11/22/15

Mewarna Hidup

[Cerita Adik Abang #4]

Si adik datang dari arah belakang, lalu mencuit bahu kanan abangnya.
Sambil menoleh, si abang bertanya, "Ya, ada apa adikku sayang?"

Dengan tercungap-cungap adiknya bertanya, "Bang, boleh tak kalau setiap kali adik solat, lepas al-Fatihah adik baca qulhuwallah dengan qula'azubirabbinnas saja?"

Si abang melirik senyum.

"Boleh, dik."

Si adik, menggenggam tangan kanannya, diangkat ke atas, lalu diturunkan ke bawah bersama siku tajamnya, dan berkata, "Yes! Yes! Yes!"

Abangnya menepuk-nepuk bahu adiknya.

"Tapi, abang ada satu soalan untuk adik ni."

Si adik mengangkat kening sebelah.

"Apa?"

"Begini, adik suka tak makan setiap waktu makan, setiap hari, hanya makan nasi dan ikan kembong goreng saja?"

"Errr. Emm. Tak kot. Mesti bosan kalau macam itu saja hari-hari. Nak juga tukar selera."

"Dan, adik suka tak, setiap hari, dan setiap masa adik hanya pakai baju pagoda saja?"

Si adik tidak menjawab, hanya menggeleng-geleng sahaja.

"Begitulah kehidupan kita, dik. Kadang kala, kita perlu keluar dari segala kebiasaan, biar hidup kita berwarna warni, supaya tidak jemu. Tidak boleh setiap hari benda yang sama, bosan. Mesti ada perubahan. Setiap hari mesti ada perubahan. Biar sedikit, biar satu peratus, biar satu perpuluhan satu peratus, janji ada perubahan."

Adik merenung tajam ke mata abangnya. Mengangguk-angguk.

"Begitulah juga kita. Adik masih muda. Masa muda adalah masa emas bagi otak kita, masih segar berbugar-bugar. Masa inilah kita kena banyak menghafaz al-Quran. Banyak menghafaz hadith. Banyak menghafaz matan-matan kitab. Moga-moga masa tua kita nanti, kita tidak menyesal."

Si abang mengusap-usap kepala adik.

"Seterusnya, masukkan hafazan al-Quran kita ini ke dalam solat kita, barulah solat kita tak hambar, penuh warna warni. Percayalah, setiap ruang masa yang kita habiskan untuk al-Quran, tidak akan buat kita menyesal kelak."

"Baiklah bang..." Si adik sudah letih mengangguk.

Pipi bulat adik ditarik-tarik, "Belajar rajin-rajin ya..."


1740
110814

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter