11/26/15

Hukum Balas WhatsApp Ketika Khutbah Jumaat

[Isu Semasa]

Ini benar-benar satu isu yang kontemporari.

Jika dahulu, bilal hanya perlu mengingatkan para jemaah jumaat agar tidak bercakap- cakap ketika khatib membaca khutbah, tetapi kini harus dipanjangkan lagi ingatan itu. Perlu ditambah, jangan bercakap, SMS, WhatsApp, WeChat, Line, Telegram dan yang sejenis dengannya.

Saya teringat pesan Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki ketika beliau datang ke Mesir pada tahun 2012, beliau sangat pantang jika ada bunyi telefon ketika beliau sedang mengajar, apatah lagi ketika solat.

Mafhum pesannya, kalau pemain bola sepak boleh meninggalkan segala gajet canggih diluar padang untuk berikan konsentrasi penuh pada permainannya dalam padang, mengapa tidak bagi kita untuk tinggalkan gajet untuk berikan sepenuh tumpuan menyembah Allah dan ketika menuntut ilmu?

Sesiapa yang pernah hadir majlis ilmunya pasti sangat arif dengan segala larangan beliau. Beliau sangat menitik beratkan soal adab, yang kian ditinggal umat Islam sekarang.
Nah, ini hukum ber'WhatsApp' ketika khatib sedang berkhutbah.


SOALAN :

WhatsApp adalah trend terkini komunikasi. Di masjid ketika mendengar khutbah jumaat pun ada jemaah berbalas WhatsApp. Apakah hukum membaca atau membalas pesanan WhatsApp ketika khutbah jumaat, ustaz?


JAWAPAN :

Para ulama' berselisih pendapat tentang hukum bercakap ketika khutbah jumaat. Kebanyakannya mengatakan hukumnya HARAM, namun mazhab Syafi'e mengatakan hukumnya MAKRUH. Kita disunatkan untuk diam dan mendengar khutbah dengan tekun.

Rasulullahi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Jika kamu berkata kepada sahabatmu, "Diam!", padahal imam berkhutbah pada hari jumaat, maka sesungguhnya kamu telah berkata yang lagha. (Riwayat Bukkhari dan Muslim).

Lagha dalam hadis ini ertinya melakukan perkara yang dapat merosakkan kesempurnan ibadah solat jumaatnya.

Membalas pesanan WhatsApp termasuk dalam larangan bercakap-cakap ketika khutbah. Ini kerana perbuatan tersebut melalaikan kita daripada tumpuan mendengar isi kandungan khutbah dengan khusyuk. Begitu juga membaca risalah atau akhbar, membaca sesuatu dalam Facebook dan sebagainya. Semua perbuatan ini tidak bersesuaian dan hendaklah dihindarkan.

Saya mencadangkan pihak jawatankuasa masjid untuk mengingatkan para jemaah tentang perkara ini. Lebih baik jika sebelum khutbah, mereka diminta untuk mematikan telefon bimbit agar tidak merosakkan tumpuan untuk mendengar khutbah.

image
Maaf kalau kurang jelas. (Sumber : Page JAKIM)


Wallahua'lam.

Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
1747
050914

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter