11/26/15

Sifir Khatam Al-Quran Pada Bulan Ramadan


[Nota Diri - Nota Ringkas]



Hanya mahu ringkaskan sahaja.


Sempena ramadan yang bakal menjelang, satu perkara kita tidak boleh biarkan terluput di mata minda kita ialah al-Quran.


Pada bulan Ramadan, jika di Mesir, Ulama' Al-Azhar akan tawaqquf atau menangguh sebentar pengajian yang mereka jalankan, semata-mata tidak mahu ketinggalan dalam merebut ganjaran-ganjaran besar yang ada dalam bulan Ramadan.


Jika tahun lepas kita dapat merasai manisnya bulan Ramadan yang penuh barakah ini, pada tahun ini dan seterusnya belum tentu kita boleh merasainya lagi.


Buktinya, berapa ramai antara kita, yang tidak dipilih untuk merasa nikmat ini, mereka terlebih dahulu dipilih Allah untuk ke alam seterusnya,  alam barzakh.


Saya jadi teringat kata Syeikh Zainul Asri. Mafhum katanya, "Kita nak suruh orang buat ni bukan apa, sebab bila kita suruh orang buat, kita sendiri kena buat."


Jadi, jangan sia-siakan peluang yang ada.


Mari berazam beribadah dengan penuh iltizam, terutamanya al-Quran. Cubalah sekurang-kurang khatam sekali ketika bulan Ramadan ini.


InsyaAllah semua orang boleh lakukan!

Untuk khatam SEKALI : 
- Mudah sahaja. Jadikan setiap waktu solat sebagai penandanya. 
- Setiap waktu solat, pastikan kita baca 4 muka surat. Terpulang kepada anda, mahu baca 4 muka surat terus selepas solat, atau sebelum solat 2 muka surat, selepas solat 2 muka surat.  Terserah pada anda. 
- Jadi, kalau sehari anda sudah boleh dapat 20 muka surat, lengkap satu juzuk setiap hari. 
- Istiqamah selama 30 hari, insyaAllah hari terakhir Ramadan anda boleh terlompat-lompat gembira boleh habiskan sekali khatam al-Quran.


Untuk khatam  DUA KALI : 
- Sama seperti tadi. Cuma, dalam sehari, anda perlu habiskan 8 muka surat pada setiap waktu solat. 
- Mungkin sebelum solat anda baca 4 muka surat, selepas solat 4 muka surat, ianya akan jadi lebih ringan. 
- Istiqamah hingga akhir Ramadan, dan natijahnya kali ini anda akan dapat melompat kegembiraan dengan lebih tinggi hingga ke syiling kerana telah habiskan dua kali khatam al-Quran pada hujung Ramadan.

Namun, pada saya, andai kita mampu untuk tadabbur makna al-Quran ini, pasti Ramadan ini jadi lebih bermakna. Itu pun kalau kita mampulah. Tapi tidak mustahil,  bukan?
Setakat itu sahaja. Kalau mahu khatam lebih dari itu, anda kiralah sendiri, mudah sahaja sifirnya.


Mahu motivasi?


Nah, ini dia.


Malu juga apabila mengetahui betapa tekun para sahabat-sahabat Rasullah membaca al-Quran pada bulan Ramadan.


Imam As-Syafi’i mengkhatamkan Al Quran 60 kali selama sebulan Ramadan, beliau juga membaca dalam solat tarawih.


Imam Abu Hanifah juga melakukan hal yang sama.


Ibnu Abdul Hakam berkisah tentang Imam Malik, dia berkata, “Apabila masuk Ramadan, biasanya Imam Malik meninggalkan membaca hadith dan majlis-majlis ilmu untuk mengkhususkan diri membaca al Quran dengan melihat mushaf. Katanya,“Ini bulan al-Quran, tidak pantas ada perkataan yang menyibukkan dari al-Quran.


Hal yang sama juga dilakukan oleh Imam Ahmad, Imam Ahmad bin Hambal apabila memasuki bulan Ramadan menutup majlis fatwanya dan duduk di masjid untuk berzikir dan membaca al-Quran.


Orang-orang soleh itu tidak hanya mengkhatamkan al-Quran melalui bacaan mushaf. sebahagian mereka biasa mengkhatamkan al-Quran dalam solat pada setiap tiga malam. Sebahagian lagi pada setiap sepuluh malam.


Sayyidina Ali bin Abi Thalib radhiyaallahu 'anhu pernah berkata, “Ketahuilah tidak ada kebaikan dalam lbadah kecuali dengan ilmu, tidak ada kebaikan dalam ilmu kecuali dengan pemahaman, dan tidak ada kebaikan dalam membaca al-Quran kecuali dengan tadabbur.”

Sayyid Qutb pula mengatakan dalam muqadimmah tafsirnya, “Hidup dalam naungan al-Quran adalah nikmat. Nikmat yang hanya diketahui oleh siapa yang telah merasakannya. Nikmat yang akan menambah usia, memberkahi dan menyucikannya."


Moga-moga, Ramadan kali ini dapat kita tempuhi dengan jayanya dan mendapat pingat taqwa yang diidamkan. Alhumma ameen.

image



Wallahua'lam.


Muhammad Iqbal.
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
1740
200614

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter