12/23/15

Ikut Saja Aku!

Aku berhadap engkau. Senyum.

Engkau menghadap aku. Menyungging.

Aku jelaskan. Panjang. Berjela, berela-ela. Aku lampirkan rujukan, tanda aku tidak memandai-mandai, atau berhujah dungu guna aqal terhadku. Aku senyum. Aku sangka engkau dengar.

Engkau jelaskan. Panjang. Henti-henti, berjeda. Engkau tidak setuju dengan segala yang aku jelas, dengan segala rujukanku. Engkau bawa buah fikirmu, tidak selari dengan mana-mana rujukan. Sambung lagi. Aku tekun mendengar. Setia dan tekun memikirkan.

Aku pening. Aku hairan.

Saatku berhujah tanpa rujukan-rujukan besar, engkau bilang hujahku lemah.

Apabila aku tunjukkan rujukan-rujukan seperti mahumu, engkau bilang fikir aqalmu lebih absah, lebih sahih.

Aku tambah pening. Hairan, campur darap bahagi sang geram.

Tidak engkau mahu jawapanku. Tidak engkau mahu penjelasanku.

Tapi engkau bilang mahu kebenaran. Bahkan ironi-ironi bermain lagi, fikir intelektualmu mengatakan hanya hujahmu paling benar.

Aku terpaksa berpatah balik semula ke daerah kemanusian. Lupa juga aku dengan satu dua perkara  bernama EGO dan EMOSI.

Dua anasir ini benar-benar memusnahkan. Musnahkan intelek dan daya fikir rasional manusia.

Gagalnya mengawal kestabilan dua anasir ini, maka berderet-deret jugalah punah yang memanah, memecah busuk-busuk yang ada, di dada, lalu mengalirlah alir-alir hitam yang tidak sepatutnya. Mencemar yang tidak sepatutnya.

Ia sama sahaja seperti senario segelintir sikap manusia.

Berpusing itu, berpusing ini, itu dan ini, itu ini. Rupanya, yang dia mahu hanya satu, "Engkau harus ikut aku. Aku tidak akan mahu dengar segala penjelasan dan prinsipmu, prinsip aku jauh lebih benar, intelekku lebih luas, jauh lebih absah daripada segala, tanpa leluasa!"

Lihat saja sabda Nabi. Betapa emosi itu merosakkan segalanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُأَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ 
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahwa seorang lelaki berkata kepada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam;
"Berilah aku wasiat?" Baginda bersabda: "Janganlah kamu marah."Lelaki itu mengulangi kata-katanya, Baginda tetap bersabda, "Janganlah kamu marah." [Hadis Riwayat Bukhari. Nombor 5651]


Lalu, tiada guna aku bersyarah panjang. Akhirnya yang engkau mahu, hanya pendirianmu jadi ikutan. Yang lain silap-silap belaka.

Aku sungging, engkau senyum. Luar sama, dalam lain-lain.

Sikap ini sikap salah, bahkan ralat besar dalam menyelami dan mengutip ilmu. Ilmu-ilmu akan jadi terbatas dan tidak berkembang. Berkat apatahlah lagi, jauh.

Lalu apa lagi gunanya ilmu-ilmu, jika berkat ilmu tiada menghinggap lagi di dada kita?

Moga kita tidak terjebak dalam arena hilang kawalan dua anasir besar itu. Jika ditegur manusia lain, jangan gelabah-gelabah pertahan diri. Senyap dahulu, dan cerna. Perlahan-lahan cari antidot daripada orang-orang yang ahli, berubah perlahan-perlahan. Orang yang sanggup tegur kita, itulah orang tinggi tumpah sayangnya pada kita, sayangi dia. Ketat-ketat.


"Jangan habiskan waktu menjelaskan kepada orang yang tidak mahu penjelasan. Sejuta penjelasan tetap tidak dia terima.

Jangan berikan jawapan kepada orang yang sejatinya tidak mahukan jawapan. Sejuta jawapan dia tetap tidak percaya.

Waktu terlalu berharga dihabiskan sia-sia."

- Tere Liye




Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Cairo.
2018
311015

Ulasan Buku : Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi (Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam)

[Ulasan Buku : Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi ; Sejarah Hidup dan Pemikirannya]



Ini kali pertama saya membaca tulisan Syeikh Fahmi ZamZam, sebelum ini hanya dengar perihalnya sahaja daripada mulut orang lain.

Ternyata tulisannya, tulisan yang tintanya teralir jujur daripada bening hatinya. Masya-Allah.

Apatah lagi, tulisan ini ialah tulisan berkenaan gurunya yang beliau amat sanjungi serta dihormati seluruh pelosok dunia. 'Rasa' berkat itu dirasa mengalir pada setiap tulisan, walau biografi ini telah ditulis belasan tahun yang lalu.

Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi. Nama ini sinonim dengan magnum opusnya, Maaza khasrul 'aalam fil inkhithotil muslimin. Karya-karyanya yang ditulis dalam bahasa Arab sudah masuk ke seluruh negara Arab dan menyedarkan mereka, sejak umur beliau belasan tahun lagi.

Beliau seorang alim besar, dan punya pandangan luas dalam bidang ilmu dan dakwah,  hingga diiktiraf ulama' lain di seluruh dunia, walau beliau seorang 'ajam, bukan daripada bangsa Arab.

Rugi kiranya jika tokoh ini kita tidak diendah, terutama buat anak-anak muda.

Kata-kata Saidina Abu Bakar yang selalu diungkap Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi selalu membangkit semangat kepada pendengar.

أينقص الدِّين وأنا حيّ؟ .

Adakah agama(Islam) ini akan jadi mundur, sedang aku masih lagi hidup?

#SyeikhAbulHasanAliAnNadwi

____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298

____

Ulasan Buku : Hikayat Qalaqisya (Hazwan Faiz)



Hikayat Calaqisya bagi saya merupakan catatan awal yang dibukukan bagi perjalanan sebagai peniaga online. Nyata bidang ini bidang baharu, dan pada suatu ketika dahulu, ia bidang nadir yang sudah pasti banyak pancaroba untuk ditempuh.

Kini, hidup rakyat makin susah, dan makin ramai pula yang terjun dalam bidang perniagaan online ini. Senang katanya. Akhirnya ramai juga yang gulung tikar, atas sebab 'senang'nya bidang ini.

Bidang apa jua sekali pun, semuanya perlukan ilmu dan kesungguhan. Tempuh sahaja apa di hadapan, terus berjalan, jangan takut.

Ketika membaca berkenaan perih payah berniaga di alam maya ini, ianya seakan saya membaca kisah saya sendiri dalam menubuhkan @ibnuddinbookshop dan @elkitabshop , barangkali begitu jugalah dengan kakak saya yang telah menggantikan peranan saya sekarang. Kecualilah bab kahwin itu, sebab saya belum. Eww.

Rezeki ada dilubang ikhtiar yang kita usahakan. Usahalah, carilah. Hazwan Faiz dan isterinya ini juga bukan calang-calang, mereka punya pendidikan hingga ke peringkat master. Jangan ingat budak marketing saja boleh berniaga, orang lain juga boleh, bahkan terkadang lebih terkehadapan.

Bahasa buku ini bahasa yang santai, dan penuh gaya bebas kuak lentang berirama humor. Dekah-dekah juga saya ketika membaca buku ini. Teman sebilik pun pandang pelik, selalu baca buku lain serius saja. Entah hantu Qalaqisya mana datang rasuk hingga aku riang keseorangan, terkekek-kekek membaca buku ini.

Saya ada juga buat catatan #NotaNiaga dan cerita-cerita saya selama ini hingga sekarang. Apabila sudah sampai masanya, saya harap segala nota itu dapat dikumpul dan dibukukan untuk manfaat bersama. Ameen.

#HikayatCalaqisya
#DubookPress
#HazwanFaiz

____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298

____


Muhd Iqbal Samsudin
2320
211215

Ulasan Buku : Biblioholisme (Shaharom TM Sulaiman)

Ulasan Buku : Biblioholisme - Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya 
(Shaharom TM Sulaiman)




Saya sentiasa meminati tulisan Tuan Shaharom TM Sulaiman, terutamanya tulisan-tulisannya berkenaan buku.

Buku ini disusun dengan baik dan anatominya lengkap, walaupun buku ini hasil kumpulan tulisan-tulisannya berkenaan dengan bibliholisme.

Dan inilah manifestasi nilai bibliofil di dalam dirinya, seorang yang berpengalamanbekas pustakawan di Perpustakaan Negara yang sudah.

Buku ini punya empat bahagian.

Pertama. Buku dan Daya Pikatnya.
Kedua. Biblioholisme : Mengenal Dunia Pencinta Buku.
Ketiga. Travelog Pencinta Buku.
Keempat. Sisi Aneh Dunia Buku.

Pada setiap bahagian, diterangkan dengan penuh perincian.

Bagi pencinta buku atau bibliofil, mereka akan sahkan atau diagnos sama ada dia benar-benar bibliogtafi atau sekadar pseudo-bibliofil, berdasarkan simptom-simptom yang penulis berikan.  Itu pada saya bahagian yang menyeronokkan.

Kita boleh kenal kita bibliofil yang bagaimana dan beberapa kisah disebalik istilah-istilah buku yang sangat menakjubkan.

Wajib baca!

#Biblioholisme
#Bibliofil
#ShaharomTMSulaiman


____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +601111151899
WhatsApp --> http://ibs.wasap.my

____

Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
1255
231216

Ulasan Buku : Opah Gangnam Style (Zulaihah Karim)



Sebab utama buku ini dibeli, sebab dijual murah di Mesir. Jadi, saya beli dan ini buku pertama keluaran Kopi Press yang saya baca.

Kedua, kerana penulis buku ini pernah belajar SMKA Sik.

Ketiga, kerana saya mahu tahu tentang Korea dan belajar serba sedikit bahasa Korea.

Jujurnya, saya kurang selesa dengan bahasa entah apa-apa yang penulis gunakan. Hendak dikata rentak bahasa indie, bukan. Bahasa urban macam bukan, bahasa orang muda, hmm bukan juga kot. Bagi saya lebih kepada bahasa gedik-gedik. Ya, maafkan saya, saya kurang suka, bahasa Melayu yang agak rosak begini.

Entah. Disebabkan buku ini disusun dengan gaya diari, mungkin itulah bahasa penulis sendiri.

Apa pun, ada banyak juga yang saya dapat. Bohonglah jika dikata tiada manfaat langsung daripada buku ini.

Tentang bahasa Korea, ada jugalah perkara baharu yang saya dapat, dan pembetulan daripada kesalahan yang selalu orang yang baru belajar bahasa Korea buat. Penulis berhak tegur memandangkan beliau belajar persediaan bahasa yang bagi saya agak lama.

Seterusnya tentang uruf dan adat orang Korea dan keadaan dakwah di Korea. Menarik juga kisah yang dibawa.

#OpahGangnamStyle
#KopiPress

____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298

____

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2351
221215

12/21/15

Tangis Tanpa Titik

[Puisi]


Menerima belas
Menerima cinta
Menyambut kasih


Ia mengerlap yang gelap
Mencerah yang suram
Menyinar yang pinar


Mengharap harap
Pada manusia
Ia tidak selalu jadi harap
Kadang busuk
Persis sarap


Mengharap harap
Itu semua ada saluran
Laksana aliran
Salah lorong
Ia terhenti
Kena lorong
Suka hati


Saat kau tunggu
Tunggulah di lorong betul
Yang sampai kepada Ilahi
Lorong Tuhan
Yang sedia setia
Disalah erti


Saat kau tunggu
Tunggulah dengan ilmu
Agar tidak terasa jemu
Leluasa masa
Rasa pantas
Bertalu pergi


Saat kau pedih
menahan perih
Tahan-tahan
Minta ampun
pada Tuhan
Mengurang dosa
Berontak berombak
Di dada


[11:115]

"Dan SABARLAH (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah),
kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan"




Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
1743
201215

12/4/15

Ulasan Buku : Lalu Aku Hidup Sebagai Apa(Jejak Tarbiah)


Menjelang sipongang azan subuh, helai akhir buku ini turut habis kulabuh.

Buku yang sarat dengan semangat Buya HAMKA dan semangat kepemudaan.

Tidak sia-sia aku berlelah bawa dari Malaysia tempoh hari.

Penting memperbanyak usaha meniup semangat-semangat pemuda melalui penulisan-penulisan sebegini, kerana golongan ini kumpulan emas dalam pelosok masyarakat. Emas, kalau disimpan tiada guna juga, harus dimanfaatkan.

Selain sedikit sebanyak berbicara berkenaan pemikiran HAMKA, aku suka dengan pembawaan dan perkenalan nilai juang tokoh-tokoh lain, seperti Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi dalam tulisan saudara Razif Fuad. Dari situ, aku mula bersemangat membaca karya-karya Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi dan biografinya. Juga akhirnya mengundang inspirasi pada diri.

Catatan pengalaman umrah juga mendapat tempat di hatiku, lantaran hati ini sudah berbunga benar mahu ke sana dijemput Allah.

Moga Jejak Tarbiah terus kuat dan teguh dalam usaha membawa masyarakat ke kancah buku dan ilmu.

____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298

____

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1641
041215

Mahu beli?

Boleh beli di sini :




12/1/15

Ulang dan Ulang

[Nota Furqan]

Pernah saya dan beberapa sahabat lain pergi menziarahi Pak Su Mid, seorang soleh yang terkenal di Kedah, sebelum datang ke Mesir.

Melihat dia begitu akrab dengan al-Quran, kami bertanya, "Macam mana cara Pak Su Mid menghafaz al-Quran?"

Dia menjawab, "Saya tak pernah hafaz pun, tapi saya rajin baca dan khatam banyak kali. Lepas tu alhamdulillah lekat sendiri dalam kepala."

Allahu Akbar.

Apabila duduk bersamanya, aura soleh dan rasa dekatnya dia dengan Tuhan, benar-benar terasa ke lubuk hati kami.

Dekatnya ikatan kasih kita dengan dengan Allah, menyebabkan orang lain turut senang dengan kita. Saat rindu sudah tidak terbendung, pertemuan dengan Allah dan Kekasih-Nya paling didamba-damba. Alangkah bahagia.

Moga Allah terus memelihara dirinya dan kita semua, dengan semulia-mulia pelihara.

Semoga malam paling barakah, malam bernilai seribu bulan, direzekikan untuk kita.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2340
080715