11/27/15

Subuh Yang Mamai

[Cerita Dari Masjid]

Pagi itu begitu sunyi. Sesunyi malam di tengah gurun.

Penggera yang berbunyi daripada telefon bimbit entah aku bilang yang ke berapa, boleh jadi juga yang pertama.

Sebaik mematikan penggera, aku bingkas segera bangun dari pembaringan 'mati kecil'. Aku sendiri tidak perasan waktu pukul berapa.

Waktu subuh pada musim panas sangat awal, seingat aku hingga seawal pukul dua lebih pagi. Sangat mencabar. Tambah-tambah ketika bulan Ramadan, sudahlah solat terawih habis lewat, kalau terlajak tidur, hanguslah subuh dan qiam pada hari itu, oh alangkah rugi.

Inilah cabaran sebenar berada di negara yang ada pelbagai musim. Bukan sekadar perlu peka dengan sukatan iman sendiri, tetapi perlu juga kawal atur waktu tidur dengan betul. Silap aturan, memang banyak kerja jadi serba tidak kena, kerana kitaran tidur berterabur.

Aku terus ke bilik air untuk mengambil wudhuk, secepat yang boleh aku bergerak. Kemudian memecut ke masjid di bawah rumah. Keadaan aku ketika itu sangat mamai, tidak perasankan apa-apa sangat, hanya fikir untuk turun solat subuh berjemaah di masjid.
Setibanya depan masjid, pintu masih terbuka, tapi yang masjid sudah kosong.

'Ah, sudah!', Jerit nuraniku.

Tak tahu mahu buat apa lagi. Tiada pilihan lain yang aku fikir lebih baik, melainkan masuk sahaja ke dalam masjid dan solat.

Aku masuk dan perhatikan jam digital di dinding. Dengan susah payah aku cuba kenyitkan kedua-dua mata aku ke arah jam kerana tidak pakai kaca mata.

'Patutlah, aku dah lewat hampir 45 minit! Orang dah habis solat sekitar 10 minit lepas.' Dengus hatiku lagi.

Di penjuru masjid, aku lihat tiga orang warga emas sedang bertilawah al-Quran bersama-sama sambil membetulkan bacaan masing-masing.

Aku pandang mereka, dan salah seorang daripada mereka memandang aku. Mungkin dia nampak muka serba tidak kena aku, lalu dia pun datang segera kepadaku. Aku kenal dia, dia 'Ammu Muhammad. Berjambang putih dan memakai kopiah putih keperangan di kepalanya. Selalu, kalau imam utama tidak datang, dialah yang akan gantikan imam, kuat hafazannya.

Dia mendekatiku. Maka, fahamlah aku bahawa dia mahu teman aku solat sekali, bagi mendapatkan pahala solat berjemaah. Betapa terharunya aku, bagai mahu nangis di situ juga. Begitu jernih hatinya meraikan aku yang tiada apa-apa pertalian darah denganku.

Kami terus solat dengan aku menjadi imam. Usai solat aku terus ucapkan kata penghargaan buatnya. Rasa terharu aku pada dia belum lagi berkurang. Terasa begitu dihargai.

Hingga kini, budi baiknya aku sentiasa kenang saat bertemu dengannya. Merendahkan diri dan hati, dan Allah akan angkat diri kita di sisi-Nya dan di hati-hati insan lain.

Begitulah manusia, nilainya jadi tinggi kerana tinggi budinya dan ilmunya. Terima kasih 'Ammu Muhammad, aku belajar perkara besar untuk menjadi seorang dewasa.



Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
0516
150515

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter