11/27/15

Ustaz Indonesia dan Kisah Mengundi

Malam itu saya perlu mengambil barang di kawasan berdekatan Rab'ah, tempat bersejarah berlakunya peristiwa Rab'ah yang telah banyak mengorbankan rakyat Mesir dan kebenarannya masih belum terungkap dari balik yang mana.

Terjun dari Tremco, puas saya mencari Ta'min as-Sihhiy, kata ustaz itu berdekatan dengan Al-Azhar Conference Center, saya terus mencari sembari bertanya masyarakat setempat dan akhirnya berjumpa juga.

Saya tunggu di kedai bunga di simpang jalan supaya mudah ustaz itu jumpa saya, tetapi akhirnya kami bertemu di hadapan Unionaire bersama adik ustaz itu yang masih kecil.

Rupanya, beliau orang Indonesia dan adiknya yang masih kecil itu turut ikut belajar tahfiz di sini, comel romannya.

Sedang saya memeriksa barangan, ada satu bungkusan lagi pula yang tertinggal, dan terus ustaz itu mengarahkan adiknya mengambil bungkusan itu di rumah mereka.

"Adik, naik ke atas ambil lagi satu bungkusan yang ada tulis ibnuDDin's Book Shop, bawa turun ke mari..."

Sambil-sambil menunggu, dia menanyakan saya beberapa perkara.

"Ustaz Malaysia asal mana ustaz?"

"Oh, Kedah."

Dia berseloroh, "Uih hang mai dari Kedah noo..."

Saya senyum.

"Ustaz Indonesia di mana ya?"

"Saya di Medan ustaz. Tapi saya sudah lama kerja di Malaysia, adik saya pun ada belajar kat sana, Darul Hikmah, tempat ABIM punya."

"Ustaz Kedah di mana ya ustaz?"

"Saya di Baling, ustaz tahu ke? Ustaz kerja apa di Malaysia?" (punya la pulun cakap key ell)

"Tahu ustaz, Air Panas Ulu Legong, Lata Bayu, Pekan Baling semua saya dah sampai ustaz. Saya kerja di bahagian kargo di Penang. Dah lama saya duduk Malaysia, saya cakap Penang pun dah boleh."

"Wah, jauh ya ustaz merantau.."

"Jauh ustaz, kawan saya dari Perlis yang bawa saya kerja di Malaysia, macam-macam saya dah buat." Bersemangat penuntut tahun tiga usuluddin itu bercerita.

Dia menyambung, "Bukan setakat itu saja, kami di sana siap boleh mengundi lagi di Baling masa pilihan raya lepas, tapi kawan-kawan saya ada juga yang undi P**, tak undi U***. Lepas undi, terus pergi ke pejabat U***. Itu ketua Tabung Haji sekarang, Az**z Rah** sudah janji mau bagi duit. Kawan-kawan saya yang mengundi semua pergi ambil."

Adik ustaz itu datang, dan kami terus timbang semua barang dengan penimbang digital, kerana ustaz itu mahu kiraan yang tepat, tidak mahu saya tertipu dan dia takut nak jawab di hadapan Allah nanti.

Entahlah mahu kata bagaimana, tetapi yang jelasnya saya malu mendapat pemimpin yang begitu. Masyarakat yang dangkal ilmu dan susah, diumpan dengan duit, untuk memberi undi. Entah sampai bila perkara ini akan berlarutan.

Selepas bayar dan berterima kasih, saya terus bergerak membawa beban berkilo-kilo barangan menaiki bas pulang semula ke Abbasiyah. Syukur rezeki dapat bas yang lalu di jalan Abdou Basha, tidak perlu lagi jalan jauh-jauh balik ke rumah.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
2128
040615

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter