11/22/15

Jangan Biar Berseorang




[ NT : Nota Tarbiyyah ]

Seorang.

Saya tidak seorang. Tetapi, hati ini rasa kosong keseorangan, lama sedikit sahaja tidak terisi, akan dahaga bagai nak gila, melonjak-lonjak jadinya. Begitulah hati hamba kerdil ini.
Jika tidak diisi, syaitan itu memang bijak. Musuh yang paling nyata dan paling berbahaya.
Kita dikurniakan nafsu, bukan seperti malaikat. Itu antara ujian kita, sebagai manusia. Mahu dilihat, siapa dalam kalangan kita, yang paling terbaik.

Adakah kita paling terbaik?

Renung-renung.

Zalim. Tidak letak sesuatu pada tempatnya.

Diri kita yang mulia dan paling sempurna, layakkah tempatnya bersama-sama cebisan atau timbunan dosa-dosa?

Tidak, itu menzalimi diri namanya.

Saya menulis di sini, gol besar di hadapan adalah untuk ingatkan diri kerdil saya ini. Untuk pukul dan ketuk hati ini. Tidak mahulah, hingga hati kita yang asalnya suci murni, terus dicemari dan dikerasi hingga sukar menerima yang hak.

Ayuh, mari sama-sama kita ingatkan diri yang selalu alpa ini. 

Wake up, wake up, wake me up guys, wake us up guys!

*  *  *

Thauban meriwayatkan satu pesanan junjungan , bahawa Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud,

Aku sangat jelas mengetahui bahawa ada golongan dari umatku yang akan datang pada hari kiamat dengan amalan soleh sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah Ta'ala akan menjadikannya seperti debu-debu berterbangan."
Thauban bertanya : “Wahai Rasulullah, ceritakanlah tentang mereka kepada kami dan beritahulah kami lagi, supaya kami tidak menjadi seperti mereka.
Baginda menjawab pertanyaan mereka;

Mereka adalah saudara kamu dan dari kaum kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu (qiamulail), tetapi mereka adalah orang yang apabila mereka bersendirian, mereka akan melanggar larangan Allah.”

[Hadis Riwayat Ibn Majah]


Pedih hadis daripada Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam ini. Namun, harus terima hakikat, itulah yang perlu dielakkan. Jangan biar diri dan hati kita berseorangan kekosongan, kerana syaitan itu sangat licik. Takut-takut, saat kita sudah terlalu banyak terjatuh, kita dan orang lain tidak lagi mampu mengangkat kita, kerana dosa kita sudah berat bertimbun-timbun. Sakit. Astaghfirullahal 'Azim.

Duduk dengan orang-orang soleh, dengan orang-orang yang boleh ambil berat tentang hubungan kita dengan Allah Ta'ala. Bina ukhuwwah, bina ikatan persahabatan kerana Allah Ta'ala, saat itu kita akan terasa betapa manisnya Halaawatul Iman dalam Islam.

*  *  *

” Punca bagi setiap kemaksiatan, kelalaian dan syahwat ialah meredhai nafsu. Dan punca bagi setiap ketaatan, kesedaran dan penahanan diri ( yakni dapat menahan diri daripada berakhlak dengan setiap akhlak yang buruk ) ialah tidak meredhai nafsu.

Dan bahawa engkau bersahabat dengan seorang jahil yang tidak meredhai nafsunya itu adalah lebih baik bagimu, daripada engkau bersahabat dengan seorang ‘alim yang meredhai nafsunya.

"Kerana, ilmu manakah ( yang dapat dinisbahkan ) kepada ‘alim yang meredhai nafsunya, dan kejahilan manakah ( yang dapat dinisbahkan ) kepada seorang jahil yang tidak meredai nafsunya?"
[Hikam Ibnu ‘Atha illah ]

Allahu Akbar!

Sedar atau di bawah sedar. Punca kita terjerumus kepada maksiat, adalah kita sendir yang meredhai ianya berlaku. Ya, Kita. Kita tidak bersungguh melawan! Fight!

Jika badan berketak-ketak keras setara mana pun, jika tidak mampu melawan nafsu, dia sebenarnya tidaklah sekuat mana. Belum cukup kuat.

Sakit memang sakit mahu melawan nafsu mazmumah ini, namun kita, ya 'kita', bersama-sama, perlu melawan dengan kadar mujahadah yang tertinggi. Jangan lagi biar ada ruang untuk syaitan untuk merosakan kita. Lawan!

*  *  *

Saat kita berhempas pulas, bergolok gadai, bertungkus lumus untuk semua ini. Ingatlah, Allah sentiasa bersama kita. Allah sentiasa bersama kita, walau dalam apa jua keadaan.

....."Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita"..... 
[at-Taubah : 40]

Jangan juga kita lupa, pahitnya berjuang hari ini, hadiahnya besar di sana. Andai bernar kita ikhlas bermujahadah berjuang, insya-Allah ada habuan besar menanti di depan sana, SYURGA. Tiada nikmat indah seindah itu. Tiada nikmat besar sebesar itu. Percayalah.

Akhir, mari sama-sama kita bangkit. Bingkas bangkit, dan terus melawan!

Jangan lagi leka!

" Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. " 
[at-Taubah : 41 ]

Mari tarbiyah diri semampu dan sekuat yang boleh. Jika tidak, bagaimana mahu lebih kuat untuk memegang tampuk tarbiyah dalam keluarga, masyarakat dan negara?

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dengan agamamu."

Jangan seorang-seorang. Takut tak tertanggung lelah.
Jangan seorang-seorang. Takut tak tertanggung lelah.


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
El-Abbasiya, Cairo, Egypt.
16.5.13 ( Last lecture and practical day for second year medical student )
9:41 a.m

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter