11/27/15

'Rebel' Dengan Tuhan

Kegagalan aku, bukan bererti aku cuma menghadap gagal aku sahaja.

Malah, aku juga mendengar keluh kesah dan kisah gagal orang lain.

Ada yang bertujuan meredakan rasa mereka, ada yang meminta nasihat daripada diri dhaif ini, walau aku sendiri sering gagal dalam hidup. Ada juga yang meminta aku jadi pendengar setia masalah mereka, namun adakalanya aku juga sengaja mendengar kisah gagal orang lain, sebagai manfaat diri sendiri.

Maka, bertitik tolak dari itu, banyaklah cerita duka pilu yang aku dengar. Walau cerita diri sendiri sudah cukup memedihkan hati, namun jangan disangka hanya kisah kita yang paling teruk membarah hati. Banyak lagi sebenarnya kisah insan-insan lain yang lebih menyayat sanubari. Dan dari situlah kita akan mula insaf dengan nasib kita yang sedikit beruntung daripada mereka.


Kali Pertama.

"Ini kali pertama aku gagal..."
Buat yang kali pertama dia menemui dirinya sendiri di alam gagal, wajah dirinya sendiri terus bertukar. Respon-respon diri jadi semakin meliar. Diri yang dahulu disangka kebal gagal, akhirnya diuji dengan kegagalan yang tidak disangka-sangka.
Itulah penangan pertama. Tidak mudah.

Dia bingung, terasa semuanya sempit dan kelam gelap. Zulumat yang menimpanya seakan-akan dirasa ingin memakan dirinya yang kecil.

Sakit.

Sangka dia, kejayaan yang dahulu diraih, ialah dengan hanya  segala usaha perit dirinya sahaja. Bukan sepenuhnya daripada Allah.

Sangkanya, yang daripada Allah itu, hanya tatkala jika dia tidak berusaha dengan sebenar-benar usaha, tetapi akhirnya berjaya. Lalu itulah yang dinamakan daripada Allah.
Jadi, apabila gagalnya dia saat tidak bersungguh berusaha, dia menyalahkan Allah.

Lalu dia benar-benar tenggelam dalam kefahaman aqidah yang tidak kena itu. Dia rebel dengan Tuhan.

Tidak mahu solat jemaah, tidak mahu bergaul, tidak mahu bersedeqah, tidak mahu senyum, tidak mahu solat di awal waktu, tidak kisah lagi membuat maksiat, membiasakan dosa kecil, dan dengan pelbagai reaksi rebel lagi.

Aku termangu. Aku merasakan, bukan dia sahaja yang berbuat 'rebel canggung' yang semacam itu, ada lagi insan-insan lain.


Rebel.

Rebel dengan Tuhan ini dengarnya memang agak canggung. Bunyinya memang parah dan memang sudah pun terbukti ini sesuatu yang parah dan payah. Tetapi masih ada yang berfahaman dan berbuat begini.

Rebel yang semacam ini kebayakannya terjadi kerana mereka menyangka Allah itu perasaannya seperti manusia. Apabila rebel, akan diberi perhatian. Apabila buat kecoh, akan segera mendapat apa yang diinginkan.

Itu ternyata salah. Allah bukanlah bersifat sebegitu. Maha Suci Allah, Dia tidak pernah berhajatkan atau tidak memerlukan apa-apa sesuatu zarah pun daripada makhluknya. Bahkan makhluk hamba-hamba-Nya itulah yang paling berhajat kepada Dia.

Namun, ada juga yang tahu hakikat sebenar bahawa Allah itu tidak berhajat kepada apa-apa, tetapi tetap juga rebel semacam itu juga.

Itulah petanda diri sendiri sudah dipandu nafsu fasad, yang sentiasa berpihak kepada syaitan dan kerosakan.

Moga Allah jauhkan kita daripada dicemar dengan nafsu fasad yang tidak pernah kenyang.
Kegagalan bakal jadi indah, kalau kita benar-benar tahu memanfaatkan masa yang ada.
Pintu harapan ke syurga masih luas terbuka untuk kita menghuninya.


"Tidak dapat tidak, seorang mesti gagal sekurang-kurangnya sekali dalam hidupnya. Dengan kegagalan itu dia dapat mengetahui di mana segi kelemahan dirinya. Gagal sekali tidaklah mengapa. Yang rumit ialah jika gagal dua kali di tempat yang serupa itu juga." Hu Hsih


image
Hidup disangka berseorang.
Lupa ada yang menawar payung lindungan.


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
2104
070215

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter