11/27/15

Mengingat Yang Kurang

Seperti ibu-ibu yang lain, Mama ialah orang tahu apa kegemaran anak-anaknya. Setiap kali pulang dari asrama ketika bersekolah dahulu, atau pulang ke Malaysia dari Mesir, antara hidangan yang akan dihidang kepada saya ialah sotong goreng tepung. Ya, itulah antara makan kegemaran saya.

Sotong keunguan yang dicelup dengan telur, lalu disalut dengan tepung rangup pedas. Digoreng pula garing-garing dalam kuali, diangkat dan ditos minyaknya hingga kering. Oh, boleh buat saya terguling-guling mengiur.

Tatkala berjauhan, rindu pada sotong goreng tepung nalar sahaja hadir, dan selalunya saya akan terus cuba usahakan juga untuk dapatkan sotong di pasar serta merta.

Jika di Mesir, sotong yang berwarna unggu itu dipanggil "Kalimari". Manakala, sotong yang berwarna putih dan bersaiz besar itu pula dipanggil "Subbitd". Sedap bukan namanya?

Selalu saya akan beli sekilo dan simpan dalam peti ais sebagai bekalan kalau-kalau hal yang tak diingini seperti mengidam berlaku. Harga sekilo tidaklah mahal sangat, sekitar LE25 (~RM12) sahaja.

Kalau pergi beli pada waktu pagi, tambah-tambah hari sabtu atau ahad, kebanyakan barang-barang basah masih lagi segar, dan harga pun akan sedikit tinggi. Tapi kalau pergi beli pada sebelah petang, harganya apabila ditawar-tawar (saya memang suka minta kurang) bolehlah juga dikurangkan harga, sebab kedai sudah mahu ditutup dan barang perlu dihabiskan.

Syukur pada Tuhan, apabila rasa mengidam itu datang lagi kali ini, mujurlah bekalan sotong masih ada. Adunan tepung pula, saya sendiri yang adun jalinkan. Ah, campur ikut rasa hati saja, asal sedap di lidah pun sudah tinggi rafa' syukurnya.

Mudah sahaja menghasilkan adunan tepung yang sedap. Campurkan sahaja tepung gandum, tepung jagung, tepung beras, serbuk kunyit, garam, serbuk cili, dan paling penting perencah hilal (orang Kedah pasti tahu).

Untuk kadar penjimatan, saya tidak celur sotong dan udang itu semua dalam telur, tetapi saya hanya guna cairan tepung beras yang likat(boleh juga tepung gandum). Jimat sedikit dan minyak tidaklah jadi berbuih sangat nanti.

Tambah untung, apabila melihat sedikit lebihan beberapa ekor udang yang dibeli bulan lalu masih ada. Tanpa ragu-ragu, saya pun gorengkan sekali bersama sotong.

Usai menggoreng, sebelum saya sendiri makan, saya cuba berikan sedikit kepada kawan-kawan serumah yang lain, adab perlu juga dijaga. Maklum sahaja, kalau goreng sotong dan udang, baunya memang menusuk jauh dalam lubuk kalbu paling dalam dan mengundang rembesan banjir asid dalam perut.

Saya pun faham situasi-situasi sebegitu, saya juga pernah berlapar dan tidak ada duit. Ketika itu, apa yang boleh dilakukan hanya menaruh air liur, dan berharap agar nikmat makanan yang dibau itu, dikongsikan sedikit pada perut yang rancak berdentum. Oh, betapa sedih pula jika dikenang-kenang.



Rumah Anak-anak Yatim El-Abbasiya.

Tiba saat saya menjamah sotong dan udang rangup kriuk kriuk itu, fikiran saya deras berterbangan ke tempat lain. Jelas, ke rumah anak-anak yatim yang baru kami, kumpulan aktivis Melayu Universiti Ain Shams, pergi baru-baru ini.

Terlihat jelas di minda, jeritan dan tawa anak-anak bertuah itu. Apalah nasib mereka sekarang agaknya. Masih kecil tetapi sudah kehilangan orang terpenting dalam hidup. Sungguh, seluruh anggota mata badan saya menjadi saksi, mereka sangat kuat.

wpid-img_20150426_161454.jpg
Irfan beri penerangan sebelum bermula.

Rumah anak yatim itu tidaklah jauh dari rumah saya sendiri, hanya dengan bacaan tiga qul bersama al-Fatihah secara tartil sudah boleh sampai.

Isi rumah anak yatim itu pula tidaklah terlalu ramai, hanya ada lapan orang anak-anak kecil berusia sekitar 5-6 tahun yang comel-comel, dan semuanya lelaki. Rumah itu dikelola sepenuh hati oleh dua orang penjaga wanita yang serasa saya secara sukarela menjaga anak-anak di rumah itu.


wpid-img_20150426_161727.jpg
Tim aktivis pertama. Jangan hiraukan saya yang kurang kacak itu.


Seawal kami melangkah ke dalam rumah anak-anak yatim itu, Hazim-lah yang berada di hadapan sekali berdekatan pintu. Hazim jelas dengan kenakalan dan kasarnya. Diberikan makanan, dia tidak pun mahu makan, tetapi dia suapkan kembali kepada rakan-rakannya dan juga kepada saya, kemudian dia kembali senyum memekar. Tidak pentingkan diri sendiri, mungkin itulah sifat yang tertanam mampat dalam diri setiap mereka. Memilih untuk bahagia melihat senyuman orang lain berbanding diri sendiri.


wpid-img_20150426_173950.jpg
Inilah Hazim!


Adham pula asyik meminta telefon pintar kami. Tujuannya mahu cari " El-La'b ", games. Puas juga ingin menepis permintaannya, kadang-kadang akur juga kerana kasihan, kemudian diambil semula. Derai tawa dan senyumnya sangat comel, buat hati kami jadi cair pula kepada dia.


wpid-img_20150427_010031.jpg
Seronok selepas gigit belon sampai berlubang. Nakal betul.


Berlain dengan Muhammad. Dari segi perlakuannya tidaklah menampakkan dia ini seorang yang kasar, tetapi apabila dibuka sahaja mulutnya, perkataan-perkataan (sudah tentu bahasa arab) yang digunakan kadang kala agak kasar dan tidak sesuai untuk kanak-kanak seusianya gunakan. Apabila penjaga mereka di rumah anak yatim itu mendengar buah kata dia yang kasar itu, penjaga itu terus menegur dan marahkan dia. Dia diberi hukuman untuk duduk di sudut bilik. Tetapi jelas dia anak yang baik apabila dia akur sahaja segala hukuman yang diberikan, walau dalam senyap memuncung mulut tanda tidak puas hati.


Yang seorang ini pula jenis yang pendiam, namanya Wasim. Kami cuba pelbagai pendekatan kepada dia, pada awalnya dia masih "jual mahal", namun selepas beberapa ketika, dia sudah mula menjadi mesra dan riang bersama bermain belon dan mewarna kartun spongebob dalam buku mewarna.


Pada akhir program, saat para aktivis mula menjejak kaki keluar selepas bersalam dengan mereka, satu soalan jujur keluar, menghiba hati kami, dan dengan wajah penuh harapan bertanya , "Kalian datang lagi esok?"

Menitis air mata hati. Syahdu menusuk kalbu.


wpid-img-20150505-wa0007.jpg

wpid-img-20150505-wa0002.jpg

wpid-img-20150505-wa0009.jpg

Membesarlah anak-anak. Membesarlah dengan penuh azam dan cita-cita tinggi. Jangan pernah berputus harap pada Tuhanmu. Gantung rapat hatimu pada Dia. Kerana, pada Dia-lah punca segala kekuatan.




Buka Perspektif Lihatmu.

Jika ada suatu ketika kita terpaksa makan mee segera dibelah dua, untuk bekalan seharian kita, ingatlah baik-baik dibenakmu, mungkin ada yang lebih susah di luar sana. Di sana, ada pula yang makan mee segera dibelah empat, dan setiap satunya dibiarkan sekembang-kembangnya untuk dimakan selama empat hari. Namun hidupnya kekal bahagia mensyukuri segala.

Tatkala kita merasa sibuk dengan pembelajaran kita, janganlah pula merasa kita sahaja yang sibuk, orang lain tidak. Tidak boleh dan silaplah jika kita menganggap sedemikian. Bahkan mungkin orang lain terpaksa bahagikan berbilang-bilang masanya untuk meneruskan hidup. Belajar, mencari wang sara diri, sara keluarga, berpersatuan(bermasyarakat), dan berbagai-bagai lagi.

Jangan hanya melihat dunia dalam perspektif kita sahaja.

Keluarlah, keluarlah duhai anak muda.

Keluar nikmati alam, dan rasai dunia di sebelah lain.

Andai dirimu sudah berisi, dan sudah bersedia bahkan mampu memberi, maka berilah sebanyaknya-banyaknya. Tanpa pinta sebarang imbalan manusia. Biar yang maha Esa mengira semua.

Selamilah dunia mereka, nescaya, engkau akan berjumpa dengan jutaan ma'na besar yang tak terungkap rasa dek kata.


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
0122
030515

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter