11/27/15

Grup Buku

Seketika, saya sangat gembira apabila masuk dalam satu grup di laman facebook. Satu grup yang mengumpul pencinta dan pengumpul buku di serata pelosok Malaysia dan ada juga dari Indonesia.

Kalau anda peminat sukan bola sepak atau peminat-peminat arena lain, anda mungkin melahirkan riak kehairanan, "Takkan yang itu pun seronok?"

Tetapi pada hakikatnya kita sama. Ghairah dengan apa yang kita minat. Bola dengan keghairahan bola, sehingga segala macam perkara mahu diambil tahu. Daripada hal pasukan bola, bola, pemain, negara pemain, kasut pemain, isteri pemain, minuman kesukaan pemain, gol paling ajaib dan berbagai-bagai lagi.

Sama juga dengan kumpulan bibliophile ini, mereka juga ada ghairah yang serupa terhadap buku. Keghairahan dengan ilmunya, bentuknya, manfaatnya, ceritanya, kertasnya, baunya, harganya, penulisnya, keadaan langkanya, kedai buku, dan banyak lagi.

Namun, yang dipanggil 'ghairah' itu sukar dikawal, berlain dengan 'suka', kerana ghairah itu lebih datangnya daripada nafsu yang tidak elok. Bahkan, jika tuan empunya diri gagal mengawalnya, binasa juga badan.

Sejak saya masuk ke dalam grup tersebut, memang jadi rambang mata, seronok menggila usah dikata, kalau ada beribu juta dalam bank, terasa bagai nak beli semua macam buku. Ah, terlihat situasi ini bagai lelucon, bukan? Tapi, itulah hakikat.

Tarikannya jadi terlalu kuat, melekat sangat hebat. Lalu, saya bertekad untuk kawal ketat ghairah ini, takut-takut melarat. Jadi, grup itu saya tinggalkan, keluar. Terpaksa, sangat terpaksa walau agak sakit. Demi menumpukan pelajaran yang terlebih penting pada saat ini. Prioriti harus diteruskan nafas utama.

Notifications yang selalu berduyun berkenaan grup itu, sudah tiada. Lega.

Kala rindu-rindu datang, berziarah juga sebagai 'pendatang luar' ke dalam grup tersebut. Tak mengapalah, janji saya sudah cuba yang terbaik.

Tersenyum juga seorang, ada jugakah manusia lain yang mengalami rasa semacam ini?

Ah, biarlah, ini bukan dosa.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
2323, 210415

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter