11/26/15

Terbebas Walau Dikurung

[Nota Tulis] [Nota Diri]

Tulisan ialah suatu entiti halus.

Mampu keluar apabila dikerah.

Keluarnya payah, tetapi berbaloi.

Wujud ia lagak halimunan.

Walau si pengerah dikurung terkurung, ia mampu keluar bersimbah-simbah, meluah segala jerih payah, menerang segala keluh kesah.

Lihatlah betapa banyak tulisan yang dihambur semasa dikurung, akhir nasibnya disanjung nan berjunjung.

Entiti halus ini istimewa.

Bahkan, seakan bernyawa!

Dihalus ia menyentuh. Dikeras ia memeras.

Disimbah ia menerang. Ditumpah ia menyerang.

Satu peluru api, mampu masuk ke dalam satu kepala manusia.

Namun, peluru sunyi yang buncit dengan ilmu ini, menerang jutaan kepala. Menghidup seluruh rasa. Membelai nestapa terluka. Menggeli udara nan sunyi.

Tiada rugi menghasil entiti halus ini.

Terus tulis walau terkadang diri sendiri terhiris.


HAMKA seorang tokoh ulama' dan sasterwan terkenal Indonesia, telah menulis Tafsir Al-Azhar sebanyak kira-kira 28 juzuk, selepas selesai khatam al-Quran lebih 150 kali, ketika Presiden Majlis Ulama' Indonesia pertama itu meringkuk riuk di dalam penjara bersama-sama tokoh MASYUMI selama dua tahun empat bulan..


Sa'id Hawwa yang masyhur dengan nukilan emasnya dalam beberapa siri Fil Bina' seperti karyanya yang pertama dalam siri tersebut yang masih kekal diguna pakai hingga hari ini, iaitu "Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan". Juga bebas fikirannya, walau jasadnya terkurung di balik jeriji besi. Tetap tegap menulis sesuatu kepada masyarakat, buat pedoman yang tiada ternilai. Beliau yang juga anak murid kepada Syeikh Dr. Mustafa as-Siba'ie ini juga sempat menulis sebanyak 11 jilid tafsirnya yang terkenal seantero dunia, iaitu "Al-Asas fi at-Tafsir" semasa tempoh lima tahun ditahan di dalam penjara oleh pemerintah Syria pada tahun 1973.


Tokoh terkenal Jerman, Adolf Hitler berjaya menyihir jelata Jerman dengan tulisannya yang berjudul Mein Kampf (Perjuanganku) agar rakyat Jerman bangkit semula selepas daripada Perang Dunia Pertama. Tidak takjubnya jika Mein Kampf mempunyai kuasa magisnya yang tersendiri, kerana tulisan tersebut ditulis sedang Hitler hidup di dalam penjara selama 13 bulan.


Terlalu banyak tokoh dunia yang mampu menumpahkan idea dan pemikiran mereka dengan tulisan, lantas memberi inspirasi kepada seantero masyarakat dunia, walaupun saat sosok tubuh terseksa mereka, sedang meliang liuk terperingkuk di kepung batang-batang besi.

Dengan bukti itu, nyatalah, tulisan itu terlebih agung daripada magis.

Tidak terkurung, walau dikepung.

Tidak mati, walau dibenci!


Wallahua'lam

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1829
111214

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter