12/23/15

Ikut Saja Aku!

Aku berhadap engkau. Senyum.

Engkau menghadap aku. Menyungging.

Aku jelaskan. Panjang. Berjela, berela-ela. Aku lampirkan rujukan, tanda aku tidak memandai-mandai, atau berhujah dungu guna aqal terhadku. Aku senyum. Aku sangka engkau dengar.

Engkau jelaskan. Panjang. Henti-henti, berjeda. Engkau tidak setuju dengan segala yang aku jelas, dengan segala rujukanku. Engkau bawa buah fikirmu, tidak selari dengan mana-mana rujukan. Sambung lagi. Aku tekun mendengar. Setia dan tekun memikirkan.

Aku pening. Aku hairan.

Saatku berhujah tanpa rujukan-rujukan besar, engkau bilang hujahku lemah.

Apabila aku tunjukkan rujukan-rujukan seperti mahumu, engkau bilang fikir aqalmu lebih absah, lebih sahih.

Aku tambah pening. Hairan, campur darap bahagi sang geram.

Tidak engkau mahu jawapanku. Tidak engkau mahu penjelasanku.

Tapi engkau bilang mahu kebenaran. Bahkan ironi-ironi bermain lagi, fikir intelektualmu mengatakan hanya hujahmu paling benar.

Aku terpaksa berpatah balik semula ke daerah kemanusian. Lupa juga aku dengan satu dua perkara  bernama EGO dan EMOSI.

Dua anasir ini benar-benar memusnahkan. Musnahkan intelek dan daya fikir rasional manusia.

Gagalnya mengawal kestabilan dua anasir ini, maka berderet-deret jugalah punah yang memanah, memecah busuk-busuk yang ada, di dada, lalu mengalirlah alir-alir hitam yang tidak sepatutnya. Mencemar yang tidak sepatutnya.

Ia sama sahaja seperti senario segelintir sikap manusia.

Berpusing itu, berpusing ini, itu dan ini, itu ini. Rupanya, yang dia mahu hanya satu, "Engkau harus ikut aku. Aku tidak akan mahu dengar segala penjelasan dan prinsipmu, prinsip aku jauh lebih benar, intelekku lebih luas, jauh lebih absah daripada segala, tanpa leluasa!"

Lihat saja sabda Nabi. Betapa emosi itu merosakkan segalanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُأَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ 
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahwa seorang lelaki berkata kepada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam;
"Berilah aku wasiat?" Baginda bersabda: "Janganlah kamu marah."Lelaki itu mengulangi kata-katanya, Baginda tetap bersabda, "Janganlah kamu marah." [Hadis Riwayat Bukhari. Nombor 5651]


Lalu, tiada guna aku bersyarah panjang. Akhirnya yang engkau mahu, hanya pendirianmu jadi ikutan. Yang lain silap-silap belaka.

Aku sungging, engkau senyum. Luar sama, dalam lain-lain.

Sikap ini sikap salah, bahkan ralat besar dalam menyelami dan mengutip ilmu. Ilmu-ilmu akan jadi terbatas dan tidak berkembang. Berkat apatahlah lagi, jauh.

Lalu apa lagi gunanya ilmu-ilmu, jika berkat ilmu tiada menghinggap lagi di dada kita?

Moga kita tidak terjebak dalam arena hilang kawalan dua anasir besar itu. Jika ditegur manusia lain, jangan gelabah-gelabah pertahan diri. Senyap dahulu, dan cerna. Perlahan-lahan cari antidot daripada orang-orang yang ahli, berubah perlahan-perlahan. Orang yang sanggup tegur kita, itulah orang tinggi tumpah sayangnya pada kita, sayangi dia. Ketat-ketat.


"Jangan habiskan waktu menjelaskan kepada orang yang tidak mahu penjelasan. Sejuta penjelasan tetap tidak dia terima.

Jangan berikan jawapan kepada orang yang sejatinya tidak mahukan jawapan. Sejuta jawapan dia tetap tidak percaya.

Waktu terlalu berharga dihabiskan sia-sia."

- Tere Liye




Wallahua'lam


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Cairo.
2018
311015

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter