11/27/15

Mengapa Saya Berniaga Buku?

[Nota Niaga] [Nota Diri]


Tidaklah saya berhajat dan bercadang untuk mulakan perniagaan, sama ada berskala kecil atau besar pada alam mahasiswa saya ini, lagi-lagi pula menjadi mahasiswa jurusan perubatan yang sudah terkenal dengan kesibukan menggilanya.

Ya, saya lahir dalam biah keluarga yang berniaga dan memang sudah terbiasa berniaga. Tetapi, sama sekali tidak saya bercadang mahu mulakan perniagaan semasa saya masih bergelar pelajar perubatan.

Namun, itu hanyalah perancangan lemah seorang hamba. Kita merancanglah serapi mana kemahuan kita sekali pun, tetapi yang menentukan segalanya, hanya Dia.

Hanya Dia.


Mula Berniaga.

Pada masa hampir penghujung saya di tahun dua fakulti perubatan, saya mulakan perniagaan. Bukanlah saya sengaja berniaga, ada sabab musabab yang BESAR yang menyebabkan saya benar-benar TERPAKSA mulakan perniagaan pada waktu itu. Jika ditanya sebab apa, maka saya tidak boleh jawab di sini, kerana ianya bersifat terlalu peribadi.

Dalam seni sebelum melakukan apa-apa pekerjaan dan keputusan, haruslah kita membayangkan apa hasil di hujung keputusan atau pekerjaan kita ini. Laksana kita beramal di dunia ini, jenis amalan manakah yang kita perlu pilih, yang natijahnya membawa ke syurga atau membenamkan diri kita ke neraka durjana?

Dalam buku 'The Seven Habits of Highly Effective People'  juga diajar perkara tersebut. Stephen R. Covey bercerita dan mengajar kita dalam bab, 'Begin with the end in mind'.

Saya tahu apa akibat baik dan buruk yang bakal menimpa kalau saya lakukan semua ini, tetapi tiadalah jalan lain yang lebih sesuai dan efisyen untuk saya selesaikan masalah yang saya hadapi secara mengejut itu. Saya mencari ruang dan peluang yang ada di bumi Kinanah ini, untuk saya mulakan perniagaan, sebagai buah mula. Hinggalah akhir sekali saya mencebur juga dalam bidang yang saya suka, iaitu bidang buku.

Mengapa Buku?

Ada yang bertanya, "Mengapa memilih berniaga buku, sedangkan hasil untungnya sangat sedikit?"

Ingin saya jawab, "Tuan nampak sebegitu, kerana tuan tidak minat dalam bidang perniagaan buku dan tuan tidak minat dengan buku. Jika kita minat dan punya bekal ilmu, walaupun untung yang kita dapat cuma sedikit, kita akan dapat biakkannya supaya jadi banyak berlipat kali ganda. Ya, itu kuasa MINAT dan ILMU. Itu sahaja."

Maka, apa yang menyebabkan saya berniaga buku?

Sini saya rumuskan.



1- Minat Berniaga

Pertamanya mestilah kerana saya minat berniaga.

Ada orang mahu berniaga, tapi tiada minat. Lalu, perniagaannya akhirnya bersifat statik, kurang bergerak dan jadi kurang proaktif.

Minat dan cinta pada pekerjaan kita itu sangat penting, itu jugalah telah dipetuakan oleh jutawan Amerika Syarikat terkenal, Donald Trump.

Jika sebelum ini, yang dinampak apabila berniaga dan melalui berniaga itu boleh untung banyak, lebih banyak daripada kerja makan gaji, makanya ianya memang benar. Tetapi, ingat, ianya juga bersyarat.

Yang pertama, kita pasti kena yakin dengan janji Nabi, bahawa rezeki berniaga ini lebih dari rezeki melalui pekerjaan lain, kena yakin betul-betul. Sembilan per sepuluh itu memang daripada perniagaan.

Yang kedua, perlu ada buka hati untuk sungguh-sungguh minat dalam bidang perniagaan yang ingin diceburi. Jika tidak, segalanya jadi susah dan akan ada saja yang tidak kena nanti.

Yang ketiga, mestilah ada kerelaan hati untuk belajar selok belok perniagaan. Tidak boleh hentam keromo sahaja, nanti hasilnya kurang memberangsangkan. Kena rajin bertanya dengan orang yang berpengalaman dalam bidang niaga yang yang kita mahu ceburi.

Contohnya, kalau benar mahu ceburkan dalam bidang buku, kena banyak tahu pasal buku dan tahu dengan siapa kita mahu berkongsi cerita dan minta pandangan, baru mudah dalam perjalanan kita nanti.

Pendek kata, minat itu penting untuk kita istiqamah dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi.

حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ثنا دَاوُدُ بْنُ أَبِي هِنْدَ عَنْ نُعَيْمِ بْنِ عَبْدِ الرحمن قال بَلَغَنِي أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ. وقال نُعَيْمٌ: كسب الْعُشْرِ الْبَاقِي فِي السَّائِمَةِ يَعْنِي الْغَنَمَ 
Kata Nuaim bin Abd Rahman: telah sampai kepadaku bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 
"9/10 daripada rezeki (datangnya) dari perniagaan. Kata Nuaim: 1/10 yang berbaki (dari rezeki) datang dari pengembalaan yakni gembala kambing." 
- Lafaz ini diriwayatkan oleh Musaddad dalam musnadnya (Lihat: Ibn Hajar, al-Matalib al-'aliah, jld. 7, hal. 352)


2- Suka Buku

Benar, saya mata bukuan, bukan mata duitan.

Buku itu, walaupun padanya tiada rupa jelita dan tiada suara ayu memggoda, tetapi tetap juga ia mampu membolak rasa, dan setia memujuk-mujuk jiwa.

Apatah lagi, apabila padanya terlekat segala ilmu-ilmu penting untuk dipelajari.

Melihatnya jadi tenang.

Menyelaknya rasa berbunga.

Membacanya membawa lenang dan riang.

Memeluknya pula membujuk kalbu, menguja nuansa.

Memang tidak dapat tidak, suka dan cinta pada buku itu satu perkara yang sangat kuat untuk saya ceburkan dalam bidang perniagaan buku ini.

Al-Jahiz, antara nama cendiakawan yang tidak asing dalam dunia Arab Islam, yang kematiannya pada satu sisi tragis, maut ditimpa buku-buku, namun dilihat juga sebagai romantis dek maut dibawah pelukan buku-buku.

Katanya, " Sesiapa yang ketika membeli buku tidak berasa lebih nikmat daripada saat membelanjakan hartanya bagi membeli hal-hal yang dinginkankan, ataupun tidak melebihi cita-cita para hartawan dalam membina bangunan, sesungguhnya dia belum mencintai ilmu. Perbelanjaannya tidak bermanfaat sehingga dia lebih mengutamakan membeli buku, sepertimana si Arab Badwi lebih mengutamakan susu untuk kudanya berbanding keluarganya."




3- Bergelumang Dengan Ilmu

Buku dan ilmu bagai purnama dan malam. Ada malam, adalah purnama.

Sementelah pula dengan buku-buku agama, bertambah-tambah ilmu yang tidak rugi masuk bergelumang bersamanya. Ilmu yang bakal membenih amal buat bekal di negeri abadi sana.
Bonusnya, penjual buku-buku agama juga, jika benar niat sucinya, dia juga tergolong dalam orang yang menyebarkan Islam.

Maka, apakah itu tidak meguntungkan?



4- Malar Hijau

Malar hijau atau digelar juga 'evergreen' ialah aspek penting dalam dunia perniagaan.
Buku sentiasa diguna dan dibaca manusia dari dahulu, kini dan insyaAllah berpuluh ratus tahun akan datang.

Maka, pada sudut pandang sekangkang saya, perniagaan buku ialah sebuah perniagaan malar hijau. Walau dunia kini sudah berkembang dengan teknologi ebook dengan meluas, namun permintaan buku 'nyata' masih tinggi.

Ternyata, kepuasan membelek-belek buku, menyelak-nyelak kertasnya, perasaan memiliki sebuah kumpulan kertas, tidak sama dengan memiliki buku di alam digital.




5- Pelanggan Jarang Mengadu Macam-macam

Perniagaan buku tidak seperti perniagaan lain yang mempunyai jaminan waranti dalam jangka masa tertentu seperti penjualan kebanyakan gajet.

Selepas buku telah sampai di tangan pembeli, urus niaga untuk buku tersebut selalunya terhenti di situ dan dapat meneruskan urus niaga baharu bersama pelanggan lain.

Ini dapat menjimatkan masa, tenaga, dan dapat banyak mengelak kerugian yang perlu ditanggung. Lantas, mengurangkan kadar risiko dalam rencah perniagaan ini.

Bukanlah tidak ada aduan langsung berkenaan kerosakan buku yang berlaku selepas buku dipos, atau ada masalah pada kertas muka surat di dalamnya, tetapi permasalah seputar perkara itu sangat-sangatlah terpencil.




6- Puas Membantu Orang Lain Mendapatkan Buku

Saya tidak tahu perasaan penjual buku lain bagaimana, tetapi bagi diri daif saya ini, kepuasan itu akan timbul setelah saya dapat bantu orang lain dapatkan ilmu, memudahkan orang lain menuntut ilmu, tambah pula jika al-Quran yang dibeli, bertambah-tambahlah peri puas saya.

Puas itu hanya datang jika kita minat dan cinta dengan apa yang kita buat dan kerjakan.




Wallahua'lam.
Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt
1954
220115

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter