itu, hujan turut melantun-lantun mencipta irama di atas zink, meloncat-loncat bergendang ria.

Itulah bau cucur kucai ibu. Benar, aku rindu.

Adunan suasana itu hanya rekaan minda. Acuannya? Pastilah bersusur dari memori indah. Di mana lagi kalau bukan kampung tempat aku diakal mengenal dunia.

Ah, terbang melamun lagi aku. Teringat bau-bau selut yang membalut kaki. Sungguh indah atmosfera itu. Kini, di kejauhan, di lain benua, aku terus merindu-rindu, termimpi-mimpi.
Melihat jam, "Alamak, dah pukul empat!"

Berlari-lari aku menuju ke tepi jalan, harap-harap terus ada microbus kosong yang lalu. Kalau tidak, habislah aku, takut-takut jadi munafiq tak menepati janji. Derhaka pada pelanggan!

Sedang aku tunggu-tunggu, aku lihat sekali lagi jam, "Aduh, empat suku! Macam mana ni!"

Entah bagaimana, aku tergerak untuk menoleh ke belakang, "Eh, ada Firdaus!"

Kaki aku tanpa sedar meluru ke arahnya. Senyumku bertemu wajahnya. Dengan nada perlahan dia bertanya, "Nak ke Sabi' ke?"

Lenganku dihayun, mata melihat jam yang sudah sedia tahu aku memang sudah terlewat. Lalu, aku angguk.

Bagai orang dahaga dihidang air, tiba-tiba dia bertanya, "Cantik! Jomlah naik teksi dengan aku. Aku ada mesyuarat di Sabi’ sekejap lagi."

Tanpa berfikir panjang, aku terima tanpa tanya.

"Jangan risau, aku belanja..."

Ah, cukup bahagia rasa dunia!

Terus berdesup teksi datang di sisi. Teksi-teksi putih dan hitam di metropolitan Kaherah ini, setia sepanjang masa meluncur-luncur di jalanan, banyak.

Kumula buah tanya. Kepala ditunduk sedikit, lalu si pemandu buka tingkap teksi itu.
"Assalamu'alaikum. Hayyu Sabi'?" Aku tanya.

"Wa'alaikumussalam. Naiklah!" Sambil mengangguk dan membuat gaya tangan menyuruh masuk.
Seawal bersua muka bersama dengan wajah pemandu teksi tersebut, sudah cukup memukau. Senyumannya, membius rongga mindaku.

'Ah, kepelikan apakah ini? Laksana ada bius tanpa wayar menyalur dunia bawah sedar pada mindaku.' Ronta hatiku.

Dia masih muda. Hanya berpakaian biasa, pakaian orang muda-muda. Seluar jeans biru gelap dan kemas berkemeja, lagak yang sama seperti pemuda-pemuda Mesir. Senyum-senyum segar melekat di wajahnya.

Agar suasana dalam teksi tidak terlalu hambar, aku mula mencorak suasana, sedikit demi sedikit. Selalu juga aku praktikkan cara ambil 'history taking' pesakit di hospital kepada pemandu-pemandu teksi yang aku temui, dengan persoalan-persoalan persis yang diajar kepada kami di kuliah perubatan. Sekurang-kurangnya, aku dapat melancarkan lagi percakapan bahasa Arab ‘ammi Mesir aku, ketika berhadapan dengan pesakit nanti. Selepas itu, perbualan biasanya akan berkembang sedikit demi sedikit, dan aku pun selalunya dapat beberapa perkataan baharu, dan lenggok gaya sebut bahasa mereka dengan betul.

Kami berkenalan. Namanya Ahmed, nama yang paling biasa dalam kalangan orang Mesir. Nama-nama mereka sememangnya sepatah sahaja selalunya, dan ada gelaran tersendiri bagi setiap nama itu. Untuk nama Ahmed, nama gelaran yang selalu digunakan ialah, Hamada.

Kereta meluncur seadanya, dan Ahmed pun laju memulakan bual. Pelik, selalunya aku yang akan memulakan bicara. Sekarang, terbalik pula. Dia mulakan bualnya dengan riak wajah serius, secara tiba-tiba, "Andai dapat dibius semua insan dalam dunia ini agar tidak sakit saat ditegur, tidak pedih bila dikritik, pasti akan aku gunakan. Pasti!"

Aku melihat kening kanan dan kening kirinya. Jendela persoalan, penuh dan jenuh berkeremun di lowongan mindaku. Jeda.

Bibir atas dan bawahku berpisah, ke atas dan ke bawah, mengeluar butir perkataan, "Tapi mengapa?...Mengapa perlu dibius?"

Pantas dia membalas, "Tapi itu hanya andai. Sekadar andai. Realitinya, kita perlu berdepan. Mendepan antara dua pipih muka, bagi menyatakan kebenaran. Atau boleh jadi yang sebaliknya, kita pula sebaliknya akan diajar, apa itu yang benar-benar. Pada saat itu pula, aku sendiri akan biuskan diriku, agar tidak berasa pedih dan gundah, dengan setiap goresan tajam kritikan. Pasti!"

Aku lihat Firdaus di tempat duduk belakang. Kelihatan dia tenggelam di alam maya dan di alam kerja, dengan tangan laju menaip di skrin telefon, membuat persiapan mesyuarat persatuan. Sibuk sangat barangkali.

Kereta masih lancar bergerak. Tidak mengengsot dalam desakan lalu lintas yang sesak, seperti selalu.
Pandanganku pulang pada melihat si pemandu teksi, lalu menerus persoalan, “Mungkin engkau terlalu berasa hati, atau kurang bergaul dengan manusia. Sebab itu engkau tidak boleh terima teguran orang lain. Dan engkau menganggap orang pun sama semacam engkau…”

Udara kosong tanpa kata.

Aku mulakan semula, “Tetapi mengapa sampai perlu dibius?"

"Kerana pada setiap teguran itu ada pedihnya, namun ia pasti ada pelajaran, buat yang segar dan sentiasa mahu belajar. Dengan pedih itulah melahirkan pelbagai reaksi. Buat bangsa engkau, mungkin ia mudah, tetapi tidak untuk bangsa aku. Bangsa aku payah untuk terima teguran, tetapi sangat suka menegur, tambah-tambah kepada orang luar seperti engkau, kerana engkau semua lebih mudah menerima, berbanding bangsaku sendiri yang yang keras kepala. Barangkali taraf pendidikan bangsa engkau dan bangsa aku itulah, ada tembok perbezaan, jurangnya terlalu besar. Nabi juga pernah lakukan kesilapan, lalu Allah tegur dengan teguran paling halus dan penuh adab. Kita boleh lihat pada Surah 'Abasa, sungguh menakjubkan cara Allah mengajar kekasih-Nya. Tetapi bangsa aku hanya pandai membaca dan menghafaz, tetapi tidak pun mengamalkan ibrah yang mereka dapat." Ahmed bercakap dengan penuh penghayatan dan semangat, tangan kanan dan kirinya ada kalanya diangkat-angkat, seakan sedang bersyarah di pentas politik.

Aku menokok balas kata, "Tetapi kenapa tidak ditegur bangsa Arab Mesir ini? Budayakan lagi budaya menegur dan menerima tegur. Maafkan aku. Aku ingin berkata dan bertanya jujur. Aku lihat, di tepi-tepi Masjid Al-Azhar, penuh sampah sarap di sekitar itu, dan di sesetengah tempat rasa amat menjijikkan, walhal itulah kiblat ilmu umat Islam seluruh dunia. Seakan ilmu itu tak memberi apa-apa kesan kepada masyarakat sekitarnya. Seakan ilmu itu hanya di kertas-kertas dan di kepala-kepala, tetapi tidak berada pada amal praktis. Kenapa? Kenapa duhai saudaraku?"

Ahmed sesekali melempar pandangnya pada wajahku, kemudian menyambung, "Itulah bangsaku. Walau buruk sebagaimana sekali pun, itulah keadaan bangsa aku pada hari ini. Bangsa yang miskin adab tetapi kaya ego. Begitulah kebanyakan daripada bangsaku. Miskin adab menyebabkan hilang segala keberkatan dan dibenci seluruh makhluk, hatta binatang sekali pun! Tinggi ego pula menjadi asbab bangsa ini bangsa yang tidak boleh maju, statik, kerana tidak makan dek teguran. Aku terima seadanya apa yang engkau katakan. Dustalah aku kalau  aku menidakkan apa yang engkau katakan itu. Aku juga sedih, tetapi hanya sekadar sedih."

Aku faham sedih dia. Dan aku gembira dia bersedih, kerana sekurang-kurangnya ada dalam kalangan mereka sedar. Dengan sedih itu aku harap membawa sedar yang dalam, dan akhirnya dapat mengubah sedikit demi sedikit, dengan apa yang terdaya.

Panjang pula borak-borak kami pada petang itu. Sedar-sedar, bayangan Arabiata sudah ternampak di hadapan.

“Turunkan kami di tepi Arabiata.” Aku arahkan si pemandu itu berhenti.

Dia senyum.

Setelah melihat tambang yang tertera di meter, Firdaus hulurkan duitnya kepadaku, lalu aku bayar seperti jumlah yang tertera di situ. Si pemandu tidak meminta-minta lebih, seperti pemandu-pemandu teksi yang lain. Luhur juga akhlaknya.

Firdaus pantas turun dari kereta, dan aku menurutinya. Selepas menutup pintu, aku hulurkan kepala di tingkap, dan menuturkan, “Aku harap engkau dapat mulakan dengan ubah diri engkau sendiri, dan kemudian ubah keseluruhan masyarakat.”

Seraya dia membalas, “Untuk bangsa engkau, engkau mulakan!”

Senyum kami serentak menyimpul, dan diakhiri dengan salam.

Momen-momen dalam teksi, kalau betul-betul digunakan, sangat-sangat mengujakan. Tidak kosong jika kita penuh. Hanya kosong kalau kita yang terlebih dahulu kosong. Begitulah juga tempat-tempat yang lain.




No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter