1/25/16

Bawa Mati


Rasa resah gelisah bukan kepalang, apabila sudah cukup haul seminggu tidak dengar suara mama. Hujung minggu yang telah lalu diriku dirundung gering, cuaca makin sejuk barangkali, entah-entah juga kerana diriku kian banyak beban dosa, jadi tidaklah dapat telefon ke Malaysia.

Disebabkan kredit untuk menelefon menggunakan VOIP sudah makin semput. Jadi aku memilih untuk guna WeChat sebagai alternatif percuma, memandangkan adik-adik ada di rumah, bolehlah tunjukkan cara menggunakan aplikasi ini kepada mama dan ayah, mudah kerja.

Sembang-sembanglah seperti biasa. Selalunya pasti lebih dari setengah jam. Dan selalu juga lebih dari satu jam, setiap kali berbual setiap minggu.

Tapi, kali ini ada yang menyentuh.

Ketika aku menerang serba sedikit perkembangan berkenaan penerbitan buku pertamaku, ada sesuatu yang aku lontarkan. Tanpa sedar. Yang tanpa sedar inilah, yang jujur membujur lalu dalam benakku selalu.

Habis saja penerangan aku, mama menyebut, "Itulah, abang ambil medik, tapi tulis buku."

Terus aku menjawab laju, "Nak buat macam mana, mama. Minat abang ada di situ."

Mama setia mendengar.

Aku menyambung, "Harta tak ada lagi. Tapi kalau abang mati, tulisan-tulisan inilah antara harta abang, nak bawa ke sana."

Duduk sendiri-sendiri. Aku fikir kembali, panjang-panjangkan lagi fikir.

Aku sendiri terkesan. Soal-soal mati ini, sentiasa beri nafas baharu buat hati.

Maka kutanyakan diriku lagi, 'Apa lagi yang kaumahu tinggalkan?'

Tubuh ini, tubuh yang menanggung, dan menjawab di sana nanti.


عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ


Daripada Abu Barzah Al-Aslami berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wa salam bersabda,

"Kedua telapak kaki seorang hamba tidak akan berganjak pada hari kiamat sampai ditanya

tentang UMURNYA untuk apa dia habiskan,

tentang ILMUNYA untuk apa dia amalkan,

tentang HARTANYA dari mana dia peroleh dan ke mana dia infakkan

dan tentang TUBUHNYA untuk apa dia gunakan."

[Hadis Riwayat Tirmidzi : Nombor 2341]


Muhd Iqbal Samsudin
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1636
250116

2 comments:

  1. Semoga berjaya untuk penerbitan buku enta. I'm looking forward to it! Good luck!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas sokongan!

      Terkejut ada orang komen, lama sangat dah tak ada orang komen kat blog ni :)

      Delete

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter