11/27/15

Chincha Malizia

[Cerita Dari Jalanan]

Hari hujan.

Renyai, dan kadang-kadang melebat juga.

Titis-titisnya tegar mencium kepala dan pipi, apatah lagi si tanah gersang. Keadaan yang sudah sedia sejuk, jadi bertambah dingin, menggerit halus isi jasad.

Saya melewati kawasan Gami' sambil membawa bebanan berkilo-kilo untuk pulang ke Abbasiyah.

Pada larut malam sebegitu, atas asbab keselamatan, melalui Gami' adalah pilihan tepat berbanding lalu di kawasan Souq Sayyarat, kawasan puaka dan lubuk buat haromi(perompak) arab dan kaum kulit hitam.

Terus melintas dua jalan besar. Bercadang mahu naik bas(yang ada tempat duduk kosong) saja, lebih murah dan selesa kalau mahu membaca, tetapi yang ada hanya tremco. Tidak mengapalah, naik sahaja, zulumat makin lumat, mahu cepat.

Sambil buat isyarat tangan untuk pergi ke Ramses, sebuah tremco berhenti.
Saya bertanya," 'Abbaseyyaa?"

Makhraj sebutan kena betul, jika tidak arab payah nak tangkap perkataan kita dan kita perlu ulang banyak kali, saya benci ulang cakap.

Si pemandu mengangguk, "Aiwah!"

Saya tengok belakang, hanya ada seorang penumpang. Dua tempat duduk di hadapan pula kosong. Agak bahaya juga kalau tidak ramai penumpang, tetapi yakin sajalah, saya terus celapak naik ke tempat duduk hadapan.

Selesai meriba bebanan-bebanan, saya melurus kaki untuk mengambil wang tambang dalam kocek.

" Ugrah bikam?" Bertanya juga walau sudah tahu, sebagai buah mula bersembang lebih panjang selepas ini.

" Ithnin wannus"

Saya terus beri kepadanya.

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba dia bersuara.

"Enta minnin?"

Soalan masyhur orang arab.

Saya jawab dengan nada seorang letih yang asyik berkawat Sabi'-Asyir-Abbasiyah seharian, "Malizia..."

Dia tiba-tiba bersuara lagi, "Aqqu CHINCHA Malizia..."

Mata yang kuyu tiba-tiba membundar, "Eihhh?"

Sekali lagi dia mengulang perlahan satu persatu, "Aqqu... CHINCHA... Malizia..."

Saya dia seminit. Jeda.

Berfikir dalam, apa sebenarnya yang dia cakap. Chincha? Dia cakap Korea? Serius? Ah, tak mungkin. Virus kpop belum merebak besar dalam kalangan orang Mesir.

Dan...tinggg!

Dapat ideaaaa.

Belum sempat saya cakap, pemandu itu bercakap lagi.

"Ana bihibb Malizia..."

Ketawa saya puas-puas dalam hati, ingat cakap apa...lah tadi.

Saya balas, "Mish CHIN..CHA ya sodiq, bassa CIN..TA!"

Meneruskan perjalanan dan tipikal arab jenis ini, akan terus buka cerita puji orang Melayu dan puji kemajuan Malaysia, dari Mahathir sampailah ke Putrajaya, hinggalah akhirnya aku sampai di akhir kubri(fly over) Abbasiyah.


Muhammad Iqbal
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt
2047
060615

No comments:

Post a Comment

Apa buah kata anda?


Page Blog ini : Fb Page

Twitter Saya : My Twitter