11/27/15

Sendiri-sendiri


Sendirian.

Hidup sentiasa ada kala yang membuatkan kita rasa kita ini sendirian. Walhal, jika dikerling kiri dan kanan, ada saja manusia-manusia yang wujud di sekeliling. Namun, rasa sendirian itu tetap tidak pupus juga.

Lihat pada dirimu. Ada kala, ianya kerana kita sendiri.

Kerana kita sendiri yang bikin dunia kita sendiri-sendiri. Atau dirasa sedap hidup dalam bayang-bayang sendiri, dipijak tidak sakit, dijerkah tidak bingit, dikejut tidak bangkit.

Lihat pada orang sekeliling. Ada kalanya, kerana kita juga mereka jadi sendiri-sendiri.

Kerana kita menganggap tiada apa yang bernilai dengan perkenalan, maka berkenal-kenal dengan yang hati berkenan sahaja sudah cukup. Lalu ruang perkenalan makin mengecil sekangkang kera. Kita tidak mahu berkenal-kenal, mereka pula segan tersengal-sengal.

Justeru, dari celah mana akan datangnya sebuah rasa sayang dan cinta sesama kita?
Kita menekun kerja kita, mereka menekun kerja mereka. Mereka dapat susah itu bukan masalah kita, saat kita susah marah-marah tidak terarah; tiada yang menolong.

Ironi.

Oleh sebab itu, agama menegakkan budaya berkenal-kenal. Mendalami rasa, mengakari segala perihalnya. Malu tidak boleh jadi penghadang.

Kita tidak mampu menduga apa yang akan berlaku pada kita pada masa datang.

Ada ketika, susah menerpa dan menjerut-jerut kerongkongan kita tanpa sebarang duga. Tambah bingung, susah itu datang bukan pada tempat yang kita selalu duduk, bukan di tempat yang ada orang-orang yang kita berkenan berkenal. Tetapi di tempat asing.

Ya, di tanah asing. Yang pada sangkaan kita, kita tidak akan terkena payah di bumi itu.
Kala itu barulah kita mengerti bahawa hujan dan kilat itu tidak semestinya bersabung pada suatu tempat, di tempat lain juga boleh bertembung dan tidak kira waktu ia berjunjung.

Binalah perhubungan ukhuwwah, kerana itu saranan Allah. Kerana itu penghubung hati sesama makhluk.

Usah terlalu sendiri-sendiri, kerana pada diri tunggal itu laksana kertas sehelai yang ringan, datang angin terbanglah ia; tidak selalu kuat.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
0704
120715
25 Ramadan 1436

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter