11/30/15

Lalu, Apa Kesukaan Mama?

[Lalu, Apa Kesukaan Mama?]


Apabila ketika memasak, engkau lebih memikirkan apa yang orang lain suka, berbanding apa yang engkau suka, maka ketika itu bolehlah dikatakan jalan fikir engkau dalam hidup sudah semakin matang, dan sudah ada bau-bau keibuan.



. . .

"Mama, kenapa lauk ni tak ada sayur?"



"Oh, sebab adik kamu suka lauk ni tapi dia tak makan sayur sangat."



"Kenapa sambal ni manis?"



"Eh, abang kamu kan tak boleh sangat makan pedas..."



"Gulai ni pula, kenapa macam kurang santan?"



"Itu citarasa ayah kamu, dia tak suka lemak sangat..."



"Kuetiau ni kenapa tak ada taugeh?"



"Bukan kamu tak suka taugeh? Diri sendiri pun dah lupa?"




. . .

Dia asyik memikirkan kesukaan orang lain, tetapi untuk diri sendiri jarang dibuat.

Kadang hingga kita jadi lupa bertanya apa kesukaannya.



"Lalu, apa masakan kesukaan mama?"



Dia membalut bibir dengan garisan senyum.



"Apa yang kamu semua suka, itulah kesukaan mama."




. . .

"Apa yang kamu sorok belakang kamu tu?"



"Taraaa... Mama suka asam pedas batang keladi kan? Nah ini untuk mama..."



Si ibu nangis terkedu.






Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
010815

Karamah Ibu

[Karamah Ibu]

"Mama, tuala abang kat mana?"

Senyum-senyum seorang bila teringat dan merindu mama.

Kadang, bila balik Malaysia, soalan itu sengaja dibunyikan. Padahal barang kita, kita yang guna, pastilah kita yang lebih dan sepatutnya tahu.

Tetapi, itulah yang dikata karamah ibu.

Dia boleh beritahu juga barang kita di celah mana. Hingga kadang-kadang kita sendiri hairan macam mana dia boleh tahu.

Habis talian hayat sekali pun, dia akan payung kita.

"Nah, ambillah tuala baru."

Senyum.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
1222
251115

11/28/15

Ulasan Buku : Metamorfosis Kimchi (Lim Kim Hui)

Selepas mengulit puisi-puisi A. Samad Said, beralih pula pada puisi-puisi seorang yang bukan bangsa Melayu, Lim Kim Hui.

Beliau antara tenaga pengajar sebuah universiti di Korea sekarang ini. Saya selalu perasan namanya apabila kerap kali disebut oleh Puan Ummu Hani Abu Hassan melalui coretannya di facebook.

Kumpulan puisi-puisi ini telah memenangi saguhati Sayembara ITNM.

Di permulaan, banyak puisi yang berkaitan dengan Jepun dan Korea, dan ada juga dikaitkan dengan kampung halamannya. Di bahagian pertengahan bercampur baur sedikit dengan luah hati dan kritikannya sebagai marhaen Malaysia. Di bahagian akhir, makin lebat dan pedas susun katanya mengkritik bangsa Malaysia dan keadaan politik semasa.

Ada kala, jika kena cara membaca puisi, bahaya juga jadinya. Saya membaca puisi ini ketika dalam Metro, sedap pula dapat duduk dengan selesa dengan pendingin hawa yang nyaman, hingga tenggelam saya dalam bait-bait puisi yang dibaca. Hampir saja terlepas mahattah(stesen) sepatutnya yang saya perlu turun.

Saya cuba belajar puisi yang benar-benar puisi, daripada tangan sastera, daripada mata dan hati yang gelegak berfikir mengislah, melalui tajam-tajam pena.

Puisi ini penting. Boleh membaca, tenggelam dalamnya, dan memahami bait-baitnya, Ia lambang kita mengusai satu-satu bahasa. Inilah yang dikata Syeikh Hamza Yusuf.

#PuisiMalaysia #Puisi
#ITNM #SayemabaraPuisi
#Sastera #SasteraMalaysia
#Sayembara

____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298

____

Aku Pun Benar

[Puisi]

Benar
Kau bilang
Kau benar.

Aku pun
Benar
Kubilang aku benar.

Terapung-apung,
Kau benar
Aku benar
Masih terapung.

Siapa benar
Paling benar?

Kau jawab
Aku jawab
Dua-dua mengucap
bercakap.

Siapa mendengar?
Siapa yang benar?

Bertumbuk-tumbuk angin,
Menghurung-hurung,
Dua-dua angin,
Sesama bermurung.

Kekal terapung,
Rosak relah,
Bising sabung,
Belum tertampung.

Di mana islah?
Hanya meriah
Pecah belah
Riuh sekampung.

Marhaen lemah
Di celah-celah
Mencelah marah
Mencebik susah
Akhir mengalah.

Muhammad Iqbal.
1829
171115
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.

Ulasan Buku : Tuan Direktur (HAMKA)



Buat yang berangan-angan mahu jadi kaya, mahu jadi usahawan ternama, novel ini sangat sesuai dibaca.

Ini karya HAMKA pertama keluaran PTS yang saya baca. Rasa juga janggalnya.

Siri-siri novel pendek semacam ini, seperti novel ini, walau hanya 12 bab, sangat mengesankan jiwa dan cukup tinggi nilai pengajarannya.

Buya HAMKA walau bukanlah seorang peniaga, selalu membawa dan mencipta watak peniaga dan usahawan dengan begitu dalam dan menusuk.

Antara mesej-mesej besar dalam novel ini ialah, sebelum bercita-cita mahu menjadi kaya raya dengan harta, kayakan dahulu hati dan jiwa, agar apabila sudah mencapai kekayaan harta, kita tidak diperbudak dan dimain-main oleh harta. Kaya itu tidak dihirau hati, hanya di tangan.


____

Bagi yang ingin buat pembelian buku ini, boleh hubungi :

WhatsApp/Telegram +60134194298


____

(Mahu membeli? - Klik SINI / SINI)


Muhammad Iqbal
2005
251115

11/27/15

Balada Orang Berjuang

Engkau berjuang
Aku berjuang
Mereka berjuang


Dengan mula niat
Temu hasil akhir natijah


Dengan kuat tekad
Mula diperkuat


Dengan kaya azam
Julang marak api juang


Kerjakan kerja mulia
Jalan juang jadi mulia


Jangan takut keluar
Jangan gayat naik
Jangan gentar terbang


Kapal terbang,
tidak dinama kapal terbang,
jika hanya melata di jalanan.


image

Muhammad Iqbal,
Dalam pelukan awan,
Etihad; EY431,
151015
0547

Harta Besar, Harta Kecil

Ada orang, punya kereta besar-besar, rumah besar-besar, tanah berelung-relung, tapi harta dunianya tidak pernah lekat menyentuh di hatinya. Apabila nikmat hartanya ditarik, dia tenang, seakan tiada apa yang hilang. Syukur dan redha dengan yang ada, bahkan dia pernah berada di posisi susah tiada apa-apa. Memandang akhirat itu lebih luas daripada segala.

Ada orang tidaklah punya apa-apa, hanya rumah kecil-kecil, motosikal kecil-kecil, duduknya pun terpencil, tapi harta yang sedikit itu kerap-kerap lekat di hatinya. Sentiasa merasa tidak cukup dan memandang orang yang lebih daripadanya lagak sombong. Apabila ditarik segala nikmat hartanya, seakan nikmat imannya pun ditarik hingga mencarik. Hidupnya tidak bergerak, tetap statik. Masih memandang dunia adalah segala.

Di mana dunia di hatimu?

Lekat melikat atau hanya pipihan yang tidak pernah hinggap?

Biar dunia di tangan.

Suburkan akhirat di hati.

Sabar dan redha itu umpama sayap, patah sebelah, jatuhlah ke tanah, rebah.


image

Muhammad Iqbal
Kuala Pegang, Baling, Kedah.
0759
300915

Berakhlak Dalam Niaga

Semua orang punya emosi.

Semua orang suka dilayan dengan akhlak dan layanan terbaik. Hatta yang garang-garang dan yang berperibadi kasar sekali pun, suka jika dirai dengan santunan penuh akhlak. Dan itulah yang antara asbab Rasulullah sollallahualaihiwasallam diutuskan; buat menyempurnakan akhlak yang mulia.

Jadi, dalam berurus niaga, kita perlu juga pandai mengurus emosi dengan cara paling terbaik.

Tambah pula, dalam alam niaga ini, banyak bermain dengan manusia - raja segala emosi.

___

Jadi, persediaan pertamanya, pastikan emosi sendiri dahulu, biar lurus, biar stabil. Ini yang paling penting, kerana penentu emosi-emosi yang berhadapan dengan dengan kita nanti, ialah diri kita sendiri.

Kedua, emosi pelanggan. Perlu dibelai-belai semampu mungkin. 

Yang ketiga pula, emosi pembekal. Ini juga perlu sentiasa dibaja.

Bagaimana caranya?

Lihat kembali bagaimana akhlak al-Quran dan siapa yang mempunyai akhlak al-Quran.

Sama saja praktikalnya.

Sentiasa membalas yang baik-baik dan sopan-sopan walau dihina dan disumpah seranah (ya, peniaga perlulah bersifat tahan makian jika sudah terlanjur membuat salah dna meminta maaf, tahanlah sekejap, ini biasa dalam berniaga, pasti ada silap)

Jika berniaga online, baiki cara penyampaian tulisan kita. Tulisan biar ditulis dengan ejaan paling sempurna, yang apabila orang baca, orang boleh faham, bukan singkatan perkataan yang entah apa-apa dan serupa tidak pernah belajar Bahasa Melayu di sekolah. Ingat, kita mudahkan urusan orang, insyaAllah Allah mudahkan kita. Lagi pun kalau pelanggan tak faham atau salah faham, siapa yang akan susah? Siapa yang akan lari?

Jika berniaga di alam nyata, baiki segala penampilan dan keterampilan berbahasa dengan orang. Lebarkan senyuman, lemparkan aura positif. Barulah orang berminat mahu membeli dengan kita 

Bukan berniaga sahaja sunnah, tetapi berakhlak dan bersopan juga tidak terlepas, itu juga sunnah. Itu juga ada ganjaran pahala.

Semoga berjaya. Moga Allah murahkan rezeki kita semua.

Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad.

#NotaNiagaibnuDDin

Muhammad Iqbal
Kuala Pegang, Baling, Kedah.
2343
280915

Letih Meminta

Akan ada,
Engkau letih pada tempat yang tidak sepatutnya letih.


Lalu, firman Allah tajam meluru menghujam qalbu.

[3:142]
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang BERJIHAD (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang SABAR (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?"


Pedih.

Qalbu bagai ditonyoh cili burung.

Allah sentiasa ada, untuk hamba-Nya yang meng'ada'kan Allah dalam hatinya.
Pada Allah pengharapan paling melangit.

Pada Allah tempat meminta, yang tidak pernah lokek membiarkan hamba-Nya pulang kosong.

Lalu mengapa ada letih?

Mengapa letih meminta sedang Dia Maha Kaya?

Memang ada yang tidak kena.

Barangkali syaitan-syaitan kabir sedang bertenggek di lubuk hatimu yang duka dan leka.

Hati-hati.

Isi hatimu dengan zikrullah dan selawat.

Allahumma aa'inna 'ala zikrika wasyukrika wahusni 'ibadatik.





Muhammad Iqbal
Kuala Pegang. Baling, Kedah.
2019
290915

Kehendak

Akan ada,
Engkau sangka engkau geliga,
Mahu itu mahu segala,
Sekali bertempur di medan rasa,
Hampir tewas nafsu dunia.


Begitu Tuhan Maha Penyayang,
Walau leka menerbang,
Tak mampu diri membelah tebang,
Yang lama dicita ia datang,
Datang selamat menerjang.


Sedar ke pangkuan akal,
Pulang kembali ke pangkal.


Kehendak lama selalu tak sama,
Kehendak kini jauh tersasar,
Tuhan pulangkan kehendak lama,
Menyelamat hamba kembali mendasar.


Begitulah kehidupan,
Ada kala menggeringkan,
Namun tetap dengan nada kebaikan,
Ada kala membahagiakan,
Untung masih dalam pelukan.


Terima kasih Tuhan,
Walau kehendak tiada sehaluan,
Didakap terima penuh keyakinan.


image
Kerana kita hanya hamba. Sekecil-kecil hamba.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1303
150915

Dimamah Lumpur

Akan ada, suatu ketika,
Engkau merasa oksigen sekeliling mendengki menghimpit,
Lapangnya medan dikata sempit,
Dan engkau pasti engkau sudah sakit,
Membarah mendalam penuh perit.


Dada pula,
Dilambung-lambung gelombang nafas,
Bersabung mendakap puas,
Berjuang tidak hendak tewas.


Ia memakan segala rasa,
Menyepit menyakit penuh perisa,
Dirasa lemas ditekan kepala,
Sakit yang belum tentu kena dengan penawarnya.
Apakah ini semua?


Kerna,
Rupanya itu sebuah tabiat,
Tabiat yang memenat,
tabiat dosa yang menuntut ubat,
Ubat rasa perisa taubat.


Sesudah sedar jangan menangguh,
Jangan ego berasa jaguh,
Berlambat-lambat jadinya kian keruh,
Menebal ia lumpur dosa sungguh-sungguh.


Memada sudah mengejar dosa,
Kerna hakikat usia tiada boleh diduga,
Apatah lagi seni mati hujungnya.


image


Muhammad Iqbal,
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1714
050115

Puisi : Perut-perut Merdeka

[Perut-perut Merdeka]


Ayah bilang,
Negara sudah merdeka,
Sudah bebas,
Tapi sayang,
Yang ada hanya boneka,
Yang tersisa habis dikebas.


Ibu bilang,
Kita kaya,
Kita punya banyak khazanah,
Tapi sayang,
Susu yang ada diberi kera,
Rakyat diperas jadi punah.


Nenek bilang,
Negeri kita subur hasil bumi,
Makan tiada takut-takut,
Tapi sayang,
Yang kulihat penoreh menoreh diri,
Lelah berkais mengosong perut.


Datuk bilang,
Kita orang bijak-bijak,
Kita belayar menjejak dunia,
Tapi sayang,
Kian hari kian dipijak,
Oleh orang yang dipercaya.


Menteri bilang,
Rakyat cukup makan pakai,
Mana ada yang terabai,
Tapi sayang,
Yang kulihat kusut masai,
Yang ada lagak sakai.



Nun di atas mengembang takhta,
Hidup bukan sekadar di dunia,
Sampai masa,
Ke sana jua.


Kami generasi anak merdeka,
Berpencak tangkas agar dibela.


Bukan lagak anak-anak kera,
Berjuang mengisi perut-perut merdeka.


Muhd Iqbal Samsudin
1023
290815
El-Abbasiya, Kaherah, Mesir

Berterang Agar Tersuluh

Selalu kita takut untuk berterus terang lantaran takut disalahkan, atas segala kesilapan yang telah dilakukan.

Lalu kita pilih untuk diam.

Padahal diam itu tidak sedikit pun menyelesaikan masalah dalam situasi itu, bahkan kadang kala tambah menyulitkan. Lagi-lagi apabila orang lain mula bersangka-sangka.

Setelah diterang suluh secara jujur kepada mereka, ternyata kita tersalah sangka dan anggap. Banyaknya mereka boleh menerima apa yang telah berlaku dan memaafkanmu.

Yang timbulkan segala prasangka itu rupanya bukan salah mereka, tetapi salah sendiri kerana takut bersemuka berterus terang.

Jangan pernah takut berterus terang, kerana dengan itu selalunya ia meluruskan dan menerangkan .

Sesekali jangan takut, teman.

Kegagalanmu berterus terang bakal menangguhkan jalan hidup lancarmu, ia jadi tersekat-sekat hingga menimbul segala kelat.

Jujur itu walau perit dan kelat, dalam banyak keadaan, itulah yang mengubat.

Teruskan bergerak menerus kehidupan. Usah diam menambah kelat dan lekat hidup.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
150815

Meluah Pada Ibu

"Apa perasaan dapat meluahkan masalah kepada seorang ibu?"

Saya terdiam.

Dia menyambung lagi, "Aku tahu aku tak perlu sangat tanya soalan yang macam ini, dan aku sepatutnya lebih rapat dengan Allah, agar segala sisa masalah hidup aku, segala-galanya aku adukan dan tangiskan pada Dia. Aku tahu. Tapi teringin juga ingin tahu apa perasaan itu, kerana aku belum pernah sempat merasa."

Jeda. Deruan angin haba musim panas hampir 45 darjah celcius laju mengisi sela-sela masa.
Saya kaget. Belum saya tahu yang dia sudah tidak punya ibu. Tempat mengadu nasib, tempat berkarib.

Terus saya katakan, "Maaf aku belum tahu..."

"Tak mengapa, sudah lama pun berlalu, sejak aku darjah dua lagi." Kondisi bilik yang tadinya riang terus bertukar sayu.

Tanpa membiar lama, saya sambung perbualan, dan menjawab persoalan yang diutara. Walau perit, saya cuba juga menjawab baginya, untuk berikan cebisan rasa.

"Seronok." Sebut awal saya, dan saya menarik nafas baru.

Nafas dihela ringan lalu terus mula semula bicara, "Ibu ini unik. Mungkin kita jauh daripada mata dia, tetapi saat mendengar luahan kita, kata-katanya akan memujuk kita, kita akan ditenteram dengan bahasanya, suara dan bahasa yang sudah kita dengar sebelum kita keluar menjelajah dunia. Kita bagaikan dipeluk dengan seluruh perkataannya, seakan benar-benar masih hangat dipeluk dalam kasih dia."

Saya melihat mata dia. Kuyu menahan gagah. Barangkali rindu pada ibunya ketika ini memuncak.

Tidak saya sanggup lagi melihat dia berdurja, lalu saya ubah kepada tajuk cinta, untuk ukir kembali senyum-senyum indah di bibirnya.

Nun di pelosok hatiku, dirodok-rodok pilu.

Saya masih punya ruang merindu seorang ibu dan mengadu kasih pada dia bahkan masih mampu mendengar suaranya. Namun, ada yang tidak lagi punya ibu, hanya mampu merindu tidak mampu lagi mendekat erat, tidak mungkin pula dapat meraih kasih dan meluah yang tersisih.

Teman, percayalah padaku teman. Ibumu tetap akan bangga denganmu andai engkau masih setia taat pada Tuhan-mu.

Teman, percaya kataku teman. Kasih ibumu padamu tetap tidak berubah bahkan mengkin melebihi cintamu pada dia. Doakanlah dia agar dia bahagia di sana. Doa anak solehlah yang paling berharga buatnya di negeri sana.

Teman yang masih punya ibu, tiada lain kataku, hargai mereka sebahagia yang mungkin. Syurga kita ada di telapaknya. Taat seadanya, selagi dia taat pada Tuhan. Doakan agar mereka sentiasa disimbah rahmat Tuhan yang tidak pernah bertepi. Doakan juga segala dosa mereka diampun Tuhan, sebagaimana disebut dalam al-Quran.

Bersyukur dan hargai apa yang kita ada. Allah sentiasa ada bersama.


Pelukan paling indah. [Kredit : Google Image]
Pelukan paling indah.
[Kredit : Google Image]
Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1710
080815

Dunia Yang Serba Salah

Asal genius, semua lurus.

Asal bengap, semua korup.


* * *

Kadang, kita meraikan bijak pandai, dan menyisih yang bengap bingai.

Kadang, tak tertanya kita kepada si genius, mengapa dia genius dalam jalan ini.

Kadang, tak tertanya juga kita kepada si bengap bingai, mengapa dia bengap dalam trek ini.

Kita lupa.

Kita lupa bertanya.

Lalu, kita tidak faham situasi mereka, tandus memahami hati mereka.

Kita raikan yang sebelah, dan akhirnya menyakiti berontak belah di balik sana.

Tidak adil.

Ada kala, yang genius, buatlah apa saja yang dilarang Allah, tidak mengapa, asal keputusan peperiksaannya bagus, engkau nak langkah Allah pun langkahlah. Seolah mulia lebih dari segala.

Di sebelah sana, yang bengap, asyik dilihat korup. Dikata-kata fitnah lantaran taatnya pada Allah. Fitnah dholaalah. Fitnah pada agama. Apa guna taat Allah tapi bengap tak terarah. Hingga lupa insan yang bengap juga ciptaan Allah.

Ini jalan fikir masyarakat 'exam orientated' yang buat manusia lain hidup serba salah.

Inilah jalan fikir insani masyarakat kita.

Barangkali, ada rosak menanti lerai, diranduk todak.

Yang lejen bukanlah genius dalam bidangnya dan menongkah Allah.

Yang lejen, tetap yang mengabdi TAQWA kepada Allah.

Ya, walau engkau bengap, walau engkau genius tak beratap, yang taqwa juga yang lejen.

Mungkin kita lupa, di hujung akhir nanti kita semua sama, akan dipanggil bertemu Tuhan.

Baiki jalan fikirmu, teman.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1135
300715
14 Syawal 1436H

Karma di Tanah Kinanah

Pada suatu sudut pandang yang lain, apabila umat Melayu dibangang-bodohkan, dianiaya, diejek-ejek, asyik ditipu oleh sebahagian Arab Mesir(walau pada bulan Ramadan), terbayang juga saya pada jutaan warga asing di Malaysia yang menerima nasib yang sama ketika berada di negara kita.

Kadang, rasa bagai dikarma.

Saya sendiri pernah melihat Melayu yang melayan pekerja warga asing ini seperti binatang, seakan tiada perasaan langsung. Sesuka hati saja menyakiti mereka.

Tidak kiralah dia bangsa apa sekali pun, dia juga seorang manusia yang berhak dilayan sebagai manusia.

Tidak perlu pun kita jadi seorang agamawan sufi atau yang selayak dengannya, cukup hanya jadi manusia yang ada iman pada Tuhan dan tahu nilai kemanusiaan.

Ya, sama dengan bangsa Arab ini juga, tidak semua mereka terlibat, hanya sebahagian sahaja yang bersikap sebegitu.

Tapi bak kata pepatah, kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga.

Nila-nila ini menggila tidak tentu pasal, habis hilang putih si susu. Bukan setakat hilang, rosak pula jadinya. Kalau diletak perisa pandan sedap juga boleh diminum. Tetapi bila letak nila, entah barangkali, minum pun boleh jadi gila.

Sungguh, memanusiakan manusia sungguh payah.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
0903
090715

(Bukan Resepi) Nasi Goreng Gajah

Sebagai mahasiswa cergas dan kachak, aktiviti futsal pada malam hari adalah satu aktiviti yang penting untuk melunturkan lemak dan mengeluarkan peluh.

Tapi, selalunya kelaut juga aktiviti ni, ibarat menyepak bola ke langit sidratul muntaha, sia-sia saja semuanya, akhir sekali ke bawah juga dia kembali bersama graviti.

Semuanya salah perut, bila habis saja futsal, maka perut pun berqasidah merdu. Tak lain dan tak bukan, cari makananlah jawabnya.

Malam tu kami semua bajet nak makan nasi balado, tetapi disebabkan dah habis, kami terpaksa cari nasi goreng jenis lain, yang boleh senyapkan perut dum dam dum dam kami.

"Nasi goreng ayam besar takde ke bang?"

"Yang besar ni selalunya gajah je.."

"Oooo...Kalau macam tu, nasi goreng gajah ade tak bang?"

Abang tu tak layan!

Kami terus lepak makan dan bersembang tawa.

Bila nak balik, kami nak ambik duit baki kembali. Abang itu bertanya semula, "Eh, sape yang nak nasi goreng gajah tadi?"

Semua senyap. Ambik duit, dan terus balik.

Tak layyannnn!

Hehe.


Muhammad Iqbal
1453
180315

Maidah ar-Rahman

[Maidah ar-Rahman] [Cerita Dari Jalanan]

Pada hujung tahun satu, ketika itu sudah bulan #Ramadan, dan sudah beberapa hari tinggal di Abbasiyah. Pada tahun itu saya tidak pulang ke Malaysia dan memilih untuk berada di Mesir.

Di hadapan imarah(bangunan rumah) kami akan ada meja-meja dan kerusi-kerusi yang disusun panjang di tepi jalan. Lebih kurang pukul lima petang sudah siap tersusun siap berlapik kain putih di atas meja.

Manakala pada pukul enam suku pula, sudah tersiap hidangan makanan-makanan lazat. Pada kebanyakan hari, menu yang akan siap terhidang ialah ayam rubu'(1/4), sedikit nasi, 'aish baladi, salatoh, tahinah, air gas pelbagai perisa sebotol kaca seorang dan air tamar.

Di bahagian atas, direntang kain bertulis tulisan arab 'Maidah ar-Rahman' yang ditaja oleh taukey kedai kereta di situ, 'Ammu Shaady.

Disebabkan hidangan di situ agak lazat dan mewah, maka ramailah masyarakat tempatan dan luar datang berbuka puasa di situ. Saya yang berseorang di rumah kerana tidak pulang ke Malaysia, turut bersama mereka berbuka puasa.

Ketika menunggu saat berbuka, tiba-tiba ada mesej masuk ke dalam handphone, lalu saya keluarkan dari kocek seluar dan baca. Sedang saya baca, rupanya kebanyakan mata tertumpu ke arah saya.

Saya terlupa, saya berada dalam kalangan orang-orang susah yang budiman. Punyalah malu, saya masukkan semula senyap-senyap handphone saya ke dalam kocek dan mulakan kembali bual sembang dengan mereka.

Hari-hari selepas itu, saya tidak lagi bawa handphone, hanya membawa senyuman sebagai bahasa universal yang disukai semua bangsa.

Selalu saya lihat, seorang nenek tua di sebelah saya akan menyimpan 'aish baladi(roti arab) dalam beg plastiknya. Barangkali, itulah bekal makannya untuk dijamah pada waktu malam atau sahur nanti. Boleh jadi juga itu untuk bekalanan makan anak-anaknya. Kebetulan, saya pula jarang dapat habiskan semua 'aish baladi itu, jadi saya berikan saja kepadanya.

Pada awalnya dia menolak, namun akhirnya dia menerima juga, kerana saya katakan saya tidak mampu lagi makan kerana terlalu kenyang.

Saat menerima kepingan 'aish baladi itu, serta merta wajahnya berubah, seakan tiada lagi kerut tua di wajahnya. Bertambah berseri air mukanya. Betapa tinggi nilai sekeping 'aish buat dirinya.

Begitulah pemberian, apabila diberi pada yang memerlukan, ianya akan dihargai setingginya. Laksana beri seringgit kepada orang lapar dan tidak punya wang, sudah pasti dia akan hargai betul-betul dan gembira walaupun sedikit. Tetapi kalau diberi seringgit kepada orang kenyang dan kaya, mungkin yang keluar daripada lohong trakeanya, "Seringgit saja?"

Setelah mula berbuka, selalunya saya akan jadi antara insan terakhir habis makan walau sudah cuba makan selaju mungkin, namun tetap juga arab menang mendahului. Tidak sampai lima minit sudah selesai, cepat betul!

Mereka boleh meneguk sebotol besar Pepsi atau minuman bergas yang sangat kuat gasnya bagi saya, dengan hanya sekali teguk sahaja. Hingga hari ini saya masih hairan dengan mereka. Hebat sungguh.

Walau bagaimana pun, saya percaya, pengalaman-pengalaman sebeginilah yang akan menari-menari meniti di benak fikiran setelah pulang ke tanah air nanti.

Hargailah masa-masa yang ada dan masyarakat di sekeliling kita. Luaskan perantauan, selami perbezaan, dalami persefahaman.


image


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
0856
280615
11 Ramadan 1436