11/27/15

Suara Yang Membelai Tanpa Jemu

Entah.

Entah, saya sendiri tidak tahu mengapa. Pelik juga dengan diri sendiri, sebab orang di sekeliling tidak pula semacam saya.

Sejak dari alam asrama, hingga ke alam yang sekarang, sudah di luar negara berjuang menuntut ilmu, saya masih belum jemu bersembang panjang bersama mama.

Lagi pelik, dapat saya rasakan, makin meningkat usia, makin lama pula saya boleh bersembang dengan mama.

Kadang-kadang apabila saya beritahu kawan-kawan yang saya sering bersembang dengan mama melalui telefon sehingga lebih dari sejam bahkan kadang-kadang lebih tiga jam, mereka akan bertanya, "Hang sembang apa? Awat lama sangat?"

Saya sendiri tiada jawapan. Ya, hingga hari ini.

Kasihan juga pada teman sekamar saya, nalar saja mendengar perbualan saya dengan mama. Maafkan saya teman.

Tambah pula, dengan menggunakan Voip berjenama Rynga, saya boleh bercakap percuma ke telefon rumah di Malaysia. Ya, percuma sekitar enam bulan pertama! Nikmat tiada terperi dirasa untuk orang seperti saya.

Kekerapan menelefon juga kian bertambah saya rasa akhir-akhir ini. Seminggu seakan lebih dari 3 kali pula saya telefon bersembang dengan mama.

Saya juga pelik kenapa mereka tanya saya soalan yang begitu. Walhal, berapa ramai yang bercakap dengan kekasih hati berjam-jam lamanya, tidak pula disoal sebegitu. Beginilah saya, tiada kekasih hati kedua untuk bersembang luah, tetapi saya masih beruntung kerana kekasih hati yang pertama yakni ibu saya, masih ada untuk saya, sedia bercakap dengan saya bila-bila saja. Bahkan diia sedia adakan masa untuk kita.

Suara sang ibu itu, walau sedari keluar dari rahimnya sudah kita dengar, tetapi peliknya ia tidak menjemukan, dan tidak layak untuk dijemukan.

Sejak kecil, kalau kita menangis, suara itulah yang memberi bujuk.

Suara itu yang megalunkan selawat dan zikir agar kita tidur dalam rahmat Tuhan.
Saat kita buat salah, suara itu juga yang marah dan leterkan.

Kala terima kejayaan, suara yang samalah juga mengucap tahniah bersama deraian air mata.

Tiba masa kita bersedih, tiada suara lain yang merdu menyanyi dan menyantun lembut membelai hati kita. Hingga segala esakan terlerai sendirinya.

Bila kita terjatuh dan dijatuhkan, suara damai itulah yang membangkitkan segala jiwa-jiwa besar kita untuk kembali teguh berdiri.

Menerpanya segala malang, yang melerai dukacita pada hati kita, suara ibu itulah.

Itulah.

Itulah hebatnya suara belaian seorang ibu.

Yang menaruh dan bersabung nyawa sendiri, berpencak dengan kesakitan, melahirkan anak yang dia belai sekarang.

Itulah antara kekuatan saya, suara yang satu itulah.

Lalu, perlukah lagi saya beritahu sebab lain?

Ibumu tidak perlukan hadiah sebesar Gunung Kinabalu. Tidak pula dia minta pujian setinggi KLCC. Bukan juga puji-pujian yang mengangkatnya ke orbit bumi.

Tidak.

Pada saya, dia hanya mahu mendengar suara anaknya. Suara emas anaknya yang takkan pudar dek masa, takkan kering dek sahara. Suaramu itulah. Percayalah.

Sambut suara ibumu dengan belaian emas suaramu. Sambutlah suara ibumu seperti menyambut bulan nan indah dari langit.

"Ya Tuhan, engkau tempatkanlah ibu kami dalam semewah-mewah tempat di syurga indahmu. Sesungguhnya, itulah yang paling layak buatnya."


Selamat Hari MAMA.


Anakmu yang sentiasa kecil,
Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
0512
110515

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter